Biarlah
Adira membencinya, asalkan peristiwa malang itu tidak diketahui oleh anak
sulongnya. Allah! Ujian yang terlalu
berat bagiku, detik hati kecil Maria, tangisannya bergema di dalam hati. Jeritan
hanya dia yang mendengarnya. Terlalu parah, namun dia pasrah. Biarlah seberat
Gunung Kinabalu yang menghempap tubuhnya, rahsia tetapakan menjadi rahsia.
Bagaimana
mungkin dia melupakan kejadian awal pagi itu yang telah meragut maruah
dirinya. Sebagai seorang janda, belaian
lelaki tidak lagi diperlukan. Pinangan
yang ditolak rupanya menyimpan dendam kesumat yang akhirnya mencemarkan maruah
dirinya. Maruah diri yang dijaga setelah
kematian suaminya bertahun-tahun yang lalu. Kelahiran Ain mengundang bencana
dan petaka dalam hidupnya. Kata-kata
nista dan hinaan orang kampung begitu menghiris hatinya. Dia anak beranak
dipulaukan. Tidak ada seorang pun yang
sudi mengambil tahu. Ceritanya dianggap
hanya rekaan seorang janda yang kehausan.
Allah!Kejam sungguh tuduhan mereka.
Apakah
dia buta hati, tidak kenal dosa dan pahala? Kalau sudah menggila nafsu berahi,
dia rela bernikah sahaja. Tetapi, itu
bukan tuntutan nafsu kalau bukan kerana dipaksa oleh seorang lelaki durjana
yang tergamak memusnahkan hidupnya.Lahirlah Ain yang tidak berdosa. Anak luar nikah yang dibenci dan tidak
diterima akan kelahirannya. Maafkan aku wahai anak! Bisik hati kecil Maria
dalam sendu yang tidak sudah. Tidak rela
mengaku Ain anaknya. Tidak sanggup
memandang wajah kecil itu.Maria tahu, anak itu tidak berdosa. Namun, hatinya
begitu keras tidak mampu menerima kehadiran Ain. Hendak dibuang terasa kasihan. Apa dosa Ain?
Lima
tahun Ain hidup tanpa kasih sayang seorang ibu, biarpun ibu itu sentiasa ada di
hadapannya. Sakit demam Ain hanya Adira yang
menjaga. Tidur Ain Bersama Adira, mandi
Ain, Adira segala-galanya. Maria membuka
mulut, gumpalan kain segera dikeluarkan setelah tangisannya semakin dapat
ditahan. Matanya berasa bengkak dan perit. Sampai bila harus dia hidup begini?
Hidup tertekan apatah lagi melihat wajah Ain, semakin rimas dirasakannya.
Kejamkah
dia? Ya! Benar, bukan dosa Ain, bukan
salah Ain. Tetapi, dia tetap tidak boleh terima kehadiran anak itu. Hendak hantar ke mana? Siapa yang sudi menjaganya? Rumah anak-anak yatim? Ah! Adira tentu melarang. Maria dapat melihat kecintaan yang teramat
sangat Adira terhadap adiknya itu. Itu bukan adik Adira! Ain bukan sesiapa. Ain bukan adik Adira!
Lelaki
durjana itu sebaiknya mati! Berkerut
wajah Maria. Air matanya tumpah
lagi. Dia menarik-narik cadar yang telah
usang warnanya itu. Mengelodak
jiwanya Kalaulah masa boleh
beralih,sudah pasti digodok sahaja lelaki itu dengan pisau menoreh getah. Biar
mati!Mati! Mati! Jeritnya dalam hati.
Sejak
itu dia selalu berhati-hati. Parang panjang sering dibawa sebagai senjata untuk
mempertahankan diri. Tidak kira siapa
yang menerpa ke arahnya. Akan dicincang sehingga lumat. Tidak dibiarkan dirinya
menjadi mangsa kebuasan lelaki jahanam yang hanya tahu memusnahkan! Dia sudah tidak peduli. Maruah diri akan dipertahankan biarpun nyawa
menjadi galang gantinya. Peduli dengan kata nista, pergi mampus dengan
penghinaan. Apa yang berlaku sekarang,
sudah cukupmemeritkan. Pisang tidak akan
berbuah dua kali. Tubuhnya tidak akan
dibiarkan disentuh oleh tangan-tangan jahat yang durjana, kejam dan
menjijikkan! Ah! Kenapa semua ini
berlaku kepada dirinya?
Tangisannya berlagu sayu,sempit dadanya. Terasa sesak nafasnya. Laju degupan jantungnya. Tubuhnya bergetar menahan kemarahan. Masih terbayang akan wajah setan yang
bertopengkan manusia itu. Meragut maruah
dirinya dengan rakus, tanpa berperikemanusian biarpun dia merayu minta dilepaskan. Janda miskin yang teraniaya, itulah
dirinya. Hembusan nafasnya kasar. Berapi-api dadanya menahan amarah yang amat
sangat. Kalaulah lelaki itu berada di
hadapannya sekarang, sudah pasti digodoknya dengan parang panjang. Biar
mampus!Mampus! Jerit Maria dalam hati.
Dia
memeluk lutut, menangis dan meraung
perlahan, biarlah derita itu ditanggungnya sendiri. Keluarga membuangnya kerana berasakan dia
perempuan sundal yang menjalang kerana tiada suami. Kejamnya tuduhan mereka! Tidak kenalkah mereka dengan darah daging
sendiri? Apakah dia manusia asing yang tidak perlu diberi simpati? Adik beradik menjauhkan diri sebaik sahaja
Ain lahir ke dunia ini. Langsung tidak dipedulilan oleh mereka. Rayuan dan ceritanya hanya dianggap sandiwara
untuk menutup kejahilan diri. Ah! Dia
bukan seperti itu. Dia masih manusia
serupa yang punya Tuhan, ada hati, ada maruah diri.
Maria
mengetap bibir. Jari jemari dikepal
sekuat hati. Wajah lelaki itu
bermain-main dalam fikirannya. Jantan
tak guna! Jerit suara dalam hatinya. Aku benci kau! Aku benci kau! Ulang suara
di hati berkali-kali. Ain! Kenapa kau tak mati saja! Semakin kuat suara itu
bergema di hati Maria.
Tidak
lagi kedengaran suara Ain menangis. Sunyi sepi.
Katil besi yang semakin dimamah usia berkeriuk bunyinya apabila Maria
bergerak. Daun pintu bilik yang tertutup
rapat dibuka luas, terasa lemas berada di dalam bilik yang hanya mampu
memuatkan sebuah katil dan almari baju dua pintu. Segala-galanya usang di dalam
rumah itu. Maria sebak. Sampai bila dia
harus hidup begini? Keluhannya tidak terjawab.
Akhirnya Maria melelapkan mata. Letih memikirkan kelangsungan hidupnya
sekeluarga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan