Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 11 Januari 2018

MANGSA - BAB 5



            Sebuah rumah banglo dua tingkat dengan kawasan lamannya seluas mata memandang.  Dihiasi dengan tanaman pokok bunga beraneka jenis, tersusun kemas dan bersih.  Anjungnya tersergam indah dengan pancuran air berdinding yang mengalir tenang.  Deretan kenderaan mewah menampakkan betapa kayanya penghuni rumah banglo tersebut.  Pintu rumah tertutup rapat.  Di tepian pagar yang tegap berdiri, memagari kawasan rumah seluas dua ekar itu kelihatan beberapa orang lelaki sedang bekerja membersihkan pokok-pokok bunga yang tumbuh subur.
            Di dalam rumah, di ruang tamu, tiada siapa di situ. Hiasan dalamannya begitu mewah, dengan almari antik tersusun di dalamnya barangan Kristal pelbagai  bentuk dan jenis.  Sofa berjenama yang hanya dibeli oleh mereka yang tidak tahu bagaimana hendak menghabiskan duit yang ada, tersusun kemas dihiasai jambangan bunga ros besar.  Karpet yang menjadi penghias tambahan hampir menenggelamkan kaki sesiapa yang memijaknya.  Lampu Chandelier menjadi ruang itu bertambah mewah.
            Di sebalik dinding bertal bunga matahari, terdapat ruang makan yang serba sempurna. Pemiliknya benar-benar bercita rasa besar.  Meja makan yang mampu memuatkan dua puluh empat orang dalam satu masa, bar tender juga disediakan di ruang makan yang begitu luas, tersusun gelas beraneka jenis dan jus buah-buahan yang pelbagai rasa.  Jambangan bunga kekwa dan ros menghiasi kiri dan kanan sudut.  Lampu China Cristal Chandelier menambah seri ruangan tersebut.  Meja khas yang menjadi tempat menghidangkan makanan terletak di tepi dinding yang bercermin besar.
            Di satu sudut rumah tersedia ruang untuk keluarga bersantai. Ada sebuah televisyen bersaiz 55 inci melekat di dinding.  Seperti biasa hiasan bunga hidup pasti akan menghiasi ruang tepi dinding rumah.  Terdapat sebuah meja kopi dan deretan sofa lembut untuk duduk bersantai sambil berbual. 
            Mata wanita tua yang berbadan sederhana memandang tajam wajah tetamu-tetamu yang ada di hadapannya.  Bukan orang lain, tetapi anak-anaknya.  Dia mendengus kasar.  Sesekali giginya berlaga sesama sendiri, seperti orang yang sedang menahan marah yang berapi-api. 
            “Betul kalian tidak tahu?” herdik wanita itu,  Bergetar suaranya, cuba menahan tonansi suara agar tidak meledak keluar. 
            “Betul mama!  Sudah seminggu Esya hilang, kami langsung tidak tahu dia ke mana?”  kata lelaki yang duduk menghadap wanita tua itu.
            Wanita tua itu melepaskan keluhan, ke mana perginya cucu kesayangannya itu?  Tidak mungkin pergi bercuti langsung tidak memberitahu kepada keluarga atau dirinya sebagai orang paling tua di rumah itu.
            Puteri Esya, berumur 25 tahun, seorang ahli perniagaan, mempunyai syarikat hiasan dalaman sendiri. Masih bersendirian, terlalu sibuk berniaga hingga tiada masa untuk mencari pasangan hidup.  Anak sulong dari tiga beradik. 
            “Abang kau,  Zakaria, langsung tidak ambil tahu akan kehilangan anaknya?  Mama suruh datang sini pun, tak datang!” bentak wanita tua itu kemarahan. 
            “Abang ada mesyuarat penting mama, itu tak sempat nak datang hari ini.  Bukan abang tak bimbang pasal kehilangan Esya, dia anak kami mama,”  kata  Datin Zara.
            “Kau pun sama, sibuk dengan urusan persatuan, hal anak-anak langsung kau tidak kisah!  Biarpun mereka sudah besar, selagi tidak berumah tangga, menjadi tanggungjawab kita mengambil tahu urusan harian mereka, faham!” nasihat wanita tua itu dengan wajah garangnya.
            “Esya dah besar mama, pandailah dia jaga diri.  Bukan budak kecil lagi,” ujar Datin Zara.  Suaminya pun satu hal juga, anak sudah menghilangkan diri berhari-hari pun masih buat tak tahu.  Boleh tenang seperti tiada apa yang berlaku.
            “Yalah mama…  Esya dah besar panjang, takkan nak risaukan lagi?  Lagipun, tahulah dia menjaga diri,”  sambung Jafni, anak ketiga wanita tua itu.
            Wanita tua itu menjeling sekali imbas ke arah Jafni yang berambut lurus, digunting kemas, berkaca mata, berkulit putih seperti  kulit wanita tua itu.  Matanya sedikit sepet  sama seperti mamanya.  Dengan hanya bert-shirt leher bulat  berwarna kelabu dan berseluar slack hitam, Jafni duduk tenang sahaja.  Bukan tidak risau akan kehilangan anak saudaranya itu, tetapi Esya sudah cukup besar dan matang.  Mungkin bercuti di mana-mana negara dan sengaja tidak memberitahu ahli keluarganya.
            “Mama jangan risau, nanti baliklah si Esya tu,” kata anak keduanya, Riana.  Bertubuh langsing, masih bersendirian biarpun usia sudah menjangkah empat puluhan.  Sibuk bekerja, mengejar kejayaan dalam kerjaya.   Wajahnya masih cantik dan sudah pasti seorang yang bergaya.  Membantu menguruskan syarikat milik keluarga bersama abang sulongnya Dato’ Zakaria. 
            Wanita tua yang masih tegap berdiri dan kukuh lagi langkahnya bingkas bangun, bercekak pinggang, memandang ke laman rumah dengan mata yang bening, otaknya tidak berhenti  memikirkan ke mana cucunya itu pergi?  Tidak pernah Esya berkelakuan begini, dia tahulah, sebab dia yang menjaga cucunya itu sejak dilahirkan. 
            “Kita buat laporan polis!” arah wanita itu, matanya memandang wajah anak-anaknya seorang demi seorang.
            “Hish!  Nanti apa pula orang cakap, mama?  Biar kita cari dia dulu, kita upah penyiasat persendirian, kalau masih tidak  Berjaya, baharulah kita buat laporan polis,”  cadang Jafni, pembantu peribadi kepada Dato’ Zakaria, biarpun berkelulusan sehingga peringkat master dalam perniagaan, tetapi minatnya pada perniagaan tidak sehebat abang dan kakaknya.  Dia lebih suka menguruskan hal lain selain perniagaan yang dirasakan cukup memeningkan kepala. Apatah lagi mamanya masih lagi menjadi Pengarah Urusan.  Cerewetnya usah cerita, boleh sakit jantung.  Sudah berumah tangga tetapi belum mempunyai zuriat. 
            “Benar mama, Riana setuju dengan cadangan Jafni tu,”  kata Riana.
            Dato’ Mariam menunduk seketika, dan berfikir sejenak.  Dia duduk kembali di sofa.
            “Baiklah, mama setuju, Riana aturkan untuk kita mendapatkan perkhidmatan penyiasat persendirian.  Esya mesti dicari sampai jumpa,”  perintah  Dato’ Mariam dengan wajah seriusnya.  Wajah kacukan Cina Melayu yang diwarisi daripada orang tuanya terserlah di wajah anak-anaknya juga.  Berkulit putih bersih, berkening nipis, mata sepet dan berhidung penyet.  Namun, tetap ayu seperti wajah Riana dan kacak seperti Zakaria dan Jafni.
            “Mama, terima kasih,” ucap Datin Zara.  Kalaulah ibu mertuanya tidak mengambil tahu hal anak-anaknya, entah apa akan jadi dengan mereka.  Suaminya sibuk menguruskan empayar perniagaan milik keluarga suaminya itu.  Langsung tiada masa untuk bersama-sama keluarga.  Dialah yang menjaga anaknya sepenuh masa dan dibantu oleh mertuanya, tetapi anak-anaknya sudah besar sekarang, rasanya tidak perlu lagi dia menguruskan mereka.  Kehilangan anak perempuannya itu turut merisaukannya.  Entah-entah anaknya diculik? Siapa tahu?  Ah!  Pening kepalanya memikirkan masalah yang menimpa tiba-tiba.
            “Sudah, usah fikir banyak, nanti kita cuba selesaikan misteri kehilangan  Esya ini sama-sama,” kata Dato’ Mariam.  Cuba bertenang biarpun hatinya benar-benar kerisauan.  Esya, adalah cucu kesayangannya, dan dia hanya mempunyai tiga orang cucu. Esya sahajalah perempuan. Dua lagi lelaki.  Dato’ Mariam mendengus kasar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan