Hembusan angin menyapa
lembut pipinya. Deruman ombak menganggu-gugat perasaannya yang sedang berkecamuk itu. Dia bingung.
Fikirannya benar-benar bercelaru, ditelan mati emak, diluah mati bapak. Itulah perasaannya ketika dan saat itu. Iffah berjalan menyusuri pantai. Sengaja dia melarikan diri ke pulau itu. Pulau yang penuh dengan cerita lagendanya
tersendiri. Pulau yang sentiasa menggamit pelancong untuk menjejakkan kaki ke
situ. Dia memandang jauh ke tengah laut
yang terbentang luas saujana mata memandang.
Iffah mengeluh. Kecantikkan alam
dan ketenangan seisinya tidak mampu menenangkan hatinya yang gundah-gulana
itu.
Iffah menghempas badannya di atas katil. Gambar anak dan suaminya ditatap untuk
melepaskan rindu. Dia rindukan kdua-dua
insan yang telah bertahta di hatinya itu.
Dia sayangkan mereka, tetapi…! Ahh! Iffah mengeluh. Kenapa hidupnya jadi
begini. Iffah mencapai telefon tangannya.
Dia membuat panggilan ke rumah.
Hatinya berdebar-debar, menanti suara yang sekian lama dirindui menjawab
panggilan itu.
Ah! Suara itu mendayu-dayu. Lidah Iffah kelu untuk menjawabnya. Seribu sesalan bersarang di fikirannya. Air mata mengalir tanpa dipaksa. Iffa melepaskan keluhan, dia mengesat air
mata dengan hujung jarinya. Iffah tahu
berdosa kerana keluar rumah tanpa keizinan suaminya, apatah lagi si
kecil yang masih memerlukan belaian
daripadanya. Iffah menangis
tersedu-sedu. Pangkat dan kedudukan yang
ada belum tentu memberikan kebahagian pada rumah tangganya.
***
“Ini rumah ke reban ayam?” sindir Datin Saodah sambil
menjeling tajam ke arah Zahir.
Iffah mengerutkan dahi, hanya mata berkata-kata pada
mamanya.
“Mama… inilah mahligai kami, mama,” kata Iffah dengan
senyuman bahagia.
Datin Saodah menjuihkan bibirnya.
“Ke mana perginya gaji kau yang beribu itu, Iffah? Mana
pergi wang simpanan kau yang beratus ribu itu?” tanya Datin Saodah agak
keras.
Zahir mengeluh sendiri.
Hatinya benar-benar panas dengan sindiran dan pertanyaan daripada emak
mertuanya itu.
“Mama, tolonglah perlahankan suara mama tu, malu
didengari dek jiran sebelah menyebelah.”
Iffah menarik tangan Datin
Saodah.
“Tahu malu? Kalau
dah malu kenapa masih lagi tinggal di rumah burik ini?”
“Mama… ini rumah Abang Zahir, gajinya hanya mampu menyewa
rumah seperti ini saja.” Iffah memandang
wajah Zahir yang merah padam. Dia tahu,
suaminya itu tersinggung dengan
kata-kata hinaan daripada mulut mamamnya.
“Duit gaji kau mana? Takkan dengan duit yang selalu papa
dan mama berikan, tak cukup untuk kau membeli sebuah banglo?”
“Abang Zahir tak mahu iffah keluarkan duit Iffah menyara
keluarga ini mama. Dia suami Iffah,
Abang Zahir mahu biar dia sendiri yang menguruskan makan pakai Iffah dan anak
kami.”
“Kalau aku tahu kau hanya kerani cabuk, tak sudi aku jadikan kau menantu aku tahu tak? Berani kau bohong aku. Kata kau tu pengurus bank, berkelulusan luar
negara, dari keluarga berada. Rupanya habuk pun tak ada!” jerkah Datin Saodah.
Zahir terkejut mendengarnya.
“Zahir tak pernah tipu mama… Zahir juga tak pernah tipu Iffah… siapa kata
Zahir pengurus bank? Siapa kata Zahir
anak orang kaya? Siapa? Siapa?”
jerit Zahir. Dia tidak mampu
berdiam diri lagi. Dia benar-benar rasa
tercabar.
Iffah terkejut.
Datin Saodah mengetap bibir. Matanya dijegilkan ke arah Zahir.
“Iffah!” jerkah Datin Saodah sambil matanya memandang
tepat ke arah Iffah yang mula resah.
Zahir keluar dari rumah dan meninggalkan Iffah dan
mamanya. Hatinya benar-benar sakit dipermainkan begitu.
Iffah tahu dia bersalah.
Dia terpaksa berbohong agar mama dan keluarganya bersetuju dengan
pilihannya. Dia cintakan Zahir, soal
kedudukan dan darjat bukan perkara besar baginya. Dia tahu Zahir boleh menjadi
seorang suami yang baik. Sikap dan kejujuran
Zahir menambat hatinya.
Namun, sejak pertengkaran
mamanya dan Zahir, keadaan telah berubah.
Zahir begitu dingin dengannya.
Zahir tidak semesra dahulu lagi.
Mamanya pula tidak habis-habis mengganggu. Hubungan Zahir dan keluarganya juga tidak lagi
semesra dulu, sejak rahsia terbongkar.
Iffah menyalahkan dirinya sendiri. Dia terlalu takut dengan kenyataan
yang bakal dihadapi.
***
“Mama? Apa mimpi
mana datang hari ini?” Iffah terkejut
melihat mamanya muncul di pejabatnya.
Tidak pernah-pernah. Dahi Iffah
berkerut seribu. Datin Saodah masuk dengan angkuh. Dia duduk di sofa
menghadap Iffah yang masih terkejut.
“Mama mahu Iffah minta cerai daripada Zahir! Mama tak mahu orang mengata, menantu mama
hanya kerani cabuk dan penipu!”
“Mama! Apa mama cakapkan ni? Mama sedar taka pa yang mama ucapkan?” Iffah tergamam mendengarnya, Bala apa pula
hari ini. Iffah terduduk mendengarnya. Wajah Datin Saodah mencuka dan garang. Tiada sedikit pun rasa belas kasihan di wajah
itu.
“Ingat Iffah… aku mama kau! Mama yang melahirkan kau ke
dunia ini, baik kau dengar kata mama.
Jika tidak mama tutup semua akaun bank kau, dank au tak dapat satu sen
pun duit mama dan papa lagi!” Ugut Datin Saodah.
Iffah menekup telinga.
“Minta cerai Iffah… mama tak mahu anak mama hidup macam
pengemis, kau dengar tak?” jerit Datin Saodah.
Iffah memandang
wajah mamanya. Tiada wajah
keibuan di situ, yang ada hanya kebencian dan dendam yang terpancar di wajah
itu. Iffah menangis sayu. Rasa malu hilang sama sekali. Mungkin stafnya turut mendengar apa yang
terjadi sebentar tadi. Hatinya
benar-benar sayu. Kenapa dia harus
menghadapi semua ini? Bukankah bagus jika
dia bukan siapa-siapa, dann bukan anak orang kaua, tentulah hidupnya lebih
bebas.
Di sebelah kanan suami, di sebelah kiri mamanya. Mana
satu yang harus dipilih? Kedua-duanya
dia sayang. Kedua-duanya diperlukan.
Kedua-duanya cinta hatinya. Oh
Tuhan! Berilah aku petunjuk-Mu… Iffah
menggaru kepala yang tidak gatal, hanya kebingungan sahaja yang dirasakan.
***
Di rumah Zahir dan dirinya bagaikan musuh. Seorang ke hulu, seorang ke hilir. Anaknya pula lebih manja dengan Zahir. Banyak masa si kecil dihabiskan bersama
Zahir. Iffah benar-benar kesunyian.
“Cakaplah dengan Iffah, bang! Jangan buat Iffah begini,
maafkan Iffah…” Iffah mendekati Zahir,
dia cubab memegang tangan suaminya, ingin dicium dan dipeluknya suami tercinta
itu.
“Iffah ingat abang tak ada malu apabila dituduh penipu
dan pembohong?! Apakah Iffah merasa
terhina bersuamikan kerani cabuk seperti abang?
Hina ke pekerjaan abang itu, Iffah?”
Zahir memandang wajah Iffah, geram berbaur rindu. Dalam hati perasaan sayang membuak-buak dan
pada masa yang sama hati itu juga berasa geram dan marah. Zahir sedar siapa dirinya sejak pertama kali
mendekati Iffah. Dia mendekati Iffah
kerana menyenangi perwatakan Iffah dan benar-benar mencintai isterinya
itu. Bukan harta dan pangkat Iffah yang
digilakannya.
Dia tahu Iffah mampu membeli rumah besar, Iffah mampu
hidup mewah. Zahir ada prinsipnya sendiri, dia lebih rela membela anak
isterinya dengan hasil pendapatannya sendiri dari menumpang senang kekayaan
isterinya itu.
“Abang!” Iffah
memegang kedua-dua belah tangan Zahir.
“Abang malu Iffah, tak tahu di mana abang nak sorokkan
muka abang ini, selama kita kahwin sesen
pun duit Iffah abang tak pernah sentuh.
Abang sedar diri abang Iffah, abang tak mampu memberi kemewahan pada
Iffah, hanya rumah buruk ini sahajalah yang mampu abang sediakan untuk
Iffah.” Zahir keluar dari bilik
itu. Anaknya masih lena dengan
nyenyaknya.
***
Air mata Iffah mengalir bagaikan air terjun, seolah-olah
tidak mahu berhenti. Fikiran Iffah
benar-benar kacau. Si kecil yang berusia setahun tidak dihiraukan lagi. Sehingga menyebabkan pertengkaran berlaku
lagi antara dia dan Zahir.
“Kenapa dengan awak ni Iffah? Kenapa budak itu yang
menjadi mangsa?” marah Zahir. Dia
mendukung Iffan dan memeluknya erat.
Zahir memeriksa paha Iffan, terdapat kesan cubitan. Zahir menggelengkan laju. Dia memandang wajah Iffah.
“Ibu jenis apa awak ni?
Perangai awak sama saja dengan mama awak tu, tak ada sikap belas
kasihan!” rungut Zahir. Iffan didakapnya
penuh dengan kasih dan sayang.
“Jangan hina mama Iffah pula! Baik atau buruk perangainya, abang jangan
lupa yang dia itu tetap ibu kandung Iffah!”
Iffah tersinggung dengan kata-kata Zahir. Biar bagaimana buruk perangai mamanya, dia
tidak suka ada orang yang menghina mamnya itu.
“Kenapa? Tak puas hati?” soal Zahir.
“Abang jangan nak naikkan darah Iffah!”
“Kenapa? Iffah nak
buat apa?”
“Abang!” Iffah menjerit sekuat hati. Zahir asyik sahaja menyakiti hatinya. Makanan
yang dimasak tidak dijamah. Tiada lagi usikan mesra dan gurau senda. Iffah bebar-benar bengang. Iffah mencapai beg tangannya dan keluar dari rumah itu. Zahir tidak pula memanggilnya pulang. Iffah benar-benar geram.
***
Iffah mengesat air mata yang mengalir. Dia masih
sayangkan kedua-dua insan tersebut. Dia masih sayangkan rumah tangganya. Sudah berbulan-bulan dia tinggal di rumah
mamanya. Zahir tidak pula datang
menjemputnya. Mamanya pula asyik berleter dan menyuruhnya meminta fasakh
membuatkan dia melarikan diri ke pulau itu.
Dia harus menenangkan hatinya yang kusut. Iffah mengemas pakaiannya. Dia harus pulang kepada keluarganya. Dia menyapu air mata dari terus
mengalir. Dia menarik nafas
panjang. Hari ini juga dia akan pulang
ke Kuala Lumpur.
Wajah Datin Saodah sugul.
Datuk Mansor menggeleng kesal.
Iffah menangis sayu.
Datuk Mansor mundar-mandir di hadapan Datin Saodah.
“Ibu mertua jenis apa awak ni Odah?!
Rumah tangga anak dah bahagia
awak porak perandakan!” Datuk Mansor
mengeluh kesal dengan perbuatan isterinya itu.
Baharu ditinggalkan seketika sudah jadi pelbagai cerita.
“Odah tak tahan bang!
Dia penipu! Dia tipu anak kita!”
Datin Saodah membela diri
“Bukan dia yang menipu,
Odah! Tapi anak kita ni…” Datuk Mansor merenung wajah muram dan surah
Iffah.
“Bua tapa seksa diri sendiri Iffah?”
“Iffah tahu iffah bersalah papa, itu sebab Iffah balik ke
sini. Iffah nak minta supaya mama dan
papa merestui rumah tangga Iffah dan Abang Zahir,” pinta Iffah dengan pipi yang dibasahi air mata.
“Papa dah lama merestuinya. Iffah, papa tak kisah siapa
pilihan Iffah asalkan dia dapat membahagiakan Iffah. Itu sudah cukup untuk papa,” luah Datuk Mansor.
“Mama tak restu! Mama malu bermenantukan kerani cabuk dan
tidak berkedudukan itu. Mama tak rela, Iffah!”
“Mama… apakah mama yakin Iffah boleh bahagia jika Iffah
berkahwin dengan orang yang sama taraf dengan kita? Mama… jodoh, ajal maut ketentuan ALLAH, sudah
ditakdirkan jodoh Iffah dengan Abang Zahir, malah kami sudah mempunyai anak bersama…” Iffah memeluk lengan Datin Saodah meminta
simpati.
“Tapi Iffah!”
Datin saodah terdiam apabila Datuk Mansor menyentuh bahunya.
“Biarlah mereka hidup bahagia idah, usah diganggu
ketenteraman mereka. Bukankah kita akan
bahagia jika anak menantu dan cucu kita juga bahagia,” nasihat Datuk Mansor.
“Odah tak sanggup melihat iffah duduk di rumah buruk itu
bang!” keluh Datin Saodah.
“itu hak suaminya, biarkanlah,” kata Datuk Mansor. Mereka saling berpandangan.
“Tolonglah Iffah mama, restuilah perhubungan kami,
restuilah rumah tangga kami,” rayu
Iffah.
Datuk Mansor menepuk bahu
Datin Saodah.
“Iffah!” Datin saodah menarik tangan Iffah. Mereka berpelukan. Mereka menangis melepaskan beban di hati
masing-masing.
***
Datin Saodah melangkah perlahan masuk ke dalam rumah
separuh batu dan separuh papan itu.
Keadaan di dalam rumah itu tetap bersih. Iffah meletakkan beg pakaiannya
di ruang tamu. Di dapur terdengar suara
Zahir sedang melayan anaknya.
“Iffan rindukan mama ya? Nanti mama baliklah,” pujuk
Zahir, anak kecil itu terus menangis.
“Mama…” kata Iffan.
“Ayah tahu Iffan rindukan mama, ayah pun rindukan mama
juga,” perlahan sahaja suara Zahir.
Iffah menekup mulutnya dengan telapak tangan. Hatinya
terasa geli pula melihat gelagat Zahir.
“Kalau rindu kenapa tak jemput?” sampuk Datin Saodah.
Zahir terkejut.
Hampir sahaja si kecil itu jatuh dari dukungannya.
Iffah menerpa hendak mendukung iffan.
Zahir mengundur ke belakang.
Iffah memandang Zahir dengan penuh tanda tanya.
“Maafkan mama, Zahir.
Terimalah Iffah semula. Mama
sedar, mama keterlaluan, mama redha dengan perkahwinan kamu berdua, mama kejam
pada kamu. Maafkan mama sekali lagi,” kata
Datin Saodah penuh keinsafan di hati.
Dia menerpa ke arah menantunya.
Dia mengambil Iffan dan membawanya keluar. Tinggal Iffah dan Zahir di
ruang itu.
“Maafkan Iffah, bang,”
ucap Iffah. Dia memandang wajah
suami yang dicintainya itu. Hatinya sedih melihat keadaan Zahir yang tidak
terurus itu.
Zahir mendekati Iffah.
Perasaan rindu terubat semula.
Dia memeluk erat tubuh
Iffah. Tubuh yang sudah lama
tidak dipeluknya.
Di ruang tamu
Datin Saodah melayan kerenah cucunya.
Dia menyuapkan susu ke mulut Iffan.
Anak kecil itu ketawa riang dan mencium pipi Datin Saodah. Hatinya tersentuh dengan gelagat cucunya
itu. Datin Saodah mengeluh. Dia menyesal dengan tindakannya baru-baru
ini. Sebagai ibu sepatutnya dia
menyatukan anak dan menantunya itu. Haya
Iffah anaknya, dan zahir satu-satu menantunya. Datin Daodah mencium Iffan
bertalu-talu. Dia memeluk Iffan dengan
erat. Dia berjanji tidak akan
mengganggu rumah tangga anaknya lagi.
Dia akan mendoakan kebahagiaan mereka.
Oh Tuhanku, ampunkanlah dosaku, doa Datin Saodah dalam hati.
Zahir masih tidak melepaskan Iffah yang berada di dalam
pelukannya.
“Iffah sanggup hidup susah dengan abang?”
“Iffah sanggup bang, asalkan abang sentiasa di sisi
Iffah…”
“Betul… tak tipu?”
Usik Zahir. Iffah mengangguk
riang.
Datin Saodah tersenyum sendiri melihat tingkahlaku iffah
dan Zahir. Semoga ada sinar bahagia
untuk mereka. Datin Saodah tersenyum
gembira.
Iffah dan Zahir tersenyum
bahagia.
(URTV
Julai 2002)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan