Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 16 Mac 2019

SANTUNI ORANG TUA- ASMAH HASHIM

Pagi ini aku ke biliknya agak lewat untuk tengok sama ada dia sudah bersarapan atau belum. Sebaik terlihat kelibatku, emak terus bertanya.
"Ada kain buruk tak? Mak muntah lepas minum air," katanya dengan wajah sugul.
Kulihat di lantai, air berwarna kuning bertakung di celahan jari jemari kakinya.
"Kenapa warna kuning? Mak kencing ke?" Aduh! Aku hampir nak marah. Cepat-cepat aku beristighfar. Aku berhadapan dengan syurga suamiku.
"Tak! Muntah! Mak muntah!" katanya bertegas.
Aku keluar dari bilik dan masuk semula dengan dua helai kain buruk. Kuletakkan di kakinya.
Di atas meja tempat letaknya botol air dan gelas kudekati. Aku memeriksa gelas yang tertangkup, tiada kesan air di dalamnya. Kering seperti belum digunakan lagi.
"Mak kencing ya?" tanyaku sekali lagi.
Dia tetap nafikan.
"Tak apalah, biar Mah bersihkan. Mak pergi mandi, tukar baju," suruhku.
"Dah mandi, aku dah mandi. Tak nak mandi, sejuk. Aku bukan kencing. Aku muntah!" katanya agak kasar, seperti nak marah.
Aku terlihat kain batik yang dipakai basah juga.
"Kain mak tu pun basah, pergi ganti ya mak," sekali lagi aku memerintah.
"Tak nak! Aku nak salin baju aje," masih berdegil.
"Mak, janganlah degil. Mak kencing tu, takkan nak pakai baju yang kena kencing? Nanti abang bising pula kalau mak degil macam ni, " hampir hilang kesabaranku.
"Aku tak kencing! Aku muntahlah!" suaranya semakin keras.
Aku tidak mahu bertekak lagi dengannya. Wajahnya mula menyinga memandangku.
Aku berlalu keluar dari bilik. Kupanggil anaknya. Kami sama-sama masuk semula ke dalam bilik
"Mak," sapa suamiku.
"Mak kencing ni," kata suamiku. Dia mendekati emaknya.
"Aku muntah!" masih mempertahankan kata-katanya.
"Tak kisah lah, muntah ke? Kencing ke? Tapi mak kena bangun, Mah nak bersihkan tilam dan lantai ni," suruh suamiku.
Emak tetap bertegas tidak mahu bangun dan mandi. Allahu Akbar! Semoga aku dan suami mampu bersabar.
Suamiku terus bertegas dan memaksa emak bangun dan mandi. Pakaiannya sudah dikotori oleh air kencingnya sendiri.
Akhirnya dia akur setelah aku bertekad nak bawa dia masuk bilik air yang berada dekat dengan bilik.
Suamiku kembali membuat kerjanya semula. Ada tugas yang menanti buatku. Patutlah Allah kurangkan kerjaku di dapur, rupanya ada tugas lain yang diberikan. Aturan Allah selalu yang terbaik. Aku redha. Terima kasih Allah.
Aku sering terfikir mampukah aku mengguruskan najis mertuaku satu hari nanti ketika dia tidak lagi berdaya mengguruskan diri sendiri kerana aku seorang yang penggeli. Semoga aku mampu.
Setelah emak masuk ke dalam bilik air. Aku mula mengemas katilnya dan mop seluruh bilik yang sudah mula berbau.
Usai emak mandi. Dia masuk semula ke dalam bilik yang sudah siap berkemas.
"Nak pakai pampers dulu," katanya lalu duduk di atas katilnya.
Kami sudah beli tilam khas untuknya, agar mudah dicuci jika terkena najis.
Kuhulurkan pampers yang berbentuk seluar kepadanya. Kutunggu dia memakainya.
"Meh Mah bantu mak pakai," kataku lalu mendekatinya. Emak malu ala.
"Malu apa mak! Mah ni anak mak juga tau, tak perlu ada rasa malu," kataku tegas. Aku membantu emak memakai pampers tersebut dengan betul. Kalau bocor, aku juga yang kena bersihkan.
Setelah siapkan emak, aku masuk ke dalam bilik air untuk ambil kain yang terkena air kencing tadi. Allahu Akbar! Emak sudah rendam dalam baldi yang penuh dengan air. Tak terkata apa-apa, aku buang air tersebut dan ingin memerah kain tersebut. Sekali lagi lidahku kelu. Ada najis melekat di kain. Allahuakbar! Emak turut buang air besar.
"Wa, mak tok buang air besar juga!" kataku kepada menantuku.
"Mak nak buat macam mana tu?" tanya menantu perempuanku.
"Tak apalah, nak buat macam mana, mak kena bersihkan dulu, sebelum masuk dalam mesin basuh," jawabku sambil bawa baldi berisi kain ke bilik air.
Semoga aku mampu bersabar menjaga syurga suamiku ini. Emak sudah tidak boleh makan dengan sempurna, seolah2 Allah sudah tarik rezekinya. Setiap ujian ada hikmahnya.
Semoga emak kuat dan tabah. Biarpun emak selalu kata mulutku jahat, ada aku kisah? Selagi emak berada di rumah kami, kami buatlah sebaik mungkin
Wahai emak-emak semua, jangan sesekali mengata menantu kerana kita tidak tahu menantu yang mana akan jaga kita setelah kita tidak berdaya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan