Salmah
mengetap bibir, menahan rasa marah yang berapi-api. Wajah tenang Zakuan dipandang lama. Sekejap ada, sekejap menghilang. Ke mana sahaja anak sulongnya pergi? Takkan cari ayahnya? Dahinya berkerut. Lengan baju kurung pesak yang tersarung di
badannya yang kurus ditarik sehingga ke siku. Rambutnya yang beruban dan
panjang disanggup kemas. Kain batik jawa
yang tersarung dibetulkan ikatannya. Dia
duduk menghadap Zakuan yang sedang menikmati sarapan yang disediakan oleh
Salmah. Nasi goreng kampung.
“Ibu tak makan sama ke? Asyik
perhati Wan dari tadi, kenapa? Rindu
sangat ke dengan Wan?” seloroh Zakuan lalu melakarkan senyuman manis buat ibu
tersayang.
“Wan ke mana? semalam dulu tak tidur
di rumah. Kelmarin sehari
menghilang. Wan tak beritahu ibu pun Wan
keluar ke mana-mana. Ibu risau tau,”
hambur Salmah dengan wajah serius.
“Wan ada aje di kampung ni. Wan tidur di rumah ayah dan ikut ayah buat
kerja sukarelawannya itu. Ibu tahu,
banyak perubahan sudah berlaku di kampung ini, semua kawasan semak samun sudah
ditebas dan dibersihkan. Kawasan tasek
terbiar dijadikan tempat menternak ikan air tawar dan kawasan rekreasi mengikut
kesesuaian tempat. Abak-anak kampung ini
tidak lagi suka melepak dan ponteng sekolah. Skuad mencari dan memantau mereka
yang ponteng sekolah dan bermasalah dalam pelajaran sudah pun digerakkan. Wan bangga dengan ayah. Ayah benar-benar berubah, ibu,” cerita Zakuan
penuh semangat.
Salmah hanya mendengar, tiada
sebarang reaksi di wajahnya. Tidak
sedikit pun terkesan di hatinya dengan cerita kebaikan yang dilakukan oleh
bekas suaminya itu. Hatinya masih sakit,
dendamnya masih menebal. Luka yang ada
begitu sukar untuk sembuh.
“Ibu, maafkanlah ayah ya?” pinta Zakuan setelah selesai menjamah
sarapannya.
Salmah memandang ke arah lain. Zakuan fikir semudah itu? Sesenang itu dia akan memaafkan orang yang
telah menghancur leburkan hatinya? Ah! sakitnya masih ada, tidak
sembuh-sembuh. Kenapa Zakuan tidak mahu
faham? Leter Salmah dalam hati. Dia mendengus kasar.
“Ibu!” Zakuan menanti jawapan pasti dari mulut
ibunya.
Salmah masih buat tidak dengar. Tak
mungkin! Jerit Salmah dalam hati. Kalau
diluahkan pasti Zakuan akan membebel padanya.
Biarlah dia pendam luka semalam itu dalam hatinya. Kemaafan? Masih jauh
lagi.
“Dah habis makan? Tolong kemas ya,” pinta Salmah sebelum berlalu ke laman
rumah. Dia mencapai penyapu lidi yang
tersangkut di dinding sebelah dapur rumahnya.
Daun-daun kering yang mula berserakan di laman rumah dibersihkan. Pokok-pokok bunga yang tumbuh subur di tepi
pagar dan laman rumahnya disiram serta dicantas daun-daun yang sudah kering dan
mati. Tanahnya yang keras digembur, baca
bunga dan pokok diletakkan agar pokok-pokok itu tumbuh subur.
“Ibu, selama mana ibu nak mengelak?”
tanya Zakuan. Dia mengambil pencakar
rumput dan mencakar daun-daun kering.
Sengaja dia mencari ruang dan peluang untuk memujuk ibunya agar memaafkan
ayahnya. Biarpun dia tahu, ibunya tidak
suka. Hari minggu yang penuh cerita,
bisik hati kecilnya. Beberapa hari
yang lalu, dia ambil cuti. Esok sudah mula bekerja semula. Kalau boleh, dia mahu ibunya memaafkan
ayahnya. Biarpun mereka tidak kembali
bersama, cukuplah mereka masih boleh berkawan dan menjadi seperti saudara.
“Boleh tak Wan tidak bercakap
tentang lelaki itu? Sakit hati ibu,
tau!” Salmah menghempas penyapu lidi ke tanah.
Geram bercampur baur dengan marah.
Tidak habis-habis Zakuan sengaja mencuit rasa amarahnya.
Bunyi hon kereta membuatkan mereka
menoleh serentak. Kereta berjenama
syarikat milik negara it uterus masuk ke laman rumah dan diparkir berhampiran
pokok mempelam Sala yang sedang berbunga lebat.
Keluar seorang perempuan muda sambil melukis senyuman manis.
“Zara!’ sapa Salmah, wajahnya
dimaniskan biarpun hatinya sedang marah menyala-nyala.
Zara berjalan mendekati Salmah dan
memeluk ibunya erat.
Zakuan berdiri tegak memandang
kedua-dua wanita yang amat disayanginya itu.
“Abang!” sapa Zara lalu menyalami
Zakuan.
“Dah lama tak balik? Hari ini tak sibuk ke?” sindir Zakuan. Wajah tenang adik bongsunya dipandang sekali
imbas.
Zara tersenyum. Dia memeluk bahu ibunya dan duduk di pangkin
yang terletak di bawah pokok rambutan yang rendang di tepi laman rumah sebelah
kanan.
“Zara sehat?” tanya Salmah,
tidak mahu Zakuan mengusik nakal adiknya
itu.
“Alhamdulillah, ibu sehat?” tanya Zara kembali.
“Sudah sarapan?” Salmah mengusap lembut tangan Zara. Terubat rasa rindu terhadap anak bongsunya
itu.
“Sudah ibu,” jawab Zara.
“Ibu… tujuan Zara balik ini ada
perkara nak bincang dengan ibu,” beritahu Zara. Wajahnya bertukar serius. Dia memegang kedua belah tangan Salmah.
Zakuan sudahpun mendekat setelah
menyelesaikan kerjanya mengumpulkan daun-daun kering tadi. Tunggu hendak
dibakar sahaja.
“Macam serius saja bunyinya?” sampuk
Zakuan.
Zara mengerling.
“Soal masa depan Zara, nak tunggu
abang, entah bila akan berjumpa calonnya,” usik Zara.
“Jadi?’ Salmah teruja. Dia menepuk-nepuk lengan Zara, senyuman
terlahir di bibirnya. Dia mengucapkan
syukur. Kemudian, dia serius kembali,
wajahnya bertukar muram.
“Mereka tahu siapa ayah Zara? Sudikah mereka terima Zara? Mereka tidak kisah bermenantukan anak bekas
ban…” Salmah berhenti menuturkannya.
“Ibu! Itu cerita lama, usah
diungkit. Ayah sudah pun dihukum!” Zakuan kurang
selesa dengan
persoalan yang diajukan oleh ibunya.
“Hakikat Wan! Hakikat!” jerkah Salmah. Geram. Kenapalah dia
berkahwin dengan seorang perompak?
Kalau dia tahu Malek akan menjadi perompak dan perogol, dia tidak akan
sudi berkahwin dengan lelaki itu.
Anak-anaknya tidak akan menjadi mangsa keadaan. Hidupnya juga tidak akan menjadi cemuhan
orang lain. Mungkin hatinya tidak akan
terluka begini dan tidak seperit ini rasa sakitnya.
“Zara belum berani beritahu mereka
ibu,” kata Zara dengan wajah muram. Dia
hampir terlupa akan siapa ayahnya. Dan
lelaki itu masih hidup lagi. Bakal
menjadi walinya.
“Kalau mereka tahu, bagaimana? Zara?”
Salmah memandang wajah Zara yang mula menunduk.
“Ibu, usah fikir yang
bukan-bukan, biar mereka datang
dulu,” ujar Zakuan. Kurang senang dengan tindakan dan reaksi
ibunya.
“Kau boleh cakaplah apa saja, tak
ada orang yang nak bermenantukan anak
bekas banduan!” kata Salmah keras.
Zakuan mengeluh. Masyarakat masih memandang hina akan bekas
banduan terutama seperti kes ayahnya yang merompak dan merogol. Apa dayanya untuk mengubah keadaan?
Usai solat dan sedikit tazkirah
daripada Tok Su Shukri, semua jemaah bersurai.
Masih awal sebelum Zakuan ke tempat kerja. Dia mendekati ayahnya yang menyambung membaca
al-Quran pula. Menjadi penghuni penjara,
banyak mengajar ayahnya hidup beragama.
Ayah sudah pandai mengaji dan solat dengan sempurna. Alhamdulillah. Kadangkala yang buruk kita nampak tetapi
banyak terhidang kebaikan padanya.
Zakuan menunggu sehingga selesai
ayahnya habis membaca surat al-Waqiah.
“Wan?” Malek tersenyum nipis.
“Jom kita pergi sarapan ayah, Wan
belanja. Nak ajak tok su sekali, ada perkara penting nak kita bincangkan, Wan
nak minta pandangan ayah dan tok su,” kata Zakuan sambil matanya melirik ke
arah Tok Su Shukri yang sedang berbual dengan beberapa orang jemaah yang masih
lagi ada di dalam masjid.
“Serius bunyinya, penting sangat
ke?” Malek bingkas bangun dan meletakkan
kembali naskah al-Quran ke tempat yang disediakan.
“Serius ni ayah. Melibatkan masa
depan Zara,” ujar Zakuan.
Malek memandang wajah Zakuan. Dia
mengeluh. Anak bongsunya itu sekalipun tidak pernah datang bertemu
dengannya. Dia tidak salahkan Zara. Dia sendiri tidak sedar akan kehadiran anak
itu sewaktu di penjarakan.
“Pak su, jom sarapan,” ajak Malek.
“Zakuan nak belanja ni,” sambung
Malek lagi.
Mereka beriringan menuju ke kereta
Haji Shauki yang diparkir di hadapan masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan