Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Ahad, 4 Jun 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 4 - ASMAH HASHIM


Mata liar memerhati setiap inci kawasan muka bumi Arab Saudi sepanjang perjalanan ke Mekkah. Seperti yang saya beritahu sebelum ini, hanya terdapat bukit batu kerikil dan padang pasir. Allah! Begini rupanya muka bumi Arab Saudi, mungkin kawasan hijau hanya terdapat di beberapa bahagian tanah Arab itu.  Semakin menghampiri pintu gerbang Mekkah Mukarramah, semakin berdebar hati ini, saya pasti setiap orang yang pertama kali melangkahkan kaki ke tanah suci itu pasti berasakan seperti mana yang saya rasa. Berdebar-debar, teruja, tidak sabar untuk menjejakkan kaki di Masjidil Haram, tempat di mana terletaknya kiblat umat Islam seluruh dunia. 


    Sebaik sahaja bas melalui pintu gerbang di kawasan yang dikenali Hudaibiyah atau Syumaisi, Ustaz Hisyam sudah pun mengejutkan Jemaah yang tertidur untuk sama-sama membaca doa. 

‘Ya, Allah, jadikanlah aku di sini sebagai tempat tinggal yang tetap dan rezeki yang halal.  Ya Allah, sesungguhnya tanah haram ini, negara ini, ketenteraman  yang ada di dalamnya dan hamba yang ada padanya, semuanya kepunyaan-Mu, hamba-Mu ini telah datang menyahut panggilan-Mu dengan membawa dosa yang banyak dan  amalan-amalannya yang buruk.  Aku pohonkan kepada-MU belas kasihan kerana takutkan seksaan-Mu, terimalah daku dengan keluasan kemaafan-Mu dan masukkanlah aku  ke dalam syurga-Mu, “Jannatun – Na ‘im”, Ya Allah! Sesungguhnya  ini adalah tanah haram-Mu, maka haramkanlah dagingku, darahku dan tulang sendiku dari api neraka, aamiin.’


    Ketika itulah air mata semakin laju mengalir, terasa kerdil diri ini, terlalu banyak dosa, terlalu lemah dan tidak berdaya, itulah yang saya rasa.  Terlalu besar rahmat Allah swt kepada kami sekeluarga.  Tidak punya apa-apa, namun dijemput untuk datang ke tanah suci ini. Allah!  Nikmat Allah yang mana lagi yang saya akan nafikan?  Sambil berdoa, menangis dan berzikir, hati benar-benar sayu melihat keunikan bandaraya Mekkah Mukarramah.  Bas memasuki kawasan bandar suci ini, tidak sabar ingin melihat Kaabah di hadapan mata. 


    Para Jemaah terus di bawa ke hotel tempat kami menginap.  Hotel Hera terletak 700 meter dari kawasan Masjidil  Haram. Kus semangat.  Dari dalam perut bas, kami melihat deretan kedai di sebelah kanan jalan, deretan hotel yang mencakar langit. Tinggi dan besar.  Orang berpusu-pusu, berbilang bangsa dan kaum.  Kelihatan juga kawanan burung merpati di jalan, berterbangan melintasi kepala manusia yang berpusu-pusu ke masjid.


    “Kita kembali ke hotel dahulu, ambil kunci, simpan beg, sejam kemudian baharulah kita turun ke masjid untuk menunaikan ibadat umrah yang pertama,” terang Ustaz Hisyam.

    Sampai beberapa meter dari kawasan hotel, kami mula turun, tercangak-cangak seperti rusa masuk kampung.  Wah!  Mata meliar sekali lagi, deretan kedai menjual jubah, makanan, cenderahati, barang kemas, menarik perhatian.  Orang begitu ramai, kenderaan awam pula memenuhi jalan yang hanya dua lorong itu.  Terasa menyesakkan. Sibuknya bandar Mekkah!  Kata hati saya. 


    Kami terus mengikut langkah Ustaz Hisyam dan ahli Jemaah yang lain masuk ke dalam hotel, agak tersorok sedikit ke belakang.  Kalau tengok bangunan luarnya, macam hotel lama, bila masuk, menarik dan cantik, dindingnya dipenuhi binaan marmar, murah agaknya dan mudah dijaga serta dibersihkan.  Kami terus ke lobi hotel, para  petugas Andalusia sudah bersedia menyambut kehadiran kami. Dua bas menginap di Hera Hotel dan sebuah lagi di Hilton Hotel yang terletak dekat dengan Masjidil Haram, tetapi mahal sedikitlah harga pakejnya sebab berhampiran masjid.  Kami ikut budjet penyumbang, bersyukurlah dengan apa yang diberi. Usah minta lebih.  Dapat menjejakkan kaki ke tanah suci itu pun sudah cukup baik.


    Kami diperkenalkan dengan Pengurus Andalusia Haji Arif, amboi! Garang pula orangnya.  Cakap ikut lepas mulutnya sahaja, lasernya!  Berkerut dahi saya mendengar bebelannya.  Boleh tahan, kalau orang yang jenis kecil hatinya, mahu terasa.  Kebetulan ada seorang Jemaah yang mempersoalkan tentang bilik penginapannya, sepatutnya mereka ditempatkan di dalam sebuah bilik, namun dipisahkan, membuatkan  ketua rombongan keluarga itu naik angin dan mula bising-bising.  Rupanya, mereka empat beranak, seorang ayah yang sudah lanjut usia, suami isteri dan seorang adik ipar.  Dalam Islam, adik ipar tidak boleh duduk sebilik dengan abang ipar biarpun ada orang lain.  Hukum tetap hukum. 


    “Ini darurat!” kata lelaki itu mempertahankan tindakannya untuk tinggal sebilik bersama ahli keluarganya yang lain.


    “Mana ada darurat?  Tak boleh! Tak boleh! Tak Boleh!” kata Haji Arif bertegas. 

    Saya memandang wajah suami, kami sama-sama menggeleng kepala.  Ujian buat keluarga itu. Akhirnya segala masalah dapat diselesaikan biarpun ketidakpuasan hati itu ada dipihak keluarga itu tadi.  Bermasam mukalah sampai hari kami berangkat pulang ke tanah air. Marahnya masih bersisa.  Alahai!


    Saya, suami dan anak gadis saya satu bilik.  Tidak terlalu besar, ada tiga katil bujang, peti sejuk dan televisyen.  Nak tengok cerita apa?  Sepanjang waktu kami berada di Mekkah tidak sekalipun televisyen itu kami buka. Tidak punya waktu dan kesempatan.  Kami hanya dibenarkan berehat selama sejam, tidak boleh tidur, jika hendak mandi, dibolehkan tetapi hendaklah memastikan rambut tidak gugur, Ustaz Hisyam berpesan, usah dicari rambut yang gugur, buat tidak tahu sahaja. Faham-fahamlah sendiri, kalau tidak pasti kena dam jika rambut gugur lebih daripada tiga helai.


    Sejam selepas itu, ramai Jemaah sudah menunggu di lobi hotel.  Ya!  Umrah pertama kami, saya mengenakan jubah, telekung tanpa kain, stokin yang tebal, sarung tangan yang tidak sampai menutup telapak tangan, tidak juga boleh memakai penutup atau jilbab atau purdah sewaktu melakukan ibadah umrah.  Kami berjalan kaki menuju ke Masjidil Haram, 700 meter dari hotel.  Okay, jalan sahaja, sebelum itu Ustaz Hisyam menunjukkan tanda-tanda  jalan menuju ke hotel, pengecaman jalan dan laluan, takut ada yang sesat nanti.  Kad nama hotel telah pun kami simpan, setiap orang perlu ada satu, kad nama yang tertera nama hotel, nama syarikat, no telefon, nama mutawif hendaklah sentiasa di pakai dan dibawa ke mana sahaja, hanya passport yang disimpan oleh pihak Andalusia, takut hilang dan tercicir di jalan, dan takut juga ada Jemaah yang tidak mahu pulang ke tanah air.  Dengan menyimpan passport para Jemaah, maka perkara itu takkan berlaku.


    Sambil berjalan, kami bertalbiah, bagi mereka yang pertama kali sampai dan mengerjakan umrah dinasihatikan ikut sahajalah arahan pihak mutawif.  Mata asyik memerhati Ustaz Hisyam, takut terlepas pandang, dan hilang ditelan lautan manusia. Suami pula asyik menarik kain telekung saya, kerana saya berjalan laju, anak gadis setia mengikut di sisi. Sepanjang perjalanan, kelihatan lautan manusia yang berpusu-pusu pergi dan balik dari masjid.  Burung merpati terbang rendah, bermain-main di jalan sambil mengutip makanan yang diberi oleh para Jemaah.  Jangan dikejar burung merpati itu dalam keadaan kita berihram, tidak pasal-pasal kena dam nanti.  Biarkan sahaja, pandanglah dengan penuh syahdu.  Di kiri kanan jalan, hotel-hotel berdiri megah.  Paling cantik, hotel yang ada jam besar itu. Tinggi yang amat!  Entah berapa banyak bilik di dalamnya, di bawahnya pula ada pusat membeli belah, tidak terfikir pun hendak menyinggah atau memasuki kawasan  hotel jam besar tersebut. 


    Semakin menghampiri masjid, semakin berdebar rasa hati.  Saya tidak berhenti-henti berzikir.  Takut, risau, bimbang, teruja, seronok, gembira, semuanya bermain-main di benak, bercampur baur.  Ustaz Hisyam sekali lagi membuat pengecaman jalan kepada para Jemaah di bawah seliaannya.  Pintu di Masjidil Haram ini banyak, laluan  pun banyak, lorong pun banyak, jangan tersalah sahaja, paling mudah adalah cam jam besar dan bangunan Bin Dawod, di tengah-tengahnya laluan utama para Jemaah untuk pulang ke hotel yang terletak beratus meter dari kawasan masjid.


    Kami dibawa masuk melalui pintu 89, sejak hari itu, itulah pintu untuk saya dan keluarga keluar masuk ke dalam masjid. Lebih mudah, dekat laluan hendak ke bilik air juga.  Di sebelah kanan ada bilik air perempuan, di sebelah kiri ada bilik air lelaki.  Semua bilik air terletak di luar kawasan masjid.  Sebelum masuk jika berasa hendak buang air, dipersilakan selesaikan dahulu, takut-takut sudah masuk hendak keluar amatlah sukar, takut terpisah daripada Jemaah yang lain. 
    Plastik untuk menyimpan selipar ada disediakan, saya dan keluarga bawa sarung kasut sendiri, letak selipar dalam sarungnya, ikat di tepi beg, pastikan tidak bernajis, jika was-was, boleh tinggalkan di rak kasut yang disediakan, usah letak di tepi masjid, takut hilang nanti, bukan dicuri, tetapi dibuang oleh para petugas masjid.  Berkarung-karung selipar dan kasut mereka masukkan ke dalam beg plastik sampah hitam.  Hendak selamat, simpan di rak atau bawa sekali dengan kita ke dalam masjid. Pastikan ingat nombor rak kasut, jika tidak terkial-kial hendak mencarinya nanti.


    Sebaik  masuk ke dalam masjid.  Beg galas atau apa sahaja beg yang dibawa akan diperiksa oleh petugas masjid.  Maklumlah pertama kali sampai, manalah saya tahu ada petugas perempuan, sebaik sahaja masuk ke dalam masjid. Tiba-tiba saya ditarik oleh seorang perempuan berjilbab sehingga mata pun tidak nampak, dalam kepala, sudah ada pelbagai cerita tentang manusia jahat yang suka mencari kesempatan, saya hampir menjerit sewaktu ditarik dan beg sandang yang dibawa ditarik.


    “Hajah!  Dia nak periksa beg, itu petugas masjid,” kata Ustaz Hisyam.


    “Oh ya?” saya menyengih.  Bodohnya saya!  Aduhai!  Selepas itu setiap kali masuk masjid, saya memberi salam dan membiarkan beg sandang yang dibawa diperiksa.  Lain kali beritahulah! 


    Kami terus melangkah masuk, pertama kali, minum air zam zam, sepanjang jalan disediakan bekas berisi air zam zam, ada sejuk dan original, terpulang nak minum yang mana satu.


    Berbalik soal pakaian ketika melakukan umrah, bagi lelaki tentulah berihram, menggunakan kain yang tidak berjahit, langsung tidak boleh!  Usah pandai-pandai nak pakai kopiah atau songkok, memang tidak boleh ya!  Bagi perempuan, lebih mudah memakai telekung kerana terlindung dari batal wuduk, jangan lupa bawa bekas kecil yang boleh diisi air untuk ambil wuduk, takut-takut terbatal, bukan mudah hendak keluar mengambil wuduk di luar masjid.  Semua penerangan akan diberitahu kepada para Jemaah sewaktu kursus umrah dan haji, maka dengar dengan teliti.  Penting! Ini soal ibadah, bukan pergi makan angin, patuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak.

    Kami minum air zam zam untuk menghilangkan dahaga, mengambil syafaat akan kelebihan air zam zam, air terbaik di dunia. Ketika itu waktu tengahari, hampir ke asar.  Kami datang waktu musim panas 42 darjah Celsius, lip lap, lip lap matahari memanah tubuh dan muka kami.  Kesejukan air zam zam mampu menghilang dahaga. Minum sambil berdiri, baca doa, niatkan apa sahaja, tegukan ikut kiraan ganjil, mengadap kiblat.  Ustaz Hisyam membacakan doa minum air zam zam.  Di hadapan tempat air zam zam diletakkan, ada kawasan tempat pengajian yang berhawa dingin,  selesalah untuk para Jemaah yang bermusafir untuk tidur baring, ada juga yang sedang bertalaki menuntut ilmu.  Tapi, dalam Bahasa Arab.  Ramainya manusia, detik hati kecil saya. 


    Ustaz Hisyam membawa kami masuk ke dalam kawasan masjid, kami berada di tingkat satu kawasan masjid.  Kaabah terletak di bawah, perlu menuruni anak tangga.  Kawasan bertingkat selalunya diguna oleh para Jemaah yang berkerusi roda dan orang-orang tua yang tidak tahan terkena pancaran matahari.  Sebaik sahaja terlihat Kaabah, kami semua membaca doa  dipimpin oleh Ustaz Hisyam, masuk masjid baca doa, lihat Kaabah juga ada doanya.  Ketika itu, hati saya sekosong-kosongnya, tidak tahu apa yang saya fikir, tiada rasa, tiada kata-kata yang mampu saya ucapkan. Hanya memerhati, melihat dan mendengar kata-kata Ustaz Hisyam.  Sebak, air mata sekali lagi begitu murah di tanah suci ini.


    Ustaz Hisyam membawa kami menuruni anak tangga menuju ke hadapan Kaabah.  Allah!  Allah! Allah!  Tidak pernah terduga akhirnya saya akan lihat Kaabah di hadapan mata, benar-benar di hadapan mata, saya tidak bermimpi, saya tidak berilusi, semuanya di hadapan mata saya! Hanya nama Allah yang berlegar di fikiran, kebesaran Ilahi, manusia tidak terlalu ramai, kerana keadaan cuaca yang panas menghadkan jumlah Jemaah melakukan ibadah  umrah di siang hari.

    Ustaz Hisyam mula mengangkat buku panduan yang dibawa sebagai pengecaman untuk para jemaahnya, kami mengikut dari belakangnya, sebelum sampai ke Hajar Aswad atau boleh lihat di sebelah kanan di bahagian atas, kena mendongak sedikit, ada lampu kalimantang berwarna hijau, di situlah bermulanya langkah bertawaf, kami disuruh membaca niat tawaf, dan bermulalah langkah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali sambil membaca doa setiap kali selesai melakukan satu pusingan demi satu pusingan. Ustaz Hisyam membaca dengan kuat, kadang-kadang diikuti oleh Jemaah-jemaah lain juga.  Ketika itulah asyik berlaga dengan orang, jangan sampai bahu kiri terpusing dari arah kiblat, semakin dekat menghampiri Kaabah, semakin pendek laluan tawaf kita. 

Bermula di Hajar Aswad, berakhir di Rukun Yamani dikira satu pusingan.  Pelbanyakkan berdoa.

    Dengan cuaca yang panas, orang yang ramai, bersesak-sesak, akhirnya habis jugalah tujuh pusingan. Ustaz Hisyam membawa kami ke belakang Multazam, kawasan yang mustajab berdoa, antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah boleh lihat Makam Ibrahim di hadapannya.  Kami solat sunat tawaf di kawasan itu. Biarpun cuaca lip lap, lip lap, peluh sudah membasahi baju, muka dan badan, tetapi tiada bau,  hebatnya kekuasan Allah swt.    Marmar yang menjadi tempat bersujud juga tidak panas, malah sejuknya terasa,  Allah! Usai solat dua rakaat, berdoa dan meminta apa sahaja, kami sekali lagi minum air zam zam, kemudian terus menuju ke kawasan saie.

    Berdiri di kawasan Bukit Safa, di situlah bermulanya Saie, sekali saie, satu kilometer.  Saya membayangkan Siti Hajar berlari-lari anak mencari air untuk Nabi Ismail a.s sebanyak tujuh kali tanpa henti.  Memijak hamparan pasir halus yang gersang, panas mentari memeritkan.  Tetapi kawasan Saie sekarang adalah bermarmar, bertal, ada penghawa dingin dan kipas.  Jika tidak mampu berjalan sendiri, boleh guna kerusi roda dengan bayaran tertentu.  Mudahnya kita, kan?  Keletihan berjalan dari hotel ke masjid masih terasa, kemudian melakukan tawaf, telapak kaki yang sakit sejak beberapa bulan dahulu sudah mula berdenyut, Allah! Lemahnya tubuh saya ini!  Kaki mula cekang, terasa perit, badan juga sudah mula berasa letih, lesu dan tidak bermaya. Perlu habiskan tujuh kilometer melakukan saie.  Kalau ikutkan tenaga yang ada, rasanya saya mahu menyerah kalah, tetapi memikirkan inilah ibadah, pengorbanan seorang hamba yang amat sedikit ini, saya dan suami serta anak gadis saya meneruskan saie sehingga selesai.  Allah!  Berdenyut kaki! Letih, sangat-sangat letih! 

Ingat! Sebelum buat ibadah umrah dan haji pastikan stamina ada ya! Berjoginglah, senamanlah!  Jika tidak… tewas sebelum berjuang!

Usai sahaja bertahalul, kami menarik nafas lega.  Ustaz Hisyam membaca doa, setiap kali habis satu pusingan, doa akan dibaca. Sambil bersaie, ada juga doa yang akan dibaca, boleh ikut buku panduan yang diberi, bawa setiap masa. Usah tinggalkan dihotel.  Segalanya ada di dalamnya. Cukup lengkap. 

Kami berada di kawasan masjid sebelum asar sehinggalah waktu Isyak.  Kawan-kawan juga jangan lupa belajar cara solat jenazah ya.  Setiap kali selepas solat fardhu pasti aka nada solat jenazah.  Sebaiknya kita turut sama melakukannya kerana pahala dan ganjarannya juga besar.  Hampir waktu Isyak baharulah  ibadah umrah kami sempurna.  Alhamdulillah.  Biarpun letih dan lesu, akhirnya kami berjaya menyudahkan ibadah umrah kami.  Tarik nafas lega.

 Hari pertama itu, sewaktu hendak kembali ke hotel, setelah selesai melakukan umrah, kami sudah pun terpisah daripada rombongan kami, pandai-pandailah cari jalan pulang sendiri.  Kalau tersesat dari Jemaah yang lain, usahakan untuk terus pulang ke hotel dan laporkan segera kepulangan kawan-kawan, takut-takut pihak Andalusia atau mutawif akan tercari-cari kawan-kawan di dalam masjid.  Mereka takut kita sesat.  Jadi, sila beri kerjasama yang baik.  Bukan mudah mencari di dalam kawasan yang dipenuhi lautan manusia itu.  Klue pertama kami, cari pintu nombor 89.  Terus keluar. Alhamdulillah, terjumpa jalan hendak pulang ke hotel.  Tengok muka suami yang keletihan, kami terus kembali ke hotel.   Ketika itu manusia berada di setiap inci  jalan.

    Petugas dan pembersih kawasan Masjidil Haram begitu ramai sekali, sehinggalah di kaki-kaki jalan, ada sahaja petugas pembersih kawasan.  Mereka akan berdiri dengan penyapu dan penyodok sampah, memerhatikan para Jemaah, itu syarat untuk meminta derma atau sumbangan atau sedekah daripada Jemaah yang baik hati dan dermawan.  Jangan memberi terang-terangan, takut tak terberi, mata mereka tajam memerhati, jika diberi kepada seorang, yang nun jauh di sebelah akan nampak dan mula merapati kita.  Itulah caranya, mereka tidak boleh meminta secara terang-terangan, pasti akan dimarahi oleh penyelia mereka.  Berdermalah jika ada wang lebih.

    Selesai sudah umrah pertama.  Rasa hendak mati sahaja.  Teruknya saya! Inilah padahnya tidak kuat kudrat, tidak bersenaman, tidak menjalankan aktiviti fizikal.  Dalam kepala mula berasa, mampukah saya melakukan ibadah umrah yang seterusnya?  Allah! KepadaNYA saya berserah dan berdoa.  Sampai di hotel, terus pergi makan malam, mandi dan tidur.  Keletihan yang teramat sangat.  Kaki berasa sakit, badan terasa sengal. Tidak pernah berjalan berkilo-kilometer, sekali berjalan, habis satu badan rasa sakit.  Melihat semangat orang-orang tua yang turut melakukan ibadah, terasa malu diri sendiri.  Jangan cakap, ala! Setakat jalan tujuh kilometer sudah penat?  Teruk betullah!  Ya… memang teruk! Setiap orang tidak akan sama rasa sakitnya, rasa letihnya, rasa terbebannya, semangat perlu ada.  Ada orang, belum sempat habis tujuh kali tawaf sudah menyerah kalah, akhirnya kena bayar dam.  Ada yang deman sebelum sempat melakukan ibadah umrah dan haji.  Semuanya bergantung kepada rezeki masing-masing.  Ada yang sehat sehingga selesai, ada yang separuh jalan sudah tumbang, demam dan batuk.


    Makan malam nasi putih, sayur dan lauk sejenis. Air jus oren yang pekat dan manis.  Roti bakar yang sedia ada.  Sepanjang tujuh hari di Mekah, hari-hari kami balun roti bakar, macam sedap sangat roti bakar di tanah suci itu, sedangkan di tanah air, pembakar roti jadi bahan hiasan di rumah.  Roti bakar paling laris di Hotel Hera.  Makanan di Hotel Hera, memang sedap-sedap semuanya, Alhamdulillah.


    Saya bersyukur teramat sangat kerana berjaya menyelesaikan ibadah umrah pertama kali saya lakukan.  Pulang ke hotel, terus berehat. Okay, selesai hari pertama saya di tanah suci Mekkah. Nanti kita sambung lagi ya.



   




Tiada ulasan:

Catat Ulasan