Jam 5.00
pagi kami sudah bersarapan, usai sahaja solat subuh berjemaah di surau
hotel. Seperti biasa, sejak dua hari
lepas, menu roti bakar bagaikan wajib menjadi hidangan pembuka selera, di sini, makanan yang dihidangkan
memang masuk dengan selera. Boleh tahan
sedapnya biarpun yang memasaknya adalah
petugas-petugas dari Indonesia.
Usai sarapan dan berbual dengan rakan-rakan satu Jemaah, kami naik ke
bilik untuk bersiap-siap. Hari ini kami
akan ke Tanaim, sebuah bandar kecil untuk bermiqat di situ.
Hari Jumaat, hari nisfu syaaban,
kami akan melakukan umrah buat kali kedua.
Saya mengeluh, terasa sakit di kaki masih ada, mampukah untuk buat umrah
lagi hari ini?
“Macam mana? Boleh ke?” tanya suami.
“Kakak macam mana? Nak buat tak?”
tanya saya kepada anak perempuan.
“Kalau ikutkan, memang sakit kaki
ni, tapi…” dia terdiam.
“Sayang tak buat, kita datang jauh,
tak tahu bila lagi boleh datang lagi,” selarku.
“Ikutlah, terpulang,” kata suami.
“Nak buat jugalah! Insya-Allah kita
berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan urusan ibadat umrah kita,” ujar saya
dengan wajah ceria. Matlamat datang ke mari adalah ingin beribadat, itulah yang
akan saya lakukan. Lawan rasa sakit, lawan rasa malas, letih dan tidak
bersemangat, detik hati kecil saya.
Akhirnya kami ambil keputusan akan buat umrah buat kali kedua. Semoga Allah permudahkan urusan ibadah
kami. Saya tidak berhenti-henti berdoa
dan berzikir. Bimbang tumbang sebelum
selesai melakukan umrah.
Jam 8.00 pagi kami sudah berkumpul
di lobi hotel, menunggu Ustaz Hisyam memanggil kami bergerak menaiki bas yang
akan membawa kami ke Tanaim, yang terletak tujuh kilometer dari bandar
Mekkah. Suami sudah siap memakai ihram,
saya dan anak pakai seperti biasa, telekung sahaja yang disarung, kain telekung
tidak perlu, yang penting masih menutup aurat.
“Hajah, Haji, mak cik, pak cik, sila tunggu di lobi, nanti mutawif
atau ustaz yang bertugas akan panggil mak cik-mak cik kalau ada bas, tidak
perlu pergi cari bas. Itu bukan kerja
mak cik- pak cik, sila tunggu di sini!”
terdengar suara Haji Arif membebel di awal pagi. Sudah pasti ada yang
sedang berlaku di luar sana.
Saya dan suami hanya menggelengkan
kepala. Empat puluh orang, ada empat
puluh perangai kena perhati. Alahai.,
kasihan para petugas dan ustaz yang diminta memantau keperluan kami. Susah benarlah para Jemaah hendak ikut
peraturan yang telah ditetapkan.
Tepat jam 8.30, Ustaz Hisyam sudah
mula memanggil kami untuk menaiki bas yang telah disewa khas untuk membawa kami
ke Tanaim. Sebaik sampai sahaja di
hadapan sebuah masjid, kami turun dan diminta untuk terus masuk ke dalam
masjid, buat solat sunat ihram, sunat dhuha dan tahiyatul masjid, hampir
setengah jam kami berada di kawasan tersebut.
Seperti pekan kecil yang tidak punya apa-apa, terdapat juga barisan rumah
kedai yang masih belum dibuka, mungkin masih awal lagi. Hanya kawasan masjid itu sahaja dipenuhi
manusia. Usai melakukan apa yang patut di situ, kami menaiki semula bas dan
bergerak menuju ke Mekkah kembali, di dalam bas niat umrah dibaca oleh Ustaz
Hisyam dan diikuti oleh kami semua.
Bas tadi terus membawa kami ke
terowong bawah tanah, boleh menaiki eskilator menuju ke kawasan Masjidil
Haram. Bermakna jika datang dari jauh,
bolehlah naik teksi atau bas dan turun di situ. Betul-betul berhadapan dengan
bangunan Bin Dawod. Ustaz Hisyam
mendahului, dan para Jemaah mengikut dari belakang. Kami masuk semula ke kawasan masjid untuk
melakukan ibadah umrah buat kali kedua.
Hari Jumaat yang penuh keberkatan, sungguh bermakna buat saya. Seperti biasa pintu 89 menjadi pilihan.
Sampai di muka pintu, baca doa, niat beriktikaf dan langkah dengan penuh yakin
untuk melakukan ibadah kepada Allah swt.
Seperti biasa, para petugas akan
memeriksa beg sandang atau apa sahaja beg yang dibawa, demi keselamatan. Rutin biasa.
Ikutlah peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak pengurusan
masjid. Pemandangan di dalam masjid
masih seperti biasa, ada para Jemaah yang berehat, berbaring dan mendengar
kuliah, tidak kurang juga yang melakukan solat dan mengaji. Tiada ruang yang kosong. Ada sahaja Jemaah di
setiap kawasan. Kami singgah minum air
zam zam, kemudian terus melangkah masuk, berhenti seketika untuk berdoa ketika terpandangkan
Kaabah. Langkah diatur menuruni anak
tangga menuju ke hadapan Kaabah. Ustaz Hisyam mencari ruang dan tempat untuk
mula melakukan tawaf. Niat dibaca, kami mula menggelilingi Kaabah sebanyak
tujuk pusingan. Kali ini sedikit berasa
tenang, mungkin sudah memahami apa yang perlu dilakukan. Saya tidak lagi terkejar-kejar mengikut
langkah Ustaz Hisyam. Baca doa apa yang
tahu, berzikir, bertakbir, bertahlil dan bertahmid, bacalah doa yang kita
inginkan sepanjang tujuh kali pusingan itu, mintalah apa sahaja, semoga Allah
swt menunaikannya.
Orang tidak begitu ramai, mungkin
masih awal pagi, tengahari nanti pasti orang ramai semula, sebab Hari Jumaat,
suasana tidak sesibuk malam tadi. Matahari
memancar garang, biarpun baharu pukul 10.00 pagi. Peluh yang mengalir tidak terasa melekit,
tubuh masih segar, suara para Jemaah membaca doa mengusik cuping telinga. Sesekali mata singgah di Makam Ibrahim,
pesanan Ustaz Hisyam masih terngiang-ngiang
di telinga. Tidak boleh menyentuh semua
yang ada di hadapan mata. Kerana bimbang
terkena bau-bauan atau wangi-wangian yang disapu di dinding Kaabah, Hajar
Aswad, Makam Ibrahim, Hijir Ismail tidak boleh dimasuki selagi belum selesai
tawaf. Kalau boleh carilah peluang untuk
solat di dalam Hijir Ismail tetapi setelah melakukan tawaf. Jika ingin masuk dan memegang Kaabah, lakukan
ketika kita bukan di dalam keadaan ihram.
Selesai melakukan tawaf dalam masa
singkat sahaja, kemudian kami terus menuju ke kawasan yang boleh melakukan
solat sunat tawaf, selalunya berhadapan dengan Makam Ibrahim, di situlah
kawasan Multazam, antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah. Berdoalah, menangislah, mintalah apa sahaja,
Allah itu Maha Mendengar. Usai solat, kami singgah sekali lagi di kawasan air
zam zam di hidangkan. Minum untuk
menghilangkan dahaga. Alhamdulillah,
dalam keadaan kaki masih sakit, saya selesai juga melakukan tawaf. Hanya kepada Allah swt saya letakkan
sandaran. Ya, Allah yang memberi
kekuatan untuk saya melakukannya.
Kesakitan bukan asbab untuk tidak beribadat, selagi mampu berjalan dan
masih berdaya, lakukanlah sahaja. Usah berkira-kira. Niat kita datang ke Mekkah, bukankah untuk
beribadat? Bukan untuk melayan rasa
sakit yang dihadapi.
Seperti sudah biasa dengan kawasan
masjid biarpun hanya baharu tiga hari kami di sini. Syukur sangat-sangat sebab Allah tidak
tutupkan mata dan ingatan ketika berlegar di kawasan Masjidil Haram, cerita
kawan-kawan tentang pengalaman mereka tersentuh juga di hati. Rezeki masing-masinglah. Paling penting sentiasa berdoa agar Allah
permudahkan segala urusan kita ketika di sini.
Ke tempat Saie pula, kali ini Ustaz
Hisyam membawa kami bersaie di tingkat dua pula, terdapat kawasan berbukit
lebih sikit berbanding hari pertama.
Sambil melakukan saie, saya membayangkan keadaan Siti Hajar berlari-lari
antara Bukit Safar dan Marwah untuk mencari dan melihat jika ada kabilah yang datang
hanya untuk meminta sedikit air buat membasah tekak dan diberikan kepada Nabi
Ismail a.s yang masih lagi bayi ketika
itu. Dalam keadaan panas terik, di
kawasan yang kering kontang, berpasir dengan tidak berkasut, sudah tentu habis
pecah telapak kakinya dan sudah tentu letih tubuh dan seluruh urat sarafnya.
Hari ini, kawasan saie berhawa dingin, bertal, boleh dilakukan dalam keadaan
berkerusi roda kepada yang tidak mampu berjalan, ada kipas angin juga, boleh
berhenti minum air zam zam yang disediakan, begitu mudah dan senang, tetapi
Allah swt tidak beri begitu mudah.
Entah mana datangnya keletihan yang
dialami, sedangkan hanya berjalan sahaja pun. Entah mana datang rasa sakit di
kaki, ada Jemaah yang sudah mula berkerut wajah kerana menahan rasa sakit di
kaki. Itu semua rahsia Allah swt,
mungkin Allah ingin kita berasakan sedikit rasa kesusahan yang dirasai oleh
Siti Hajar sewaktu melakukan saie antara kedua-dua bukit itu. Tapi, kali ini tidak berasa letih sangat,
kerana saya sekeluarga tidak mengejar atau mengikut langkah Ustaz Hisyam, kami
sudah mampu lakukan sendiri, biar perlahan, asalkan selesai. Ada kawasan yang diletakkan lampu berwarna
hitam, di situ disunatkan berlari-lari anak kepada yang mampu berlarilah. Jika tidak, berjalan sahaja juga boleh.
Akhirnya tujuh pusingan berjaya kami selesaikan dengan rasa syukur yang tidak henti-henti meniti di bibir. Nafas lega ditarik sedalam-dalamnya. Terus mendaki ke Bukit Marwah, bertahlul dan sudah selesai ibadah umrah kami.
Akhirnya tujuh pusingan berjaya kami selesaikan dengan rasa syukur yang tidak henti-henti meniti di bibir. Nafas lega ditarik sedalam-dalamnya. Terus mendaki ke Bukit Marwah, bertahlul dan sudah selesai ibadah umrah kami.
Kami tidak terus pulang ke hotel,
kerana waktu Jumaat sudah semakin hampir. Usai minum air zam zam, kami terus
mencari ruang untuk bersolat Jumaat, tempat yang paling mudah, saya dan suami
akan bersolat di belakang Multazam, menghadap Makam Ibrahim. Mata meliar mencari kawasan kosong yang boleh
kami duduk sambil menunggu waktu solat. Jangan putus asa mencari, nanti pasti
berjumpa. Akhirnya…
Suara bilal yang sentiasa merdua di
telinga benar-benar mengusik hati. Mata
saya pejamkan sambil menikmati laungan azan yang berkumandang. Allahu Akbar! Alhamdulillah kerana Allah swt
mengizinkan saya hadir di sini, melihat Kaabah, melakukan umrah serta ibadah
sunat yang lain. Tiada kata yang mampu
saya luahkan, hanya air mata menjadi pencerita rasa gembira, sayu dan syahdu
ketika berada di bumi bertuah ini. Hari yang penuh berkah, pertama kali
melakukan solat Jumaat di bumi Mekkah, lautan manusia usahlah fikirkan, sudah
menjadi rumah ibadah, ditambah hari Jumaat adalah hari cuti masyakarat di
Mekkah, maka berpusu-pusulah lautan manusia entah dari mana datangnya memenuhi
setiap ruang yang ada. Usah berkisah
jika dihimpit, usah mengeluh jika terpaksa duduk dalam keadaan saf yang rapat,
jangan harap boleh dapat duduk tahiyat akhir setiap kali solat di dalam
Masjidil Haram.
Sebenarnya, masyarakat di Mekkah ini
amat suka dengan rakyat Malaysia, sebut sahaja dari Malaysia, pasti mendapat
pujian. Terasa bangga pula. Malaysia Boleh! Malaysia Baik! Kata mereka. Senyumlah, kerana senyuman itu adalah
sedekah. Jangan lupa berdoa, berdoalah,
berdoalah, di sini, doa tidak akan dibaca oleh Imam yang bertugas. Kitalah kena
baca sendiri. Mintalah apa sahaja,
biarpun kita tidak tahu sama ada akan diterima, dipenuhi atau ditolak, doa
itukan senjata orang-orang mukmin.
Usai solat Jumaat, kami kembali ke
Hotel untuk makan tengahari, perut mula berbunyi, usah kata apa-apa kerana
sarapan pukul 5.00 pagi ya. Pukul 11.00
pagi perut sudah berbunyi. Duduk di
Mekkah asyik berasa lapar sahaja. Kalau
dahaga, minumlah sebanyak-banyaknya air zam zam, air terbaik di dunia. Dua kali
melakukan umrah, sudah faham dan terasa ringan sedikit ketika melakukannya,
tidaklah sesusah mana, yang penting diri kita kuat dan bertenaga, dalam hati
tanamkan tekad, ibadah yang kita lakukan
ini adalah kerana Allah swt. Pasti
seringan kapas ketika melakukannya. Saya
tidak lagi mengeluh kepenatan, malah semangat dan berkobar-kobar untuk
menghadirkan diri ke masjid.
Sambil berjalan, mata seronok
melihat panorama manusia yang pelbagai bangsa ini. Inilah Islam, indah dan harmoni sebenarnya,
jika tidak diganggu gugat oleh mereka yang cemburu akan agama yang suci
ini. Islam boleh bersatu jika hati-hati kita bersatu kerana
ALLAH swt. Allahu Akbar! Nikmat yang mana lagi yang akan kami nafikan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan