Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Sabtu, 13 Jun 2015

ULASAN MEMOIR ANAK SETINGGAN



MEMOIR ANAK SETINGGAN
PTS FORTUNA SDN. BHD.
M.S. ANUAR MAHMOD.
RM14.00
*****
                Membaca karya ini buat saya terkenangkan waktu saya kecil-kecil dahulu.  Membesar di kawasan setinggan di tengah-tengah bandayara Kuala Lumpur.  Ramai kawan, ramai jiran tetangga yang tidak lagi dapat bersua muka.  Entah di mana dan ke mana mereka.  Masa berlalu usia yang semakin meningkat dewasa tidak pernah sekalipun saya melupakan kenangan sewaktu menjadi penghuni setinggan.  Kawasan Kampung Paya, Kampung Haji Abdul Hukum, sedangkan kawasan itu adalah kawasan lama yang dibuka oleh Tuan Haji Abdul Hukum satu ketika dahulu.  Banyak kenangan dan memori yang tersemat kukuh di hati.  Semua yang terkandung di dalam buku ini benar-benar terjadi.  Kisah perebutan giliran mengambil air. Banjir kilat dan rumah terbakar, semuanya saya alami. 

                Permainan waktu kanak-kanak, konda-kondi, polis centre, galah panjang dan paling buat saya tersenyum lebar bila sekumpulan remaja bermain bola sepak, bola masuk ke dalam salah sebuah rumah jiran yang tinggal berdekatan pasti akan keluar bola yang telah dipotong empat.  Semua kenangan itu terlukis di dalam karya ini.  Buat saya tidak sabar menghabiskan karya ini dan teruja amat membacanya.  Biarpun berlainan tempat, namun situasi tinggal di kawasan setinggan sama sahaja.  Tiada bezanya.  Ingat lagi waktu hujan bermain air hujan di bawah atap rumah jiran tetangga amat seronok sekali.  Berkongsi dinding antara satu rumah ke satu rumah itu perkara biasa buat keluarga yang tinggal di kawasan setinggan.     


                Kini setinggan sudah banyak yang terhapus.  Masih berkongsi dinding dan bumbung rumah orang lain, rumah flat atau apartment yang semakin banyak sekarang ini, bagaikan menggantikan setinggan yang sudah semakin lupus di sekitar Kuala Lumpur.  Karya seperti ini bagus dibaca oleh anak-anak kita untuk merasakan betapa kita hidup dalam kesederhanaan dan berkongsi apa sahaja sesama kita.  Tahniah penulis kerana berjaya membawa kembali memori silam dalam hidup saya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan