Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 17 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA-BAB 36

Bab 36

FATIN ADIBA menuruni tangga dengan dada yang berdebar kencang. Dalam pada itu matanya sempat jumpa membelingas memerhatikan frame-frame gambar yang teratur kemas di dinding. Gambar-gambar itu adalah gambar Fauzan dengan anak-anaknya dalam pelbagai aksi dan gaya. Gambarnya dengan Rayzal juga ada. Melalui foto tersebut, dia melihat yang lelaki itu begitu rapat dengan dua orang puteri dan seorang puteranya.
Perasaan sedih tiba-tiba menyambar hatinya sebaik saja melihat gambar Rayzal. Anak muda itu mungkin telah melupakannya. Entah-entah kini sedang berseronok dengan Minah Saleh di Australia sana. Dia di sini yang terpaksa menelan kepahitan disebabkan keterlanjuran mereka dahulu.
“Siapa kata aku tak sayangkan kau, Fatin? Aku memang sayangkan kau. Tapi papa tentang keras hubungan kita ni. Aku... aku tak boleh buat apa-apa sebab kau tau-tau sendirilah, aku pun belum lepas dari tanggungan dia lagi. Lainlah kalau aku dah habis belajar dan dah ada pendapatan sendiri.” Keluh Rayzal apabila meminta hubungan mereka diputuskan.
“Cik Fatin, jemput ke ruang makan. Tuan dah tunggu cik lama...” sapaan Susanti membuatkan imbauan wajah bekas kekasihnya hilang dari ruang kenangan.
“Pergi mampuslah dengan tuan kau!” desisnya perlahan agar tidak didengari oleh pembantu rumah itu. Dia mengekori Susanti ke meja makan dan melihat Fauzan begitu asyik merenungnya. Dia menghenyakkan punggungnya ke kerusi dan mempamerkan wajah masam.
Susanti menyendukkan mi goreng ke pinggannya.
“Cik Fatin nak minum apa?”
“Apa-apa jelah!” sahutnya hendak tak hendak.
“Tuangkan Milo untuk Cik Fatin kita ni, Susanti.” Fauzan memberi arahan. Fatin Adiba mengherotkan bibirnya.
“Ni Milonya Cik Fatin.” Kata Susanti sambil berlalu meninggalkan mereka di meja.
Matanya dan Fauzan berlaga. Lelaki itu yang telah kelihatan kemas, mungkin sudah bersiap untuk ke pejabat, sengih memanjang ke arahnya. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati.
“Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?” soalnya.
“Kalau ya pun, minumlah dulu.” Pujuk Fauzan.
“Aku tak selera nak minum selagi kau tak jawab soalan aku tadi. Kenapa kau bawa aku balik ke rumah kau ni?”
“Saya ambil berat tentang awak, Fatin. Mungkin awak nak tahu kenapa saya ambil berat tentang awakkan? Sebabnya ialah Zulaika. Saya cukup kesian dengan dia. Selepas awak keluar dari rumahnya, dia datang pada saya dan merayu-rayu nak tahu di mana awak tinggal. Dia masih menyayangi awak walaupun kelakuan awak...”
“Cukup... cukup! Kau masih tak puas-puas nak menghina aku?”
“Fatin, saya tak bermaksud begitu. Saya bawa awak pulang untuk menyelamatkan awak daripada terus terlanjur. Setiap orang harus tahu jalan pulangnya, Fatin. Kalau kakak tiri awak sentiasa berfikiran positif yang suatu hari kelak awak akan berubah, kenapa saya harus bersikap negatif terhadap awak?”
“Kau... kau nak menyelamatkan aku?” Fatin Adiba terjerit. Bulat matanya memandang wajah Fauzan, bekas bosnya yang telah memecatnya dahulu.
“Ya, saya nak menyelamatkan awak. Banyak keburukannya kalau awak masih bekerja di kelab tu, Fatin. Tengoklah diri awak malam tadi... awak mabuk dan telan pil khayal.”
“Hey, orang tua! Kau yang menyebabkan aku jadi macam tu, tau tak? Kau yang pecat aku dulu, kau dah lupa ke?”
Fauzan menggeleng-gelengkan kepalanya. “Kalaupun saya dah pecat awak, kerana silap awak juga, Fatin. Bukankah saya dah ingatkan awak agar jauhkan diri daripada Ray? Dia masih belajar lagi. Saya sebagai papa Ray mahukan dia berjaya dalam pengajiannya. Lepas tu saya tak kisah kalau dia nak bercinta ke... nak kahwin ke dengan sesiapa aje yang dia suka.”
“Anak kau, kau hantar ke luar negara. Aku kau pecat ya? Banyak cantik!” Fatin Adiba mendengus.
“Kalau awak setuju saya nak ambil awak bekerja dengan saya balik. Macam mana?” kata-kata lelaki di hadapannya membuatkan Fatin Adiba terdiam seketika. Fauzan sengih memanjang. “Macam mana? Awak setuju tak nak kerja dengan saya?”
“Kerja apa?”
“Jadi isteri saya.”
“What!” nyaris-nyaris dia tercekik mi goreng yang sedang dikunyahnya.
Lelaki di hadapannya tergelak kecil. “Ya, saya serius ni. Saya nak melamar awak sebagai isteri saya, tu pun kalau awak setuju.”
Fatin Adiba ternganga.

MEREKA bersalaman.
“Silakan duduk, Ika.” Pelawanya. Zulaika tersenyum nipis lalu melabuhkan punggungnya di kerusi. Dia turut menarik sebuah kerusi lain lalu duduk di hadapan isteri muda itu. “Apa tujuan Ika nak jumpa Kak Ju ni?”
“Maaflah kalau kedatangan Ika ni mengganggu kerja Kak Ju...”
“Isy, taklah! Kak Ju pun seronok juga Ika datang ni sebab Ika tak pernah singgah lagi ke galeri Kak Ju ni kan?” dipandangnya wajah isteri muda yang cuba sedaya upaya untuk kelihatan tenang di hadapannya itu. Hakikatnya dia tahu hati isteri muda itu sedang berkocak hebat.
Zulaika mengangguk.
“Ya, Ika belum lagi pernah singgah ke galeri Kak Ju ni. Ika kagum tengok lukisan-lukisan yang Kak Ju lukis ni, cukup cantik!”
Intan Juliana tersenyum.
“Terima kasih.”
“Kak Ju, sebenarnya Ika datang ni, bersebab.” Ujarnya dan wajahnya kelihatan benar-benar gelisah.
Intan Juliana mengangguk. “Teruskan dengan apa yang Ika nak katakan pada Kak Ju. Kalau tak ada alasan yang kukuh takkan Ika singgah ke galeri Kak Ju ni kan?”
“Err... Ika nak Kak Ju berterus-terang dengan Ika, apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kami berkawan baik. Ika sendiri dah lama tahukan tentang ni?”
“Betul ke apa yang Kak Ju cakapkan ni? Atau Kak Ju menyimpan sesuatu rahsia daripada Ika? Ika minta Kak Ju berlaku jujur dengan Ika. Ika takkan marah pada Kak Ju mahupun Abang Yusuf. Cuma tolonglah berterus-terang. Ika dah tak tahan lagi hidup macam ni, Kak Ju!” dan air matanya menitis juga dari takungan. Air mata seorang isteri yang tertanya-tanya tentang hubungan suaminya dengan seorang perempuan yang kini sedang berada betul-betul di hadapannya.
“Ika tahu Kak Ju seorang perempuan yang istimewa. Kak Ju juga seorang perempuan yang ada rupa, berpelajaran tinggi dan banyak duit. Kak Ju ada segala-galanya yang diimpikan dalam hidup ni sedangkan Ika... Ika hanya ada Abang Yusuf. Cuba Kak Ju fikir apa akan jadi pada Ika kalau ditakdirkan Ika kehilangan Abang Yusuf.”
Dan air mata seorang isteri yang goyah statusnya di sisi suami, semakin melebat lantas melemaskan hati Intan Juliana yang memandang. Wajah lelaki yang menjadi rebutan mereka berdua bertandang di ruang mata... pada renungannya, senyumannya dan bicara mesranya. Intan Juliana tak dapat membayangkan keadaannya kalau terpaksa berpisah dengan renungan, senyuman dan bicara mesra lelaki itu. Dia juga tahu wanita di hadapannya juga berada dalam situasi yang sama dengannya.
Alangkah malangnya kerana ditakdirkan mencintai lelaki yang sudah beristeri. Dan lebih malang lagi kerana saingannya adalah perempuan sebaik Zulaika!
“Apa salahnya mencintai suami orang, Ju? Bukankah Islam menghalalkan poligami?” kata-kata yang pernah diucapkan oleh Uncle Johannya menyapa ke ruang fikir. Sejak lelaki itu mengetahui isi hatinya yang mendalam terhadap Yusuf Hakimi, dia seolah-olah sengaja menggalakkannya untuk menjadi isteri lelaki itu. Memang betul, hidup bermadu dihalalkan oleh agama tapi persoalannya sanggupkah seorang isteri yang masih muda dan cukup cantik seperti Zulaika hidup berkongsi kasih?
“Kenapa Kak Ju diam? Susah sangat ke nak jawab soalan Ika ni?” Zulaika mendesak pada sebuah jawapan. “Apa hubungan sebenar Kak Ju dengan Abang Yusuf?”
“Kak Ju dengan dia hanya kawan.” Sahutnya.
“Betul ke ni, Kak Ju? Atau Kak Ju sengaja berselindung sebab nak jaga hati Ika?”
Intan Juliana mengangguk. “Percayalah! Bukankah Yusuf adalah milik Zulaika?” tingkahnya sambil meramas jari-jemari perempuan itu.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 35

Bab 35

YUSUF HAKIMI rasa bersalah yang amat sangat pada isterinya. Dia tahu tindakannya yang seolah-olah menjauhkan diri daripada Zulaika telah membuatkan isterinya menjeruk rasa. Benarkah dia berbuat begitu semata-mata kerana marahkan Zulaika yang telah melanggar larangannya daripada bertemu dengan Fatin Adiba, adik tiri isterinya yang rosak akhlak itu?
Yusuf, dia atau kau sebenarnya yang rosak akhlak? Cuba kau renung dalam-dalam nun jauh ke sudut hatimu... wajah siapakah yang telah mula bertapak di sana? Benarlah seperti yang dikatakan oleh Taufik, temanmu itu bahawa rasa kasihan seorang lelaki terhadap lawan jenisnya adalah seumpama api dalam sekam. Amat berbahaya! Rasa kasihan yang akhirnya bertukar menjadi rasa kasih.
Yusuf, kenapa kau harus kasihan pada perempuan itu sedangkan isterimu, wanita yang selama ini paling hampir denganmu seharusnya lebih dikasihani daripada orang lain? Dia anak yatim piatu. Kau adalah dambaannya. Kau adalah pelindungnya selama ini. Hatinya akan hancur kalau kau tega menduakannya.
Apakah yang seharusnya aku lakukan? Yusuf Hakimi meraup rambutnya. Hatinya kusut. Dia sendiri tidak tahu bilakah masanya dia mula jatuh hati pada Intan Juliana.
Dengan rasa bersalah dia merapatkan tubuhnya ke tubuh Zulaika. Dia tahu sejak beberapa bulan ini dia tak berlaku adil pada isterinya yang telah mencuba sedaya upaya untuk menjadi isteri yang terbaik di sisinya. Zulaika telah banyak berkorban untuknya. Selama ini dia banyak bersabar dengan kerenah mama yang tak pernah menyukai dirinya.
“Ika, abang tahu abang salah. Abang minta maaf pada Ika.” Dia berbisik ke telinga Zulaika yang baring mengiring, memberi punggung padanya.
Zulaika berpaling lalu mengadap wajahnya. Di dalam samar-samar cahaya lampu bilik tidur itu mata mereka bertaut. Dia merapatkan tubuhnya ke sisi suaminya. Ketika itu mulut jadi bisu dan kata-kata tak perlu diluahkan lagi.
Setengah jam kemudian dia terbaring lesu dalam pelukan suaminya.
“Bang...”
“Hmmm...” lembut jemari Yusuf Hakimi menyentuh rambutnya.
“Abang cintakan dia?”
“Huh? Apa yang Ika cakapkan ni? Abang cintakan siapa?”
“Kak Ju... abang cintakan dia?” Zulaika mengulangi soalannya. Kali ini lebih detail. Jantung Yusuf Hakimi bagaikan hendak gugur.
“Apa yang Ika mengarut ni? Dahlah, kita tidur ya, sayang.” Dia memujuk dengan harapan agar Zulaika tidak membangkitkan lagi persoalan itu.
“Jawablah soalan Ika, bang. Hati Ika takkan tenang selagi abang tak jawab soalan tu.”
“Mengarutlah Ika ni! Kan Ju tu kawan abang. Ika juga tahu kan abang dah berkawan dengan dia sebelum abang kenal dengan Ika lagi. Kalau abang ada perasaan pada dia dah tentulah abang kahwin dengan dia, bukannya dengan Ika. Tapi siapa yang berada di sisi abang sekarang? Ika kan? Siapa yang beri keseronokan pada abang tadi? Ika kan?”
“Betul ke ni bang?”
“Ya, sayang...” Yusuf Hakimi memagut bibir isterinya dengan harapan agar persoalan tentang Intan Juliana akan mati di situ. Tangannya mula menjalar ke dada isterinya yang terdedah membuatkan Zulaika menggeliat kegelian. Dinihari itu dia berjaya memperdayakan Zulaika disamping menaklukinya untuk kali kedua.

“IKA ada jumpa Fatin lagi ke?” soalnya ketika sedang mengadap sarapan pagi yang telah tersedia di atas meja.
“Tak ada, bang. Kenapa?”
“Abang dah fikir masak-masak. Abang takkan halang Ika daripada berjumpa dengannya. Lagipun dia adik tiri Ika juga kan? Tapi abang minta satu aje, abang belum bersedia nak benarkan dia datang ke rumah ni.” Kata-kata Yusuf Hakimi itu membuatkan Zulaika tersenyum lebar.
“Terima kasih, bang, kerana memahami Ika. Kalau abang keberatan, Ika takkan benarkan dia masuk ke rumah ni.”
“Kalau Ika nak jumpa dia, jumpalah di tempat lain ya. Tunggu hati abang ni sejuk dulu.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil menarik Zulaika ke atas ribaannya. “Sayang nak ikut abang naik atas tak?” usiknya.
“Buat apa naik atas?”
“Naik atas katillah!”
“Isy, abang ni! Macamlah hari ni hari cuti.” Bidasnya membuatkan Yusuf Hakimi tergelak lantang.

FATIN ADIBA terbangun dan mendapati dirinya sedang terbaring di dalam sebuah bilik yang cukup asing. Kepalanya berdenyut-denyut. Dia tidak ingat apa yang berlaku pada dirinya malam tadi bahana pil khayal dan minuman memabukkan yang ditunggang ke mulutnya.
Pintu bilik terkuak. Seorang pembantu rumah warga Indonesia melangkah masuk.
“Cik dah bangun? Kalau nak mandi, tu ada tualanya. Sebentar lagi saya bawakan sarapan ya.”
“Eh, engkau ni siapa, hah?”
“Oh ya, saya lupa memperkenalkan diri. Nama saya Susanti, orang gaji di rumah ni.”
“Eh, aku kat mana ni? Siapa pemilik rumah ni?”
“Cik dah lupa? Err... tak apalah, cik, sekejap lagi tuan saya akan naik tengok keadaan cik.” Kata Susanti sambil melangkah keluar.
Dia melompat turun dari katil. Dia benar-benar keliru dan tidak ingat langsung siapakah yang telah membawanya pulang malam tadi. Dia menyumpah-nyumpah dalam hati. Dia menoleh ke arah tubuhnya yang lengkap berbaju tidur. Sekurang-kurangnya dia tahu yang dirinya tidak diapa-apakah oleh lelaki yang telah membawanya pulang.
Dia bergegas mencapai tuala lalu menuju ke bilik air. Dia mahu mandi dan membasahkan kepalanya untuk menghilangkan pening-pening lalatnya. Lima belas minit kemudian dia melangkah keluar dalam keadaan berkemban.
“Kau?” sergahnya ke arah seorang lelaki yang kelihatan tenang merenung tubuhnya.
“Apa dah jadi dengan awak ni, Fatin? Awak nak jadi perempuan jahat pulak dengan bekerja di kelab dangdut tu?” senyuman yang berlegar-legar di bibir lelaki itu ketika menelanjangi tubuhnya dengan renungannya membuatkan Fatin Adiba menyumpah-nyumpah dalam hati.
“Siapa yang buat aku jadi macam ni, kalau bukan kau! Kau yang dah buang aku kerja dulu, kau tak ingat ke?” sergahnya dengan suara separuh menjerit.
Lelaki di hadapannya sengih. “Oh, ye ke? Sorry, saya lupalah.”
“Pergi mampuslah dengan kau!” tempik Fatin Adiba. “Yang kau bawak aku balik rumah kau ni, kenapa?”
“Awak tak ingat ke, Fatin, bukankah awak yang setuju nak ikut saya balik malam tadi?” Senyuman yang berlegar-legar di bibir lelaki itu membuatkan Fatin Adiba semakin meluat memandangnya. “Hmmm... awak dah lupa ke? Agaknya awak telan pil khayal banyak sangat malam tadi kut, tu sebabnya awak lupa. Fatin, kenapa awak terpesong jauh macam ni? Saya cukup sedih tengok keadaan awak kat kelab tu, tau tak. Awak tak terfikir ke perasaan kakak tiri awak kalau dia tahu keadaan awak ni?”
“Apa kau peduli? Semua ni salah kau. Kau yang pecat aku dulu. Siapa kau nak nilai aku baik ataupun tak?” Fatin Adiba terjerit sambil melompat-lompat bagaikan budak kecil yang merajuk dengan ibunya. Dia kemudiannya kelam-kabut apabila tuala yang dipakainya nyaris-nyaris lagi melurut dari tubuh. Lelaki di hadapannya hanya tersengih-sengih memandang.
“Saya rasa elok awak pakai baju dulu. Saya tunggu awak di bawah untuk sarapan bersama.” Ujar Fauzan sambil melangkah meninggalkan Fatin Adiba bersendirian di bilik itu.

HATINYA tak juga berjumpa tenang. Walaupun setelah dinafikan oleh Yusuf Hakimi, dia masih berasa ragu. Kalaupun hendak mempercayai, jangan sesekali mempercayai seratus peratus, desis hatinya.
Wajah Intan Juliana terbayang-bayang di ruang matanya. Dari dulu lagi dia cuba untuk menangkis rasa cemburu yang bertapak di hatinya terhadap wanita itu – wanita yang menjadi teman baik suaminya – tapi tetap juga gagal. Kini syak wasangkanya terhadap hubungan sebenar di antara mereka semakin memuncak.
Dia tidak tahu apakah suaminya bercakap benar dengannya lewat malam tadi. Tapi dia harus mendapatkan sendiri kepastian daripada siapa lagi kalau bukan Intan Juliana. Ya, dia harus bersemuka dengan ‘teman baik’ suaminya itu.
Setelah Yusuf Hakimi berangkat ke tempat kerja, dia segera bersiap-siap.
“Kak Ju, ni Ika...” katanya di corong telefon.
“Ya, Ika, apa halnya pagi-pagi dah telefon Kak Ju ni?”
“Emmm... Ika nak jumpa Kak Ju. Pukul berapa Kak Ju akan berada di galeri?”
“Err... apa hal Ika nak jumpa Kak Ju?”
“Adalah halnya tapi Ika tak boleh cakap dalam telefon. Pukul berapa Kak Ju nak ke galeri?” dia mendesak.
“Err... apa kata kalau kita jumpa dalam pukul sepuluh.”
“Okeylah Kak Ju, kita jumpa kat sana ya. Assalamualaikum.” Dia segera meletakkan telefon lalu menoleh ke arah jam di dinding. Jarum jam menunjukkan tepat ke pukul sembilan pagi.

YUSUF HAKIMI naik pelik melihatkan renungan yang dilemparkan oleh Intan Juliana ke arahnya. Dikenyitkan matanya ke arah wanita itu.
“Apa halnya ni?” dia menyoal.
“Tahu tak siapa yang baru aje call I tadi?”
“Siapa?”
“Your wife.”
Ada riak terkejut pada wajah lelaki di hadapannya. Dan juga gusar!
“Kenapa dia call you? Apa yang dia nak?”
“Dia nak jumpa I kat galeri.”
“Habis... you setuju?”
“Mestilah! Takkan I nak menolak pula.”
“Tapi kenapa dia nak jumpa you?”
“Hey, you ni! Manalah I tau.” Sahut Intan Juliana. Yusuf Hakimi mencapai Nescafe tariknya lalu menyisipnya perlahan-lahan.
“I tahu kenapa dia nak jumpa you, Ju. Dia syak yang kita ada hubungan istimewa.”
“What? Apa maksud you?” mata Intan Juliana terbeliak.
“I dengan dia dah lama juga perang dingin disebabkan oleh adik tirinya tu. Malam tadi bila I balik ke rumah dia confront dengan I tentang hubungan kita. Lepas tu, dia tanya apakah I cintakan you...”
“Habis tu, you jawab apa?”
“Dah tentulah I nafikan! Kan kita hanya kawan biasa, Ju. Entah siapalah yang racun hati dia agaknya sehingga timbul syak wasangka di hatinya terhadap kita berdua.” Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya sambil menyisip sedikit minumannya yang masih panas. “Agaknya... ni mesti kerja Si Taufik.”
Intan Juliana hanya mendiamkan diri.

Sabtu, 15 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 34

Bab 34

KE MANAKAH perginya kehangatan asmara yang pernah terjalin di antara Yusuf dan Zulaika? Ke manakah menghilangnya cinta yang dulunya menggebu-gebu di antara mereka berdua?
Dia sudah tak mampu menanggung bebanan perasaan itu lagi. Walau apapun natijahnya, dia harus bersemuka dengan suaminya. Apabila difikir-fikirkan semula, rasa kesal menghentam lumat tangkai hati – kesal kerana ‘membawa’ Fatin Adiba ke rumah itu dahulu walaupun dia cukup tahu yang suaminya tak pernah menyenangi adik tirinya itu. Tapi, seperti biasa rasa kesal hanya datang kemudian. Tak guna dia asyik menyalah-nyalah dirinya sendiri sedangkan suaminya semakin menjauh dari dirinya.
Dia telah bertekad malam itu dia akan bersemuka dengan Yusuf Hakimi. Dia ingin menjernihkan semula hubungan di antara mereka berdua. Takkanlah lelaki itu begitu kejam untuk menyeksanya sebegini lama?
Cukup lama dia menunggu namun suaminya tak pulang-pulang juga. Kalau dulu suaminya jarang pulang lewat ke rumah, tapi kini kelewatan itu seolah-olah telah menjadi rutin hariannya. Kalau dulu tiap kali pulang lewat, Yusuf Hakimi pasti akan memaklumkan padanya terlebih dahulu, tapi kini telefon yang tercatuk di ruang tamu seolah-olah segan hendak berbunyi. Malah, hendak menghantar mesej ke telefon bimbitnya pun Yusuf Hakimi langsung tak peduli!
Dunianya yang sepi, kini semakin sunyi. Dia perlukan suaminya di sisi. Di saat-saat kesunyian mencengkam hebat, keinginan untuk ditemani oleh seorang bayi semakin menjadi-jadi. Mungkinkah ketiadaan cahayamata dalam rumah tangga mereka menjadi faktor kenapa Yusuf Hakimi semakin menjauhkan diri darinya?
Semasa dia sedang leka membilang angan-angan, telefon di ruang tamu tiba-tiba berdering. Terkejut beruk dia dibuatnya. Dia segera mengangkat telefon lalu memekapkannya ke telinga.
“Assalamualaikum.” Lembut suaranya memberi salam.
“Waalaikumussalam.” Atika Ayuni menyahut di hujung talian. “Kau buat apa tu, Ika? Belum tidur lagi?” soalnya yang mengambil keputusan untuk menelefon Zulaika setelah terkebil-kebil kerana tak dapat melelapkan matanya.
“Belum.” Sahut Zulaika.
“Eh, orang yang dah kahwin pun lambat tidur ya? Selalunya malam-malam Jumaat macam ni, pasangan suami isteri masuk kamar tidur awal sikit!” Atika Ayuni mengusik.
“Tak semestinya...”
“Apa maksud Ika? Suara Ika ni macam orang sedang bersedih je?”
“Tak adalah, Ayu. Jangan buat andaian yang bukan-bukan. Tak semestinya bila tiba malam Jumaat je suami isteri akan bersama. Malam-malam lain kan ada!”
“Tapi orang kata malam Jumaat malam yang istimewa bagi pasangan suami isteri.”
“Isy, Ayu ni... bercakap melebihkan orang yang dah kahwin!” tempelak Zulaika. Atika Ayuni mengilai di hujung talian. “Ha, dah start nak mengilai pulak malam-malam Jumaat ni. Ika dengar pun naik meremang bulu tengkuk.”
“Aleh, Abang Yusuf ada kat sebelah takkan seram juga kut?” desis Atika Ayuni.
“Dia tak ada, belum balik lagi.”
“Huh, dah dekat nak pukul dua belas tengah malam pun suami kau belum balik-balik, Ika? Selalu ke Abang Yusuf balik lambat?”
“Entahlah, Ayu. Dia ada kerja agaknya.”
“Dia tak call?” Atika Ayuni menunggu beberapa ketika. Apabila Zulaika masih mendiamkan diri dia bertanya lagi, “selalu ke dia balik lambat macam ni Ika?”
“Dulu dia tak pernah macam ni, Ayu. Kalau ada kerja sekalipun dia pasti akan call ke rumah ataupun hantar SMS beritahu Ika yang dia lambat balik. Tapi sejak akhir-akhir ni... Entahlah Ayu, Ika rasa Abang Yusuf masih marahkan Ika sebab hal Si Fatin dulu tu!”
Atika Ayuni mengeluh.
“Betul ke sebab Fatin buat hal dia berubah sikap? Ataupun sebenarnya ada hal lain yang buat dia jadi macam tu?”
“Apa maksud Ayu?”
Atika Ayuni mengeluh lagi. “Ika tak terfikir ke kewujudan orang ketiga dalam rumah tangga Ika?”
“Ika tak fahamlah, cuba Ayu berterus terang dengan Ika.”
“Ayu tak tahulah sama ada nak beritahu Ika hal ni ataupun tak...”
“Dah terlanjur tu, cakap ajelah Ayu. Insya-Allah Ika dapat terima apa aje yang mendatang. Apa sebenarnya yang Ayu nak bagitau Ika ni?” desaknya.
“Macam ni, Ika, dua hari lepas Ayu ada jumpa Abang Taufik. Dia kata suami kau sekarang ni kelihatan rapat sangat dengan sorang pompuan bernama Intan Juliana. Abang Taufik syak yang mereka berdua ada hubungan intim. Bila Abang Taufik persoalkan hubungan mereka yang nampak mesra tu, suami kau marah dan nafikannya. Dia kata dia dengan pompuan tu hanya kawan. Dia kesian dengan pompuan tu yang baru aje kematian ibunya. Entahlah Ika... Ayu pun sebenarnya dah langgar janji Ayu pada Abang Taufik supaya rahsiakan hal ni daripada pengetahuan kau.”
Jantung Zulaika bagaikan hendak gugur. Dia cuba menahan air mata yang hendak melurut keluar dari takungannya. Dia malu kalau esakannya kelak didengari oleh Atika Ayuni.
“Ika... kau okey ke?”
“Emm... Ika okey. Ayu janganlah risau. Err... Ika dengar macam bunyi enjin kereta masuk tu, agaknya Abang Yusuf dah balik. Ika minta diri dulu ya, Ayu. Assalamualaikum.” Dan tanpa menunggu salamnya disahut, dia terus meletakkan telefon ke gagangnya.
Yusuf Hakimi melangkah masuk dan terkejut melihat Zulaika sedang duduk sendirian di ruang tamu. Pandangan mereka berlaga. Dia cuba tersenyum pada isterinya tapi senyuman yang dibuat-buat nyata hambar dan hilang serinya.
“Ika tak tidur lagi?”
“Belum, Ika tak dapat tidur. Abang dari mana sebenarnya ni?”
“Abang jumpa kawan...”
“Jumpa kawan? Selalunya kalau abang balik lambat atau jumpa kawan sekalipun, abang tak pernah lupa untuk beritahu Ika. Kenapa sekarang ni abang dah berubah?”
“Ya, abang tahu abang salah sebab tak inform Ika yang abang nak balik lambat malam ni, macam juga Ika yang sanggup menipu abang untuk jumpa dengan adik tiri Ika yang tak bermaruah tu!” hentak Yusuf Hakimi dengan nada kasar.
“Isy, abang ni! Sejak bila abang belajar berdendam dengan isteri abang sendiri? Berapa puluh kali abang nak Ika minta maaf dengan abang? Atau abang nak Ika sujud di kaki abang baru abang nak maafkan kesalahan Ika tu?” tempelak Zulaika. “Okey, kalau itu yang abang mahukan Ika boleh sujud di kaki abang sekarang!” dengan air mata yang bercucuran di pipi dia merebahkan badannya, hendak mencium kaki suaminya. Yusuf Hakimi terkejut lalu segera berundur ke belakang.
“Ika!” desis Yusuf Hakimi. Dia menjauhkan dirinya daripada Zulaika lalu berdiri di tepi tingkap.
Tika itu tangisan Zulaika sudah memenuhi ruang tamu...

DIA menghampiri gadis yang sedang khayal itu. Entah kerana mabuk setelah meneguk minuman keras ataupun kesan pil perangsang yang ditelannya. Fatin Adiba bagaikan tidak berada di alam nyata lagi. Dia telah terbang ke alam fantasi yang diciptanya sendiri.
“Saya mahu dia temankan saya malam ni.” Katanya sambil menghulurkan beberapa keping wang kertas pada pengurus kelab itu yang kelihatan tersenyum lebar setelah mengetahui jumlah wang yang dihulurkan padanya.
“Pandai-pandailah you nak pujuk dia.” Tingkahnya. Dia hanya mengangguk.
Fatin Adiba yang sedang leka menari itu dihampiri. Dia memeluk pinggangnya dari belakang dan gadis itu tidak menolaknya, malah memusingkan badannya lalu membalas pelukannya dengan manja. Mereka tenggelam dalam irama yang mengasyikkan.
“Apa kata awak ikut saya keluar dari sini?” dia memujuk.
“Ke mana kau nak bawak aku? Ke syurga? Kalau ke syurga, aku nak ikut...” rengeknya.
Dia ketawa. “Ya, aku akan bawa kau ke syurga. Tu pun kalau kau mahu.”
“Ya... ya... aku nak ikut! Aku nak ke bulan, ke bintang... boleh kau bawa aku ke sana?”
“Ya, boleh!”
“Hmmm... kita nak naik apa kalau nak ke sana?”
“Naik roketlah, naik apa lagi.” Sahutnya. Fatin Adiba ketawa mengilai.
“Kau dah tak bencikan aku lagi? Dulu bukan main lagi kau bencikan aku.”
“Tak, aku tak pernah bencikan kau. Malah, aku dah mula tertarik hati dengan kau di saat pertama kita bertentang mata.”
Fatin Adiba senyum meleret lalu menggeselkan payudaranya yang separuh terdedah itu ke tubuhnya. Naluri kelelakiannya diransang hebat. Dia sudah tidak sabar hendak mengheret gadis itu keluar dari dewan dansa tersebut.
“Jom, kita keluar dari sini.” Akhirnya Fatin Adiba menyatakan persetujuannya.
Fauzan tersenyum senang. Dia memapah gadis itu keluar dari ruang yang bingit dengan muzik tersebut.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 33

Bab 33

“SUF, ibu... ibu...” suara sebak yang terlontar dari bibir Intan Juliana di awal pagi itulah yang membuatkan Yusuf Hakimi bergegas mencapai kunci kereta tanpa sempat menjamah mihun goreng yang terhidang di atas meja.
“Bang! Nak ke mana tergesa-gesa tu?” jeritannya tak diendahkan. Zulaika yang pelik melihatkan kelakuannya yang tergocoh-gocoh setelah mendapat satu panggilan telefon itu, terkejar-kejar mengekorinya. “Bang!” jeritnya lagi. Tapi Yusuf Hakimi sudahpun masuk ke dalam perut keretanya.
Zulaika menyisih ke tepi. Dalam keadaan suaminya yang seolah-olah tidak menyedari kehadirannya itu, dia perlu menyisih ke tepi bimbang kalau-kalau disodok oleh kereta suaminya sendiri.
Yusuf Hakimi memandu laju ke destinasi. Siti Asiah membukakan pintu dan membenarkannya masuk.
“Cik Ju mana?” dia menyoal. Pembantu rumah itu menudingkan jarinya ke tingkat atas. “Katakan padanya saya datang ya.” Dia meminta. Siti Asiah hanya mengangguk.
Seketika kemudian Intan Juliana muncul. Yusuf Hakimi hanya memandang tatkala temannya itu menuruni tangga dan terus meluru ke dalam dakapannya. Air matanya yang hangat hinggap ke dada Yusuf Hakimi.
“Shhh...” desisnya sambil membelai rambut Intan Juliana.
“Suf, I cukup tak sangka bila Uncle Johan telefon I jam lima pagi tadi untuk beritahu I tentang... tentang...” dia tak dapat meneruskan kata-katanya. Tangisannya bergema semula, kali ini dalam dakapan Yusuf Hakimi. “Jantungnya berhenti berfungsi secara tiba-tiba. Ibu... ibu dah tak ada, Suf! Ibu dah tak ada!”
“Ju, sabarlah. Semua ni dah takdir.” Dia memujuk.

BENGKEK! Itulah yang dirasai oleh Zulaika kalau ada sesiapa yang bertanyakan keadaannya pagi itu. Tapi dia tahu takkan ada sesiapa yang akan bertanya padanya soalan sebegitu rupa kerana dia hanya tinggal sendirian di rumah. Tak ada siapa yang akan melihat mimik wajahnya.
Sejak peristiwa memalukan yang dicipta oleh Fatin Adiba, Yusuf Hakimi seolah-olah hambar dengannya. Puas sudah dia merayu-rayu agar dimaafkan oleh suaminya tapi nampaknya lelaki itu seolah-olah menyimpan dendam dengannya. Kenapa suaminya sanggup memperlakukannya sebegitu rupa?
Kalau dahulu, lelaki itu sering mahu dibelai dan dimanja. Dahulu, Yusuf Hakimi suka menyakatnya; gurau sendanya menghiasi kesunyian rumah besar itu. Tapi kini segala gurau senda dan kemanjaan seorang suami terhadap isterinya bagaikan hanya tinggal memori. Ya, lelaki itu tetap melayannya sebagai seorang isteri tapi ‘semangat cinta yang membara di antara Zulaika dan Yusuf’ bagaikan telah hilang di antara mereka berdua.
“Ya Allah, kembalikanlah semula rasa cinta yang membara itu dalam rumah tanggaku!” dia mengangkat tangannya dengan linangan air mata.
Hanya kepada-Nyalah dia mengadu kerana tiada siapa yang tahu masalah yang sedang melanda hidupnya. Dan dia juga bukanlah seperti sesetengah orang yang kalau ada masalah dengan pasangan akan segera mencari orang lain untuk mengadu hal.

“KAU ni aku tengok makin rapat dengan Intan Juliana tu, ada apa-apa ke?” soal Taufik membuatkan Yusuf Hakimi merenungnya dengan tajam.
“Kenapa? Salahkah kalau aku bersimpati dengannya? Ibunya baru aje meninggal dunia dan dia sedang bersedih.” Dia membela dirinya.
Taufik hanya tersenyum sambil mengangguk perlahan. Simpati? Jawapan yang cukup klise, desis hatinya. Bukan dia tak tahu betapa kerapnya lelaki itu mengunjungi Intan Juliana tak kiralah sama ada di galeri lukisan mahupun di banglonya yang tersergam itu? Dia sebagai lelaki cukup arif betapa rasa simpati bila-bila masa saja akan bertukar menjadi cinta. Apapun Yusuf Hakimi dan Intan Juliana tetap manusia. Dan sebagai manusia berlainan jantina mereka tetap dibekalkan dengan nafsu dan keinginan.
“Baik kau berjaga-jaga, Suf. Kalau kau bujang aku tak kisah, tapi kau dah beristeri. Jangan persiakan isteri kau. Aku bukannya nak jaga tepi kain orang tapi sebagai kawan, aku cuma nak mengingatkan aje...”
“Hey, Taufik! Kau jangan cuba nak berlagak pandai dengan akulah. Kau tu dulu apa kurangnya, sampaikan kekasih aku pun kau sanggup goda!” Yusuf Hakimi melontarkan suaranya dengan agak keras.
Taufik hanya sengih. Dia tahu pasti lelaki itu akan mengungkit kisah silam mereka semasa menuntut di universiti dahulu. Manusia memang sukar menerima kritikan walaupun yang membina.
“Sorrylah kalau kata-kata aku tadi dah menyakitkan hati kau. Okeylah, Suf, I got to go. Kalau lambat nanti merajuk pulak Si Ayu tu.” Taufik segera berlalu meninggalkan Yusuf Hakimi.

“TAK BAIK kita berburuk sangka, bang.” Kata Atika Ayuni. Dia menjadi risau setelah mendengar cerita dari mulut bakal suaminya itu. Wajah Zulaika yang polos terbayang di ruang hatinya. Bagaimana nasib Zulaika kelak kalau benarlah seperti apa yang diceritakan oleh Taufik sebentar tadi? Dia jadi gerun memikirkan segala kemungkinan itu.
“Entahlah, Ayu... abang pun risau sebenarnya. Memang dulu abang ada ramai teman wanita tapi tu sebelum abang berkahwin. Tapi abang ni lelaki juga Ayu, tak boleh nak dabik dada, tak pasal-pasal nanti Tuhan terbalikkan hati kita, habis cerita!” tingkahnya sambil tergelak kecil melihatkan reaksi tunangnya.
“Abang jangan nak ulang sikap playboy abang dulu. Ayu tak rela!” Atika Ayuni mengingatkan.
“Insya-Allah abang takkan ulanginya.”
“Cantik ke perempuan tu, bang?”
“Intan Juliana? Hmmm... cantik!”
“Kalau dibandingkan dia dengan Ika, siapa yang lebih cantik?”
“Kenapa Ayu tanya macam tu?”
Atika Ayuni mengerutkan keningnya yang hitam lebat. “Saja nak tau.” Sahutnya.
“Ika lagi cantik. Lagipun dia masih muda.” Sahut Taufik.
“Hmmm... kalau macam tu, takyah risaulah, bang. Siapa yang lebih cantik, dialah yang menang! Zulaika tu cantik orangnya, bang. Dahlah cantik, baik hati pulak tu. Pompuan tu, dahlah tak cantik, dah tua pulak tu! Bodohlah Abang Yusuf kalau buat hal dengan dia.” Senang dan ringkas saja ulasan yang terkeluar dari mulut Atika Ayuni membuatkan Taufik terkerisin.
“Tapi Ayu kena ingat juga, cinta tak semestinya berputik berdasarkan pada paras rupa.”
“Huh, apa lagi yang kurang pada Ika tu, bang? Bagi Ayu, dia sempurna. Sebagai seorang wanita, dia ada segala-galanya yang patut dimiliki oleh seorang wanita, paras rupa ada... budi pekerti pun ada. Dia pandai memasak, rajin kemas rumah. Walaupun dia tak bekerja pejabat macam orang lain, tapi kalau setakat nak beli coli atau seluar dalam, dia ada pendapatan sendiri yang diperolehinya dari kerjanya sebagai penulis novel. Malah, Ayu yang yang kerja pejabat ni pun pernah sesak dan pinjam duit dari dia tau, bang!” beria-ia dia membela Zulaika.
“Yelah, sayang. Abang tak nafikan kata-kata Ayu tu. Mungkin abang yang tersilap tafsir agaknya. Mungkin memang betul antara Yusuf Hakimi dengan Intan Juliana tu, hanya teman biasa aje. Kita fikir yang baik-baik ajelah ya, Ayu. Hmmm... Ayu kena ingat nasihat abang ni, hal ni habis antara kita berdua aje. Jangan sampai ke telinga Ika pulak.” Taufik mengingatkan tunangnya. Risau juga dia kerana telah terlepas cakap dengan tunangnya tentang hal tersebut.
Atika Ayuni angguk tidak, geleng pun tidak!

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 32

Bab 32

DIHENTAM rasa bersalah kerana telah berbohong dengan suaminya, dia menyediakan hidangan kegemaran lelaki itu iaitu sup tulang dan sambal sotong. Selepas mengerjakan solat Maghrib, dia turun ke ruang tamu dan menunggu kepulangan suaminya.
Jarum jam terus bergerak. Namun wajah Yusuf Hakimi tidak juga kelihatan. Selalunya paling lewat sekalipun dia akan tiba di rumah lebih kurang jam lapan setengah malam. Kalau lebih lewat daripada itu dia akan menelefonnya untuk memberitahu tentang kelewatannya. Tapi malam itu berlainan sama sekali. Bayang Yusuf Hakimi tidak juga muncul-muncul walaupun jarum jam telah menunjukkan ke angka sembilan.
Dada Zulaika bergemuruh dengan debaran. Apakah yang menyebabkan kelewatan itu? Jam sembilan setengah malam kedengaran bunyi kereta berhenti di perkarangan rumahnya. Zulaika menjengah keluar melalui tingkap. Dia menarik nafas lega setelah melihat kemunculan suaminya lalu bergegas ke muka pintu untuk menyambut kepulangannya.
“Kenapa abang tak telefon? Lama Ika tunggu abang.” Katanya sambil mencapai briefcase suaminya. Yusuf Hakimi tidak menjawab. Dia terduduk di sofa. “Abang letih? Ika bawakan air, ya. Abang nak minum air apa?”
“Tak payahlah.”
“Abang nak makan sekarang ke atau...”
“Abang letih ni. Abang naik ke bilik dulu, nak mandi.” Tingkah Yusuf Hakimi sambil meninggalkan Zulaika yang berwajah keliru di ruang tamu.
Setengah jam kemudian, dengan dada yang berdebar-debar dia menyusul suaminya yang tak muncul-muncul dari kamar tidur. Dia ingin bertanya apakah masalah yang menyebabkan suaminya pulang dalam keadaan sugul begitu. Ketika dia melangkah masuk dilihatnya Yusuf Hakimi sedang berbaring dengan mata yang tertutup rapat di atas katil.
Yusuf Hakimi menoleh sekilas ke arahnya ketika menyedari kehadirannya sebelum menutup semula matanya.
“Abang letih ke?” soal Zulaika lembut. Serta-merta mata Yusuf Hakimi terbuka. Dia merenung wajahnya tajam membuatkan Zulaika menjadi gerun melihatnya.
“Ya, abang letih! Abang letih dengan sikap Ika.” Suara keras yang meluncur keluar dari bibir suaminya membuatkan Zulaika semakin gelisah.
“Err... kenapa abang cakap macam tu?”
Yusuf Hakimi sengih. “Masih nak berpura-pura lagi? Kalau pun Ika nak menipu abang, carilah alasan yang canggih sikit. Ni tak...”
Air mata Zulaika menubir. Dia malu... malu kerana rahsianya telah terbongkar.
“Ika minta maaf, bang. Tapi Ika dah tak tahan lagi. Ika terpaksa lakukannya. Memang Ika dah berbohong dengan abang pagi tadi. Ika keluar cari Fatin kat apartmen sewaannya. Ika bukannya apa, bang, Ika cuma nak tahu keadaan dia aje.”
“Kan abang dah ingatkan Ika yang abang tak suka Ika cari dia lagi. Ika dah lupa ke apa yang dia dah buat pada kita? Dia dah malukan kita, Ika! Mana abang nak sembunyikan muka ni daripada Fauzan?”
“Ika tahu kesalahan Fatin tu besar, bang. Tapi dia adik tiri Ika. Ika tak boleh biarkan dia macam tu aje. Ika kena cari dan tengok keadaan dia.” Dia membela dirinya. “Maafkanlah Ika, bang.”
“Disebabkan dia, Ika yang selama ni taat dengan abang dah pandai menipu abang?” sergah Yusuf Hakimi. Dia tidak menghiraukan air mata yang mencucur keluar dari juring mata isterinya. Hatinya cukup sakit dengan Zulaika.
Zulaika tersedu-sedu. “Apa Ika nak cakap lagi, bang. Maafkanlah Ika. Tolonglah, bang!”
“Sudahlah, Ika. Lap air mata Ika tu, jangan menangis lagi.” Dia mengendurkan suaranya walaupun hatinya cukup mangkak dengan sikap Zulaika yang berani menipunya.
“Bang, maafkan Ika ya, bang.” Zulaika merayu-rayu. Yusuf Hakimi mengeluh perlahan.
Keadaan suaminya yang angguk tidak, geleng pun tidak itu membuatkan Zulaika semakin resah.

INTAN JULIANA baru hendak melangkah keluar dari galerinya ketika dihampiri oleh seorang lelaki kacak. Mata mereka bertentangan.
“Zack! Apa you buat kat sini?” dia menyoal.
Mata jejaka itu menjilat wajahnya. Renungannya yang tajam membuatkan Intan Juliana keresahan. Zackhary Iskandar kelihatan terdesak.
“Ju, I love you... I really love you, Ju! Kenapa you tak mahu terima cinta I?”
“Kenapa dengan you ni, Zack? Kan I dah kata yang cinta tak boleh dipaksa. Kat KL ni ramai gadis yang lebih cantik dan lawa daripada I, you pilih ajelah diorang untuk dijadikan kekasih you.” Intan Juliana menjawab. Dia segera mengunci pintu galeri dan bergegas hendak berlalu dari situ tapi Zackhary menahannya.
Jejaka itu bagaikan tidak dapat mengawal emosinya lagi. Tanpa diduga dia memeluk tubuh Intan Juliana dan cuba menciumnya di bibir. Dalam keadaan sedekat itu dia dapat menghidu bau minuman keras pada nafas Zackhary. Sepantas kilat dia menolaknya ke belakang lalu melayangkan penampar padu ke pipi jejaka itu.
Keperitan di pipinya membuatkan Zackhary bagaikan orang yang baru tersedar, tapi segala-galanya telah terlambat. Intan Juliana merenungnya dengan renungan yang berbaur benci.
“Kau mabuk?” desisnya. “Hanya kerana aku tolak cinta kau, kau sanggup gogok minuman keras untuk hilangkan kesedihan kau? You’re weak, man. Dan kau ingat aku akan pilih jantan lemah untuk dijadikan kekasihku?” hentak Intan Juliana dengan rasa marah yang membuak. Dia muak dengan lelaki-lelaki seperti jejaka di hadapannya yang berpaling pada minuman yang memabukkan itu sebagai alasan untuk menghilangkan segala masalah yang melanda jiwa mereka kerana sebenarnya ia adalah seperti dadah, hanya pelega sementara.
“Ju, maafkan I, Ju!” jerit Zackhary. Namun Intan Juliana tidak mengendahkannya. Dia melangkah pantas menuju ke kereta mewahnya lalu memecut laju meninggalkan anak muda itu.
Dia tidak tahu hendak kemana. Hendak pulang ke rumah yang sepi, sekadar menambahkan beban di kepala. Setelah memiliki banglo yang tersergam itu barulah dia mengakui kebenaran kata-kata Uncle Johannya; untuk apa dia tinggal di sebuah rumah sebesar itu sedangkan dia hanya tinggal seorang diri? Malah kadangkala kesunyian yang mencengkam di rumah besar itu membuatkan bulu romanya meremang. Seram! Akhirnya dia memandu berkeliling kotaraya. Setelah penat memandu barulah dia mengambil keputusan untuk pulang.
Kepulangannya disambut oleh Siti Asiah, pembantu rumahnya yang berasal dari Kelantan. Wanita berusia empat puluh tiga tahun tapi masih bujang itulah yang sering melayannya berbual tatkala dia kesunyian. Dia memanggil Siti Asiah dengan panggilan kakak.
“Cik Ju dah makan ke? Malam ni Kak Siti masak tomyam aje. Kalau nak, Kak Siti boleh hidangkan.” Kata Siti Asiah. Dia menggelengkan kepalanya.
“Tak apakah, Kak Siti, kenyang pulak rasanya malam ni. Tolong buatkan saya kopi ajelah ya, lepas tu hantar ke bilik kerja saya. Saya nak siapkan satu potret.” Tingkahnya sambil melangkah naik ke bilik untuk membersihkan badan.
Dia mandi dan bersiap-siap untuk turun ke bilik kerjanya dengan segera kerana takut kopi yang dibancuh oleh Siti Asiah menjadi sejuk. Setelah menghirup seteguk dua kopi tersebut, dia memulakan tugasnya melarik kanvas. Ketika sedang melukis semua masalah bagaikan takut untuk menghampirinya.
Sejak akhir-akhir ini melarik kanvas bagaikan menjadi kegilaan padanya. Sekembalinya dari galeri, di bilik itulah dia berkurung – mencurahkan segala idea yang bersarang di kepalanya dalam bentuk lukisan yang berwarna-warni. Dia seolah-olah mahu meninggalkan suatu legasi seni untuk generasi seterusnya. Persoalannya, untuk siapa?

DI DEWAN DANSA yang disinari lampu disko dan muzik bingit, seorang gadis kelihatan terkinja-kinja menari mengikut rentak dangdut bersama pasangannya yang berperut gendut. Dia tak lagi kisah siapa yang dipeluknya. Tak lagi kisah siapa yang meraba sekujur tubuhnya. Semua itu bagaikan telah sebati dengan dirinya. Rupa paras tak lagi penting baginya, janji pelanggan yang melanggannya berduit. Kerana duit dia sanggup menabur madah-madah cinta untuk sesiapa saja.
Pergi jahanam dengan Rayzal dan Encik Fauzan. Pergi mampus dengan Yusuf Hakimi dan Zulaika! Dia kini tidak lagi perlukan pertolongan daripada mereka.
“Fatin ni cantiklah! Geram abang tengok...” puji lelaki gendut yang asyik memeluk pinggangnya itu.
Fatin Adiba mengekel. Dia menggoncang dadanya yang bersalut kain nipis itu dengan lebih hebat membuatkan lelaki gendut itu beberapa kali menelan air liur kegeraman dek aksinya.
Di suatu sudut, seorang lelaki kelihatan begitu asyik memerhatikannya.

Jumaat, 14 Februari 2014

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 31

Bab 31

“BANG, sudah-sudahlah dengan kebencian abang tu. Takkan kita nak sisihkan Fatin macam ni. Ika tau, dia tu budak bermasalah tapi dia tetap adik tiri Ika, bang. Ika tak sanggup tengok keadaan mak cik kat kampung tu yang risau sangat keadaan Fatin. Rayzal dah keluar negara, bang. Fatin pula entah macam mana keadaannya.” Rayu Zulaika dengan mata yang berkaca. Dia benar-benar mengharapkan bantuan daripada suaminya untuk mencari di manakah Fatin Adiba sekarang.
“Apa? Ika nak kita cari dia?” keras suara yang dilontarkan. Yusuf Hakimi menggelengkan kepalanya. “Tak mungkin, Ika! Abang takkan jilat balik ludah abang. Ika sebagai isteri kena patuh dengan cakap abang. Kalau abang dah kata abang tak mahu Ika cari dia... tak mahu Ika ambil tahu tentang hal dia lagi, Ika kena akur. Abang juga tak suka dia datang kemari. Kalau abang tahu dia datang kemari dan Ika benarkan dia masuk... siaplah!”
“Apa! Apa abang nak buat? Abang nak ceraikan Ika kalau Ika berani bawa dia masuk ke rumah ni?” sergah Zulaika dengan suara meninggi. Terkejut beruk Yusuf Hakimi mendengar isterinya mengherdiknya begitu rupa kerana selama ini Zulaika tak pernah meninggikan suara padanya.
“Ika tak baca ke buku Bagaimana Hendak Menjadi Isteri Solehah yang abang belikan untuk Ika bulan lalu tu? Salah satunya ada menyatakan untuk menjadi isteri solehah yang disayangi suami, si isteri tak boleh membenarkan orang yang dibenci suaminya masuk ke rumahnya. Ika tak baca ke, lupa?”
Air mata Zulaika menubir. Dia tidak mahu menjadi isteri yang durhaka pada suami tapi dia benar-benar risaukan keadaan adik tirinya. Walaupun Fatin Adiba tidaklah sebaik mana dengannya tapi mereka tetap pernah membesar bersama.
“Tolonglah, bang... kita cari dia. Ika cuma nak tahu keadaan dia aje, bang. Tolonglah!” dia merayu-rayu.
Sebagai seorang suami, dia tersentuh melihat air mata isterinya yang gugur itu. Tetapi kali ini dia perlu berkeras. Fatin Adiba harus belajar berdikari.
“Kita akan cari dia, tapi bukan sekarang semasa hati abang masih panas,” putus Yusuf Hakimi sambil meninggalkan Zulaika yang terkebil-kebil memandangnya.

ZULAIKA terus menunggu dan menunggu bilakah suaminya akan menunaikan janjinya untuk mencari Fatin Adiba. Namun penantiannya hanya sia-sia. Yusuf Hakimi sebenarnya sudah jauh menanam benci pada adik tirinya itu. Setelah jenuh menunggu akhirnya dia mengambil keputusan untuk mencari sendiri di manakah tempat tinggal Fatin Adiba.
“Tolonglah Abang Fauzan, seburuk-buruk dia, tetap adik tiri saya.” Dia merayu di dalam telefon. “Abang Fauzan! Abang dengar tak ni?” soalnya ketika lelaki di hujung talian mendiamkan diri.
“Macam nilah, Ika, abang akan cuba telefon Rayzal kat Australia tu tanya kat mana adik tiri Ika tinggal. Ika harus ingat, abang lakukan semua ni sebab kesiankan Ika bukan Si Fatin tu. maaf cakaplah, Ika.” Tingkah Encik Fauzan.
“Terima kasih, bang. Sebaik aje abang dapat tahu di mana dia tinggal, abang contact handphone Ika ya. Satu lagi Ika nak minta bang, tolong jangan bagitau suami Ika tentang hal ni. Dia tak suka Ika cari Fatin. Tapi Ika tak sanggup biarkan Fatin, bang.”
“Abang faham perasaan Ika. Hati Ika sebenarnya sangat lembut dan abang kagum dengan Ika. Ika cari dia sebab ada rasa tanggung jawab seorang kakak di hati Ika terhadap dia. Insya-Allah, malam ni abang akan cuba telefon Rayzal. Sebaik aje tahu di mana Fatin tinggal, abang akan inform Ika. Jangan risau ya!”
“Terima kasih kerana sanggup tolong Ika, bang.” Getusnya.
Sebaik sahaja dimaklumkan oleh Encik Fauzan, Zulaika nekad untuk ke apartmen Fatin Adiba walaupun dia tahu perbuatannya itu akan menimbulkan kemarahan suaminya. Dia harus bertemu muka dengan adik tirinya. Dia mahu melihat sendiri keadaan Fatin Adiba. Sihatkah dia, ada duitkah dia?
“Bang, Ika nak ke rumah Ayu. Dengar cerita dia tak sihat, Ika nak jenguk dia.” Itulah alasan yang diberikannya pada Yusuf Hakimi.
“Ika nak abang hantarkan?”
“Tak! Tak payah. Ika naik teksi aje.” Dia segera menjawab dan menarik nafas lega sebaik saja mendapat keizinan daripada suaminya. Maafkan Ika kerana menipu abang, tapi Ika terpaksa desis hatinya dengan sebak.
Dia menahan sebuah teksi untuk menghantarnya ke alamat yang telah siap dicatatkan pada sehelai kertas. Pemandu teksi yang arif dengan selok-belok bandaraya itu tidak sukar hendak mencari kediaman Fatin Adiba. Teksi itu kemudiannya berhenti di sebuah apartmen yang tinggi menjulang.
Selepas melepasi pondok pengawal, dia menaiki lif untuk membawanya ke tingkat dua belas. Apartmen Fatin Adiba terletak di hujung sekali berhampiran dengan tangga. Dia segera menekan loceng. Agak lama juga dia menunggu sebelum pintu apartmen itu terkuak. Seorang wanita menjenguk dan kelihatannya seolah-olah baru bangun dari tidur.
“Ya, cari siapa?” soal wanita itu.
“Fatin Adiba. Saya dapat tahu dia tinggal kat sini.”
“Awak ni siapa?” soal wanita itu sambil merenungnya dari atas ke bawah.
“Saya Zulaika, kakak tirinya. Fatin ada tak?”
“O... ya, dia ada, tengah tidur. Masuklah dulu, nanti saya kejutkan.” Kata wanita itu sambil membukakan pintu luas-luas untuknya.
Dah hampir nak masuk tengah hari ni pun masih tidur lagi? Dia tak kerja ke? Hatinya bersoal-jawab sendiri. Dia mengekori wanita bertubuh langsing itu masuk ke ruang tamu.
“Duduklah dulu. Saya panggilkan dia.” Kata wanita itu sambil menuju ke sebuah bilik yang tertutup rapat.
Zulaika menunggu beberapa minit sebelum Fatin Adiba muncul di hadapannya dengan wajah yang masam mencuka.
“Kenapa kau cari aku, hah?” sergahnya dengan kasar. “Kau dan laki kau kan dah halau aku dari rumah besar kau tu, sekarang kau cari pulak aku. Hey, baik kau berambuslah!”
“Aku minta maaf, Fatin. Aku dah cuba halang Abang Yusuf daripada halau kau keluar dari rumah tapi...”
Fatin Adiba memalingkan wajahnya. Jelas dia cukup marah dengan Zulaika.
“Kenapa kau cari aku, Ika?”
“Aku nak tengok keadaan kau. Kau dah kerja ke sekarang?” soalnya. Fatin Adiba mengangguk.
“Kau baliklah ke rumah besar kau tu, Ika. Aku tak perlukan pertolongan kau lagi!” desisnya.
“Aku tahu kau masih marah sebab sikap suami aku tu, tapi aku nak kau tahu yang aku tak pernah lupakan kau, Fatin. Kalau kau ada masalah apa jua sekalipun kau beritahu aku. Insya-Allah aku akan tolong.” Zulaika cuba menjernihkan keadaan.
“Terima kasih ajelah, Ika. Aku dah serik minta pertolongan kau. Dahlah, kau balik ajelah! Kirim salam aku kat laki kau yang sombong tu!”
“Fatin...”
“Sudah! Baik kau berambus keluar dari sini sebelum aku halau kau keluar, Ika.” Jerit Fatin Adiba.
Zulaika terkejut diherdik begitu. Dengan langkah longlai dia melangkah keluar dari apartmen tersebut.

“KAU yang nak tahu sangat cerita tentang Aliza kan?” duga Taufik sewaktu sedang menikmati teh pekat dan roti bakar di kopitiam lewat petang itu.
Nama yang baru saja meluncur keluar dari bibir temannya itu membuatkan Yusuf Hakimi merenungnya rakus. Aliza, bekas buah hatinya sewaktu menuntut di universiti dahulu. Wanita itu jugalah yang membuatkan dia berputus arang dengan jejaka di hadapannya. Tapi itu kisah silam. Kisah cinta zaman remaja yang kini hanya tinggal nostalgia.
“Dia kat mana sekarang?”
“Aku dengar dia balik kampung, mengajar di sebuah sekolah menengah di Kubang Krian. Dia dah kahwin dan suaminya cikgu juga.” Beritahu Taufik.
“Baguslah, semoga dia bahagia macam kau dengan Ayuni sekarang.” Tukasnya. Taufik tergelak besar. “Hey, aku dengar cerita tunang kau tu tak sihat ya? Dia sakit apa?”
Taufik kerut kening. “Eh, sapa cakap dia tak sihat. Pagi tadi aku yang hantar dia ke pejabatlah. Kejap lagi ni kang nak pergi jemput dia pulak.”
“Tapi Ika kata...” dia tidak mampu meneruskan kata-katanya. Wajah Zulaika ketika meminta kebenarannya untuk melawat Atika Ayuni yang dikatakan sakit terbayang di ruang mata. Kenapakah Zulaika sanggup bercakap bohong dengannya? Dan ke manakah arah tujuan isterinya itu?
Ika, sejak bila kau belajar berbohong denganku? Ika, siapakah sebenarnya yang hendak kau temui?
“Kenapa, Suf?” soal Taufik tatkala melihat wajahnya yang berubah.
Yusuf Hakimi hanya menggelengkan kepalanya.

RINDU YUSUF, CINTA ZULAIKA- BAB 30

Bab 30

“APA? Kau nak putuskan hubungan kita?” Fatin Adiba terjerit. Rayzal menengkurkan kepalanya. “Kau nak tinggalkan aku?” dia sudah tidak dapat mengawal emosinya. Kolar baju Rayzal dicekak kuat.
“Aku terpaksa, Fatin. Papa tentang keras hubungan kita ni.” Rayzal berdalih.
“O... baru sekarang kau takut dengan papa kau ya? Masa depan aku yang dah rosak ni macam mana? Aku hilang kerja dan kena halau keluar dari rumah disebabkan kau, tahu tak!”
“Aku dah cuba bantu kau kan? Pendahuluan untuk bilik ni siapa yang keluarkan duitnya? Aku pun sekarang ni susah, Fatin. Papa dah tahan kad kredit aku. Aku pun dah hampir kering sekarang ni. aku harap kau faham situasi aku.” Rayzal tetap dengan alasannya. “Kau kena cari kerja cepat-cepat, Fatin.”
“Kau kata nak tolong aku cari kerja!”
“Aku dah carikan kau kerja kat kafe tu, tapi kau kerja tak sampai pun sebulan dah berhenti!” hempuk Rayzal dengan marah.
“Kalau setakat kerja kat kafe, lebih baik aku balik kampung dah tolong mak aku kat warung!” Fatin Adiba menjawab.
“Ha... tulah kau! Kerja susah dan penat sikit tak nak. Sekarang kau nak salahkan ak pulak?”
Fatin Adiba mendengus. “Sudahlah, aku benci dengan kau. Kau memang jantan tak guna. Berambus!” dia menjerit kuat.
Rayzal segera beredar dari situ meninggal Fatin Adiba yang menyesali keterlanjurannya. Tidak sampai lima minit anak muda itu berlalu, pintu apartmen itu terkuak semula. Seorang gadis melangkah masuk.
“Kenapa kau menangis, Fatin?” soal teman serumahnya yang baru pulang entah dari mana.
“Sue, kau kena tolong aku. Aku dah pokai sekarang ni dan aku pula tak ada kerja. Jantan tak guna tu bukannya nak tolong aku tapi datang sebab nak putuskan hubungan dengan aku.” Dengusnya.
Suhana tersenyum sumbing.
“Jantan, Fatin! Macam tulah! Hmmm... betul ke kau desperate nak kerja ni?” Fatin Adiba segera mengangguk. “Okey, malam esok kau ikut aku jumpa bos aku. Aku tengok kau ni ada rupa juga, Fatin. Tempat kerja aku memang nak pakai orang sekarang ni.”
“Betul ke?” soalnya. Suhana tersenyum lebar.

SEKEMBALINYA mereka dari rumah Atika Ayuni, Zulaika dan Fatimah tidak segera menuju ke tempat tidur sebaliknya duduk-duduk di serambi. Angin malam menerpa masuk melalui jendela yang terbuka. Sejuk dan menyegarkan.
“Yusuf tak ada telefon ke?” soal Fatimah.
Zulaika geleng kepala. “Biarlah, mak cik. Agaknya dia dah tidur sekarang ni sebab letih memandu dari KL tadi.”
“Semua ni disebabkan oleh Fatin. Dia tu memang suka menyusahkan orang lain. Yusuf marah sangat dengan dia agaknya sampai kau pun kena tempiasnya, Ika. Maafkan mak cik. Mak cik ni tak pandai didik anak agaknya.”
Zulaika memeluk bahu ibu tirinya. “Jangan cakap macam tu, mak cik. Ni semua dugaan untuk mak cik. Bukannya senang nak jaga dan besarkan anak perempuan ni.”
“Alangkah baiknya kalau kau yang jadi anak kandung mak cik, Ika. Taklah buat mak cik sakit dada macam ni.”
Zulaika terdiam. Tangannya mencapai kerepek ubi pedas lalu disuapkan ke mulutnya. Dia juga risaukan keadaan adik tirinya itu sekarang. Entah bagaimana keadaan Fatin Adiba sejak menapak keluar dari rumah dahulu. Yusuf Hakimi pula terlalu keras. Walaupun Fatin Adiba merayu-rayu untuk berubah sikap, dia tetap dihalaunya keluar dari rumah. Hampir seminggu juga dia dan suaminya tak bertegur sapa disebabkan oleh kes itu.
“Dua minggu lepas dia ada telefon mak cik. Katanya dia menyewa sebuah bilik dengan kawan-kawan perempuan.” Tutur Fatimah.
“Baguslah kalau macam tu, mak cik. Dia kata dia dah dapat kerja ke?”
Fatimah mengeluh. “Mak cik tanya tapi dia tak jawab. Mak cik suruh dia balik kampung aje, dia tak mahu pulak.”
“Sabarlah, mak cik. Dia ada bagitau mak cik kat mana dia tinggal tak? Kalau boleh Ika nak cari dia bila balik KL nanti.”
“Puas mak cik tanya Ika, tapi dia tak nak bagi alamatnya. Entah-entah dia tinggal dengan budak lelaki tu.”
“Mustahil, mak cik. Budak tu dah balik dengan ayahnya. Dengar cerita hujung bulan depan dia nak sambung belajar di luar negara.” Tukas Zulaika. Fatimah mengeluh panjang.
“Hmmm... tengok tu! Budak lelaki tu tak rugi apa-apa tapi Fatin yang rugi sebab sebagai anak gadis dia tak pandai jaga diri!” omel Fatimah.

SUHANA menghulurkan baju yang bagaikan tak cukup kain itu pada Fatin Adiba. Dia memandangnya dengan mata tak berkelip. Walaupun dia adalah gadis yang agak liar dan sukar dikawal oleh ibunya tapi seumur hidupnya belum pernah dia mengenakan pakaian yang seksi begitu.
“Kalau kau nak kerja kat tempat tu kau kena pakai seksi-seksi macam ni. Barulah laku dengan pelanggan. Aku tengok taste kau kat dalam almari tu kekampungan sangatlah.” Galak Suhana sambil menyengih.
“Tapi aku tak biasa pakai macam ni. Nampak macam berbogel aje.”
“Ala, lama-lama nanti kau biasalah!” Suhana memujuk. “Cepatlah sikit pakai baju ni, lepas tu aku nak solekkan kau pulak. Kau kena belajar cara solekan yang betul, Fatin. Kau tu cantik sebenarnya dan akan nampak lebih menawan kalau kau tahu cara solekan yang betul.”
Fatin Adiba mencapai baju tak cukup kain yang dihulurkan padanya lalu disarungkan ke tubuh. Emm... cantik jugak aku pakai macam ni, desis hatinya sambil berpusing-pusing di depan cermin. Suhana memandangnya dengan rasa kagum. Bentuk badan Fatin Adiba boleh tahan juga. Kalau dengan rupa dan bentuk badan yang bergetah begitu pasti dia tak sukar hendak mendapat pelanggan, hatinya berkata-kata.
Selepas siap disolekkan Suhana menghulurkan pula minyak wangi jenama Chanel kepadanya untuk disemburkan ke tubuh. Harumannya penuh sebilik. Jam sembilan setengah malam itu, mereka keluar dari rumah untuk menanti teksi yang sering menjemput Suhana untuk ke tempat kerjanya.
Malam itu juga Fatin Adiba diambil bekerja oleh pengurusan kelab dangdut Mawar Merah itu. Bos barunya menyerahkan tugas pada Suhana untuk mengajar Fatin Adiba cara-cara melayan pelanggan. Bagi Fatin Adiba itu adalah satu tugas yang enteng. Pelanggan di kelab dangdut itu terdiri daripada lelaki pelbagai peringkat usia dan juga keturunan.
“Bos kagum dengan kau, Fatin. Dia kata kau cepat belajar dan pelanggan pun nampaknya sukakan kau. Katanya kalau kau kesempitan wang, kau boleh mintak advance dengan dia.” Kata Suhana sejurus sebelum waktu kerja mereka tamat di kelab dangdut itu.
dari situ bermulalah satu episod baru dalam kehidupan Fatin Adiba. Kalau dahulu dia hanya bekerja di siang hati tapi kini waktu kerjanya bermula setelah matahari terbenam. Tugasnya pula tidaklah sesusah mana, sekadar melayan pelanggan minum-minum, menyangi ataupun menari di ruang dansa. Gaji termasuk tips dari pelanggannya juga boleh tahan lumayannya.
Tak perlu belajar tinggi-tinggi untuk mengecapi kemewahan hidup, kata hatinya sambil membayangkan wajah Yusuf Hakimi yang telah menghalaunya keluar dari rumahnya bagaikan anjing kurap.