Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 11 Disember 2014

ULASAN JOGHO YANG TEWAS

JOGHO YANG TEWAS
ROHANI DERAMAN
2013
RM33.00
***** Bintang

    Pak Ripin seorang tukang karut dikir barat, dengan hasil jadi penyanyi atau tukang karut dikir baratlah dia menyara dua orang isteri dan anak-anaknya.  Hidupnya bukan senang, membanting tulang siang dan malam, dia ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam hidup dan pelajaran.  Anak sulong Pak Ripin, Setopa seorang pelajar yang cemerlang.  Berkat kecermelangannya, dia dapat melanjutkan pelajaran ke Universisi Al Azhar.  Pak Ripin sendiri berangan-angan agar anak sulongnya itu menjadi seorang ulama’ dan dia bersungguh-sungguh berusaha agar anaknya dapat melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor itu.  Sanggup dia bergolok bergadai demi mencapai impian itu.  Begitu juga dengan adik-beradik yang lain serta kedua orang isterinya.  Demi memenuhi impiannya dan impian Setopa, Pak Ripin sanggup lakukan apa sahaja.  Harapan Pak Ripin, suatu hari nanti, Setopa akan balik bawa segulung ijazah dan membalas jasa mereka yang telah membantunya selama ini.  Namun harapan tinggal harapan.  Rupanya Setopa lupa diri, dan malu dengan kerja yang dilakukan oleh Pak Ripin.  Setopa beranggapan pekerjaan sebagai Jogho dikir barat adalah melalaikan, berdosa dan haram.  Hati Pak Ripin hancur, kecewa.  Dia tidak pernah menyangka, Setopa akan beranggapan begitu, sedangkan hasil titik peluhnya sebagai jogho dikir baratlah dia membesarkan anak-anaknya.

    Di kampung  yang sama tinggal sebuah keluarga, Mek Lijah dan anak-anaknya yang telah kehilangan suami dan ayah.  Azli, anak sulong berasa bertanggungjawab meneruskan harapan arwah ayahnya ingin melihat adik-adiknya berjaya, dia berhenti sekolah dan merantau ke Singapura.  Berhempas pulas mencari rezeki menyara ibu dan adik-adiknya yang sedang meningkat dewasa.  Segala penat lelahnya terbayar apabila semua adik-adiknya berjaya dalam pelajaran.  Azli tidak pernah kesal jika dia sendiri gagal melaksanakan impian dan cita-citanya.  Setelah merantau 20 tahun akhirnya Azli pulang membawa harapan tinggi untuk memajukan diri dan kampungnya.  Dia ingin menjadi petani moden.  Dengan bantuan kawan baiknya Husni, anak Pak Ripin daripada isteri kedua orang tua itu, Azli dibantu mendapatkan khidmat nasihat pejabat pertanian negeri.  Tanah terbiar dibangunkan dan akhirnya segala impiannya tercapai. 

    Hendak tahu kisah seterusnya, kenalah baca karya ini.  Siapa yang tewas sebenarnya?  Pak Ripin?  Mek Nab?  Sudin yang berhati dengki dan busuk hati?  Atau Setapo dan isterinya yang sanggup membuang keluarga hanya kerana kemiskinan?  Kenalah cari sendiri. 

    Jogho Yang Tewas bagi saya sebuah naskah berat yang sepatutnya diadaptasikan.  Karya yang sarat dengan limpahan kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya, kasih sayang seorang isteri dan keluarga madunya, sanggup dia berkorban apa sahaja.  Kasih sayang  adik kepada abangnya dan memenuhi impian orang tua, pengorbanan yang seharusnya ada dalam diri setiap insan yang bernama keluarga, saling sayang menyayangi antara satu sama lain.  Kasih sayang yang tumbuh di hati Husni, Zaiton dan Marini terhadap orang tua mereka begitu hebat di mata saya.  Pengorbanan yang bukan sedikit oleh Pak Ripin terhadap anak sulongnya.  Itulah harapan setiap manusia yang bergelar ayah dan ibu.  Sikap Setapo yang seakan tersesat dalam mencari jalan pulang walaupun ada pendidikan agama, sehingga mengenepikan keluarga yang banyak berkorban benar-benar membuat hati ini terbakar.  Biar buruk bagaimana ayah dan ibu, selayaknya mereka terus dihormati dan disayangi.  Sikap isteri Setapo yang sombong buat hati ini geram.  Tidak layak dijadikan seorang isteri jika mempunyai sikap tinggi hidung dan berlagak seperti itu.  

    Setapo, Sudin digambarkan sebagai anak yang tidak mengenang jasa, namun tetap diberi peluang untuk menjadi manusia yang berguna di pengakhiran cerita.  Husni, Marini, Zaiton, Azman dan Hasyimah digambarkan sebagai seorang anak yang taat dan hormat orang tua.   Siti Khadijah, Amin pula mewakili menantu yang baik dan taat, suami yang baik dan isteri yang bertanggungjawab.  Begitu juga dengan Mek Siah isteri kedua Pak Ripin yang mewakili isteri-isteri yang baik-baik di luar sana.  Berlainan Mek Nab yang kecewa lantaran suaminya berkahwin lagi sehingga menyimpan dendam terhadap madunya sendiri.

    Latar tempat di sebuah kampung  di Kelantan.  Gaya Bahasa percakapan banyak menggunakan dailek  Bahasa Kelantan.  Masih boleh memahaminya kerana sudah terbiasa bergaul dengan orang-orang Kelantan.  Tahniah kepada penulis kerana telah berjaya mengangkat  budaya Kelantan, Dikir Barat dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya.  Budaya jangan dilupa.  

    Apa yang boleh saya katakan.  Inilah karya yang bagus, yang seharusnya dibaca oleh sesiapa sahaja di luar sana, tidak kira peringkat usia.  Banyak tauladan yang boleh kita ambil darinya.    Kepada yang berminat mendapatkan karya ini bolehlah menghubungi penulisnya sendiri.  Rohani Deraman atau lebih dikenali Fida Rohani Novelis Alaf 21.

6 ulasan: