Betapa
gementarnya dia! Bagaimana mungkin sejarah berulang kembali dalam hidupnya,
apatah lagi untuk menerimanya? Rintih Munirah yang berusia awal 30-an, dibalut
kerusuhan. Terasa amat betapa awan hitam kembali menyelubungi hatinya, gelap-gelita merentap kembali rasa kecewa yang
selama ini berkubur jauh di sanubari. Tiada suara yang mampu diluahkan untuk memperdengarkan
rintihan jiwanya. Tidak pernah sekurang-kurangnya dalam kes ini.
“Ini fitnah, Mun. Ini fitnah!”
rintih Nisa’ lewat
panggilan telefon pada waktu petang ketika dia duduk memikirkan nasib Harris usai solat Asar.
‘Profesional, Munirah, profesional!’ Bentak Munirah, sepupu kepada Harris,
sebelah ayah, sambil mematikan enjin kereta di hadapan laman Rumah Kebajikan
Permai. Lambat-lambat dia mematikan enjin kereta dengan hati yang bagaikan
seberat Gunung Tahan yang diletakkan di bahunya, mengitari pandangan di sekitar
rumah kebajikan. Kawasan yang tenang dan mendamaikan. Bersih dan indah, angin
sepoi-sepoi bahasa seperti meraikan kehadirannya. Perasaannya diulit pilu.
Suasana tenang dan damai di kawasan Rumah Kebajikan Permai itu tidak langsung
mendamaikan. Kerasukan, kehampaan, kegalauan hati yang dilanda ribut kencang,
bergulung-gulung menghempas kasar ke lubuk jiwanya yang paling dalam.
Hembusan nafasnya turun naik, sesuai
dengan fikrah manusia bernyawa. Rasanya, begitu jarang dia menziarahi keluarga Harris oleh kekangan waktu dengan
tugas hakikinya. Kadangkala, dia sendiri hairan bagaimana dia boleh membahagikan masa antara tugasnya
sebagai peguam sivil di Kuala Lumpur dan melayan anak tunggalnya yang berusia
lapan tahun yang ditinggalkan dengan pembantu rumahnya sewaktu dia bekerja.
Setelah cengkerik berbunyi, bulan melihatkan cahayanya, bintang mula berkelip,
barulah dia dapat memeluk dan membelai anak tunggalnya dan suaminya yang
bertugas sebagai peguam syarii di Selangor juga begitu.
Rembulan juga kadangkala berasa rindu
pada sang pungguk yang jarang ada, begitu juga dia dan suami. Kesibukan tugas
kadangkala membuatkan mereka jarang bertemu, duduk makan dan berbual tentang
kerjaya masing-masing. Masa yang terluang tidak pernah dilepaskan begitu
sahaja. Waktu cuti hujung minggu memang diperuntukkan untuk dia bersama suami
dan anak tunggalnya. Bersaksikan air tasik yang tenang dan damai, alunan siulan
burung-burung kelicap dan murai berterbangan dari dahan ke dahan mencari makan, begitu mengasyikkan. Wajah dua insan dambaan hati, pengarang jantung yang
menjadi sulaman sayang di hati dipandang seketika.
“Mun tak nak tukar kerjaya? Jadi
pensyarah, hanya perlu mengajar, tidak lagi perlu naik turun mahkamah, abang
bimbang, kadangkala kes yang Mun ambil agak bahaya, terutama kes jenayah,” luah
Ashraf, suami Munirah.
“Kerjaya abang juga bahaya, abang
tak nak tukar kerjaya?” usik Munirah dengan wajah tenang, sekuntum senyuman dipamer buat suami tersayang.
“Abang peguam syarii, kes cerai kahwin, paling
tidak kena serang dengan suami yang gila talak saja, ataupun isteri yang marah sebab
suami tak bayar nafkah,” balas Ashraf, mempertahankan kerjayanya.
Munirah terdiam, kerjayanya dan
suami agak jauh berbeza. Menguruskan nikah kahwin, cerai dan tuntutan harta
serta nafkah anak isteri tidak begitu merisaukan seperti mana tugasnya
sekarang. Mengambil kes jenayah tidak kira besar kecil, semuanya ditangani.
Sejak lima tahun dahulu, dia bergelumang dengan kerjaya, bermain dengan onak dan duri sikap mereka
yang diwakili kadangkala mengusik jiwa kebimbangannya. Bagaimana jika ada yang
membalas dendam? Bagaimana jika mereka mengganggu ahli keluarganya? Semua itu
ada dalam fikirannya setiap kali dia menerima kes-kes jenayah seperti pembunuhan,
penipuan dan sebagainya. Baginya, dia
membela mereka yang yakin dirinya dianiaya, dipaksa, terpaksa demi kerana rasa
tanggungjawab dan minatnya pada kerjaya yang disandang ini. Jika ditakdirkan
dia mati di tangan mereka yang berdendam dengannya, dia hanya mampu berserah
kepada Allah SWT. Hidup
dan matinya bukan di tangan manusia. Dia tidak akan berganjak.
Begitu juga dengan suaminya, pernah
dilanggar kereta mereka oleh bekas suami yang sakit hati akibat kalah dalam
menuntut hak penjagaan anak. Dua hari suaminya ditahan di hospital akibat
kecederaan pada
kepala, semuanya itu asam garam apabila memilih kerjaya sebagai pengamal undang-undang.
“Setiap kerjaya profesional seperti kita ini ada
risikonya. Mun
akan jaga diri, begitu juga abang. Setakat ini kita masih mampu mengatasi segalanya,” ucap Munirah sambil mengusap
lengan suami yang setia di sisi.
“Abang harap, Mun sentiasa
berhati-hati,” pesan Ashraf dengan penuh harapan.
Mereka saling berpandangan dan
tersenyum.
Kelibat wanita berumur awal 40-an,
berkulit cerah, hidung mancung, mata sedikit sepet, bibirnya yang lebar dan
nipis, bertudung labuh dan berjubah hitam yang tiba-tiba muncul di belakangnya
segera mematikan lamunannya. Serentak itu, Munirah yang menyandar keletihan dek
melayan gejolak perasaan sendiri di tempat memandu keretanya bergegas keluar. Ketika
keluar, cahaya matahari yang bersinar bak ketulan emas yang memancar pandangan
mata menyentuh kulit mukanya yang putih bersih, tudung instant shawl
diperbetulkan kedudukannya, agar tidak senget benget.
Munirah tahu, wajah wanita bertudung
labuh itu tampak tenang, akan tetapi bergelora jauh di lubuk hatinya dan lebih
parah daripada hati Munirah yang pernah mengalami gelora yang sama suatu ketika
dahulu. Nafasnya sesak seolah-olah kembali diterjah gelora semalam. Alunan
rentak risau di hujung nafas, merobek rasa tenang dan damai seorang anak gadis
yang masih sunti dan bersih hatinya. Tiupan angin kencang membadai jiwanya yang
dibaluti rasa sedih tidak berkesudahan, berhujan air mata, membengkak hatinya
direntap kasar oleh mereka yang tidak ada jiwa.
Cerita yang didengari lewat
panggilan telefon kelmarin ketika dia masih di kawasan mahkamah daripada wanita
itu hanya mengingatkan dia kepada ayahnya dan mendadak sahaja jiwanya dirasuk amarah. Kenapa kemarahan itu
masih bersisa? Kenapa jiwanya tidak pernah tenang daripada diganggu oleh kisah
silam saat mendengarkan butir bicara dan luahan rasa seorang isteri dan ibu
yang hanya mampu memandang suaminya dibawa pergi lantaran fitnah oleh seorang
budak yang masih mentah tentang kehidupan?
Mendadak peristiwa hitam 15 tahun
dahulu, kembali bergentayangan semula di ruang matanya. Dia seakan dapat
melihat kembali wajah arwah ayahnya yang terkejut gempar dan cuba menafikan
segala fitnah yang dilemparkan kepadanya. Wajah-wajah orang kampung yang
kemarahan sehingga ada yang sanggup ingin memukul dan mengheret arwah ayahnya
keluar dari rumah.
“Aku tak buat! Aku tak buat apa-apa!
Aku nampak dia terbaring dalam semak, aku cuma bantu dia!” nafi arwah ayahnya.
Pucat lesi wajah arwah ayah.
“Penipu! Pembohong! Bawa dia ke
balai! Jangan bagi peluang! Perosak anak orang!” jerit orang kampung
beramai-ramai. Riuh-rendah halaman rumah.
“Saya saksinya!” jerit seorang remaja
lelaki dengan senyuman sinis.
“Kau bohong, Johan! Aku nampak kau di situ,” jelas arwah
ayah. Tiada siapa yang mendengarkan kata-kata ayah.
“Kalau sudah ada saksi dan terbukti
tuan haji bersalah, saya harap tuan haji menyerah!” kata ketua kampung dengan
wajah sinis.
“Aku tak bersalah! Kau orang fitnah
aku!” jerit arwah ayah lagi.
Hiba benar hatinya ketika itu,
tangisannya bertali arus, tiada henti hingga ke malam, arwah ayah sudah dibawa ke balai ketika itu. Hilang maruah dan
harga diri arwah diperlakukan seperti sampah, siapa bersalah dan siapa yang
melakukannya, hanya Allah yang Maha Mengetahui. Dia yakin, pasti suatu hari nanti mereka yang telah menfitnah arwah ayahnya pasti akan dihukum
juga. Bukankah Allah itu Maha Adil dan Saksama? Munirah mengeluh berat, seberat
jiwanya yang sedang menanggung sekali lagi keadaan yang sama.
Munirah ketika itu berumur 17 tahun, tercegat di sisi ibunya yang menangis di tepi
dinding rumah sambil memeluknya erat, ahli keluarga yang lain melarikan diri masuk bilik,
ketakutan.
Bunyi petir sambung-menyambung, berdentum dan mengaum membelah
bumi. Angin kencang bertiup laju menghempas dedaun tingkap kayu yang terbuka
luas, bertambah bising dengan suara jeritan orang kampung menyuruh ayahnya
keluar. Gadis terencat akal yang dikatakan telah ternoda itu turut berada
bersama. Anak jiran sebelah yang sering datang bertandang bermain dengan
Munirah setiap hari jika Munirah tidak ke sekolah. Wajah arwah ayah yang bersungguh-sungguh menafikan, telah menyuntik rasa hiba yang
mendalam di hatinya. Dia yakin ayahnya tidak bersalah.
Kenangan itu membunuh jiwa
tenangnya. Kelopak matanya mula terasa basah, Munirah cepat-cepat menghentikan
kenangan pahit yang sudah cuba dilupakan daripada
diari hidupnya, namun gagal. Dia mengeluh kekesalan.
Sesungguhnya, seperti arwah ayahnya, dia juga amat mengenali akan hati budi
Harris, abang sepupunya itu. Mereka sering berjumpa ketika pulang ke kampung.
Seorang yang pendiam tetapi apabila bercakap, penuh
dengan kata-kata nasihat dan semangat. Rajin menolong, ringan tulang, jika ada
kenduri-kendara
di kampung, Harris adalah orang yang akan bersama-sama turun padang membantu,
tanpa disuruh. Merendah diri, tutur katanya penuh sopan dan menghormati semua
orang tidak kira usia.
Sering mendahulukan orang lain daripada diri
sendiri. Mengambil berat akan hal ehwal ahli keluarga tidak kira sepupu atau
adik-beradik
sendiri. Sewaktu Munirah masih belajar, dan Harris sudah bekerja, jika mereka
bertemu pasti diberi duit belanja. Tidak pernah berkira soal tenaga dan masa.
Minta sahaja pertolongan, pasti dilakukan dengan jayanya. Kenapa ada orang tergamak menuduhnya
berlaku sumbang?
Munirah melangkah keluar, tangan
segera dihulurkan, ditarik dirinya ke dalam pelukan wanita yang berwajah
selamba dan senyuman terukir, tetapi tiada manisnya ibarat kopi yang kehabisan gula.
Munirah mengekori langkah Nisa’ menuju ke gazebo yang
terletak di tepi laman Rumah Kebajikan Permai. Angin tenang, sesekali kencang
menyapa wajahnya. Suara anak-anak mengaji sayup-sayup kedengaran kerana tempat
itu berada tidak jauh dari aula, tempat para pelajar Rumah Kebajikan Permai belajar dan menghafal al-Quran.
Keadaan itu membuatkan dia teringat sewaktu kecilnya yang hanya
dipelihara oleh ibu setelah kematian arwah ayah. Membesar dan berdikari sendiri
tanpa semangat daripada seorang lelaki bergelar ayah. Kelelahan dan kesakitan
oleh peristiwa semalam bergelumang dengan
seribu dendam yang tertanam di hati. Bukan untuk membalas dendam, tetapi mempertahankan mereka yang teraniaya
seperti arwah ayahnya menyebabkannya memilih kerjaya sebagai seorang pengamal
undang-undang. Mungkin rasa sesal, marah, sakit dan geram juga wujud di hati Nisa’ sama seperti dirinya satu
ketika dahulu. Perasaan itu kembali menerjah jiwanya, menghambat hatinya.
“Terima kasih Mun kerana sudi jumpa akak,”
ucap Nisa’.
“Akak masih tak boleh menjenguk
Abang Harris, akak tak tahu keadaannya macam mana,” sambung Nisa’ lagi.
“Nanti Mun jengah Abang Harris di
balai, Kak Nisa’ jangan
bimbang sangat,” pujuk Munirah, bukan hanya sebagai peguam bela dan peguam cara
yang telah lima tahun berkhidmat, bagi pihak Harris. Akan tetapi sebagai adik
sepupu. Dia berkerut dahi. Sudah beberapa kes seperti ini yang ditanganinya,
namun kenapa abang sepupunya ditahan reman lama sangat? Kes cabul seperti ini
bukan susah sangat untuk disiasat, itupun jika memang benar ada bukti yang
sahih. Bukankah sepatutnya mudah sahaja mendapatkan jawapannya, terutama
daripada pihak hospital yang menjalankan pemeriksaan dan ada surat daripada mahkamah akan keperluan
keputusan siasatan untuk prosiding mahkamah.
Entah mengapa, apabila menangani kes
yang boleh dianggap bersifat peribadi, segala yang dipelajari selamat empat
tahun di universiti tempatan sehingga memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-undang bagaikan tidak memadai lagi. Padahal,
bukankah untuk melayakkan diri dalam bidang undang-undang sebagai peguam dan
sebelum diterima menjadi peguam (called
to bar), sama seperti calon lain, dia juga perlu membuat chambering iaitu kursus dan latihan
kelayakan selama sembilan bulan dengan mana-mana firma guaman yang dikendalikan
oleh peguam yang telah diiktiraf sebagai peguam, sekurang-kurangnya untuk tujuh
tahun.
Sebuah firma guaman di Kuala Lumpur
menjadi pilihan, itu pun disarankan oleh pensyarahnya. Sewaktu itu, dia
masih belum ada yang menyarungkan cincin atau tangan bersalaman dengan tok
kadi. Dengan kelulusan cemerlang sewaktu SPM, dia mendapat biasiswa daripada JPA, empat tahun dia
bergelumang dengan tesis dan nota, alhamdulillah, berkat kerajinan dan kesungguhan, tidak kenal erti jemu, kebosanan dan
penat, akhirnya, dia
lulus dengan cemerlang.
Degupan jantungnya berdegup normal,
nafasnya turun naik seperti biasa. Teringat kembali bagaimana sepanjang tempoh
itu, dia bertungkus lumus memerah otak untuk menjalani latihan dan mempelajari
pelbagai ilmu serta aspek yang berkaitan dengan amalan guaman, khususnya perkara-perkara praktikal yang
tidak diajar di universiti.
Senyuman manis terlakar apabila
syarat utama untuk dia yang memang cemerlang dalam Bahasa Melayu dan
dikehendaki lulus Bahasa Malaysia Qualifying Examination yang dijalankan oleh
badan penilaian seperti yang tertera di bawah Legal Profession Act.
Pengecualian menduduki peperiksaan ini biasanya diberikan berdasarkan keputusan
Bahasa Melayu peringkat SPM. Bahasa Malaysia Qualifying Examination di bawah
seksyen 5(f) dan 11(2). Peperiksaan ini mengandungi satu ujian lisan untuk
menguji kemahiran dalam Bahasa Malaysia sebelum dibenarkan menyertai kerjaya
ini.
Tanpa sedar, dia tersenyum lembut.
Masih terbayang di ruang matanya disarungkan jubah hitam labuh setelah tamat chambering selama sembilan bulan, ia seperti acara konvokesyen buat
pelajar undang-undang. Sedangkan dalam hati, bertayangan kejadian yang telah
meragut nyawa arwah ayahnya. Majlis dibuat di hadapan hakim utama, disaksikan
ahli keluarga dan kawan-kawan sealiran. Suasananya tenang, senyap, hanya
kedengaran hembusan nafas mereka yang hadir. Bukan dia sahaja yang menerima kelayakan itu, ada beberapa lagi rakan
seangkatan turut menerima anugerah yang sama. Mereka turut ditemani oleh
ahli keluarga terdekat. Ketika itu, ibunya datang bersama jambangan bunga dan
majlis pengiktirafan itu pula diadakan di dalam mahkamah.
Seperti berada di puncak Gunung Kinabalu, memacak
bendera kejayaan dapat menawan puncaknya yang sejuk, tenang, berangin dan
mendamaikan. Hatinya bernyanyi lembut dan merdu, mendayu, berbuai rasa,
mengusik jiwa keharmonian suka dan gembira bercampur menjadi satu. Ditambah
melihat wajah gembira ibu tercinta dan ahli keluarga termasuk Abang Harris dan
Kak Nisa’ serta
adik-beradiknya
yang lain, mereka sama-sama meraikan kejayaannya bergelar seorang peguam.
Lima tahun bergelumang dengan
kerjaya yang diminatinya itu, memperjuangkan nasib mereka yang dituduh
melakukan jenayah kerana dipaksa dan terpaksa seperti kes seorang isteri
membunuh suaminya, kes seorang ibu membunuh anaknya. Minat yang tumbuh setelah
melihat wajah arwah ayahnya yang dituduh mencabul seorang budak terencat akal.
Ayahnya telah difitnah, lantaran terlalu malu dan tidak mampu menerima ujian
tersebut telah meragut nyawanya.
“Kau kena bantu akak Mun, bantu
abang,” rayu Nisa’ sekali
gus mematikan kenangan silam Munirah.
Munirah mengangguk laju, itulah
tugasnya. Tugas sebagai seorang peguam dan tanggungjawabnya sebagai salah
seorang daripada ahli keluarga Harris. Tidak mungkin dia membiarkan abang
sepupunya meringkuk dalam penjara, jika benar pun bersalah, perlulah dibuktikan. Bukan dengan
hanya air liur atau cakap-cakap kosong, perlu ada saksi yang melihat dan
menyaksikannya. Jangan main tuduh. Sudah jatuh fitnah. Kalau orang lain,
mungkin dia perlu pertimbangkan kesahihan cerita, tetapi ini abang sepupunya sendiri, sudah seperti adik-beradik,
dia amat mengenali Harris.
Menangis jiwanya ketika diberitahu
bahawa Harris ditahan di lokap polis oleh Nisa’ lewat petang kelmarin.
Kenapa baharu hari ini dia diberitahu, kenapa tidak selepas Harris ditahan,
boleh dia terus ke balai polis dan meminta ikat jamin.
“Abang ditahan 14 hari, siasatan
agak sukar sebab pelajar itu tidak mahu beri kerjasama dan katanya dalam
keadaan trauma,” jelas Nisa’.
Munirah mengerut dahi. Kes cabul
sahaja pun? Takkan ditahan hingga 14 hari, apa yang ingin mereka siasat? Dia mengeluh kekesalan. Kerja pihak
polis, bukan boleh masuk campur melainkan dia dikehendaki menghadirkan diri.
Sepanjang ditahan reman, abang sepupunya tidak dibenarkan menerima pelawat, hatta peguam bela sekalipun, untuk memastikan
penyiasatan berjalan lancar. Dia cuma perlu ke balai polis untuk mendapatkan
status kes tersebut. Itu sahaja sehinggalah kes itu dibawa ke mahkamah dan
dibicarakan. Ketika itu, dia perlu menyediakan laporan kes dan menyiasat kes tersebut dengan
terperinci. Dia tidak akan membiarkan abang sepupunya ditahan di penjara selagi
tidak terbukti bersalah. Tidak akan!
“Kak Nisa’ kena banyak bersabar dan
berdoa, saya yakin Abang Harris tidak akan sampai masuk penjara. Sama-samalah
kita berdoa ya.” Sekali lagi Munirah memujuk.
“Insya-Allah, terima kasih Mun dan
akak minta maaf. Akak tengah bingung sampai tak tahu nak hubungi siapa, nasib
baik akak teringat sewaktu tengok nama kau dalam telefon akak,” kata Nisa’ dengan riak muka
monyoknya.
“Kalau akak cepat beritahu saya,
Abang Harris tak perlu ditahan, boleh ikat jamin,” beritahu Munirah. Pesalah
ditahan jika pihak polis risau dan menimbulkan keraguan, takut-takut pesalah
akan melarikan diri.
“Akak teringin sangat bertemu Abang Harris,
tapi tidak dibenarkan,” luah Nisa’.
“Memang tak boleh kak, sabar ya,
saya sendiri tidak dibenarkan melawatnya sehinggalah soal siasat selesai,
melainkan jika khidmat saya diperlukan pihak polis. Akak jangan bimbang,
segalanya akan selamat.” Munirah memeluk bahu Nisa’. Pihak polis tidak mahu peguam bela mengganggu pesalah yang mungkin
dalam keadaan tidak keruan. Waktu disoal siasat, tidak boleh ada gangguan
masalah yang lain. Pesalah harus bercerita dengan jujur dan benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan