Haji
Shauki menggeleng laju, kesal menerpa dalam hati. Muda-muda lagi sudah terjebak. Bahaya untuk
kehidupan di masa hadapan. Jiwa belum cukup kuat dan kental dalam mengharungi
kehidupan yang banyak liku dan lorong ini.
Kalau tidak kuat harus rebah mencium tanah. Dia sendiri sudah pening
memikirkan cara untuk membenteras penagihan dadah yang semakin menjadi-jadi di
kampungnya itu. Bukan tiada aduan, bukan
tiada serbuan, hari ini serbu, esok mereka berkumpul semula.
Dia memandang wajah Halim dan
Rafidah yang menunduk, mungkin berasa malu dengan apa yang berlaku. Malek, Hasaan dan Khairul turut berada
bersama.
“Jadi, anak kau ditahanlah?” Tanya
Haji Shauki kesal.
“Ya, pak aji,” jawab Halim, bertubi-tubi kekesalan muncul di
hati.
“Apa kita nak buat ni Malek? Kalau dibiarkan berterusan, habis anak muda
di kampung ini menjadi mangsa penagihan dadah.
Kasihan budak-budak itu. Mereka
mudah sahaja disogokkan dengan benda haram itu.” Haji Shauki mengeluh berat. Sebagai ketua kampung dan Imam di situ, dia
bertanggungjawab penuh terhadap masyarakat di kampung itu. Dia tidak akan membiarkan anasir tidak sehat
terus menular di kampung tempat dia membesar itu.
“Nanti kita fikirkan bersama pak su,
apa yang harus kita lakukan. Tanah di hujung kampung, saya rasa adalah baik
kita majukan. Buat sesuatu yang
berfaedah untuk penduduk kampung ini.
Misalnya padang bola, futsal, beberapa lagi sukan yang baik dan bagus
untuk anak-anak kampung ini, apa kata
pak su? Dengan cara ini sahajalah,
tempat itu dapat kita hindarkan dari terus menjadi sarang penagihan
dadah,” cadang Malek. Hanya itulah idea
yang terfikir olehnya. Apalah sangat
yang dapat difikirkan bagi lelaki berumur sepertinya.
“Bagus cadangan kau tu Malek, nanti
pak su ajukan perkara ini kepada pejabat daerah. Mungkin mereka boleh salurkan
sedikit bantuan. Tanah yang terbiar,
kita bersihkan. Kita cuba hapuskan
tempat penagihan dadah ini perlahan-lahan.”
Haji Shauki tersenyum puas. Tidak
sia-sia dia melantik anak buahnya itu menjadi pemimpin belia kampung itu.
“Pasal anak kau Halim, biarlah dia
ditahan di sekolah budak-budak nakal atau pusat pemulihan. Kalau bawa balik
pun, kita boleh buat apa? Nak berubat
cara tradisional? Mampukah kita
menjaganya nanti? Atau nak pulihkan cara sendiri?” Haji Shauki memandang wajah
Halim yang sugul dan muram itu. Hati seorang ayah pasti terluka melihat anak
kandung sendiri terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sehat.
“Ya, ALLAH!” raung Rafidah. Tidak mampu hatinya melihat anak kandungnya terkurung di dalam lokap polis.
“Ya, ALLAH!” raung Rafidah. Tidak mampu hatinya melihat anak kandungnya terkurung di dalam lokap polis.
“Sabar Idah! Bawa mengucap! Anak-anak kenalah pantau, jangan dibiarkan
lepas bebas. Kena tengok siapa kawannya, sudah jadi seperti ini, apa nak dibuat
lagi?” Bukan menyalahkan Halim dan Rafidah,
perkara sudah berlaku. Hanya perlu
memikirkan cara untuk mengembalikan anak itu ke jalan yang bena dan diredhai.
“Anak-anak juga hendaklah disuruh
solat dan belajar mengaji. Ilmu agama
perlu ada dalam diri, barulah mereka tahu buruk dan baik. Dosa dan pahala,”
nasihat Haji Shauki lagi.
“Memang salah kami, langsung tidak
titik beratkan pelajaran agama. Solat
selalu culas, kami biarkan sahaja. Ikut
suka dia sahaja, kami langsung tidak ambil tahu.” Ada kekesalan di hati. Ada rasa kecewa yang muncul
tiba-tiba.
“Kalau sudah begitu, anak-anak yang
lain itu, kenalah ajar dengan betul. Aku
sendiri tak suka melihat keadaan anak-anak kariah dan masyarakat di kampung ini
hidup dalam kesesatan dan kejahilan, itu
tanggungjawab aku! Aku berharap sangatlah
pada kau Halim, Hassan dan Khairul, dengan bantuan Malek, kita kembalikan
kejernihan kehidupan anak-anak muda di kampung ini. Kita bersihkan daripada anasir jahat. Kita bangunkan kampung kecil ini biar indah
di mata dan cantik di hati,” harapan Haji Shauki.
“Insya-ALLAH pak su.” Malek
tersenyum bangga. Biarpun jalannya tidak
mudah. Pasti para pengedar dadah di
kawasan itu akan marah kerana hasil pendapatan mereka akan berkurangan. Itu bukan masalahnya. Siapa suruh buat kerja haram dan jual benda
yang boleh merosakkan anak bangsa sendiri.
“Bagaimana dengan anak saya yang
ditahan oleh pihak polis itu pak aji?” tanya Halim. Risau masih melekat di hati.
“Biarkan dia di situ, kita tunggu
perbicaraan nanti. Tunggu keputusan mahkamah. Hanya itu sahaja yang mampu kita
buat. Siapa suruh dia buat kerja gila!”
Terasa marah menapak di hati. Muda-muda sudah menyusahkan emak dan ayah.
“Kasihan anak saya tu pak aji,” luah
Raridah dengan tangisan yang masih bersisa.
Puas dipujuk oleh Hajah Rokiah
yang turut berada bersama-sama.
“Yalah Idah, kau kena kuat
semangat. Kalau kasihankan anak kau itu,
kenalah berkorban. Biar dia sedar akan
kesalahannya,” nasihat Hajah Rokiah.
Kalaulah dia berada di tempat Rafidah, dia juga akan berasa kecewa. Hancur
luluh hatinya.
“Saya ikutkan sahaja nasihat pak
aji, jika itu yang terbaik buat anak saya itu,” kata Halim. Dia sendiri tidak tahu apa yang harus dia
lakukan.
“Sabarlah Halim, dia masih boleh
diselamatkan, dan dibentuk menjadi anak yang soleh. Kau kena kuat semangat,” pujuk Malek.
“Maafkan aku Malek. Aku benci sangat
dengan kau. Sedangkan kau tidak pernah
bersalah dengan aku.” Timbul rasa bersalah di hati. Dia tahu Malek jahat tetapi lelaki itu tidak
pernah buat jahat di kampung ini.
“Ala, lupakan, itu semua kisah lama,
tak perlu dikenang.” Malek
tersenyum. Dia tidak mahu berdendam
dengan sesiapa, entah-entah masih ada orang yang mendendaminya lantas kejahatannya
yang lalu. Dia sahaja yang tidak tahu.
Tidak mahu mendendami sesiapa jika mereka pernah bersikap buruk terhadap
anak-anak dan bekas isterinya. Bukan
salah mereka. Semua yang berlaku adalah salah dirinya sendiri.
“Esok, kita adakan mesyuarat untuk
jalankan terus projek kita itu. Hassan
dan Halim, kau cari seberapa ramai orang kampung. Kita bergotong royong
bersihkan kawasan kampung yang semak-samun. Tanah terbiar yang ada di hujung
kampung itu, kita bersihkan semuanya.
Biar terang. Biar nampak sehingga ke dalam,” arah Haji Shauki. Rancangan
yang ada tidak boleh ditangguh-tangguh.
Lagi cepat mereka bekerja, lagi cepat segala masalah dapat
diselesaikan. Kerja yang bertangguh
adalah amat merugikan. Tentang tanah
yang menjadi sarang penagihan dadah itu, dia akan berbincang dengan pihak
pejabat daerah. Perlu buat sesuatu.
Semua kerja akan beres jika ada yang
membantu dan saling bekerjasama.
“Insya-ALLAH pak su. Semoga usaha kita ini dapat mengekang anasir
yang tidak baik dari terus menular ke kampung kita,” kata Malek. Pengalaman yang lalu banyak mengajarnya erti
kehidupan sebenar yang sepatutnya dilalui oleh manusia. Manusia diciptakan ALLAH bukan untuk
melakukan kerosakan di muka bumi ini, tetapi menjadi khalifah, menjadi hambaNYA
yang taat serta menyembahNYA. Dia
benar-benar insaf, usia mudanya dihabiskan dengan sia-sia. Dosa dan noda berpalit di tubuh dan
hatinya. Semoga ALLAH menerima
taubatnya.
“Bolehlah kita umumkan waktu solat
zohor nanti,” ujar Haji Shauki.
“Bagus juga tu pak aji,” jawab Halim.
Hatinya masih diulit bimbang tentang keadaan anak sulongnya. Selama ini dia memandang sepi sahaja dengan
siapa anaknya berkawan. Dia berharap
yang anaknya mampu mengawal dan menjaga diri serta menolak anasir yang tidak
baik hadir merosakan diri sendiri.
“Kalau begitu, kami beransur dahulu,
kebetulan malam ini saya bekerja,” beritahu Malek. Dia kerja shif malam. Sementara menunggu waktu bekerjanya tiba,
bolehlah dia berehat seketika.
“Baiklah, jumpa nanti ya.” Haji Shauki melakarkan senyuman. Masalah anak-anak kampung itu, masalah dia
juga. Sebagai ketua kampung, dia tidak
boleh lepas tangan.
Haji Shauki memandang sahaja
anak-anak buahnya berlalu meninggalkan rumahnya. Dia berharap sangat kepada mereka. Semoga seluruh penduduk kampung akan
bekerjasama membenteras penagih dan
pengedar dadah yang semakin berluas-luasa di kampung itu. Lagi dibiarkan,
semakin melarat nanti. Tidak mahu jadi
kudis buta yang mampu merosakkan seluruh anggota.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan