Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 2 Disember 2016

CATATAN 1 - Asmah Hashim



Seharian langit mendung, awan tebal menghiasi dada langit.  Matahari sudah berhari-hari sinarnya tidak lagi seseri sebelum ini.  Redup, dingin dan sejuk alam sekeliling.  Pakar metalogi sudah pun memberitahu akan keadaan cuaca terkini. Negeri-negeri di pantai timur sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir akan melanda.  Kecut perut memikirkan, kejadian tahun lepas masih lagi terbayang diingatan.  Masih terasa baharu semalam ianya berlaku.  Kini, sekali lagi bertemu musim tengkujuh, alam bagaikan merintih, mengamuk, marah terhadap kerakusan manusia memusnahkan alam semula jadi.
Pelik?  Semakin kita dewasa, semakin pelik terasa hidup ini. Jiwa kita bagaikan kosong, biarpun sijil kebanggaan diri bertayangan di dinding rumah dan ruang pejabat kita.  Kita buat apa sahaja yang kita rasa terbaik, bukan untuk diri sendiri tetapi kononnya untuk orang lain.
Aku dibesarkan di tengah-tengah bandar yang sedang pesat membangun, melihat pembangunan yang kurasakan bagaikan rakus, setiap inci tanah tempat kelahiranku dibina bangunan pencakar langit, sehingga tiada ruang untuk sang tanah itu bernafas.  Semalam, berita kematian beberapa orang akibat runtuhan struktur binaan.  Rakusnya kita membina banguna tinggi. Untuk apa?  Kerana nilai harta yang begitu tinggi di kawasan itu membuatkan berebutanlah mereka membina bangunan pencakar langit, bina pejabat dan rumah kediaman yang bertaraf moden, hanya untuk orang ada duit.
Semuanya kerana duit, manusia hilang harga diri kerana duit.  Bagi kita, duit adalah segala-galanya, kita jadi lupa diri, kita jadi tidak beradab dan berakhlak, sanggup buat apa sahaja asalkan boleh hidup senang dan kaya.  Bagi kita, kekayaan adalah sesuatu yang indah, menarik, kebanggaan. Tapi kita selalu lupa kepada yang memberi kekayaan.

Hari ini, beberapa orang Melayu dan Islam hadir di rumah, waktu solat, mereka tak solat.  Bukan aku ingin menilai manusia atau siapa mereka.  Bukan aku nak kata, aku lebih baik daripada mereka, tetapi aku pelik, pelik kerana manusia lupa asal usul diri, manusia alpa dengan keseronokkan diri, manusia leka mencari kekayaan sehingga terlupa tujuan mereka dijadikan.  Kita  boleh lupa Dia! Tapi adakah Dia akan lupakan kita?

Susah nak cakap, kan?  Setiap orang ada pandangan mereka sendiri, kita tak mampu hendak merubah manusia, kita tak mampu nak menyedarkan segelintir manusia, kita tak mampu memberi hidayah kepada manusia, hatta ahli keluarga sendiri.  Kerana itu semua adalah ketentuan Ilahi.  Namun, hidayah tidak akan datang, jika tiada kesedaran dalam diri.  Hidayah tidak akan hadir jika kita tidak pernah sekalipun sujud kepada-NYA. 

Biar siapapun kita, apapun pangkat dan kedudukan kita, jangan sesekali lupa, bahawa ALLAH ADA.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan