Redup pandangan matanya memandang ke arahku membuatkan
hatiku terpanar kerisauan. Apa yang
sedang bermain dimindanya? Apa yang
tersimpan di dalam hatinya? Marahkah dia
kepadaku? Kenapa dia membisu? Riak wajahnya bertukar muram. Aduh! Parah hatiku. Ribut melanda
sukmaku. Dia masih tidak berkata
apa-apa, masih membisu seribu bahasa. Bagaikan ada segumpal permata yang
tersimpan di dalam kerongkongnya. Cakaplah?
Luahlah apa sahaja yang dia rasa. Biar aku dengar semuanya. Berterus terang itukan bagus untuk dia dan
aku.
Langkah di atur menuju ke dapur. Uh! Aku mendengus kasar. Kenapa dengan
isteriku ini? Apa yang membuat rasa
marah membuak-buak dalam diri? Membisu dan mendiamkan diri langsung tidak
membantu. Hentakan kakinya biarpun sayup-sayup
kedengaran sudah cukup menandakan rasa yang terbuku di jiwanya. Dia kembali bersama dulang yang berisi teko,
cawan dan sepiring kuih, minum petang untukku. Itulah yang aku sayang sangat
padanya. Tanggungjawab sebagai seorang
isteri, cukup sempurna. Makan, pakai terjaga sempurna. Tiada yang kurang untuk
aku mengadu atau menulis surat bantahan ketidakpuasan di hati.
Perlahan sahaja talam itu diletakkan di atas meja
kopi. Dahiku pula yang semakin berkerut
memikirkan keadaan isteri tersayang.
Tangannya pantas menuang air ke dalam cawan. Dia meletakannya di hadapanku. Senyuman dilukiskan, langsung tidak terasa
indahnya. Warna yang terlakar terasa
suram dan muram. Berombak-ombak jiwaku, terkumat-kamit mulutku, ingin sangat
bertanya, gerangan apa yang telah mengganggu jiwanya sehingga membatukan
diri. Aku mengeluh berat. Di mana gurau sendamu, di mana kata-kata
indahmu? Kurindu dengan suaramu. Berkatalah sesuatu, biarpun hanya sebaris
ayat.
“Sayang tidak minum sama?” tanyaku lembut. Masih
berfikir, apa kesalahan yang sudah aku lakukan sehingga begitu ketara sekali
perubahan dirinya.
“Abang minumlah dulu, Liya masih belum lapar,” jawab
Liya.
Suaranya masih lembut seperti biasa, tetapi sikap
mendiamkan dirinya itu buat hatiku tertanya-tanya. Ah! Beratnya perasaan yang sedang diulit
pertanyaan yang bukan-bukan. Hendak
bertanya, terasa malu secara tiba-tiba. Malu seorang suami, mungkinkah aku
sudah melakukan kesalahan sehingga terasa begitu sekali?
Mataku memerhatikan sahaja tingkahlaku Liya yang sibuk di
laman rumah kami pula. Membersihkan
kawasan taman mini yang dihias cantik dengan pelbagai jenis bunga-bungaan. Hobi
isteri tercinta, aku tidak pernah menghalang hobinya. Terlupa satu lagi hobi
isteri tercinta. Dia suka membaca buku.
Membaca buku? Dahiku berkerut tiba-tiba.
“Sayang! Maafkan abang, jom kita ke Pameran Buku, abang terlupa tarikhnya,”
beritahuku, cepat-cepat menghabiskan minuman yang ada.
“Yakah bang?” tanyanya dengan wajah ceria. Berhenti
melakukan kerja-kerja berkebunnya.
“Takkan masam dan bermuram durja hanya kerana abang
terlupa nak ajak ke pameran buku?” tanyaku.
Isteriku hanya menyengih dan berlalu ke dalam bilik.
Aku menepuk dahi.
Pasal buku pun boleh masam muka? Aduhai isteriku!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan