Pihak
pengurusan Andalusia membawa para Jemaah melakukan umrah selang sehari. Hari Sabtu adalah hari bebas untuk para
Jemaah melakukan aktiviti masing-masing. Jika ingin membeli-belah atau melawat
kawasan persekitaran masjid dibenarkan, jangan lupa bawa kad pengenalan diri,
usah bawa duit yang banyak, berhati-hati dengan barangan atau beg yang
dibawa. Biarpun kawasan itu adalah
kawasan suci, tetapi hati manusia yang berada di dalamnya tidak semuanya suci
bersih. Adajuga tukang copet dan
penyeluk saku. Usah tunjukkan kita bawa
banyak duit, hendak buka beg duit itu hati hatilah. Pendek
kata, berhati-hatilah di mana sahaja.
“Bang, takkan nak duduk dalam hotel
aje, jomlah keluar ke mana-mana, kita ambil teksi,” kata saya sambil memandang
wajah suami yang sedang leka melayan telefon bimbitnya.
“Nak ke mana?” tanyanya kembali.
“Ke mana sahaja, asalkan keluar dari
bilik hotel ini,” kata saya lagi.
“Kakak nak ikut tak?” tanya suami
kepada anak perempuan kami.
Dia menggeleng laju.
“Hish! Takkan nak duduk berkurung
sehari suntuk kak?” ujar saya.
“Sakit kakilah mak! Mak dengan abah
ajelah yang pergi, kakak tak nak ikut,” jawabnya.
“Jomlah, kita ajelah yang pergi,”
ujar suami saya, dia sudah pun bersiap dengan jubah dan beg kecil yang berisi
kad pengenalan diri, duit dan telefon serta buku panduan haji dan umrah.
Kami terus turun ke lobi, hari masil
awal, baru jam 8.00 pagi.
“Ait! Nak ke mana ni?” sapa Kak Lina
dan suaminya Baxtiar.
“Nak jalan-jalan ke Tanaimlah kut,”
kata suami.
Saya memandang wajah suami, Tanaim,
buat apa? Detik hati kecil saya.
“Boleh kami ikut?” tanya Kak Lina
dengan wajah manis manjanya.
“Jomlah!” kata saya. Maka terjadilah
cerita, kami terus keluar dari hotel dan mencari teksi yang boleh membawa kami
ke Bandar Tanaim, semalam sudah pergi, hari ini pergi lagi. Apa yang hendak dicari, kami belum pasti,
ingat hati hendak meninjau-ninjau bandar kecil itu. Manalah tahu ada sesuatu
yang menarik di hati.
Setelah berkira harga sewaan sebuah
teksi pergi dan balik dari Mekah ke Tanaim, kami terus melangkah masuk dan
bergerak menuju ke Bandar Tanaim. Sampai di masjid kelmarin, tempat kami
bersolat dan berniat ihram. Teksi berhenti
betul-betul di hadapan masjid. Kami terus keluar dan berjalan mengikut
kaki. Allahu Akbar! Hendak ke mana? Pandang kiri, pandang kanan, sebuah pekan
kecil. Ada pejabat seperti TNBlah agaknya, jalan ke hadapan sedikit, ada sebuah
hospital, tidak pula pasti sama ada hospital swasta atau kerajaan. Sebelum hujung masjid, ada jejantas untuk menyeberang ke sebelah sana bandar
kecil itu. Kebanyakkan kedainya masih
tutup, mungkin masih awal.
Terkebil-kebil kami di kawasan itu, tidak tahu hendak ke mana. Saya terasa ingin ketawa sahaja di dalam
hati, memandai hendak berjalan-jalan, ingat
bandar di Tanah Arab ini seperti
bandar Bangi ke Puchong agaknya. Aduhai!
Berlagak pandai, kan pelik jadinya.
Agaknya pemandu teksi itu sendiri kehairanan melihat kami yang hendak ke
Bandar Tanaim.
Akhirnya kami mengambil keputusan
mendapatkan semula teksi yang kami naiki tadi, kebetulan pemandu teksi itu
masih lagi menunggu di hadapan masjid, agaknya dia sendiri tahu, kami pasti
akan berpatah semula.
“Kita nak ke mana ni?” tanya saya
kepada suami.
“Kita naik teksi dulu,” kata suami.
“Boleh bawa kami ke mall!” dalam
BIlah. Pemandu teksi berbangsa Pakistan
itu boleh bercakap BI sedikit-sedikit. BM bolehlah juga tapi kurang faham,
Bahasa Arab dia fasihlah, masalahnya kami tidak pandailah.
Apa ke jadahnya nak ke Mall? Ikutkan sahaja, memang sengaja hendak buang
masa. Akhirnya pemandu teksi itu membawa
kami ke sebuah kawasan bandar yang dipenuhi bangunan pasaraya. Orang tidak
ramai, kawasan yang agak lengang. Mungkin orang Arab tidak membeli belah di
siang hari. Hanya orang Malaysia seperti kami ini yang gila pergi ke pusat
membeli belah mereka jauh beberapa
kilometer dari Bandar Mekah.
Pemandu teksi itu menurunkan kami di
sebuah pusat membeli belah yang dikatakan murah barang-barang di situ. Dia akan
datang mengambil kami semula sejam selepas kami berjalan-jalan di kawasan
tersebut. Dia juga menitipkan kami
nombor telefonnya. Kenderaan bertali
arus, bas, teksi dan kenderaan awam. Apa
yang pasti, tiada pemandu wanita, usah berkira-kira nak jadi pemandu uber atau
grab di Mekah jika kita berjantina perempuan.
Terlupa pula nama pusat membeli
belah pertama yang kami melangkah masuk.
Sebaik kami melangkah, terlihat pakaian kanak-kanak yang beraneka
fesyen, jenama usah cerita ya. Tiadalah kiki lala, Baby kiko dan sebagainya
seperti di negara kita. Namun, fesyennya
masih cantik dan menarik. Harganya? 10 riyal, 20 riyal sepasang atau
sehelai. Kau rasa? Mahal tak? Pakaian wanita pula ada pelbagai jenis juga,
moden sungguh, rasanya saya takkan pakailah.
Pakaian dalam wanita pula tersusun di dalam tempat yang bertutup
sedikit. Bukan tergedang luas di
tengah-tengah pasaraya seperti di tempat kita.
Kalau hendak memilih pun tidaklah malu sangat. Pekerja wanita? Tidak kelihatanlah! Para petugas pusat membeli belah itu adalah
LELAKI.
Memandangkan tiada yang menarik di
pusat membeli belah itu, kami menyeberang jalan menuju ke pusat membeli belah
yang sebuah lagi. Bukan hendak membeli sangat pun, sengaja cari pasal nak tahu
keadaan di sebuah pusat membeli belah di tanah suci Mekah. Saya berasa hendak ketawa sahaja melihat
gelagat diri sendiri. Teruk bebenarlah.
Aryan Mall, sebuah pusat membeli
belah setingkat yang agak luas dan banyak barangan di dalamnya. Ada jual jubah lelaki, kain shawl dan
barangan rumah serta perhiasan diri.
Di pintu masuk terlihat pekerja-pekerja pusat membeli belah itu duduk
menghadap ke dalam pasaraya. Saya
ingatkan mereka adalah penjual kedai komputer atau telefon bimbit seperti di
Malaysia, rupanya juruwang, lelaki semuanya.
Okay, nampaknya tidak ramai perempuan yang bekerja di negara Arab
ini.
Jubah lelaki, pelbagai jenis, jenama
dan paling terkenal di Malaysia adalah Haramain. Harga sehelai dari 20 riyal sehingga 90 riyal
yang paling mahal. 20 riyal untuk
sehelai jubah Haramain, di Malaysia harganya beratus ringgit! Kalian rasa?
Begitu juga dengan barangan dapur atau apa sahaja yang terjual,
murahlah! Kami beli sehelai jubah
Haraimain untuk anak buah suami yang belajar di Maahad Tahfiz, sudah lama dia
minta untuk kami belikan, di Malaysia paling murah pun 70 atau 80 ringgit
Malaysia.
Belek sana, belek sini, hanya beli
dua helai jubah dewasa dan sehelai jubah kanak-kanak lelaki yang berharga
10 riyal. Hampir setengah jam
berada di dalam pusat membeli belah itu, kami terus menelefon kembali pemandu
teksi itu. Hampir lima belas minit menunggu barulah dia muncul. Seperti biasa,
kami akan berbual-bual dengan pemandu teksi tersebut. Suami bertanyakan harga minyak di tanah Arab itu,
lebih kurang 1 riyal lebih untuk satu liter,
jika banyak isi, harganya semakin murah.
Bolehlah, negara yang menghasilkan minyak, kalau mahal, tak payahlah ada
telaga minyak di situ, kan?
Kak Lina dan suaminya, hanya
mengikut kerja gila kami. Apa nak
dikata, terjumpa dengan kami, kan? Sudah
terlajak, ikutkan sahaja. Aduhai! Terima
kasih kawan!
Pengalaman yang menarik bagi saya,
berasalah juga melawat kawasan luar dari tanah Mekah, lihat sendiri aktiviti
harian rakyat Arab Saudi yang rata-rata kurang melepak di pasaraya jika tidak
benar-benar ada keperluan atau mungkin mereka lebih suka membeli belah di waktu
malam. Tidak serabut dengan orang ramai
yang berpusu-pusu membeli belah. Siang
hari adalah waktu yang aman untuk membeli belah di pusat membeli belah di luar
Kota Mekah. Usah ikutlah ya. Tapi, kalau hendak berasa pengalaman sendiri
sudi-sudikanlah. Jangan pergi sendiri!
Bawalah kawan beberapa orang bersama demi keselamatan sendiri. Usah memandai-mandi hendak kendiri. Orang Arab itu pun pelik agaknya lihat kami,
dua orang wanita yang sibuk memilih dan membeli di siang hari. Kalau di Kota Mekah adalah perkara biasa,
memang ramai Jemaah wanita akan keluar membeli belah untuk dibawa pulang ke
tanah air masing-masing. Punyalah jauh berjalan, rupanya di Zam Zam Tower dan
Hotel Hilton ada pusat membeli belah di dalamnya.
Sebelum zohor kami sampai kembali ke
Hotel, pemandu teksi tidak mengambil tambang lebihan, rupanya pergi balik dari
Kota Mekah ke Tanaim adalah 25 riyal, singgah di kawasan mall tadi, dia tidak
kenakan caj tambahan. Namun, kami tetap hulurkan 10 riyal sebagai balasan atas
kebaikannya. Kami naik kembali ke bilik
dan bersiap untuk solat zohor pula. Hari
Sabtu berlalu dengan penuh kenangan.
Sebelum asar kami bertolak ke masjid kembali. Selepas Isyak barulah
balik ke hotel. Esok awal pagi sebelum
subuh balik semula ke masjid. Berjalan
ulang alik antara masjid dan hotel, tujuh hari berturut-turut, sedikit pun
tidak mengurungkan berat badanku. Uh! Ironinya.
Ahad usai sarapan, kami akan buat umrah kali ketiga pula, kali ini ke
bandar yang jauh sedikit dari Kota Mekah. Ke mana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan