Resah mengapai diri, kebimbangan berdiri teguh di tangkai
hati. Ketakutan menerjah datang. Apa yang harus dia lakukan? Sebagai pemimpin Negara dia perlu berbuat
sesuatu, lakukan sesuatu. Dia berjalan
mundar-mandir di bilik kerjanya yang luas dan selesa itu. Cuaca sejuk di luar tetapi hatinya sedang
kepanasan, bukan marah tetapi rasa seram yang menyelusuri setiap urat nadinya,
bukan takut berjumpa hantu tetapi keadaan cuaca yang semakin buruk. Langit menangis tanpa henti, sesekali
berhenti mengalir, kemudian mengalir lagi dan lagi dan lagi… Dia tidak tahu harus berbuat apa, keadaan di
beberapa buah negeri amat menyedihkan. Bantuan
yang diberi ada yang tidak sampai.
Banyak barang keperluan harian di perlukan. Hendak ambil dari mana? Tidak mungkin meminta terus daripada rakyat
di luar sana? Sumbangan yang diberi
tidak akan cukup sepenuhnya. Bantuan
pasti diperlukan ketika dan selepas bencana alam itu berakhir. Apa pun dia
harus melawat kawasan yang terlibat.
“Kita
ke tempat yang paling teruk dilanda banjir!” arahnya kepada PA yang setia siang
dan malam, mengikutnya ke mana sahaja.
Setia dan menunggu setiap arahan daripadanya.
“Baik
Dato…” jawapan yang klise tetapi itulah yang sepatutnya.
Dia
memandang keadaan mangsa dengan mata yang berkaca. Hiba menghimpit diri, tidak sanggup melihat
kesengsaraan mangsa terutama yang sakit tua dan tenat. Dia mengeluh keras. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Mereka hanya tidur beralaskan
tikar, tidak berbantal dan tidak berselimut. Selimut yang diberi tidak akan
cukup, jumlah mangsa semakin hari semakin bertambah. Tidak cukup air bersih, lampu juga begitu,
bekalan air dan eletrik terpaksa ditutup kerana keadaan yang semakin teruk dan
tenat. Ada rumah yang sudah ditenggalami
air sehingga hanya kelihatan bumbungnya sahaja.
Begitu juga dengan beberapa bangunan tinggi. Hanya keluhan berat yang keluar dari mulutnya.
“Apa
harus kita buat dato? Bekalan keperluan
tidak mencukupi,” luah salah seorang menteri yang turut ikut meninjau mangsa
banjir.
Dia
memandang sekali lagi wajah-wajah duka mangsa.
Dia perlu buat sesuatu. Ini
negaranya, dia yang berkuasa, dia boleh buat apa sahaja, ketepikan birokrasi,
nyawa rakyatnya lebih penting dari segala-galanya. Nyawa tiada galang gantinya. Dia memandang wajah menteri itu lalu
tersenyum.
“Keluarkan
arahan, semua syarikat makanan yang tidak terjejas dengan banjir, wajib menyumbang
satu atau dua kontena barang makanan yang diperlukan. Hubungi semua syarikat seperti Nestle,
Cadbury, Gardenia dan apa sahaja yang bersangkutan. P & G, syarikat yang
mengeluarkan pampers pakai buang, tuala wanita, pembuat pakaian, selimut. Pembekal air minuman, air mineral. Kita tidak perlu meminta pada rakyat, banyak
syarikat di luar sana yang boleh membantu. Hubungi Bernas, minta mereka hantar
terus beras ke tempat pengumpulan. Semua
syarikat yang terlibat kita akan tolak incometax dari sumbangan yang mereka
berikan kepada mangsa banjir. Awak rasa
adakah syarikat yang menolak?” Dia
tersenyum. Kenapa terjerit-jerit meminta
daripada rakyat di luar sana. Jika ada
yang sudi membantu dipersilakan. Waktu
inilah syarikat-syarikat pengeluar makanan dan keperluan harian ini harus
membantu dan bantuan mereka tidak percuma.
Mereka dapat pemotongan cukai.
“Dato
memang bijak,” puji menteri itu.
“Kalau
saya tidak bijak, saya tak jadilah Perdana Menteri,” selorohnya. Mereka sama-sama tersenyum.
Arahan
dikeluarkan segera. Siapa yang menolak jika PM yang memberi arahan, walaupun ada juga syarikat
yang mempertikaikan arahan yang diberi tetapi setelah diterangkan bahawa mereka
mendapat pemotongan cukai pendapatan, akhirnya mereka akur. Barangan keperluan terus dibawa
berkontena-kontena oleh syarikat yang terlibat.
Arahan seterusnya, setiap syarikat yang ada helikopter diminta
menyumbangkan keperluan mereka untuk membantu rakyat yang terkandar di dalam
banjir. Para sukarelawan dikerah
bekerja. Bot-bot nelayan yang sesuai
disewa untuk membawa dan menghantar barang makanan ke tempat yang terjejas
teruk.
Semua
bersatu atas nama perikemanusian. Tidak
kira berlainan agama dan ideology, semuanya berganding bahu, berat sama
dipikul, ringan sama dijinjing. Ketika
ini terlihatlah kerjasama sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama ini. Tentera dan polis turut turun padang. Bantuan perlu sampai segera, tidak mahu ada
yang terlepas pandang. Setiap kawasan, ceruk
rantau ditinjau. Takut ada yang terbiar
tidak terbantu.
“Dato… bagus tindakan dato,” puji seorang rakyat
yang tidak dikenali tetapi dia amat dikenali.
Dia mengangguk perlahan. Dia
bukan minta dipuji atau dikeji, sudah
menjadi tanggungjawabnya. Tidak akan
dapat memuaskan hati sesiapa. Jika semua
saling membantu, tiada wang kerajaan atau rakyat yang dikeluarkan. Di Negara ini banyak syarikat dan kilang
mengeluarkan makanan dan barang keperluan.
Waktu dan ketika inilah mereka boleh membuat kerja amal dan mengeluarkan
wang untuk membantu mereka yang memerlukan.
Tidak perlu mengeluarkan belanja menaja perkara yang bukan-bukan hanya
semata-mata ingin menolak cukai pendapatan.
Ketika inilah mereka boleh melabur sebanyak mana pun, anggapan sebagai
satu tajaan. Bukan niat untuk merugikan
syarikat yang sudi membantu, tetapi itulah tanggungjawab sosial mereka. Bukan
selalu, tiada siapa meminta nasib malang menimpa mereka. Bukan ada orang yang berdoa agar bencana alam
ini berlaku. Bukan kehendak
sesiapa. Bukan kehendak dia juga.
“Dato…
semua syarikat sudah memulakan langkah mereka.
Mereka cuma minta surat perjanjian atau jaminan daripada kerajaan bahawa
segala sumbangan mereka akan ditolak cukai pendapatan,” terang PAnya.
“Hantar
beberapa orang pegawai ke syarikat yang terlibat. Pantau barangan yang
dihantar. Saya tidak mahu ada sebarang
penipuan daripada syarikat terbabit dengan menghantar barangan yang telah tamat
tarikh luputnya atau barangan rosak,
hantar pegawai yang jujur, saya tidak mahu ada penipuan! Faham!” arahnya. Manusia ada pelbagai hati, kalau sudah
kerjanya menipu, dalam keadaan seperti ini pun masih ada yang ingin
menipu. Bukan semua orang boleh
dipercayai, mencari yang jujur bukan mudah.
Membantu dengan hati yang ikhlas juga payah. Yang ramai adalah kaki komen dan hanya tahu
menghentam, ketika diminta turun padang atau membantu, peluk tubuh dan angguk
sahaja tanpa berbuat apa-apa.
Beberapa
jam kemudian segala arahan dipatahi,
barang-barang yang diminta sudah pun sampai ke tempat pengumpulan, dan
kerja pemungahan dan pengagihan juga sudah bermula. Dia belum boleh tersenyum bahagia, selagi
perkara ini tidak selesai, selagi itulah tiada senyuman di bibirnya, tiada
kegembiraan di hati. Semoga usahanya
yang sedikit ini dapat membantu mereka yang susah di luar sana. Semoga ALLAH SWT mengampunkan dosanya dan
dosa seluruh rakyat dibawah pimpinannya itu.
Semoga keadaan segera pulih, itulah doanya tidak henti-henti. Akulah pemimpin, katanya dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan