Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 17 Januari 2017

CATATAN 9



Saya dilahirkan di Kuala Lumpur, membesar dalam keluarga yang sederhana besarnya.  Tidak mempunyai pendidikan agama yang formal.  Emak dan arwah abah tetap hantar saya mengaji al-Quran, agar tidak buta huruf, tetapi minat saya kepada belajar mengaji, amat kurang, boleh dikatakan tidak minat langsung.  Buta hati betul waktu zaman kanak-kanak.  Budak tidak sedar diri, itulah sikap saya satu ketika dahulu.   Kawan-kawan pergi mengaji, saya sanggup menyorok di belakang surau, kawan-kawan balik, saya pun baliklah juga.  Nampak sangat betapa saya tidak menghargai ilmu yang sewajibnya saya pelajari ketika itu. 
            Melihat keengganan saya belajar mengaji di surau, emak hantar pula mengaji di rumah orang.  Hmm… tak tamat juga, bila sudah naik sekolah menengah, sudah tiada kuasa nak pergi lagi.  Akhirnya berhenti begitu sahaja, tanpa ada rasa bersalah.  Waktu itu tidak pandai mengaji bukan jadi satu masalah. 
            Masa adakala banyak mengubah keadaan kita, ditambah apabila kita sudah berkeluarga, ada anak, dan sudah tentulah saya tidak mahu anak saya mewarisi sikap buruk saya serta buta membaca ayat-ayat al-Quran.  Allah! Sewaktu anak sulong berusia empat tahun, saya sudah bersedia untuk menghantarnya mengaji al-Quran dengan seorang ustazah yang berasal dari Kedah dan mengajar di sebuah sekolah agama KAFA.  Bermulalah episode bila seorang ibu tidak tahu mengajar anaknya sendiri, sekadar boleh tahu dan mengenalkannya dengan alif ba ta sahaja.

            Malunya, apa yang harus saya lakukan?  Di rumah saya cuba mengajar anak saya  apa yang saya tahu, tetapi tidak kesampaian, akhirnya saya mengambil keputusan untuk turut mengaji dan belajar bersama anak sulong saya itu. Malulah oi! Dah tua baru hendak belajar mengaji.  Saya tebalkan muka, suami pula mengizinkan. 

            Saya belajar dari alif ba ta, ketika itu usia saya sudah menjangkau 22 tahun, memanglah masih muda, tetapi apabila sudah berkeluarga, 22 pun sudah terasa tua.  Lebih-lebih lagi sudah menimang cahaya mata. Ya, saya kahwin diusia yang sangat muda, usai SPM sudah dipinang orang.

            Saya berusaha belajar mengaji hanya semata-mata ingin mengajar anak di rumah.  Biarpun tidak pandai sangat, tetapi saya cuba sedaya upaya.  Baharu mengenal huruf dan cara mengeja dengan betul, perlahan-lahan saya membantu anak saya mengulangkaji di rumah. Bukan main garang saya sewaktu mengajar anak, maklumlah tidak mahu anak saya mewarisi kebutaan saya dalam mengenal kalam Allah. Rugi rasanya, sudah tua baru tahu betapa ruginya tidak pandai mengaji. 

            Sewaktu mengandungkan anak sulong pun, apa yang boleh saya buat atau tambah amalan ketika mengandung?  Mengaji? Tidak tahu. Hanya solat dan doa.  Lihat, betapa ruginya?  Ketika anak sulong berumur enam tahun, suami dinaikkan pangkat dan kami berpindah ke Kedah, Allah punya perancangan, segala-galanya aturanNYA yang sukar untuk kita mengertikan dengan kata-kata.  Apa yang kita rasa, melihat dan memerhati tentang hidup sendiri, kita tahu,  apa sahaja yang Allah swt berikan kepada kita adalah yang terbaik buat kita sendiri.

            Selepas belajar mengaji dengan anak sulong, saya sudah boleh membaca al-Quran, biarpun secara merangka-rangka.  Maklumlah pelajar yang baru hendak berjinak-jinak.  Pindah ke Kedah, saya mengandungkan anak kedua. Alhamdulillah, Allah itu  Maha Kaya, saya boleh menghabiskan 30 juzuk al-Quran sewaktu mengandung bayi kedua saya, syuku sangat-sangat, tiada apa yang boleh saya katakan, betapa indahnya, seronoknya, gembiranya hati saya boleh membaca setiap baris ayat yang ada di dalam al-Quran, biarpun tidak cekap, tidak lancar sangat, itu sudah cukup untuk memberi ketenangan kepada saya.

            Anak sulong pula terus membesar dan dihantar mengaji di rumah pasangan suami isteri yang tinggal berhampiran rumah kami di Alor Setar ketika itu.  Alhamdulillah, di terang hati, boleh membaca dengan baik, malah pandai tajwid.  Saya benar-benar bersyukur, anak-anak tidak mewarisi kebutaan saya dalam mengenal kalam Allah, anak kedua juga boleh mengaji dengan baik malah hafal al-Quran dan mengambil Diploma dalam bidang Tahfiz. Anak bongsu masih belajar di maahad tahfiz, Allah tidak pernah menipu, jika niat dan hati kita ingin sesuatu yang baik, berdoa, meminta, merayu pasti ditunaikan.  Anak-anak semuanya celik al-Quran, boleh membaca dengan lancar dan baik. 

            Saya tidak dapat membayangkan kehidupan saya di waktu tua nanti dihabiskan dengan hanya menonton televisyen atau tidak berbuat apa-apa, tidak tahu mengaji?  Itu adalah perkara paling menyedihkan dalam hidup saya sendiri.  Saya bersyukur, Allah memberi saya kekuatan dan keberanian, membuang perasaan malu untuk saya belajar mengaji biarpun sudah mempunyai anak.  Belajar agama tidak perlu ada perasaan malu. Satu tuntutan yang perlu diteruskan demi kelangsungan hidup kita diakhirat kelak.  Saya amat berterima kasih kepada teman saya sewaktu saya tinggal di Pantai Dalam dahulu yang sudi mengajar saya mengaji.  Juga kepada kedua arwah guru saya yang tidak jemu mengajar saya mengaji walaupun anak murid mereka ini benak yang amat. 

            Hidup manusia perlu ada peningkatan, daripada tidak tahu kepada tahu, dari baik kepada terbaik.  Terpulang  kepada diri kita untuk mencapai setiap impian yang kita inginkan.  Biar apapun yang kita pelajari, biarlah bermanfaat untuk kita baik di dunia mahupun di akhirat. Ajarlah anak-anak kita mengaji dan kita juga perlu tahu membaca al-Quran, setiap perkara yang kita belajar terutama tentang agama yang kita anuti turun temurun ini perlulah dipelajari. Apatah lagi tentang bab hukum hakam, biar menjadi pendinding diri daripada melakukan dosa, tidak kira besar atau kecil.  Tersembunyi atau secara terang-terangan. 

HIDUP KITA ADA ALLAH!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan