Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 28 Ogos 2013

AKU TURUT BAHAGIA - bahagian terakhir



            Desiran air sungai yang mengalir tidak lagi mengamit  perasaannya.  Sudah berhari-hari di kehilangan selera makan.  Nasi dengan lauk kesukaannya sedikit pun tidak memanggil dirinya untuk menikmati.  Air manis yang diminum terasa tawarnya. Siraman air mandi bagaikan tidak lekat di badan.  Kenapa semuanya terasa sepi dan sunyi.  Kenapa dia merasa kehilangan.  Kehidupan yang dilaluinya  sejak akhir-akhir ini bagaikan tiada serinya.  Terasa malas dan lemah seluruh anggota tubuhnya.  Dia bagaikan telah hilang separuh dari nyawanya.  Amir Hudzaifa merebahkan diri di sofa.  Dia hilang tumpuan pada apa yang dia ingin lakukan.  Ya, ALLAH  kenapa dia begitu lemah.  Amir Hudzaifa memejamkan mata.  Rindunya tidak tertahan lagi.  Dua minggu sudah berlalu.  Terasa bagaikan sudah dua tahun Ummi Khadeeja meninggalkannya.  Pergi jauh bagaikan tidak mahu kembali lagi.  Ketegasan isteri pertamanya untuk keluar dari maahad itu membuatkan dia tidak mampu menghalang.
            “Abang…  Abang ni kenapa?  Sejak kak Ija tak ada, muram je, letih Mai tengok,”  Syifa Umaira mencebik.  Liyana ‘Afifah masih tidur di buaiannya.  Syifa’ Umaira melabuhkan punggung di sofa sebelah suaminya.  Amir Hudzaifa sudah banyak berubah.  Bercakap dengannya ketika perlu sahaja.  Sepatah ditanya, sepatah yang keluar dari mulut suaminya.  Nasi dijamah hanya sesuap dua.  Mandinya pula hanya seketika.  Suaminya bagaikan hilang nyawa dan keinginan.  Semuanya gara-gara madunya keluar dari maahad dan pulang ke kampung halamannya.  Ingatkan dia akan hidup bahagia  apabila madunya keluar dari situ.  Lain yang diharapkan, lain pula jadinya.  Suaminya pula asyik bermuram durja dan berduka cita, bagaikan sudah kematian isteri sahaja sedangkan  kedua-dua isterinya masih bernyawa.  Giliran Syifa’ Umaira pula mengeluh.  Sudahlah cakapnya tidak dilayan.  Jawab pun tidak.  Alahi!  Rimas jadinya.  Syifa’ Umaira menggelengkan kepala.  Dia bingkas bangun dan melangkah masuk ke dalam bilik.  Kalau sehari dua mungkin dia tidak kisah sangat, biasalah bila berpisah dengan orang  tersayang tetapi kalau sudah berminggu-minggu siapa  boleh tahan.  Syifa’ Umaira mengetap bibir, menahan marah sendiri.  Sakit hati tidak terkata. Bosan mencengkam diri.
            Bahagiakah kini hidupnya?  Tidak juga.  Senangkah hatinya?  Jauh lebih susah.  Gembirakah dia sekarang? Duka pula yang mendatang melihat  kesedihan di wajah suaminya.  Syifa’ Umaira meraup muka dengan kedua belah tangannya.  Apa yang harus dia lakukan.  Anaknya juga suaminya pandang sepi.  Ya, ALLAH apa yang telah aku lakukan, katanya sendiri.
            Amir Hudzaifa seperti tidak percaya apa yang dia dengar  dari mulut Syifa’ Umaira.  Dia mengerutkan dahi memandang wajah isteri mudanya tidak berkelip.  Dia mengamati wajah itu.  Benar-benar ikhlaskah isterinya itu.  Minggu hadapan dia akan  ke Kedah, takkan Syifa’  Umaira ingin turut serta.  Giliran dia bersama dengan Ummi Khadeeja. 
            “Awak  tahu tak, abang ke sana selain ada kuliah dan program yang telah diatur, abang juga balik ke rumah kak Ija.  Giliran abang bersama Kak Ija pula.  Tak cukup lagikah apa yang telah berlaku.  Abang nak hidup aman dan damai Mai.”  Amir Hudzaifa mengeluh.  Syifa’ Umaira menarik tangan  suaminya dan duduk di sofa.  Wajah suaminya ditatap seketika.  Dia menunduk, mendengus lembut.  Dia tersenyum. 
            “Mai nak ikut sebab nak pujuk Kak Ija pulang semula ke sini.  Mai tak sanggup tengok abang macam orang hilang arah sahaja.  Mencuka, muram, sedih sepanjang masa.  Mai pun abang tak pedulikan.  Begitu dalam sekali cinta abang pada Kak Ija.  Sampaikan kehadiran Mai seolah-olah tidak mampu memberi kebahagian dan kegembiraan abang selama dua minggu ini.  Liyana ‘Afifah pun abang tidak pedulikan.  Kami sunyi dan sepi, bang.”  Syifa’ Umaira memandang wajah Amir Hudzaifa yang mengeluh kasar.
            “Mai, iklas?”  tanya Amir Hudzaifa.   Ada was-was di hati.  Tidak mungkin isterinya berubah sekelip mata sahaja.  Ah!  Dia tidak boleh menidakkan kehendak  ILAHI.  Mungkin ALLAH SWT telah membuka pintu hati isteri mudanya untuk berbaik-baik dengan isteri pertamanya.  Tidak mustahil perkara itu terjadi, Kun Fa Ya Kun…  Amir Hudzaifa menarik nafas lega.  Jika itulah yang berlaku, sudah pasti dia adalah manusia yang paling bahagia.
            “Maaf dan ampunkan Mai, selama ini menyusahkan abang dan Kak Ija.  Sepatutnya dari awal lagi Mai tahu bagaimana kehidupan  berpoligami.  Mai bukan sahaja berkongsi abang, malah seluruh kehidupan abang bersama keluarga abang yang satu lagi.  Berilah peluang pada Mai untuk memperbaiki diri.  Mai bukan malaikat.  Mai manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Mai nak jumpa Kak Ija, nak minta maaf dengan dia.  Mai nak bawa dia kembali ke sini semula.  Para pelajar juga bagaikan tidak bermaya seolah-olah mereka kehilangan seorang ‘ibu’.  Mai tidak mampu menjadi ‘ibu’ mereka,” air mata mula mengalir di tubir matanya.  Dadanya sebak menahan duka yang sarat di hatinya.  Sikap dan perubahan suaminya membuatkan dia makan hati, merana sendiri.  Dua minggu sudah cukup menyiksakan dirinya.  Apabila tiba giliran untuk bertemu Kak Ija wajah suaminya kembali ceria.  Seolah-olah kehadirannya tidak memberikan kebahagian pada suaminya.
            Para pelajar pula memandangnya  bagaikan musuh mereka.  Bila dia mendatang mereka menjauhkan diri, tidak suka dengan kehadirannya.  Para pekerja suaminya  juga begitu.  Dia merasa asing di rumah sendiri.  Untuk apa semua itu.  Tiada gunanya.  Dia juga yang merana.  Dari merana sendiri kenapa dia tidak cuba mencari kebahagian.  Bukan sahaja untuk kebahagian dirinya malah kebahagian untuk suaminya juga.  Mampukah dia hidup dengan melihat wajah duka suaminya.  Mampukah dia gembira melihat wajah muram suaminya.  Di malam hari kehadirannya dipandang sepi. Air matanya mengalir laju. Sesalan tidak terucap kerana mengeruhkan kehidupannya sendiri.  Jauh di sudut hati dia berharap madunya akan menerima kembali kehadirannya.  Dia ingin melihat senyuman di bibir suaminya.  Dia ingin mendengar kata-kata berkobar-kobar suaminya mengajak masyarakat kembali kepada ALLAH.  Dia ingin melihat wajah ceria suaminya.  Dia inginkan kasih sayang suaminya.  Air matanya mengalir laju. Kali ini air mata penyesalan kerana terlalu mengikut hawa nafsu, sombong, ego dan cemburu yang keterlaluan.  Dia berdosa pada ALLAH SWT, pada suaminya dan pada madunya juga.  Dia harus memohon maaf pada  suami dan madunya.  Dia wajib memohon ampun pada ALLAH SWT.  Selama ini perangainya bagaikan orang tiada agama.  Dia menyesal. Syifa’ Umaira meraung sambil memeluk anaknya yang tidak mengerti apa-apa itu.
            Ummi Khadeeja tersenyum puas.  Ini agaknya hikmah apabila dia keluar dari maahad. Dia tidak pernah menduga Syifa’ Umaira akan datang menemuinya.  Dia tidak menyangka Syifa’ Umaira akan meminta maaf padanya.  Kenapa tidak dari dahulu sewaktu mereka tinggal di tempat yang sama.  Kenapa menunggu   sehingga dia berpindah keluar.  Ummi Khadeeja mengeluh.  Memang sudah suratan dia dimadukan.  Bukan kebetulan Syifa’ Umaira datang bertemu dengannya.  Mungkin madunya sudah insaf, macam tidak percaya pula.  Harap-harap bukan  kepura-puraan.  Dia berharap madunya benar-benar ikhlas. 
            “Mai,  minta maaf  Kak Ija. Mai tahu, Mai banyak buat salah.  Dua tahun kita bersama tapi tak pernah boleh hidup bahagia.  Sejak akak keluar dari  maahad, abang Amir bagaikan anak kehilangan ibu.  Staf maahad juga bimbang.  Para pelajar kelihatan tidak bersemangat, pandang Mai bagaikan musuh mereka.  Dahulu memang Mai tak kisah mungkin sebab akak ada, tapi bila Mai jadi ‘ibu’ di mahaad menggantikan akak, tentulah tidak selesaikan kau orang tak suka kita.  Maahad sunyi, hilang serinya.  Kak, pulanglah kembali ke maahad.  Mai rela beralah agar semuanya kembali ke asal.”  Syifa’  Umaira menunduk.  Tiupan angin sawah menampar pipinya.  Ummi Khadeeja menarik nafas panjang dan melepaskannya  perlahan.
            “Ini bukan muslihat Mai, kan?  Tak mungkin dalam dua minggu kau berubah.  Akak bukan tak nak percaya, tapi sukar pula hendak percaya,”  kata Ummi Khadeeja sinis.  Syifa’ Umaira menarik tangan Ummi Khadeeja.  Dia tidak salahkan madunya itu.  Memang salahnya.  Madunya telah berusaha  untuk mereka hidup rukun damai tetapi sikap degil dan cemburunya telah membutakan hati dan matanya.  Kenapa dia berubah hanya ALLAH SWT jua yang tahu.
            “Mai tak salahlah  Kak Ija kalau tak percaya dengan perubahan diri ini.  Malah Mai sendiri tidak percaya yang Mai boleh berubah.  Hilang rasa ego dan sombong diri lantaran melihat kedukaan di wajah Abang Amir sepanjang ketiadaan Kak Ija,”  kata Syifa’ Umaira.  Air mata diseka dengan hujung baju.
            “Selama ini kau selalu buat Abang Amir berduka, tak pula kau terasa hati?  Kenapa baru sekarang?”  soal Ummi Khadeeja.  Matanya tajam menjunam ke wajah Syifa’ Umaira. 
            “Mungkin ketika itu Mai belum ada anak lagi kak.  Mungkin ketika  itu perasaan cemburu terlalu kuat berada dalam diri, ketika itu setiap hari Mai boleh nampak akak, Abang Amir  boleh nampak bayang akak, walaupun marah, duka, sedih tapi akak tetap ada, sekilas pandang sudah kelihatan.  Bila akak keluar, semuanya berubah.  Rumah  Kak Ija dipandang sepi, sunyi. Entahlah kak sukar untuk Mai terangkan.  Cuma Mai harap akak baliklah semula ke Maahad.  Susah senang kita bersama.  Mai mohon kak,”  Syifa’ Umaira  melutut.  Ummi Khadeeja terkejut dengan tindakan madunya itu. Dia menahan Syifa’ Umaira dari terut melutut di hadapannya.
            “Kenapa? Kenapa tidak dari dulu?”  Ummi Khadeeja memandang wajah Syifa’ Umaira.  Pipi madunya basah dek air mata.
            “Entahlah kak!  Mai sendiri tiada jawapannya.  Memang Mai bencikan akak.  Mak tak sanggup berkongsi kasih  Abang Amir dengan akak.  Sehingga sekarang pun tiada sedikit pun rasa kasih itu.  Mai gembira akak  keluar dari maahad.  Tetapi kegembiraan itu hanya seketika.  Tiba-tiba hati rasa kosong, hambar dan bagaikan kehilangan sesuatu.  Mungkin Mai perlukan masa untuk menerima akak dan perkahwinan ini tetapi Mai rayu, pulanglah ke maahad semula.  Ceriakan  kembali keadaan di maahad yang sepi bagaikan dilanggar todak,”  Syifa’ Umaira duduk di pangkin.  Dia memandang sawah yang terbentang luas itu. Tenang dan damai. Dia inginkan kedamaian dan ketenangan itu.  Dia memandang wajah madunya semula.
            “Mai, duduklah di sana. Akak gembira di sini.  Sesekali pasti akak akan pulang ke sana. Jangan bimbang.  Akak gembira kau sudah berubah, menerima akak sebagai madu kau.  Itu sudah cukup bagi akak.  Gembira dan bahagiakanlah Abang Amir di sana.  Akak juga akan membahagiakan Abang Amir di sini. Percayalah.  Inilah jalan terbaik untuk kita semua.  Bak kata orang, jauh bau bunga, dekat bau tahi, walaupun  peribahasa ini digunakan untuk menantu dan mentua, tak salah kita gunakan,”  Ummi Khadeeja tersenyum.  Syifa’ Umaira turut tersenyum.
            “Jadi, akak tak nak pulang ke maahad?”  tanya Syifa’ Umaira. 
            “Tak, biarlah akak di sini, Mai jaga di sana.  Akak tak apa-apa.  Kita jadi kawan ya?”  Ummi Khadeeja memegang tangan Syifa’ Umaira erat.  Laju sahaja anggukkan Syifa’ Umaira.
            “Kita berkawan ya kak.  Mai akan cuba menyukai akak,”  Syifa’ Umaira melemparkan senyuman. Ummi Khadeeja turut tersenyum.
            “Demi Abang Amir,”  Ummi Khadeeja melepaskan pandangan ke arah lain.  Demi suaminya.  Dia mengetap bibir.  Inilah kurnian ILAHI.  Baik buruk dia terima seadanya.  Semoga bahagia yang menanti.
            Amir Hudzaifa menarik nafas lega.  Air mata gembira diseka dengan hujung jari.  Kedua-dua orang isterinya saling berpelukan, saling bermaafan.  Sebak dadanya.  Gembira hatinya tidak terkata.  Sudah selayaknya dia melakukan sujud syukur atas kurniaan ILAHI padanya.  Dia tidak pernah  menyangka mereka akhirnya akan berbaik-baik.  Inilah  yang dia inginkan selama ini.  Kebahagian di dunia dan akhirat.  Keluarganya bersatu hati.  Hatinya juga senang malah dapatlah dia berdakwah dengan hati yang tenang.  Kebahagian bukan pada wang ringgit, kebahagian yang sebenar adalah ketenangan di hati, ketenteraman di jiwa.  Keimanan yang tiada henti pada Yang ESA.  Ya, ALLAH aku bersyukur atas kurniaanMU…  amin.  Amir Hudzaifa tersenyum puas.

Rabu, 31 Julai 2013

INGIN JADI PENULIS?

INGIN JADI PENULIS? BERCITA-CITA INGIN JADI PENULIS? KENAPA TIDAK REALISASIKAN IMPIAN ANDA ITU...

PENCARIAN NOVELIS ALAF 21/ BUKU PRIMA (BP)



Tonjolkan bakat menulis anda sebagai novelis. Hantar manuskrip novel yang berkisar tentang kekeluargaan, percintaan, romantik komedi, thriller atau aksi.

1. Tebal manuskrip 450 – 500 muka surat saiz A4.



2. Jarak setiap baris 1.5. Margin top/bottom/inside/outside 1.5

3. Saiz font 12. Gunakan font ITC Clearface atau Times Roman.

4. Manuskrip hendaklah dicetak dan dijilid com binding.

5. Sertakan sinopsis cerita, nama penuh, alamat, nombor telefon dan e-mel anda.

6. Setiap manuskrip akan dinilai dalam masa dua bulan. Manuskrip yang ditolak akan dipulangkan.

KEISTIMEWAAN MENULIS DI BAWAH GRUP KARANG KRAF (GBK):-

a) Karya anda mungkin akan diberi peluang untuk diadaptasikan. Setiap karya yang diadaptasi anda akan dibayar oleh pihak GBK, tidak termasuk royalti jualan buku

Royalti dibayar secukupnya, pihak syarikat akan pastikan anda mendapat imbuhan yang sepatutnya dan anda tidak akan dipersia-siakan oleh pihak syarikat.

c) Anda akan dilayan dan dijaga dengan baik oleh pihak syarikat.

d) Grup Buku Karangkraf sebuah syarikat yang kukuh dan nasib anda sebagai penulis GBK akan terbela.

e) Pihak syarikat juga akan pastikan setiap penulis menambah dan mendapat imbuhan yang lumayan melalui adaptasi dan jualan buku.

f) Promosi terbaik dari pihak Syarikat agar memastikan karya anda laris di pasaran.

Jadi rebutlah peluang ini. Terbuka kepada penulis lama dan baru. Ada karya dan tidak. Pernah menulis di syarikat lain juga dialu-alukan mencuba.



Hantar kepada:



Alaf 21 Sdn Bhd

@ Grup Buku Karangkraf

Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15

40200 Shah Alam

Selangor.



U/P: Puan Sa’adiah Mohamad

Tel: 03 5101 3888 sambungan 3322

Faks: 03 5101 3685

https://www.facebook.com/Alaf21?ref=br_tf



BUKU PRIMA

@ Grup Buku Karangkraf

Lot 26 Jalan Renggam 15/5 Seksyen 15

40200 Shah Alam, Selangor.

U.P: Ybgh Tuan Mohd Ali

https://www.facebook.com/bukuprima

AKU TURUT BAHAGIA - PANTUN




Pantun yang direka khas oleh Pembaca AKU TURUT BAHAGIA, TERIMA KASIH CHEGAYAH CHEHAK dari grup KOPI SASTERA

pinangannya telah diterima
walau syarat berjela
demi cinta pandang pertama

ibubapa tak mampu menolak
hasrat mereka sudah koyak
anak bongsu tidak teragak

menyesal pun tidak berguna
cemburu mencengkam di jiwa
ilmu agama terkebelakang juga

Isnin, 22 Julai 2013

TIPS UNTUK MENULIS


Tips menulis Novel:
1. Sediakan buku nota khas untuk sebuah novel. Jangan campur dengan nota untuk cerpen atau novel lain. Buku nota itu biar mudah dibawa ke mana-mana.

2. Muka surat pertama, tulis tarikh - dengan itu anda tahu berapa lama akan siapkan novel tersebut. Muka terakhir, tulis tarikh - anda akan tahu bila novel itu mula terbelangkai, tak bergerak.

3. Sediakan sinopsis cerita dalam 3 hingga 5 mukasurat. Watak dan perwatakan. Latar tempat. Ini amat berguna jika anda tersekat di mana-mana, mudah untuk menyambung semula.

4. Fail rujukan, buku rujukan dan laman web rujukan hendaklah dicatat di buku nota. Mungkin kita bukan menulis cara persuratan baru tetapi biarlah maklumat yang ditulis itu betul. Lebih cantik lagi jika ada koleksi gambar - gambar bangunan dan wajah-wajah manusia sebelum perang - jika menulis novel seperti itu.

5. Mula menulis pada masa yang sama setiap hari, dengan jumlah jam yang sama juga. Disiplinkan diri.

6. Offkan handphone, offkan internet terutama facebook.

7. Siapkan dahulu keperluan keluarga dan anak-anak. Contoh, siapkan beli barang pasar, kalau tidak isteri kita suruh pergi pasar hendak masak - dah tergendala.

8. Gunakan meja dan persekitaran yang selesa dengan diri kita. Saya tidak ada masalah jika menulis sambil anak bermain di bawah meja. Ada orang yang mahu berkurung. Paling penting jangan sampai mengabaikan keluarga atau menjadikan aktiviti penulisan itu menjarakkan keluarga.

Selamat menulis!

Jumaat, 19 Julai 2013

Komen Pembaca AKU TURUT BAHAGIA






Antara komen awal pembaca Novel pertama saya AKU TURU BAHAGIA. Terima kasih kepada kenalan dan teman yang sudi membeli karya yang tidak seberapa ini.

Norliza Yusof :-

Satu lg novel poligami yg buat saya geram, sakit hati, marah, benci dan bengang tahap bumbung rumah! saya kan kak tak puas hati la dgn ustaz Amir tu..kahwin lain tu kahwin la tp nape bertukar sikap? hisy..sian Ija... respect ngan Ija yg sabar dan mengalah selalu tp sekali sentap..hah! hilang arah uztaz Amir...Mai tu tak sedar diuntung kan kak..suami punya la baik dan penyabar tp dia punya 'peel' ke laut...
seluruhan saya sgt suka dan bahasa dlm citer ni pun tak susah nak faham... cuma ending tu kalaulah ada part Ija dan Mai meluah rasa lagi best kut? nak tahu jugak apa tingkah Ija bila Mai akur terima, reaksi anak2 ustaz amir bila ibu Mai mereka sudah insaf ... apa2 pun saya suka AKB ni...teruskan berkarya ya kak...saya mula suka gaya tulisan akak ni...
--------------------------------------------------------------------------------------
Tidak menyangka karya saya mendapat tempat di hati seorang pembaca yang bukan melayu.

Tieok Eng:-

Tahniah Puan Asmah walau pun baru karya pertama novel puan bagus untuk sesiapa yng membacanya dgn mehayati jln cerita pada setiap watak di dlm novel ini untuk di jadi tauladan dlm menjalani kehidupan kita ini......

Walau pun saya berbangsa lain, byk yng saya dapat belajar dari cerita novel ini......

Intan Zakaria - Grup Buku Tiga Lima.

Urmm..nk taip apa subuh2 ni? ok lah begini ceritanya..dah lama sebenarnya tak menghadam buku cinta, kekeluargaan sambil feeling2 sakan. Ingatkan hati dah kental, pejal, mantap. Tapi baru m.s 38 AKU TURUT BAHAGIA (kak Asmah Hashim), tiba2..ada mutiara jernih keluar dari mata kiri dan kanan..mutiara ni bukan jenis boleh buat barang kemas atau di pajak di mana2 kedai pajak..ohhh...tak sangka...kalau dah perempuan tu, perempuan jugak laaahhh..kental konon..


SecondHand Novel :- Grup Buku Tiga Lima
Tajuk: Aku Turut Bahagia
Penulis: Asmah Hashim
Terbitan: Alaf 21

Kisah kekeluargaan yang melibatkan hati 2 orang perempuan yang bermadu; Ummi Khadeeja (Ija) dan Syifa' Umaira (Mai) bersama Amir Hudzaifah. Amir sedia berkahwin buat kali kedua kerana hanya menginginkan seseorang dari kalangan ahli keluarganya sendiri untuk menjaga maahad yang diuruskan olehnya ketika dia keluar berdakwah dan juga untuk mengurangkan bebanan Ija selama ini jika dia tiada. Dipersetujui oleh Ija dengan menetapkan syarat antaranya calon mesti berhenti belajar. Syaifa' Umaira pula yang sememangnya telah jatuh hati dengan Ustaz Amir terus menawarkan diri menjadi isteri kedua dan sanggup menyetujui syarat tersebut.

Sangkakan panas hingga ke petang rupanya hujan ditengahari (betul ke peribahasa ni? :) ), Mai adalah seorang yang sangat cemburu, tidak boleh berkongsi kasih, mengada2, mengedik, manja terlampau..aduhai memang geram sangat watak ni, rasa nak cepuk2 je >.< Saya kira dia pandai memanipulasi Amir untuk dapat apa yang dia mahukan. Kasihan Ija sentiasa makan hati dengan perbuatan madunya. Tapi Ija juga bukan seorang perempuan yang hanya tahu menyerah, juga kerana cemburu dan tidak berpuas hati dengan layanan Amir yang dirasakan melebihkan Mai, buat Ija semakin tidak sabar dan berubah sikap. Hilang sudah ciri-ciri isteri solehah yang selama ini, siapa boleh tahan kalau dapat madu yang sepahit hempedu seperti Syifa'..huhu.. Kehidupan mereka selalu berperang mulut hingga buat Amir pening kepala melayan.

Heh..saya memang emosi membaca kisah ini, dan saya lebih menyokong Ija. Cuma dipenghujung cerita terlalu cepatlah puan penulis :), saya mengharapkan ada sedikit dialog antara 3 watak utama tersebut tetapi hanya ditutup dengan monolog (betul ke dipanggil monolog..hehe) 3.5*

Normasitah Esa-Salam Karya-Siti Rozilah
Sedang melayan novel ini...bru smpi mukasurat 287 rasa mcm nak lempang lju2 je c mai ni...x pun nak maki hamun je dak ini...sabo je r...agak2 nye lau smpi hbis bca novel ni mau ternanah hati ni...mmg bengkak r bca buku ni...mekasih ye sis Asmah Hashim wat sy geram ngan watak2 dlm buku ni...x nyabo nak hbskan bca...kak Siti Rozilah...da bca lom???jgn tertggal keteapi tau...
Sepatutnye buku ni kna ikut turn bca...tp pas tgk en boss da katam bca smbil menyengih....eh!!mcm tercabo plak nak bca...



Khamis, 18 Julai 2013

AKU TURUT BAHAGIA










JOM DAPATKAN DI PASARAN...
Sinopsis
"Ija, abang tahu, Ija isteri yang baik dan jujur. Abang tak pernah pertikaikan layanan Ija terhadap abang. Cuma, abang perlukan seseorang untuk bantu Ija menguruskan maahad. Izinkan abang berkahwin lagi, Ija."

Ummi Khadeeja tergamam. Hanya matanya yang berbicara. Angin tiada, ribut pun tidak, tiba-tiba pokok bergoyang. Selama 16 tahun hidup bersama, hari ini suaminya berterus terang ingin berkahwin lagi. Haruskah dia tersenyum?

Demi cinta dan agama, Ummi Khadeeja berkorban. Jika suaminya bahagia dengan perkahwinan ini, dia akan turut bahagia. Cuma, dia berharap pengorbanan ini tidak disia-siakan.

Sayangnya, tidak semua orang boleh berkongsi kasih. Saat Ummi Khadeeja pasrah dengan takdir hidupnya, Syifa Umaira pula meminta sesuatu yang mustahil. Dia memaksa Amir Hudzaifa menceraikan isteri pertama.

Hancur luluh hati Ummi Khadeeja. Sanggupkah dia berpisah dengan suaminya? Tegakah dia melihat anaknya membesar tanpa ayah di sisi? Jika pengunduran ini bisa membahagiakan suaminya, dia rela berkorban sekali lagi.

RINDU AWAK 200%



Akan terbit OGOS 2013! Bila dekat tak peduli, bila jauh tercari-cari... nantikan! =)

Tajuk: Rindu Awak 200%
Penulis: Liyana Zahim
ISBN: 978-983-124-882-9
Harga: RM23.00
Halaman: 608

Zill Faezrul Iqbal - Jiwa Armel Aisya jadi nanar apabila teringat nama ini. Bersifat tenang tapi bermulut celopar sungguh menjengkelkan hati Armel Aisya. Tapi, dia tak boleh banyak bunyi. Dia sendiri yang memilih lelaki itu untuk menjadi suaminya.

Ibarat minyak dengan air, mereka tak boleh bersatu. Akibatnya rumah tangga mereka tidak pernah aman! Penyudahnya Armel ke utara, Faezrul ke selatan. Namun, semakin Faezrul tidak peduli, semakin sakit hati Armel.

Misteri Faezrul yang kejap hilang kejap ada di rumah, menimbulkan tanda tanya di kepala Armel. Mustahil seorang lelaki kampung yang bekerja sebagai juruteknik mampu memiliki kereta Range Rover Evoque!

Siapa lelaki ini? Mungkinkah dia suku sakat Jula Juli Bintang Tujuh?
Layari laman web http://www.alaf21.com.my/ untuk info terkini penerbitan Alaf 21 dan Grup Buku Karangkraf.
By: Alaf 21