Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 8 Jun 2015

MELAYU JANGAN LUPA

Saya bukan seorang pahlawan untuk melawan dan menyelamatkan negara. Saya juga bukan seorang pemimpin, untuk memimpin orang bawahan saya agar lurus jalannya. Saya hanya anak Melayu yang dilahirkan pada tahun dan bulan di mana rusuhan kaum berlaku. 13 Mei 1969 mencatit sejarah hitam, sebulan selepas itu lahirlah saya ke dunia ini. Menurut kata emak saya, sewaktu dia dibawa ke hospital ASSUNTA Petaling Jaya ada kereta polis yang mengiringi kerana ketika itu keadaan masih panas.
Saya minat pelajaran sejarah terutama sejarah Melaka sehinggalah sejarah pembentukan Tanah Melayu yang memang ada kena mengena dengan diri kita. Walaupun ada yang saya lupa dan tidak ingat akan rentetan peristiwanya dan paling sukar untuk mengingati tahunnya. Sewaktu saya belajar, saya simpan info dalam kepala, sebagai warga negara saya perlu sayangkan negara saya. Sayangkan Bahasa saya. Sayangkan budaya, pakaian dan bangsa saya sendiri. Jiwa patriotik dalam jiwa saya terlalu tinggi. Ini semua kerana saya masih ingat betapa sukarnya kehidupan datuk nenek saya dahulukala. Sejak penjajahan Portugis, Belanda dan Inggeris kemudian Bintang Tiga dan akhirnya kembali kepada Britis. Penjajahan yang membawa luka dan duka.
Tetapi hari ini kita lupa tentang sejarah asal-usul kita. Melaka musnah kerana pengkhianatan. Melaka musnah kerana pemimpinnya suka bermukah dan berfoya-foya. Rasa marah, dendam dan sakit hati memusnahkan sebuah Empayar. Ketidakjujuran memusnahkan perhubungan. Nilai kasih sayang kepada negara, budaya dan bahasa semakin terhakis dalam diri. Kita bagaikan lupa diri, lupa asal-usul. Bangga dengan budaya orang lain, bangga dengan bahasa negara lain. Kita boleh mengikut peredaran zaman, tetapi kita kena tahu dan kekal berpijak pada akar yang menunjang di Tanah air kita ini.
Jangan gadaikan BAHASA, BUDAYA DAN PAKAIAN SERTA BANGSA kita hanya kerana kita berpemikiran moden dan terkini. Biar siapa pun kita, jadilah MELAYU yang sebenar. Biar siapa pun kita, jangan jadi MELAYU MUDAH LUPA.
Kalau saya laser, laser saya bersebab. Itulah pendirian saya yang tidak mungkin boleh diubah. Saya tetap saya, ANAK MELAYU + JAWA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan