Aleeya melangkah masuk ke dalam rumah. Keretanya
diparkirkan di belakang kereta suaminya. Awal pula suaminya balik hari ini.
Matanya meliar mencari kelibat seseorang. Ke mana pula? Mungkin bersantai di
bilik agaknya. Langkahnya diayun laju mendaki tangga ke tingkat atas yang
menempatkan barisan tiga bilik termasuk bilik utama. Dua bilik lagi dikhaskan
untuk anak-anak tirinya jika mereka bermalam di rumah itu. Sebenarnya, belum pernah
lagi mereka bermalam di rumah itu.
Pintu bilik ditolak perlahan. Suaminya
sedang berbaring sambil tangan diletakkan di atas dahi. Masalah meruncing
agaknya. Dia mendekati dan melakarkan senyuman buat suami tercinta. Sayanglah
siapa tak sayang. Biarlah duda anak lima sekalipun, tetap segak dan kacak di
mata. Perutnya sedikit boroi, biarlah. Asalkan sihat sentiasa.
“Abang!” panggil Aleeya sambil duduk
menghadap Ikmal yang masih berbaring. Mata terpejam rapat. Tidurkah atau
buat-buat tidur?
“Dah balik?” Ikmal membuka mata
perlahan-lahan lalu bingkas duduk bersila di atas katil.
“Abang dah bayar bil-bil Nadia tu?” tanya
Aleeya, ingin benar dia mengetahuinya. Eh, dia punya hak untuk tahu. Dia kan
isteri lelaki itu.
“Dah. Kalau tak, alamat bergelaplah
budak-budak tu. Nadia tak nak bayar, bil kuning dah sampai. Mahu atau tak,
kenalah abang bayarkan,” jelas Ikmal.
“Hah! Sampai macam tu sekali? Kering
hati betul Nadia tu.” Aleeya terkedu mendengarnya. Sampai hati seorang ibu
sanggup biar anak-anaknya bergelap. Nasib baik tak sempat bergelap. Uh!
“Biarlah, anak-anak saya juga. Mahu
tak mahu kenalah bayar, kan?” Ikmal tersenyum.
Aleeya turut tersenyum. Sabar
sungguh suaminya. Kalau dia belum tentu sesabar itu. Memanglah anak-anak
suaminya. Tapi, bekas isteri suaminya takkan tak boleh bayar bil-bil itu? Hei,
Nadia tu pensyarah tahu! Gaji besarlah. Takkan kedekut kut? Aleeya mencebik. Sengaja
nak menyusahkan suaminya. Ingat besar sangat gaji suaminya sebagai pengurus syarikat
swasta? Bolehlah hidup walaupun tak mewah mana. Tapi, janganlah memeras macam
ini. Aleeya mendengus sendiri.
“Leya nak mandi dan solat dululah.
Lepas tu nak masak. Abang nak tolong Leya memasak ke?” tanya Aleeya sambil
melenggok manja.
“Boleh jugalah,” jawab Ikmal sambil
menyengih.
Aleeya mengenyit mata. Masalah Nadia
dan suaminya biarlah mereka selesaikan sendiri. Dia tidak mahu masuk campur. Nanti
lain pula ceritanya. Boleh tahan juga mulut bekas isteri suaminya itu.
Usai memasak seringkas mungkin,
janji kena dengan selera. Sawi masak bening, ikan selar goreng cili, sambal
belacan dan ulam-ulaman, cukup menyelerakan. Air tangan sendiri. Kalau sendiri
tak puji siapa lagi. Melihat suaminya berselera menjamah masakannya sudah cukup
membuat hatinya berbunga riang. Sama-sama mengemas meja makan dan sama-sama
perut kenyang. Baru sahaja melangkah beberapa tapak ke ruang tamu, telefon
suaminya berbunyi. Masing-masing memandang ke arah meja kopi yang terletak di
ruang tamu. Di situlah letaknya telefon bimbit mereka. Sudah berjanji, di meja
makan tiada sesiapa pegang telefon. Kononya hendak menghabiskan masa
bersama-sama. Sambil makan sambil berbual.
“Nadia,” kata Ikmal sambil mengeluh
perlahan.
Aleeya menggeleng. Apa Nadia nak
lagi ni? Aleeya terus melabuhkan punggung di sofa. Dia membiarkan suaminya
berbual dengan Nadia di telefon. Manalah tahu ada masalah dengan anak-anak. Sesekali
matanya menyinggah di wajah suami yang terpamer pelbagai reaksi. Risau pula
tengok wajah cemberut suaminya. Kalau Nadia telefon sahaja, hilang kemanisan di
wajah itu. Aleeya mengeluh dalam hati. Simpati bercampur bimbang.
“Kenapa bang? Nadia nak apa?”
“Anak-anak cuti sekolah minggu
depan. Nadia suruh abang bawa mereka bercuti. Dia nak ikut sekali, tapi tak
bagi bawa awak,” ujar Ikmal dengan muka sebal.
“Kenapa pula? Saya ni kan isteri
abang? Hisy…. Undang-undang mana dia pakai?” Aleeya terkejut mendengarnya. Bercuti
dengan anak-anak dan jandanya? Biar kentang! Mana boleh macam tu? Hei, dia kan
isteri yang sah pada Ikmal. Bukan perempuan simpanan! Macam-macamlah Nadia ini.
“Jadi, saya tak boleh ikut abang
bercutilah?” tanya Aleeya sedikit kesal.
Laju anggukan Ikmal.
Aleeya memeluk tubuh. Dia memandang
tepat ke mata suaminya. Dia harus marah atau ikut sahaja kehendak mereka berdua?
“Tak kira, nak ikut juga!” kata
Aleeya berkeras.
“Kalau awak ikut, anak-anak tak nak
bercuti dengan abang,” jelas Ikmal serba salah.
“Sejak bila anak-anak abang tak suka
dengan saya ni? Sebelum ni, okey aje?” Aleeya mengetap bibir.
“Entahlah… awak kan kerja. Takkan
nak ambil cuti pula?” Ikmal memandang wajah Aleeya minta kepastian.
“Saya rela ambil cuti tanpa gaji
daripada membiarkan suami saya bercuti dengan anak-anak dan jandanya!” kata
Aleeya keras. Dia mencebik.
“Cemburu ke?” Ikmal menjeling manja.
Terasa hendak ketawa. Takkan cemburu kot?
“Ini bukan soal cemburu atau tak. Mana
boleh abang ketepikan saya!” Aleeya berwajah serius. Memanglah cemburu,
bisiknya dalam hati. Itukan janda suaminya. Mereka pernah hidup bersama. Buatnya
menyulam kisah lama, apatah lagi mereka ada anak bersama, habislah dia. Uh!
Memang tak boleh percayalah.
“Alah, pergi dua tiga hari aje. Nanti
penat pula awak,” kata Ikmal.
“Helo… abang! Ingat saya dah tua
sangat ke? Tua lagi Nadia tu tau!” Aleeya mencebik. Bibirnya sudah mula memaparkan kemuncungan
yang tidak boleh tidak terpaksa dipamerkan. Biar suaminya tahu, dia sedang
berasa hati.
“Laa… janganlah banding-bandingkan. Abang
tahulah, itu sebab abang cari yang muda.” Pecah gelak Ikmal.
“Huh! Tak kelakar pun.” Semakin
panjang muncung Aleeya. Dia tidak kira, tidak kisah, nak jadi apa pun jadilah. Dia
tetap akan ikut. Kata putus daripadanya. Tak boleh pakai kata putus daripada
suami dan bekas isteri suaminya itu. Memang mangkuk ayun betullah. Menggelegak
pula hatinya nanti. Tidak pasal-pasal tercetus perang dingin.
“Awak tak payah ikut ya?” pujuk
Ikmal sambil mengerdipkan mata.
“Tak tergoda pun!” Aleeya terus
angkat kaki menuju ke bilik.
Dia mundar-mandir di dalam bilik. Matanya
pula asyik memandang ke pintu. Apa
alasannya untuk pergi? Apa yang harus dia lakukan? Kena ada strategi. Kena ada
jalan. Biar Nadia tidak perasan yang dia datang secara sengaja. Uh! Tak kuasa
nak biarkan suaminya bersendirian dengan jandanya. Tolonglah! Mak cik ni belum buta
mata tau, entah-entah nak mengendeng dengan suaminya. Ada hati nak balik kembali
agaknya. Pelbagai perkara bermain di fikiran. Dia tidak boleh membiarkan Nadia
mempergunakan anak-anak sebagai senjata untuk menyusahkan suaminya.
“Awak berlatih berkawad ke?” Ikmal
melangkah masuk sambil menyengih.
“Uh!” Alamak! Apasal tak perasan
suaminya masuk ke bilik? Aduh, kantoi!
“Alah… awak keluarlah dengan
kawan-kawan sekerja awak. Kan dah lama awak tak keluar dengan mereka.” Ikmal
menarik tangan Aleeya dan duduk di birai katil.
Nak pujuk supaya jangan pergilah tu.
Maaflah, dia bukan jenis yang makan pujuk. Keluar dengan kawan-kawan? Hmm… idea
terkini dan terbaik. Aleeya mula menguntumkan senyuman. Wajah suaminya di sisi
dipandang seketika.
“Yalah! Nak buat macam mana, diam
tak diam terpaksalah ‘bermadu’ secara tiba-tiba!” sindir Aleeya.
“Ada ke situ pula.” Ikmal
mengecilkan mata, memandang wajah Aleeya dengan tanda tanya.
“Tak bermadu ke namanya? Tiba-tiba
tak boleh ikut waktu abang bercuti dengan bekas janda abang dan anak-anak? Apa
namanya tu?” soal Aleeya.
“Hisy… salah tafsiran tu.” Ikmal
ketawa.
“Salah tak salah, itulah yang saya
rasa. Abang jangan nak main dan bermadu kasih pula dengan Nadia,” ugut Aleeya. Matanya
dijegilkan.
Ikmal ketawa kuat.
“Ketawalah, ketawa! Kalau dah hati
terpanah dengan kilat cinta si Nadia tu… waktu tu abang jangan cakap saya tak
bagi amaran! Saja gunakan anak nak dekat dengan abang! Itu taktik namanya,
bang. Orang perempuan ni kalau dah tak laku, takut hidup sendiri, bekas duda
pun nak dijilat balik tau!” kata Aleeya tegas. Geram mencanak masuk. Berapi-api
mata dan hatinya.
“Awak ni, jauh perginya tu. Itulah
banyak sangat baca novel, sampai perkara macam itu pun awak boleh fikirkan.”
“Tapi tak mustahilkan, kan, kan?” Aleeya
tidak mahu kalah. Nadia memang sengaja minta yang bukan-bukan sedangkan mereka
sudah lama bercerai. Sudah makan tahun pun. Bila Ikmal berkahwin
dengannya, mulalah muncul kembali Nadia secara tiba-tiba. Kalau cemburu kata
cemburu. Hisy, kenapa Nadia tidak cari suami baru? Orangnya masih cantik,
bergaya walaupun anak lima.
“Dahlah, jangan fikir yang
bukan-bukan. Hati saya hanya ada awak,” ucap Ikmal sambil merebahkan diri di
sebelah Aleeya yang masih bersila di atas katil.
“Kena fikir, bang. Malang tak berbau
tau,” kata Aleeya lagi.
“Malang apanya pula?” Ikmal mengerut
dahi.
“Malanglah suami kena rampas dengan
jandanya semula! Boleh buat cerita dan lagu tau.” Aleeya merebahkan diri di
atas katil. Kepalanya masih ligat berfikir. Uh… masalah!
“Jangan fikir yang bukan-bukan,
nanti hati sendiri yang sakit,” usik Ikmal.
“Ketawalah! Ketawa… kalau jadi
apa-apa, jangan abang salahkan saya!” Aleeya
mencebik. Geram pula hatinya bila
ceritanya tidak dipercayai. Hei, dia perempuan juga tau. Dia tahu apa yang
tersimpan dalam hati seorang perempuan seperti Nadia. Mesti ada sebabnya,
kenapa dia tidak boleh ikut bercuti.
“Tidurlah, esok nak kerja. Jangan
marah-marah, nanti cepat tua.”
Aleeya mendengus kasar, dia
melemparkan bantal ke muka Ikmal. Pecah gelak lelaki itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan