Sekali kaki melangkah, biar diterjah lopak, belukar atau
belantara, namun berganjak tidak sama sekali.
Itulah azam di hati ketika mula-mula dia dimemasuki arena perjuangan
bangsa dalam sebuah parti politik yang amat dikagumi oleh seluruh rakyat negara
ini. Biarpun ramai berkata, bergelumang
dengan ahli politik seperti bercampur dengan najis khinzir yang wajib disamak
sebelum ingin berhenti sepenuhnya.
Kata-kata sindiran yang langsung tidak mengusi sanubarinya. Langkah kaki sudah ditetapkan. Niat sudah tekad membulat di dalam hati.
Ramai juga berkata, siapa nak kaya, jadilah orang
politik. Boleh bina empayar dan harta.
Keluhan dilepaskan. Dengan nada
yang sama, biarpun suara berlainan, berjuang dalam parti politik adalah perkara
yang sia-sia, kata mereka lagi. Kalau
masih berkuasa, engkau dipuja. Jika
sudah kalah, ditendang seperti kain buruk yang tidak berguna lagi. Benarkah? YB Shamsul mengeluh perlahan. Cuba menenangkan dirinya yang sedang
berkecamuk sejak hari-hari kejatuhan parti politik tempat dia bersandar tumbang
menyembah bumi. Hati rakyat sudah
berubah? Betulkah?
Dalam gelanggang politik dia bukan orang biasa. Sebagai
Ketua cawangan di sebuah daerah yang besar di Negeri Selangor ini, dia amat
dikenali oleh ramai orang. Daripada
tukang sapu sehingga ahli perniagaan yang bertaraf lima bintang. Begitu juga di dalam parti yang
dianggotainya. Ramai ahli-ahli parti amat menghormatinya sebagai seorang yang
rajin dan ikhlas bekerja. Bukan mengejar
pangkat dan harta. Apatah lagi dia juga seorang ahli perniagaan yang terkenal
dan punya harta yang melimpah ruah, tujuh keturunan tidak habis makan. Terbukti dia masuk politik bukan kerana ingin
mengkayakan diri atau mengejar pangkat dalam parti mahupun kerajaan yang
memerintah. Tapi, semua itu tidak orang pandang. Nama sahaja YB pasti yang akan beranggapan
dia penipu dan hanya pandai menabur janji seperti semua wakil rakya yang ada.
Menyebut perkataan ikhlas memang mudah. Ikhlaskah dia ketika berkhidmat sebagai
wakil rakyat dan sewaktu nama dijulang?
Sekarang, dia bukan sesiapa. Tiada pangkat dalam kerajaan, tiada pangkat
untuk membantu rakyat. Harta? Wang ringgit?
Dia ada. Kenapa perlu susah
hati? Bantulah jika ingin membantu. Buatlah kerja takkan tunggu orang
memuji? Atau wartawan datang bersama
deretan kamera, menayangkan cerita dalam media eletronik dan media cetak? Ah!
Pening memikirkannya. Ditambah kata kawan-kawan seangkatan. Masyarakat kawasannya sudah ‘buang’ dia, buat
apa lagi berkhidmat untuk mereka? Ada
benarnya! Kalau mereka menghargai
baktinya selama ini, sepatutnya dia menang dalam pilihanraya. Ada pangkat dan kuasa, lebih mudah bekerja
dan membantu masyarakat di kawasannya.
“Usahlah abang berfikir lagi, buat apa bekerja untuk
masyarakat di kawasan abang itu. Mereka
sudah ada wakil rakyat baharu. Biarkan
mereka merayu pula dengan wakil rakyat tersebut. Abang tumpukanlah masa pada perniagaan abang
semula. Tak perlu susah hati kerana
orang lain.” Kata isteri kepadanya malam tadi.
Shamsul mengeluh.
Kata-kata perangsangkah itu? Ya
Allah! ‘Ujian buat diriku dalam
mengejar erti keikhlasan yang sering aku tutur dan laungkan kepada masyarakatku
selama ini, detik hati kecil Shamsul.
Jiwanya memberontak sendiri. Jalan
keluar yang dicari terlalu bersempang siur.
Mahu pilih yang mana satu? Ikut
kehendak hati sendiri atau nasihat orang-orang di sekelilingnya?
Kalau ikutkan hati, ingin dibiarkan sahaja masyarakat
yang pernah diwakilinya itu. Biar mereka susah. Biar mereka turun naik pejabat
kerajaan meminta bantuan. Tidak perlu
melalui dirinya. Tidak usah datang
merayu di kaki tangga rumahnya. Usah
meminta-minta. Berusahalah sendiri. Pandai-pandailah hendak hidup, bisik hati
kecilnya. Uh! Itu kata-kata orang
kecewa, orang yang tidak ikhlas berbakti kepada masyarakat. Adakah dia ingin jadi seperti itu? Melupakan masyarakat yang pernah
diwakilinya. Pernah makan setalam
bersama mereka. Pernah melihat kesusahan
dan keperitan hidup mereka.
Eh! Bukankah wakil rakyat baharu ada? Kenapa dia perlu menyibuk? YB Shamsul mengeluh perlahan. Sofa empuk berkain baldu menjadi tilam meletak punggungnya yang berisi
terasa keras dan tajam. Ruang bilik
kerjanya yang nyaman terasa bahangnya.
Ini semua kesan akibat kekalahannya dalam pilihanraya yang lalu. Jiwanya jadi tidak tenteram, tidurnya tidak
lena. Makannya tidak kenyang. Minumnya
tidak menghilangkan dahaga. Semuanya
jadi serba tidak kena. Terbiasa didatangi masyarakat persekitaran tempat
tinggalnya seawal seusai solat subuh.
Kini, tiada lagi.
YB Shamsul bingkas bangun dan kembali ke meja
kerjanya. Hatinya resah. Kesibukan seharian yang dirasakan sebelum
ini, sudah menghilang pergi. Hanya kesibukan urusan syarikatnya sahaja. Tiada kehadiran masyarakat di tempatnya yang
memeriahkan pejabatnya. Setiap hari ada
sahaja yang datang, bersama pelbagai borang dan meminta bantuan daripadanya..
Dia berasa dihargai, diperlukan dan dihormati.
Dia rindukan saat-saat itu. Bukan
tentang duit atau pangkat. Dia tidak
perlukan semuanya itu.
Dalam perniagaan juga dia perlu bersaing. Sama seperti dalam politik. Siapa bijak dan berdaya saing pasti akan
menang. Siapa kuat, pasti akan berjaya.
Perniagaan yang diwarisi daripada orang tuanya bukan setakat di Malaysia,
tetapi sudah ada cawangan di beberapa buah negara. Dia menjalankan perniagaan Pelancongan dan Pakej
Umrah dan Haji. Selain itu dia juga ada
menjalankan perniagaan Kontraktor seperti membina rumah, jalanraya dan pelbagai
lagi yang bersangkutan. Sesuai sangatlah dia menjadi wakil rakyat. Berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang
perniagaan, YB Shamsul mampu menguruskan syarikat dengan baik berkat tunjukajar
arwah ayahnya. Perniagaannya berjalan
lancar dibantu oleh pekerja-pekerja yang jujur dan rajin. Itu sebab dia boleh menumpukan perhatiannya
sebagai wakil rakyat.
YB Shamsul pulang ke rumah dengan jiwa yang kosong. Satu waktu dahulu, biarpun penat melayan
kehendak masyarakat di bawah kawasannya, hatinya ceria. Allah!
Penat memikirkannya. Tidak faham dengan kehendak masyarakat di
kawasannya. Apa yang dia tidak lakukan
untuk mereka? Kenapa mereka membuang dirinya?
Kekecewaan terus bernyanyi di hati.
Terasa perit dan lukanya terlalu dalam.
Malu! Dia benar-benar malu
dibuang seperti kain buruk. Langsung
tidak dihargai.
Sepanjang laluan ke rumah YB Shamsul memandang kiri dan
kanan kawasan yang pernah menjadi tempatnya berbakti. Masih seperti dahulu. Masih sibuk.
Kenderaan bertali arus. Rumah
kedai kiri dan kanan masih dibuka.
Tetapi terasa sunyi. Tiada lagi rasa bangga di hatinya setiap kali
melalui kawasan tersebut. Tidak sama,
wajah orang lain yang terpampang di papan tanda. Bukan lagi mukanya. Cepat sungguh dia dilupakan.
Kenangan yang tidak akan dilupakan. Pagi-pagi lagi beberapa orang penduduk
kampung sudah pun berada di hadapan rumah banglonya. Ya, dia penduduk asal Kampung Limau Purut,
salah satu kawasan dalam daerah yang diwakilinya. Bangga sungguh mereka ketika dia dipilih
sebagai wakil rakyat kawasan tersebut dan dengan begitu mudah dia memenanginya. Dia akan membantu dengan penuh rela. Tidak
berasa terbeban.
“YB, nak minta tolong tandatangan borang memohon biasiswa
untuk anak saya.”
“YB, bil air dan elektrik
rumah saya sudah tertunggak dua bulan, minta tolong.”
“YB, saya nak buat pinjaman untuk berniaga, mohon
luluskan.”
Itulah yang didengari setiap
hari. Sambil mengangguk setuju, dia akan
cuba membantu selagi daya. Sebagai YB,
peruntukan ada untuk kawasannya berkhidmat.
Tidaklah keluar duit dari saku sendiri.
Kalau dia pandai cari penaja atau yang sudi menderma atau bersedekah,
lagi mudah kerjanya. Tidak perlu guna
pakai duit peruntukan yang ada. Sewaktu
musim perayaan rumahnya penuh dengan pelbagai jenis biskut dan hadiah yang
diberi oleh orang kampung atau masyarakat di daerahnya. Jenuh nak makan. Dia juga akan menyumbang lembu untuk korban
di masjid-masjid yang terdapat di kawasannya.
Kenduri-kendara, jika dijemput dia berusaha untuk menghadirkan
diri. Biar tak makan, tak mengapa. Asalkan hadirkan diri. Itu sahaja sudah cukup membuatkan penduduk
kampung bercerita berminggu-minggu. Mereka berasa bangga YB datang ke
rumah.
Perasmian Hari
Guru, dia turut hadirkan diri. Ada bala
bencana di kawasannya, dia akan segera
datang. Bantuan akan segera diberi.
Jarang benar dia mengetepikan
mereka. Tidak pernah sesekali. Jadual
utama yang sering dicatat dalam diari hariannya adalah masalah penduduk di
kawasannya. Tapi kenapa? Kenapa dia dilupakan? Kenapa dia kalah kali ini setelah
berpenggal-penggal menjadi YB kawasan tersebut.
Soalan yang berat
berlegar-legar sejak dia dijatuhkan daripada kerusi yang disandang sebelum ini.
Tangan asyik mendarat di atas dahi, pening memikirkannya. Apakah kesilapan yang telah
dilakukannya? Sehingga ke hari ini dia
masih mencari dan memahami tindakan pengundi-pengundi di kawasannya.
YB Shamsul berhenti di sebuah kedai makan yang selalu disingahinya
ketika masih menjadi wakil rakyat di kawasan itu. Dia suka mee udang yang terdapat di kedai
makan tersebut. Kereta di parkir tepi
kedai tersebut. Dia melangkah masuk dan
duduk di meja menghadap jalan besar.
Pelanggan tidak ramai. Sebaik melihat kelibatnya, mereka datang
mendekatinya. Bersalaman dan bertanya khabar.
Oh! Masih ada orang mengenali dirinya? Mereka bersembang seketika. Ada juga yang mengucapkan takziah, terasa dia
pula yang meninggal. Hanya senyuman yang
mampu diberi biarpun tawar.
“YB baharu baguskah?” tanya YB Shamsul dengan wajah yang
cuba ditenangkan.
“Baguslah YB.” Jawab salah seorang pelanggan di situ.
YB Shamsul tersenyum lagi. Terasa juga hatinya. Dia tidak baguskah? Setelah memesan mee udang dan teh Tarik, YB Shamsul
terus menjamahnya. Terasa kurang enak di
tekak, bukan kerana tidak sedap tetapi fikirannya yang berserabut membuatkan
makanan yang dijamah terasa kurang enaknya.
Terdengar juga mereka bercerita akan rancangan YB terbaharu mereka untuk
membangunkan kawasan itu. Kedai papan
itu akan diganti dengan kedai batu? Lama
juga nak siap itu. Bolehlah mereka
menunggu dan tentu sewanya akan mahal, mahukah mereka? Dia juga pernah terfikirkan perkara yang
sama, tetapi memikirkan kos membina rumah kedai dua tingkat dan sewa yang akan
dikenakan oleh pelabur menyebabkan dia membatalkan niatnya. Takut perniagaan yang ada tidak mampu
membayarnya.
Sebaik sahaja menghabiskan suapan terakhir, seseorang
menepuk bahunya dari belakang. YB
Shamsul menoleh. Dia terkejut. Namun, sempat YB Shamsul melemparkan
senyuman. Kehadirannya bersama pengiring. Sudah bergelar YB tentulah ramai pengikutnya,
detik hati kecil YB Shamsul.
“Apa khabar YB?”
tanya YB Jais yang baharu sahaja mengambil alih kuasa di kawasan YB
Shamsul.
“Baik YB!” jawab YB Shamsul.
Mereka bersembang.
YB Shamsul mendengar dengan penuh teliti. Parti lawan berada di hadapannya. Orang yang mengalahkannya. Orang yang telah merampas kawasan tempat dia
berkhidmat selama ini. Eh! Dia tidak marah. Sesiapa sahaja berhak bertanding. Kalau menang, itu rezeki namanya. Bertenang, dia sudah cukup matang. Sesiapa pun yang berkhidmat untuk masyarakat
perlu disokong. Bukan menabur fitnah,
bukan memboikot, hati YB Shamsul terus berbisik.
Hampir sejam dia duduk menghadap wakil rakyat baharu itu. Pelbagai cadangan dan perancangan
diceritakan. Banyak juga idea wakil rakyat baharu ini. Masih muda, bersemangat dan kuat. Berbeza dirinya yang semakin tua, biarpun
bersemangat. Masyarakat di tempatnya
ingin orang muda agaknya. Tentu banyak idea untuk membangunkan daerah yang
diwakilinya. Dia hanya mantan YB daerah
tersebut. Tidak perlulah berkecil
hati. Tidak perlulah dia berasa
hati. Rakyat yang memilih, bukan salah
YB Jais.
“YB, marilah kita berganding bahu membantu penduduk di
sini dan daerah yang pernah YB wakili. Bantu saya. YB lebih kenal kawasan ini berbanding
saya. Ramai juga penduduk yang masih
sukakan YB. Janganlah jauhkan diri.
Biarpun kita berlainan parti, tapi kita rakyat negara ini, satu bangsa dan satu
agama. Bukan masuk parti saya, tapi
bekerjasama membangunkan daerah ini,”
ajak YB Jais bersungguh-sungguh.
“Saya orang tua, tak banyak idea, itu sebab ditolak oleh
pengundi kawasan saya,” jawab YB Shamsul.
“Ditolak bukan kerana kurangnya idea, tapi rezeki
saya nak jadi YB di sini,” luah YB Jais.
“YB, saya ikhlas dan bersungguh ini. Biarlah apa orang nak kata. Mari kita berganding bahu. Perbaiki keadaan di daerah ini. Sekarang sudah baik, kita jadikan lebih bagus
lagi. Bekerja berkumpulan lebih baik
daripada bekerja seorang diri,” pujuk YB Jais lagi.
“Nantilah saya fikirkan.
Nanti apa pula kata orang kuat parti saya,” kata YB Shamsul. Ya, apa pula kata ahli-ahli parti yang dia
turut menjadi ahli dan diwakilinya. Apa
pula kata barisan tertinggi parti jika melihat dia sibuk bekerja bersama-sama
dengan parti lawan. Nanti mereka fikir, dia melompat parti. Hish!
Susah juga ini.
YB Shamsul pulang ke rumah dengan tambahan subjek yang
harus difikirkannya. Membantu wakil
rakyat baharu itu? Bolehkah? Partinya akan restukah? Barisan Majlis Tertinggi akan
merestuikah? Jangan-jangan mereka akan
fikir dia sudah berpaling tadah. Uh! Serba salah jadinya. Bukankah dia masih boleh berbakti, walaupun
tidak lagi menjadi wakil rakyat. Kenapa
pula dia tidak boleh membantu wakil rakyat baharu sedangkan mereka sama-sama
inginkan kebaikan buat daerah yang pernah diwakili.
Ah! Serabut! Serabut! Detik hati kecilnya. Berkerut wajahnya.
YB Shamsul melangkah masuk ke dalam rumah banglo dua
tingkat yang sudah lama didiaminya. Di
bina di atas tanah setengah ekar. Di dalam kawasan kampung. Nyaman dan selesa tinggal di situ. Berbeza tinggal di bandar yang dipenuhi
dengan bangunan pencakar langit dan kesibukan kenderaan bertali arus tidak kira
siang atau malam. Penghawa dingin sudah
siap terpasang. Tentu isterinya berada
di rumah. YB Shamsul terus melabuhkan
pungguhnya di sofa. Berehat seketika.
Kepalanya berdenyut-denyut. Asyik fikir
apa orang kata, sehingga dia terlupa niat sebenarnya menyertai parti politik
dan bertanding sebagai wakil rakyat.
Tanpa jawatan pun dia masih boleh berkhidmat. Tanpa parti politik pun dia masih boleh
membantu rakyat dan masyarakat di kawasannya.
Bukankah dia melakukannya kerana ikhlas?
Ah! Pedulikan apa yang bakal dikatakan
oleh anggota Majlis Tertinggi partinya.
Siapa yang lebih berkuasa? Ahli
politikkah, atau rakyat? Rakyat sudah
membuktikan mereka berkuasa dengan mudah menolaknya setelah sekian lama bergelar
Yang Berhormat atau sepatutnya Yang Berkhidmat.
Ya! Dia sudah bertekad, dia akan
terus berkhidmat biarpun tanpa pangkat atau menjadi ahli politik. Biarlah dia berkhidmat untuk rakyat dan
masyarakat di kawasannya dengan wangnya sendiri. Biarlah dia bekerja sama
dengan YB Jais. Tiada salahnya. Tiada dosapun.
Apa yang penting masa hadapan rakyat dan masyarakat di kawasannya. Itulah azamnya. Ya tidak akan berganjak lagi!
YB Shamsul tersenyum gembira. Kepalanya
sudah kurang berdenyut. Hatinya semakin tenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan