Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 12 November 2018

NERACA NISA' - SAMBUNGAN BAB 1






Nisa’ mengetap bibir menahan gejolak rasa amarah yang sedang merusuh dan tumbuh laju di hatinya. Hembusan taufan kemarahan yang tidak mampu dibendung melanggar setiap laluan urat saraf menuju ke sanubarinya. Mahu sahaja diamuk keluarga pelajar perempuan itu.
            Maruah dan harga dirinya sekeluarga sedang diracik-racik halus, dibuang dalam kumbahan, dihina dan dikeji begitu buruk sekali. Sekurang-kurangnya, sisa-sisa kumbahan masih boleh diguna pakai, diangkat dan diproses semula, diasingkan, diolah semula, diproses dan dijadikan baja, sedangkan nama baik suami dan keluarganya? Akan dipaksa berkubang terus di situ, jika mengikut kehendak hati ahli keluarga pelajar perempuan itu, apakah yang mereka mahu sebenarnya?
            Berbuai rasa sebak di dada, menghantui setiap nafasnya yang dihembus turun naik. Bagaimanakah mungkin dia melupakan kejadian tersebut? Terkenangkannya kemarahan dan kepedihan oleh rasa tersinggung pada wajah suaminya ketika itu.  Ingatkan selesai setelah pelajar itu dihalau keluar dari rumah kebajikan tersebut kerana kata-kata yang keluar dari mulutnya, benar-benar memeranjat dan melukakan.
            Cuaca tenang dan terang di luar tidak menggambarkan suasana dalam hatinya ketika itu. Hembusan angin petang menampar pipinya. Dia terus duduk resah gelisah di hadapan pondok wakaf yang terletak di laman Rumah Kebajikan Permai.  Terbayang-bayang kembali bagaimana pada hari itu, para pelajar Rumah Kebajikan Permai kembali ke asrama setelah bercuti hari raya puasa selama 10 hari.
            Pada seawal 9.00 pagi, para pelajar sudah kelihatan berbondong tiba di rumah kebajikan, dengan berkemeja putih, berseluar merah hati bagi pelajar lelaki dan berbaju kurung merah hati serta bertudung hitam bagi pelajar perempuan. Wajah-wajah mereka yang ceria disambut dengan gembira oleh Harris yang berjubah berwarna krim dan berkopiah putih. Nisa’ pula berjubah hitam dan bertudung senada. Terpancar kegembiraan pada wajah pemilik Rumah Kebajikan Permai itu, menyambut kepulangan anak-anak didiknya dengan hati yang terbuka.
            Para waris yang menghantar sebagai pengiring tidak henti-henti mengucapkan terima kasih kerana telah mendidik anak-anak mereka menjadi insan yang berakhlak dan beradab. Mereka mendekati dan menghulurkan tangan bersalaman dengan Nisa’. Kepada Harris, ucapan terima kasih tidak henti-henti diucapkan. Kebanyakan pelajar hanya ada ibu, ayah mereka sudah meninggal dunia.
            “Terima kasihlah Umi Nisa’, Abah Harris ... kerana mendidik anak saya.  Hamdan sudah banyak berubah. Rajin solat, cakap pun lembut saja dengan saya. Rajin di rumah. Tidak lagi marah-marah macam dahulu,”  ujar ibu Hamdan, ibu tunggal yang mempunyai tujuh orang anak. Sejak kematian suaminya beberapa tahun yang lalu, dialah yang menguruskan segala-galanya. Hamdan anak sulung daripada tujuh beradik.
            “Saya hanya buat apa yang patut, puan. Kita sama-sama berdoa agar anak-anak yang ada di sini berjaya di dunia dan akhirat,” jawab Harris sambil meletakkan tangan pada dada dan menunduk perlahan.
            “Yalah puan, kita sama-samalah berdoa agar mereka berjaya. Inilah yang mampu kita lakukan agar anak-anak ini menjadi hamba Allah yang beriman dan bertakwa. Kami hanya pendorong, semuanya kehendak Allah SWT jua,” sampuk Nisa’ pula. Dia memeluk erat ibu Hamdan.
Bagi Nisa’, wanita itu cukup kuat dan tabah. Kalaulah dia mengalami nasib seperti itu, belum pasti dia mampu melakukannya. Setiap orang diuji mengikut kemampuan diri masing-masing.
            “Ini ada sedikit kerepek pisang yang saya buat sendiri, hanya inilah yang mampu saya beri kepada anak-anak dan keluarga umi,” kata seorang lagi ibu yang turut menghantar kembali anaknya setelah lama bercuti.
            “Terima kasih, ini pun sudah cukup,” ucap Nisa’ sambil tangannya menyambut bekas plastik yang berisi kerepek pisang itu.
            Seorang demi seorang waris datang mengucapkan terima kasih. Nisa’ benar-benar terharu dengan ucapan dan kata-kata yang menyentuh hatinya itu. Bukan meminta balasan, sekadar ucapan terima kasih sudah cukup buatnya dan suami.
            Pelbagai juadah turut dibawa bersama, kerepek, biskut, dan roti mengikut kemampuan mereka sebagai sedekah dan sumbangan. Makanan itu akan dihidangkan nanti ketika waktu makan anak-anak. Mereka akan makan makanan yang terhidang di dalam talam, kebiasaannya setalam empat orang. Sebelum makan, para pelajar akan membasuh tangan, kemudian duduk menghadap rezeki yang terhidang.
            Para pelajar diajar membaca doa makan seusai membasuh tangan, kemudian mencicip sedikit garam pada hujung jari manis dan menjamah sepotong buah. Cara duduk juga mengikut sunah, kaki kanan didirikan, dirapatkan ke sisi perut dan punggung diletakkan di atas kaki kiri. Sewaktu makan, tiada siapa pun dibenarkan berbual atau bercakap-cakap, hanya menggunakan isyarat tangan atau mata. Makanan dibahagikan sama rata dan jika berlebihan, ketua talam akan membahagikan dengan kawan-kawan yang lain. Sama rata, sama rasa. Tiada yang terlebih dan tidak pula yang terkurang.
            Senyuman terukir pada wajahnya. Nisa’ memerhatikan Seha, pelajar perempuan yang berusia 12 tahun, yang terakhir tiba. Wajah pelajar itu riang, berbaju kurung merah hati, pakaian seragam rumah kebajikan dan bertudung labuh berwarna hitam. Ceria wajahnya setelah lama bercuti. Nisa’ menyambut dan memeluknya erat, seorang pelajar yang agak lemah dalam pelajaran, namun rajin menolongnya di dapur. Bukankah budak perempuan itu dan semua pelajar, mereka juga sudah seperti anak-anaknya?
            Biarpun bukan dia yang melahirkan mereka, tetapi dia yang menjadi penjaga mereka, kini. Pelajar itu mendekati suaminya pula. Tangan dihulur untuk bersalaman.  Kehadirannya ditemani oleh opah dan ibu saudaranya. Mereka asyik bercerita tentang sambutan hari raya tahun ini. Nisa’ turut mendengarnya, cerita mereka membuatkan dia teringatkan pada sambutan hari raya dia dengan keluarga sendiri di kampung.
            “Lepas ini, kami hendak ke rumah emak Seha, ada jamuan raya,”  ujar emak saudara Seha, bertubuh sederhana besar orangnya, berbaju kurung, tudung separas pinggang.
            “Oh, bagusnya!” Nisa’ hanya melakarkan senyuman. Dia terus mendengar cerita mereka dan memberi segenap perhatian kepada cerita yang menyinggah telinga. Seha sudah lama kehilangan ayah, sejak dia dilahirkan. Emaknya baru sahaja berkahwin semula setelah sekian lama menjadi balu.
            “Nak ikut!” Seha yang sejak tadi menelinga sahaja, tiba-tiba bersuara.
            “Mana boleh, baru saja sampai di sini,” tingkah opahnya. Orangnya bertubuh gempal dan rendah. Berbaju kurung berwarna krim, sesuai dengan kulitnya yang sawo matang. Bertudung labuh.
            Wajah Seha sedari tadi riang lantas bertukar muram.
            “Yalah, baru balik, takkan nak ponteng pula?” sampuk Nisa’, membuntang matanya memandang Seha yang muram.
Seha mula membebel yang bukan-bukan. Mula keluar pelbagai cerita tentang ustazahnya pula. “Aduhai, anak!” detik hati kecil Nisa’. Pelajar itu sudah mula merengek dan menangis, merayu dan meminta kepada opahnya. Nisa’ hanya memerhatikan sahaja. Dalam hati, hanya Allah SWT sahaja yang tahu.
            “Abah cabul Seha!” kata Seha, keras.
            “Apa?” Nisa’ hampir menjerit. Dia bingkas bangun dan mendekati Seha yang duduk berhampiran dengan opahnya. Tanpa sedar, Nisa’ menarik tangan Seha dengan agak kasar. “Apa awak cakapkan ini, Seha?”
            Seha menjegilkan mata memandangnya. Berdebar hati Nisa’. Opah dan emak saudara Seha terkedu dan tidak terkata apa-apa memandang wajah Nisa’ penuh cuak.
            Nisa’ pula memandang wajah emak saudara Seha dan opahnya silih berganti.  Dia menjadi serba salah, tiba-tiba dia terpandangkan wajah suaminya. Adakah suaminya sanggup melakukannya? Seperti tebuan terbang masuk ke telinganya, seperti itulah dia rasakan ketika mendengar kata-kata Seha tadi. Ya, Allah! Kejamnya ayat yang keluar dari mulut pelajar kecil itu. Suaminya sudah lama kembali berehat di rumah setelah menyambut para pelajar rumah kebajikan itu.
            “Hamdan! Hamdan! Panggil abah, cepat!” jerit Nisa’ kepada salah seorang pelajar yang sedang bermain di laman rumah kebajikan itu.
            Hamdan berlari ke dalam rumah. Seha kelihatan menggelabah, pucat lesi wajahnya. Opah Seha sudah mula menangis dan berkali-kali memohon maaf. Emak saudaranya mula memarahi Seha. Terasa hatinya ditikam berkali-kali, membuak-buak darah merah mengalir keluar, lukanya sangat dalam, hampir menghancurleburkan perasannya ketika itu. Beberapa minit kemudian, suaminya keluar dari rumah. Nisa’ menarik tangan suaminya. Nisa’ dapat merasakan wajahnya sudah memucat lesi seperti orang sakit yang tidak akan sembuh lagi.
            “Cuba Seha cakap seperti tadi!” arah Nisa’. Masih bergetar jantungnya, degupannya masih kuat.
            “Abah Harris, maafkan Seha, dia tidak tahu apa yang dia cakap! Maafkan kami juga, Abah Harris,” kata opah dengan tangisan yang masih berbaki. Wajahnya muram dibasahi air mata.
            “Ya, Abah Harris. Maafkan Seha. Seha, minta maaf dengan abah!” kata emak saudara Seha pula.
            “Abah cabul Seha!” tuduh Seha sambil menangis.
            “Apa?” Harris terkejut seperti terkena serangan jantung. Hampir dia jatuh terduduk. Dia yang berusia awal 50-an itu, bagaikan dipukul dengan penukul besi, menghentam belakang tubuhnya, terhuyung-hayang dia berdiri, cepat-cepat dia memegang kerusi berhampiran.
            “Abang dengar, kan?” bentak Nisa’ memandang wajah suaminya.  Dia masih cuba menenangkan diri. Masih cuba tidak menerkam dan memarahi suaminya sendiri, tergugat sedikit kepercayaannya. Cuba meyakinkan dirinya bahawa suaminya tidak melakukan perkara sekeji itu.
            Opah dan emak saudara Seha tidak berbuat apa-apa. Hanya menangis dan cuba menenangkan Seha. Sesekali terdengar Seha dimarahi oleh emak saudaranya.  Nasib baik tiada sesiapa di situ ketika itu. Para waris yang menghantar anak-anak mereka sudah lama meninggalkan Rumah Kebajikan itu. Pelajar-pelajar sibuk di bilik asrama masing-masing dan sebahagiannya pula bermain di laman rumah kebajikan tersebut.
            “Awak cakap apa ini, Seha? Bila saya lakukannya?” marah Harris tanpa mempedulikan opah dan emak saudara Seha.
            “Abang!” pintas Nisa’, memandang wajah Harris tanpa mengerdipkan kelopak matanya. Terasa dikhianati oleh suaminya sendiri. Semakin hebat degupan jantungnya memukul perasaan hampa yang sedang menggila dalam diri. Seperti halilintar memuntahkan pancarannya tepat ke hati.
            “Gila! Abang takkan melakukan kerja laknat itu, Nisa’!” luah Harris, tegas. Matanya tajam memandang Seha. Pelajar itu terus melarikan matanya daripada memandang Harris.
            “Opah dengar, kan? Seha!” Nisa’ menahan amarahnya.
            Pelajar perempuan itu menunduk.
            “Saya tidak suka pelajar saya sengaja mereka cerita bohong begitu! Cerita awak bukan sahaja merosakkan nama baik saya, tetapi juga merosakkan nama baik Rumah Kebajikan Permai, para pelajar di sini juga. Eloklah awak keluar sahaja dari sini, Seha. Saya tidak mahu tengok awak berada di sini lagi!” halau Harris, wajahnya mencuka.
            “Abang!” Nisa’ cuba menahan tindakan suaminya. Dia tidak mahu menjadi manusia yang kejam hanya mendengar cerita bohong pelajar tersebut yang masih kanak-kanak itu. Tetapi, dia bukan berada di tempat suaminya, dia tidak dapat menggambarkan apa yang suaminya rasai setelah difitnah sedemikian rupa.
            “Keputusan adalah muktamad!” tegas Harris sebelum berjalan laju kembali ke rumah yang menjadi tempat tinggal mereka sekeluarga, rumah yang berada di dalam kawasan rumah kebajikan itu.
            “Ya Allah! Umi Nisa’, mana saya nak hantar cucu saya belajar lagi? Saya tak mampu nak sara dia, itu sebab saya hantar ke mari, janganlah buang dia,” luah opah Seha dengan linangan air mata.
            “Yalah, Umi Nisa’, jangan halau anak saudara saya,” rayu emak saudara Seha.
            Nisa’ mengetap bibir, marah dan simpati silih berganti. Berkocak jiwanya mendengar rayuan kedua-dua insan yang menjadi penjaga Seha itu. Sejurus itu, kelihatan Harris bergegas datang kembali ke pondok wakaf semula dengan sekeping sampul surat.
            “Mak cik, bawalah cucu mak cik balik! Saya tak mahu pelajar seperti dia berada di rumah kebajikan saya. Ini buku bank dan duit simpanannya, terima kasih,” kata Harris. Dia menyerahkan sampul surat yang berisi buku bank dan duit milik Seha.
            “Abah Harris, sabarlah. Seha hanya reka cerita saja. Dia memang macam itu, di rumah pun dia buat begitu juga. Habis abang-abang, pak cik-pak cik dan datuknya dituduh mencabul dia. Abah Harris, maafkanlah dia. Kalau dia dikeluarkan dari sini, dia hendak belajar di mana?” kata opah dengan deraian air mata, matanya memandang wajah cucunya yang turut menangis di sebelahnya.
            “Itu bukan urusan saya, mak cik! Sila keluar dari sini!” halau Harris yang ternyata tidak dapat memaafkan Seha.
            “Abang!” bantah Nisa’ yang kian serba salah. Pandangannya dilepaskan ke arah Seha yang sedang berendam air mata, mata mereka saling bertembung.
Seha sudah disayangi seperti anak kandungnya sendiri, sama seperti dia menyayangi semua penghuni di Rumah Kebajikan Permai. Seha dihantar ke situ oleh opah dan emak saudaranya. Dia sudah lama kehilangan ayah, dia anak tunggal.  Emaknya baru sahaja berkahwin sekali lagi. Ayah tirinya tidak mahu menjaganya.  Terpaksalah opahnya mengambil alih menjaga cucunya yang seorang itu.
            Kenapa semuanya ini berlaku? Dugaan apakah ini? Kenapa ia datang bergolek seperti buah durian yang gugur sendiri di celahan pokok menuruni bukit, tanpa ada apa-apa petanda pun. Tidak seperti hujan yang turun membasahi bumi, akan ada awan hitam yang berarak mendung, petir dan guruh saling sambung-menyambung memberitahu penduduk bumi akan kehadirannya. Angin kuat menampar pepohonan yang tumbuh subur dan melata di pekarangan rumah kebajikan.
Dengan riak yang amarah, opah dan emak saudara Seha menarik tangan Seha masuk ke dalam perut kereta milik emak saudaranya, selepas memohon maaf dengan Nisa’.
            Nisa’ tidak mampu berkata apa-apa, jiwanya galau, perasaannya kucar-kacir, antara suami dan Seha. Siapa yang perlu dipercayainya ketika dan saat itu? Sejak peristiwa itu, perasaan bimbang silih berganti. Sesekali dia menyuarakan perasaannya kepada suaminya, jawapannya begitu tenang dan sabar. Ingatkan perkara itu akan berakhir begitu sahaja. Rupa-rupanya, tidak. Kusangka pantai tidak akan berubah, biarpun ombak sering menghempasnya, rupa-rupanya tidak.
            Keresahan yang dirasakan sejak peristiwa suaminya difitnah Seha, akhirnya terjawab. Bagaikan badai menghempas pantai, mengocak pepasir yang bertapa tenang di gigi air, mencuit rasa bimbang yang tidak keruan. 
            Tiga orang anggota polis dan dua orang emak saudara Seha telah merempuh masuk ke dalam rumah kebajikan. Mereka datang dengan dua buah kenderaan, satu kenderaan polis dan sebuah kereta sedan, mungkin milik salah seorang emak saudara Seha, pelajar itu tidak pula kelihatan.
            Ketika itu, suaminya tidak ada di rumah. Ada urusan lain di luar. Para pelajar pula sedang menghafal hafalan mereka di bahagian aula atau surau di rumah kebajikan itu. Jantung Nisa’ berdegup kencang. Terasa getar di tangannya, berdebar hatinya menyambut kehadiran mereka. Apa yang sedang berlaku? Malapetaka apa pula ini?
            “Tuan Harris ada?” tanya salah seorang anggota polis yang berpangkat inspektor, tanpa memberi salam atau memperkenalkan diri. Wajahnya serius.
            “Dia tidak ada, tuan. Keluar sebentar tadi, ada urusan di luar,” jawab Nisa’ cuba menahan gejolak perasaannya yang bagai dilanda tiupan angin kencang yang datang secara tiba-tiba. Masih tertanya-tanya tujuan kehadiran anggota polis dan keluarga di sebelah pihak Seha. Apa yang mereka mahu? Walaupun sesungguhnya dia sudah seperti dapat meneka jawapan pada soalannya tadi. Semakin laju degupan jantungnya. Tiupan angin bimbang bertiup laju di hatinya. Seperti terbayang-bayang dan dapat meneka apa yang bakal berlaku.
            “Apa tujuan tuan puan datang ke mari?” tanya Nisa’, cuba menenangkan diri.  Di dalam hati, hanya Allah SWT jua yang tahu.
            “Kami datang ini hendak menahan Tuan Harris atas tuduhan mencabul pelajar bawah umur. Ini surat waran tangkap untuk Tuan Harris,” jawab tuan inspektor yang bernama Hisyam itu.
            Surat waran tangkap ditunjukkan kepada Nisa’. Terkedu dia melihatnya.  Tertulis pada borang itu nama suaminya, alamat tempat tinggal dan kesalahan.
            “Apa? Astaghfirullahhal‘azim! Tuan tersilap maklumat agaknya!” Nisa’ terkejut mendengarnya, walaupun dalam hatinya, dia sudah dapat meneka akan tujuan kehadiran mereka.
Namun, dia tidak menyangka perkara yang bermula daripada cerita rekaan seorang kanak-kanak nakal dan tidak cukup matang itu akan sampai ke pengetahuan pihak polis dan menjadi seserius itu. Dia tidak menyangka sama sekali, pihak keluarga Seha akan membuat laporan polis, padahal, sebelum itu mereka sendiri mengaku bahawa Seha pandai mereka cerita.
Tidakkah mereka tahu, pelajar itu telah berbohong! Dia sendiri berkali-kali bertanyakan hal tersebut kepada suaminya, malah kepada para pelajar yang lain. Tidak pernah suaminya atau Seha berdua-duaan. Mana mungkin perkara itu berlaku?
            “Kami terima laporan siap dengan buktinya sekali dan kami berhak menahan Tuan Harris!” ujar Inspektor Hisyam.
            Nisa’ mengetap bibir.
            “Bukti apa? Sampai hati tuan buat suami saya seperti ini! Sampai hati puan-puan fitnah suami saya!” kata Nisa’, marah. Tidak pernah dia menyangka sama sekali, tergamak keluarga itu melayan fitnah pelajar tersebut.
            “Kami telah buat pemeriksaan terhadap pelajar itu di hospital, memang ada kesan pencerobohan pada faraj pelajar tersebut. Itu telah disahkan pihak hospital sendiri,” terang Inspektor Hisyam.
            Bagaikan panahan petir menyambar tubuhnya, menggigil seluruh sendi dan tulang kaki Nisa’, terasa lembik tubuhnya. Dia terduduk dan beristighfar berkali-kali, bergetar bibirnya. Matanya menikam tajam pada wajah kedua-dua orang emak saudara Seha, yang seorang memang amat dikenalinya dan sering datang menziarahi Seha, yang seorang lagi tidak pernah dilihatnya sebelum ini.
            Tidak punya masa untuk bertanya atau beramah mesra. Wajah sombong mereka dipandang seketika. Dia menggeleng kekesalan. Nasib baik tiada sesiapa di situ. Hanya dia seorang sahaja berhadapan dengan barisan rombongan yang ingin menangkap suaminya itu. Kalau tidak, pasti malu besar dia sekeluarga.
            “Tidak mungkin! Tidak mungkin, tuan!” kata Nisa’. Dia yakin bukan suaminya yang lakukan.
Ya Allah, Engkau berikanlah aku kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian yang maha besar ini!
            “Boleh saya buat pemeriksaan di kawasan ini dan bertanyakan beberapa soalan pada para pelajar yang ada?” soal Inspektor Hisyam. Wajahnya masih seperti tadi, serius dan tidak langsung mahu tersenyum. 
            “Pergilah tuan, tiada apa yang ingin kami rahsiakan!” ucap Nisa’. Hatinya masih marah, terhunus pedang yang tajam, hanya menunggu untuk mencincang mereka yang telah merobek luka, menghancurleburkan perasaannya ketika itu. Jiwanya sedang memberontak, melanggar pokok-pokok kecewa yang sedang tumbuh subur. Berkali-kali dia menelefon suaminya agar pulang segera. Jawapannya, dalam perjalanan dan jalan raya sedang sesak. Keadaan sudah menjadi berat, sudah menjadi kes polis.
            Nisa’ tidak sanggup duduk menghadap keluarga Seha. Mahu tidak mahu Nisa’ terpaksa mengiringi salah seorang daripada anggota polis itu melawat kawasan rumah kebajikan dan berjumpa dengan para pelajar terutama pelajar perempuan. Kenyataan mereka diambil oleh salah seorang anggota yang turut hadir bersama.
Ustazah yang bertugas turut disoal siasat oleh pihak polis. Tampak wajah terkejut ustazah itu.            Renungannya tajam menikam wajah-wajah manusia yang berada di persekitaran Rumah Kebajikan Permai. Apa yang mereka cari? Bukti? Kesilapan? Atau dosa?
            Bibir dan hatinya tidak berhenti-henti berzikir. Lahaulawala quataillabillah tidak putus-putus meniti bibirnya. Mencari kekuatan dalam diri, memberi ketenangan di hati.  Dadanya berdebar kuat seperti hendak melompat keluar memuntahkan sesal dan menahan getar yang teramat.
            “Kenapa suami saya diperlakukan seperti ini!” bentak Nisa’. Marahnya berapi-api. Sakit hatinya, pedih jiwanya.
            “Sabar puan, kami masih menyiasat perkara ini. Kalau suami puan ditahan pun, hanya untuk disoal siasat,” pujuk salah seorang anggota polis yang turut hadir  bersama untuk menangkap suaminya.
            “Ini bukan soal ditangkap untuk apa tuan! Tapi, soal maruah kami! Maruah suami saya, keluarga saya. Maruah rumah kebajikan ini! Suami saya tidak buka rumah kebajikan ini hanya untuk mencemarkan maruah dirinya! Ini semuanya fitnah, tuan! Fitnah!” desis Nisa’ yang terus menjelaskan tentang bagaimana dia sentiasa berada di sisi suaminya, 24 jam sehari, melainkan dia ke tandas atau ada urusan di luar, selalunya, suaminya akan turut berada bersama-sama dengannya.
            “Saya faham perasaan puan, undang-undang tetap undang-undang. Jika ada laporan, pasti ada tangkapan dan kes. Kami hanya menjalankan tugas yang diamanahkan,” jelas anggota polis itu sebelum berlalu meninggalkan Nisa’ sendirian.
            Ya, undang-undang tetap undang-undang. Tetapi, jika undang-undang dibuat sehingga mampu menganiayai orang lain, bolehkah dia membiarkannya? Nisa’ mengeluh berat.
            Rumah Kebajikan Permai, Pusat Penjagaan Anak Yatim itu ada peraturannya sendiri. Para pelajar perempuan tidak sewenang-wenangnya dibenarkan keluar bersendirian, selalunya akan ada yang menemani hatta hendak ke tandas sekalipun.  Bagaimana mungkin suaminya boleh dan sempat melakukan pekerjaan terkutuk itu.  Itu sebab, sukar untuk dia menerima tuduhan yang dilakukan Seha terhadap suaminya.
            Hampir sahaja Nisa’ hendak menjerit, tetapi memikirkan itu bukan cara seorang perempuan yang diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian yang telah ditakdirkan itu, dia segera mengawal perasaan. Ya Allah! Ya Allah! Berikanlah kami kekuatan, doa Nisa’ dalam hati. Kebetulan pula, hari ini anak-anak dan suaminya berpuasa. Ujian yang berat sungguh. Benar-benar menguji dirinya dan suami. 
            Bunyi enjin kenderaan memasuki kawasan rumah kebajikan membuatkan Nisa’ bingkas bangun dan menuju ke tempat letak kereta yang berhampiran, tidak jauh dari kawasan asrama perempuan. Wajah suaminya yang baru turun dari kenderaan dipandang seketika.
            “Abang!” rintih Nisa’. Namun, secepat itu dia bagaikan mati kata-kata.  Dadanya sebak, jiwanya retak seperti dihempas ke batu, lemas seolah-olah ditarik oleh lautan yang sedang mengganas.
            “Sabar! Semua ini ujian!” ucap Harris, lalu melangkah pantas ke pondok gazebo yang terletak di bahagian hadapan rumah kebajikan. Tempat para pelajar dan waris berkumpul apabila tiba waktu ziarah.
            Nisa’ mengekori langkah suaminya, begitu juga anggota polis yang membuat pemeriksaan tadi. Ustaz dan ustazah yang sedang mengajar turut berhenti dan ternyata mereka juga ingin tahu apa yang sedang berlaku. Wajah mereka muram, saling bertanya sesama sendiri. Saling menyoal Nisa’ juga, namun tidak terkeluar dari bibir Nisa’ untuk menceritakannya. Dia benar-benar kerisauan.
            Harris menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Inspektor Hisyam, pegawai penyiasatan kes cabul tersebut.
            Nisa’ menahan sendu. Menahan air mata daripada mengalir. Tidak sanggup melihat apa yang berlaku. Tidak pernah terduga di benaknya bahawa perkara itu akan berlaku dalam keluarganya.
            “Kami terpaksa menahan Tuan Harris, harap boleh beri kerjasama dan ikut kami ke balai. Ini waran tangkap atas nama Tuan Harris,” kata Inspektor Hisyam, sekali lagi waran tangkap itu ditunjukkan, kali ini kepada orang yang akan ditangkap.
            “Baik tuan,” jawab Harris.
            “Abang!” bantah Nisa’, seraya menerpa ke arah suaminya.
            “Awak bertenang. Kita di pihak yang benar. Biarlah mereka jalankan tugas yang diamanahkan,” ujar Harris, wajahnya masih tenang, tutur katanya masih lembut.  Bagaikan tiada apa yang berlaku.
            “Jaga anak-anak, tenangkan mereka. Tak lama. Nanti abang balik semula.  Jadual rumah kebajikan biar berjalan seperti biasa,” pesan Harris lagi. Matanya redup memandang wajah Nisa’.
            Nisa’ segera menekup mulutnya, menahan tangisannya sendiri. Tidak sanggup melihat suaminya digari seperti penjenayah yang telah melakukan jenayah berat. Ya Allah! Suaminya sudah dijadikan penjenayah!
            “Ini balasan puan berdua? Setelah apa yang saya dan suami buat untuk Seha!” marah Nisa’ meledak juga. Matanya membuntang tajam memandang wajah kedua-dua emak saudara Seha yang kelihatan kemas bergaya. Macam orang berpangkat besar.   Cara puan berpakaian dan tengok kenderaan puan, macam orang senang. Tapi, kenapa hantar Seha tinggal di rumah kebajikan, ya?” soal Nisa’ dengan wajah cuak.
            “Kami ada bukti!” tukas emak saudara Seha yang bercermin mata hitam sambil memandang sinis ke arah Nisa’.
            “Bukti? Bukti apa? Jika memang ada bukti sekalipun, apakah bukti itu berpunca daripada kata-kata Seha? Jangan hendak bermain sandiwara di sini!” pintas Nisa’, kegeraman.
            Kedua-dua emak saudara Seha itu mendengus sinis dan terus melangkah masuk ke dalam kereta milik salah seorang daripada mereka. Nisa’ memandang dengan mata yang berapi-api, kalau boleh mahu disembur ke arah dua orang manusia itu. Kejam!


Tiada ulasan:

Catat Ulasan