Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 5 April 2020

ULASAN TUNANG TAK GUNA!





Tunang Tak Guna
Murni Aqila
Alaf 21
2016
704 muka surat

Siapa yang tidak menggelabah, semua sudah siap ditempah. Khemah sudah dipasang, tok kadi sudah datang, tukang masak sibuk memasak menyediakan juadah untuk tetamu yang bakal datang. Saudara-mara sudah berkumpul, riuh rendah suasana di dalam rumah dan di luar rumah.

Pengantin perempuan sudah memakai inai di jari. Merah sangat Mak Ngah! Sudah ditata rias, disolek mengalahkan permaisuri.
Tiba-tiba, datang si ayah pengantin lelaki mengatakan bakal pengantin sudah melarikan diri!?

Boleh meroyan dan hilang semangat bakal pengantin perempuan. Boleh gila! Kisah pengantin tak jadi kahwin sering juga kita dengar dan dijadikan intipati cerita dalam novel ini.

Mengisahkan Shila dan Ezzat sudah bertunang dan bakal menamatkan zaman bujang mereka. Keluarga Ezzat bermasalah setelah arwah ibunya meninggal. Ayahnya seperti orang patah kaki, tidak tahu nak buat apa bagi menguruskan rumah tangganya yang hanya dikurniakan anak lelaki. Ezzatlah yang menguruskan semua perkara di dalam rumah itu sehinggalah urusan persekolahan adik-adiknya.

Semakin hampir dengan majlis perkahwinan mereka, semakin gabra Ezzat, duit di tangan tiada, duit hantaran, mas kahwin semua perlu difikirkan. Dia telah memberi sejumlah wang untuk ayahnya simpan bagi melangsungkan perkahwinannya, tapi duit itu telah diguna pakai oleh ayahnya.Ezzat semakin bingung.

Di mana dia hendak dapatkan duit dalam masa terdekat?
Pelamin anganku musnah, itulah yang terpaksa di hadapi oleh Shila dan keluarganya. Shila tidak mampu menahan kesedihannya, berkali-kali dia menelefon Ezzat, sebelum ini tidak terlihat apa-apa perubahan sikap tunangnya itu, ceria seperti biasa. Kenapa tiba-tiba tunangnya melarikan diri? Apa salahnya?

Shila benar-benar kecewa. Dia keluar dari rumah sehingga terpaksa dicari. Akhirnya Shila ditemui dan dibawa pulang. Dia seperti orang hilang arah, kata-kata Ezzat sangat menghancurkan hatinya. Memang Ezzat TUNANG TAK GUNA!

Dalam kesedihan, sekali lagi keluarga Shila diuji, rumah mereka pula terbakar, jiran tetangga cuba memadamkan api tetapi tidak berjaya, kebakaran itu memusnahkan seluruh rumah Shila. Apa yang berlaku? Dapatkah Shila di selamatkan? Bagaimana keluarganya? Ke mana Ezzat pergi?

Bagaimana kehidupannya selepas meninggalkan kampung halamannya dan Shila? Bahagiakah dia? Adakah mereka akan bertemu kembali? Mahukah Shila menerima kehadiran tunangnya yang tidak guna itu?

Pasti ramai hendak tahu kesudahan cerita ini, kan? Bolehlah dapatkan novel ini.

Gaya bahasa yang santai dan bersahaja, ada sedikit unsur komedi.

Latar tempat, rumah kampung dan sebuah apartment. Ada adegan di restoran dan kilang.

Pengajaran cerita ini: Sebelum buat sesuatu fikirkanlah kesannya kepada orang lain. Tidak kira besar atau kecil, hidup kita saling bertaut. Usah buat keputusan yang mampu menjejaskan masa depan orang lain.

Berfikir dahulu sebelum bertindak. Tiada perkara yang tidak boleh dibawa berbincang. Biarpun pahit itu lebih baik daripada menyakitkan hati sehingga terpaksa menanggung kesengsaraan seumur hidup.

Tahniah buat penulis kerana telah menulis sebuah novel yang santai dan menyeronokkan si ulat buku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan