Air yang dicincang takkan putus, itulah bidalan atau
peribahasa orang tua-tua yang masih kita guna pakai sehingga ke hari ini. Menggambarkan tentang hubungan adik beradik,
saudara mara yang satu darah, satu keturunan, susur galur yang tidak mungkin
dipisahkan.
Ingat tak lagi zaman kanak-kanak? Zaman kita membesar bersama adik beradik kita
yang lain. Zaman yang penuh suka dan
duka, susah dan senang bersama adik beradik kita. Jika kita anak sulong, maka besarlah
tanggungjawab yang dipikulkan di atas bahu kita. Jika kita anak tengah, sesekali bolehlah leka
dan melarikan diri dari tugasan yang diberi oleh ibu dan ayah.
Hubungan yang terjalin kerana dilahirkan oleh seorang
wanita bergelar ibu, dilahirkan di rahim yang sama, disusukan oleh ibu yang
sama, membesar, berkongsi segala-galanya.
Menangis dan ketawa bersama.
Bertukar-tukar pakaian atau apa sahaja yang sesuai dek tubuh kita atau
adik beradik kita yang lain. Indah tak
kehidupan ketika itu?
Tapi, setelah kita menginjak dewasa, semakin matang
fikiran, semakin kita menjadi saling tidak mengenali antara satu sama
lain? Kita bagaikan orang asing, tidak
sehaluan, tidak saling hormat menghormati, saling bercakaran, seolah-olah
lelaki itu, wanita itu tidak pernah punya pertalian saudara dengan kita.
Adakah disebabkan keegoaan? Kesombongan? Atau berasakan diri kita sudah
jauh hebat daripada abang, kakak atau adik beradik kita yang lain? Pernah dengar cerita, ipar duai tidak mampu
berlaga muka? Pernah dengar adik beradik
bercakaran kerana harta pusaka?
Pernah dengar cerita, adik beradik berparang,
berpisau hanya kerana merebutkan tanah sekangkang kera? Kita digemparkan dengan berita, dua beradik
berebut duit sumbangan orang ramai terhadap anak buah mereka yang menjadi yatim
piatu. Kenapa semua itu berlaku?
Sedangkan kita dilahirkan oleh ibu dan ayah
yang sama? Bukankah kita sedarah
sedaging? Kenapa hubungan indah yang
terjalin sejak kecil boleh terputus?
Boleh bermasam muka? Kita bergaduh bertahun-tahun hanya kerana tidak mampu
bermusyawarah sesama kita.
Allah! Begitu
rendahnya hati kita? Begitu rapuh nilai
kasih sayang yang tersemai sejak kecil, hanya kerana sikap ego dan sombong diri
kita. Seorang adik, perlu hormati abang,
kakak yang lebih tua, seorang abang, kakak, perlu menyayangi adik-adiknya. Kenapa harus ada sengketa antara kita?
Bukankah bahagia sebuah keluarga yang mempunyai enam
beradik, sering berkumpul, mendengar nasihat kedua orang tua, mendengar dan
meminta nasihat daripada abang dan kakak, meminta pandangan tanpa prajudis,
jangan anggap abang kita tidak masuk Universiti dan tidak berjaya dalam hidup,
hanya bekerja kilang, kita menganggap dia orang yang tidak berhak memberi
nasihat kepada kita yang sudah punya Ijazah, Phd, sudah punya perniagaan sendiri,
rumah besar dan segalanya besar hatta badan kita sendiri.
Kenapa kita menjadi manusia
hidung tinggi? Kenapa kita tidak mampu
menjadi rumput di kaki, sentiasa? Abang
dan kakak kita itulah yang pernah menyuapkan nasi ke dalam mulut kita sewaktu
kita tidak berdaya untuk menyuap sendiri.
Abang dan kakaklah yang telah mengendong dan mendukung kita sewaktu kita
tak mampu berjalan apatah lagi berlari.
Kenapa semua jasa mereka kita lupakan hanya kerana dia meninggikan suara
kepada kita, menasihati kita, menegur anak-anak kita yang nakal dan tidak solat,
menegur isteri kita yang hanya bersilang pangku waktu ke rumah mertua atau ke
rumah ibu ayah kita?
Tidak sayangkah kita kepada
adik-adik kita? Bukankah kita pernah
menyuap, mengendong dan mencium mereka dengan penuh kasih dan sayang, hari ini
kita berbalah atas sebab keegoan kita sebagai manusia yang lupa diri. Lupa asal
usul.
Marilah teman-teman tersayang,
kita buka minda, buka hati, kita perbaiki hubungan silatuh rahim sesama kita,
anak isteri, ibu ayah, adik abang, kakak, mertua atau apa sahaja gelaran
kita. Besarkan hati kita, usah mudah
merajuk, usah mudah berkecil hati.
Terima teguran tidak kira siapapun mereka. Jika hendak marah, tarik nafas seketika, atau
berdiam diri, kemudian fikir semula akan kata-kata mereka.
Ipar duai usah jadi batu api
yang mampu bukan sahaja membakar sebuah rumah, malah sebuah negara, bukankah
kemarahan itu sikap syaitan? Para
mertua, usah pilih kasih antara menantu, jadikanlah menantu itu seperti anak
sendiri, tegur dengan berhemah, usah bermasam muka, kelak kita juga yang rugi.
Rumahku syurgaku,
realisasikanlah dalam kehidupan. Kehidupan
kita di dunia ini singkat sahaja, entah esok, lusa, kita akan kembali
kepada-NYA. Kenapa perlu bergaduh sesama kita. Hargai mereka yang berada di sisi kita selagi
kita bernyawa. Ingatlah, merekalah yang akan mendoakan kita di sana nanti.
Semoga nasehat saya ini membuka minda
teman-teman yang sedang bersengketa dengan ahli keluarga yang lain. Ingat, menyambung silaturahim itu besar
pahalanya, banyak manfaatnya. Maka berbaik sangkalah sesama kita. Hidup ini indah dan mudah, usah dirumitkan,
usah dilayan nafsu syaitan. Jangan
dibiar ia terus menang dan kita kalah dengan kerasukannya. Binalah keluarga bahagia sehingga ke akhirat.
Bahagiakan orang tua kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan