Beli barang lagi? Siapa nak bayar? Itulah yang meledak dalam
fikiranku. Ingin sahaja menghalang
keinginan isteri tercinta. Melihat kegembiraannya buat hatiku rasa bersalah. Tidak dilarang, duitku terbang. Jika dilarang, pasti ada hati yang terguris
luka. Serba salah jadinya. Terujanya dia. Senyuman yang terlukis membuatkan hatiku pula
terasa sayunya. Tidak sanggup menghalang
kegembiraanya. Tidak sangguh
menghampakan keinginannya. Tetapi,
bagaimana aku mampu membayarnya? Bukan murah, ribuan ringgit. Mana aku nak cekau duit sebanyak itu dalam
masa sehari? Uh! Aku hanya eksekutif
biasa di sebuah syarikat. Gajiku biasa-biasa
sahaja. Hari ini dapat, esok berbaki entah berapa sen sahaja. Longokan bil-bil yang perluku bayar ada ketika
buat tubuhku seram sejuk menghadapinya.
“Macam mana bang?” tanyanya
gembira.
Aku pula rasa tidak selesa. Hendak mengaku, takut memikirkan jumlah duit
yang tidak cukup dalam poket. Kenapalah
aku menempah masalah, mengikut ajakannya hendak ke kedai Seng Heng pagi
tadi. Kalaulah aku beri alasan, tentu
aku tidak terjebak begini.
“Televisyen kitakan masih baik
lagi? Peti sejuk pula cuma kecil
sahaja. Biarlah dulu,” kataku bagi
menyelamatkan diri.
“Ala… anak kita semakin membesar,
peti sejuk terlalu kecil untuk menampung keperluan di rumah. Televisyen pun semakin pudar warnanya,” ujar Liya.
Aku terpana seketika. Apa perkataan yang sesuai untuk aku gunakan
bagi menghalang keinginan isteri tercinta.
Aduh! Wahai isteri, fahamilah suamimu ini, kataku dalam hati. Hendak berterus-terang terasa beratnya. Kalau
tidak cakap terasa sakitnya. Sakit apa lagi, sakit poket yang kurang isinya.
Aku cepat-cepat berjalan ke arah
lain, buat-buat sibuk memilih dan membelek jenama lain pula. Konon, hendak
mencari yang paling canggih. Pandai aku
berlakon untuk mengurangkan rasa tekanan yang sedang menghimpit hati. Ya ALLAH! Ya ALLAH, tolonglah aku! Jeritku
dalam hati. Berpeluh badanku. Terasa panas dalam badan. Hendak demam
agaknya. Demam duit tidak ada. Boleh buat lagu lagaknya. Dalam seram, masih mampu tersenyum. Senyum dalam seram, bolehlah agaknya.
Aku melihat isteriku melambai laju.
Hendak apa pula? Dia sudah menempahkah?
Alahai, janganlah sayang, bisik hatiku lagi.
Berat langkah kakiku, bagai ada gam yang melekat. Terpaku seketika. Terasa semak dadaku. Hendak pergi ke tidak? Aku buat-buat tidak
nampak. Semakin jauh aku melangkah. Buat-buat tidak nampak lambaian laju isteri
tercinta.
“Abang!”
Satu tamparan hinggap di
bahuku. Aku menoleh. Kerutan wajah
isteriku jelas terpancar.
“Jomlah balik!” ajaknya.
Aku tersenyum, tidak jadi belilah
agaknya. Kalau isteriku membeli pasti
meminta duit denganku. Aku menarik nafas
lega dan mengikut langkah lajunya keluar dari ruang kedai elettrik yang melaut
luasnya. Boleh berpinar mata melihat pelbagai jenis barangan
eletrik yang mampu membuat hati sesiapa sahaja bergegar. Terpikat dan buat hati
terlajak untuk membelinya.
Dalam kereta aku dan dia membisu.
Seperti tiada apa yang ingin kami bualkan.
Terasa sunyi dan kosong. Aku
melayan perasaan sendiri seraya memandu dengan berhati-hati. Malang tidak
berbau. Isteri tercinta sibuk melayan
anak kecil kami. Disusukan, dibelai,
dicubit dan diajak bergurau.
Sampai di rumah, semua barang dapur
di letakkan di tempatnya. Aku pula ke
ruang tamu. Penat juga keluar di hujung minggu. Biarpun hanya keluar membeli
barangan dapur dan mencuci mata di kedai eletrik. Setakat mencuci mata sahaja,
itulah harapanku
“Abang, Liya nak ke atas dulu ya,
nak tidurkan Aiman” beritahu Liya.
Aku tidak memandangnya, hanya
mengangguk.
Bunyi loceng pintu membuatkan aku
segera bangun. Siapa pula yang
datang? Aku menapak ke pintu. Seorang lelaki berbangsa Cina berdiri di hadapanku sambil
membelek sekeping surat.
“Ada apa?” tanyaku kehairanan.
“Hantar baranglah bang,” jawab lelaki Cina itu serius.
“Barang apa?” tanyaku agak kasar.
“Tadikan itu puan ada pesan televisyen
dan peti sejuk. Mana mahu letak?”
“Peti sejuk? Televisyen? Awak silap rumah agaknya?” kataku lagi.
“Kenapa bang?” tanya isteriku dan
datang menghampiri.
“Ini, ada orang hantar barang.
Sayang ada beli ke? Abang tak bayar apa-apa pun?” kataku lagi.
“Memang sayang ada beli, dah bayar
pun. Takkan mereka tidak hantar?” kata isteriku dengan senyuman manisnya yang
buat aku sering jatuh cinta.
“Sayang dah bayar?” soalku kehairanan. Banyaknya duit isteriku? Mana dia dapat? Uh! Jangan buat yang bukan-bukan! Fikirku
sendiri.
“Sayang dapat duit kutulah, campur
duit lebihan belanja harian yang abang bagi, itu sebab sayang beli televisyen
dan peti sejuk yang baharu,” jelas Liya dengan mata yang bersinar.
Aku memandang sahaja pekerja syarikat
Seng Heng membawa peti sejuk dan televisyen baharu melangkah masuk ke dalam
rumah. Wajah ceria isteriku juga
membuatkan hatiku rasa bersalah. Terasa
bersalah, kerana bukan aku yang membayar. Terasa bersalah kerana menganggap
isteriku hanya tahu menghabiskan duit.
Duit dapur pun disimpan? Memang hebat
isteriku. Main kutu? Aku kagum dengan caranya, aku pula yang
berasa malu. Aduhai isteriku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan