Bunyi deruman motosikal memecah kesunyian pagi
yang bening itu. Kedinginan pagi di Kampung Kasturi membuatkan sesiapa sahaja yang masih
melengkar di atas katil tidak mahu bangun lagi.
Harun menongkat motosikalnya di luar pagar rumah emak saudaranya. Dia menolak pintu pagar yang tidak pernah
berkunci itu. Dia bersiul-siul riang.
Bukan hatinya yang riang, tetapi menghilangkan rasa gugupnya setiap kali
ke rumah itu. Dia berasakan ada
mata-mata yang memandang dan memerhatikan gerak-gerinya. Bukan dia takut dengan hantu. Mana ada
hantu? Syaitan dan iblis yang menyerupai
hantu adalah agaknya. Hairan dia dengan
manusia yang suka mencari hantu di rumah-rumah kosong. Sudah tertulis di dalam al-Quran, alam yang
dihuni oleh Jin dan syaitan itu sememangnya wujud. Hanya manusia sahaja yang tidak mampu
melihatnya. Kalau terjumpa juga,
susahlah dia hendak menekanya, makhluk apakah itu?
Kawasan laman rumah itu dipenuhi
dengan semak dan samun, Sudah seperti
berada di dalam hutan kecil pula. Harun
menggeleng kesal. Kenapalah tidak diupah
orang membersihkan kawasan itu, cantiklah sikit. Rumah sudahlah seperti rumah tinggal. Ditambah dengan kawasan semak begitu. Siapa pun tidak berani datang kecuali dia dan
ayahnya.
Harun mengerutkan dahi, hidungnya
pula mula bekerja, bau yang kurang enak menerma hadir setelah dibawa angin. Bau
apa agaknya? Busuk betul.
“Busuknya? Mak su Temah bela bangkai binatang ke?” bebel
Harun seorang diri. Dia mengeluh.
Langkahnya semakin laju. Semakin dekat dengan pintu rumah, semakin kuat
baunya. Dia menutup hidungnya dengan
telapak tangan. Geli geleman menahan
rasa meloya yang bermain-main di tekak.
Harun kehairanan, pintu rumah
terbuka luas. Dia melajukan langkahnya
lagi. Sebaik tiba di hadapan pintu
rumah, Harun berhenti melangkah. Beras
yang berada di dalam pelukannya menggelungsur jatuh, nasib baik dia sempat
mengelak, kalau tidak tentu menimpa kakinya.
Biarpun tidak seberat mana, tetapi berasa sakit juga. Barang-barang yang lain terlepas dari
tangannya. Berlari dia mendaki anak
tangga.
“Ya Allah! Mak su!” Jeritnya. Dia
terjelepok di lantai. Terketar tangannya melihat keadaan mak sunya yang sudah
tidak bernyawa lagi itu. Harun memandang
kiri dan kanan, tiada sesiapa. Rumah itu
dipenuhi dengan darah. Busuk, hamis dan
hanyir baunya. Hampir menitis air
matanya melihat keadaan emak saudaranya itu.
Walaupun kurang mesra antara mereka, tetapi Mak Temah adalah adik bongsu
ayahnya. Siapa yang melakukan kerja terkutuk ini? Harun menggeleng kesal. Hiba hatinya melihat keadaan emak saudaranya yang luka parah dikelar dan
ditetak.
Harun mengetap bibir. Dia turun perlahan-lahan, berlari sekuat
hatinya menuju ke arah motosikalnya.
Sepantas kilat dia menghidupkan enjin dan memecut laju meninggalkan kawasan
itu. Ayahnya perlu diberitahu segera.
Air mata kesayuan berjujuran mengalir.
Terasa kehilang seorang ahli keluarga.
Benar-benar dia berasakan.
Hatinya masih dipagut rasa kehairanan. Apa yang berlaku dan siapa yang
melakukan, bersoal jawab di mindanya.
“Ayah!Ayah!” laung Harun dari atas
motosikalnya lagi. Dia menungkat motosikalnya dan berlari menaiki anak
tangga terus ke dalam rumah.
“Kenapa dengan kau ni Harun? Macam
tersampuk hantu aje?” tegur Haji Manaf kehairanan. Wajah pucat Harun menjadi santapan matanya.
“Mak su! Mak su, ayah!”
tergagap-gagap Harun menuturkannya.
Seram sejuk tubuhnya. Terasa lemah di sana sini.
“Kenapa dengan mak su? Dia sakit ke?”
Haji Manaf masih memandang wajah Harun yang basah dengan air mata. Menangis
kenapa? Kehairanan menerjah dalam diri.
“Mak su dah tak ada” jerit Harun.
“Kau jangan bergurau dengan ayah?
Mak su kau ke mana pula?” Haji Manaf
tidak faham maksud kata-kata anak sulongnya itu.
“Mak su dah meninggallah ayah!” kata
Harun dengan nada sedih.
“Mak su kau dah meninggal?” Haji Manaf benar-benar terkejut. Dia cepat-cepat beristighfar, ajal maut
ketentuan Ilahi, tidak ada yang mustahil.
Jika sudah ditakdirkan ajal menjemput tidak ada siapa yang mampu
menghalang.
“Jomlah ayah! Buat apa tercegat lagi?”
Harun menarik tangan Haji Manaf.
“Yalah!” Haji Manaf terkocoh-kocoh mengambil kopiah
dan kunci kereta. Hampir berlari mereka berdua. Hati siapa yang tidak risau
jika ahli keluarga sendiri yang meninggal.
Pelbagai perkara bermain di fikiran Haji Manaf. Sukar juga untuk menerima berita tersebut.
Namun dia reda. Mungkin sudah sampai
ajal adik bongsunya itu. Mereka Cuma
tiga beradik. Dia anak yang sulong, adik keduanya sudah lama meninggal kerana
sakit jantung. Kini, hanya tinggal dia
sendiri. Tiada lagi adik-beradik yang
lain. Hiba mencucuk dalam hati. Meragut rasa tenang sekian lama bersandar di
hati.
Tidak sampai lima minit mereka sudah
sampai di hadapan kawasan rumah Mak Temah.
Tanpa berlengah mereka berlari-lari anak menuju ke rumah arwah. Haji Manaf bergegas menaiki anak tangga. Alangkah terkejutnya dia melihat keadaan
arwah Mak Temah.
“Ya Allah! Adik… apa dah jadi ni?”
raung Haji Manaf. Pilu hatinya melihat
keadaan jenazah arwah yang berlumuran darah.
“Sabar ayah!” pujuk Harun. Dia sendiri masih berasa sedih dan pilu.
Haji Manaf memeluk erat tubuh arwah
Mak Temah, tidak ada sedikit pun berasa jijik atau geli melihat keadaan jenazah
yang berlumuran darah. Hatinya diragut
duka. Siapa yang tergamak membunuh
adiknya itu? Dia pasti adiknya telah dibunuh, melihat keadaan mayat yang
tertiarap dan luka di sana-sini
“Ayah!” Harun menepuk bahu Haji
Manaf yang meratap sambil memeluk jenazah Mak Temah.
“Pergi panggil orang kampung. Bantu uruskan jenazah mak su kau!” suruh Haji
Manaf tanpa memandang wajah Harun. Matanya masih melekat pada wajah adiknya
yang sudah tertutup rapat.
“Bukan kita kena buat laporan polis
dulu ke ayah?” ujar Harun. Melihat keadaan emak saudaranya itu, dia
pasti arwah telah dibunuh, pasti menjadi kes polis.
“Kalau buat laporan polis nanti
jenazah arwah akan dibawa ke hospital untuk bedah siasat,” terang Haji
Manaf. Dia tidak mahu perkara itu
berlaku.
“Tapi ayah!” Harun tidak setuju
dengan keputusan ayahnya. Kalau benarlah
arwah emak saudaranya itu dibunuh, pembunuhnya perlu dicari.
“Jangan membantah!” kata Haji manaf
tegas.
“Ayah, kita kena panggil pegawai
perubatan untuk mengesahkan kematian mak su, kalau dia tengok keadaan jenazah
mak su begini, macam mana? Itukan syarat
untuk mendapatkan sijil kematian? Nanti
pihak polis tahu juga!” kata Harun.
Haji Manaf terdiam. Dia sendiri mahu jika pembunuh adiknya
ditangkap. Tetapi memikirkan jenazah adiknya akan dibedah siasat membuatkan
hatinya tidak berkenan.
Puas bertekak juga dengan ayahnya.
Akhirnya barulah Haji Manaf bersetuju laporan polis dibuat. Apa sahaja yang ada di dalam rumah itu tidak
boleh disentuh atau diusik. Mungkin boleh dijadikan bukti atau mencari siapa pembunuh
mak sunya. Wajah ayahnya yang keruh
menjadi lirikan mata. Perasaan sebak
menumbuk di hati. Lunyai rasanya dengan
tangisan yang mengalir di jiwa. Tidak mahu paparkan rasa sedih di hadapan
ayahnya. Tidak mahu menambah duka di
hati ayahnya yang sedang bersedih akan kematian adiknya sendiri.
“Bantu ayah angkat jenazah mak su ke
atas katil,” pinta Haji Manaf.
Harun memandang wajah ayahnya. Biar
betul? Mak sunya boleh tahan debabnya. Mana boleh terangkat
jika hanya mereka berdua. Mahu patah tulang pinggang.
“Kenapa?” tanya Haji Manaf.
“Manalah Harun larat nak angkat
ayah? Ayah sendiri bukannya kuat, nantilah kita minta tolong orang
kampung,” kata Harun.
“Ya tak ya juga.” Haji Manaf mengeluh berat. Galau hatinya memikirkan keadaan yang berlaku. Simpati dan sedih bercampur baur di
jiwa. Arwah adiknya tinggal sendirian
setelah kematian suaminya beberapa tahun yang lalu. Diajak tinggal bersama
tidak mahu. Ingin hidup sendiri. Dialah
yang banyak membantu adiknya itu. Pergi
sudah kesayangan hati. Biarpun adiknya
itu tidaklah semanja mana dengannya. Tetap adik juga. Tetap ada rasa kasih dan sayang.
Harun berlalu
meninggalkan ayahnya sendirian. Dia perlu berjumpa dengan Imam masjid dan
orang-orang kampung. Sebelum itu dia
akan menelefon pihak polis untuk memberitahu tentang kematian arwah mak sunya
yang tragis itu. Semoga segalanya
dipermudahkan. Urusan pengkebumian arwah
boleh cepat dijalankan. Biarpun perlu dibedah siasat dan pihak polis terpaksa
menjalankan siasatan, itu sema tidak menjadi masalah asalkan pembunuh arwah mak
sunya dapat ditangkap. Harap-harap ada kesan cap jari pembunuh itu nanti. Macam
mana dia tahu? Erk… selalu juga tengok
cerita penyiasatan di televisyen. Harun
memandu kereta ayahnya meredah keheningan siang yang dipayungi cahaya matahari
terang benderang. Semoga arwah mak sunya
tenang di alam sana. Mulutnya tidak
berhenti melafazkan ayat suci al-Quran dan disedekahkan kepada arwah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan