Malek menunggu di pintu pagar rumah
banglo tersebut, sekali lagi. Ya, dia
perlukan kemaafan mereka. Dia inginkan
pengampunan mereka. Biarlah dia dihalau berkali-kali pun, dipukul dan
dihina. Dia tidak akan gentar. Dia lebih
takutkan hukuman Allah yang bakal menantinya di akhirat nanti. Malek perlu bersihkan dirinya jika tidak
sia-sialah taubatnya. Dosanya dengan
Allah, mungkin akan terampun, bagaimana dengan dosanya dengan seluruh keluarga
Maheran? Allahu Akbar!
“Pak cik!” Ayu memberhentikan keretanya di hadapan
Malek. Dia menggeleng kekesalan. Lelaki
itu tidak pernah putus asa dan serik juga. Sudah berkali-kali datang dan
dihalau keluar oleh neneknya, tapi masih datang lagi.
“Ayu! Pak cik nak jumpa nenek dan mama Ayu, bolehkan?” rayu Malek.
“Hish! Mereka tak nak maafkan pak
ciklah!” Ayu serba salah.
“Pak cik rayu Ayu, izinkan pak cik
masuk,” pinta Malek.
“Pak cik jangan degil, lupakan
kami. Pergilah balik!” arah Ayu.
Dia membunyikan hon perlahan.
Malek bergerak ke tepi. Matanya terkebil-kebil memandang kereta yang
dipandu Ayu masuk ke perkarangan laman rumah banglo itu. Dengan melangkah laju, Malek masuk ke
perkarangan rumah banglo itu. Dia tidak
akan pernah berputus asa, Allah sedang menguji hatinya dan hati mereka. Biar betapa sukar sekalipun, dia tidak akan
menyerah. Hanya kemaafan yang
dipinta.
“Pak cik!” Ayu mengetap bibir. Degil benar orang tua ini.
“Izinkan pak cik masuk untuk bertemu
nenek dan mama Ayu!” kata Malek agak
keras.
“Mereka tak nak bertemu pak
ciklah!” Ayu mendengus kasar. Geram pula hatinya.
“Kalau mereka tidak mahu memaafkan
pak cik? Bagaimana dengan Ayu? Mahukah
Ayu memaafkan pak cik?” Malek memandang wajah manis gadis yang berjubah dan
bertudung separa dada itu. Jubah hitam
sedondon dengan tudungnya juga berwarna hitam.
Matahari memancar terik, bayu bertiup tenang.
Ayu terdiam seketika, berfikir
sejenak. Apa yang harus dia
katakan? Ayu mengeluh perlahan. Dia memandang
kiri dan kanan, serba salah.
Wajah muram Malek ditatap seketika. Melihat fizikal Malek, tidaklah
terlalu tua. Tetapi, bolehkah dia memaafkan lelaki itu? Hatinya kosong, tiada rasa.
“Hoi!” jerit seorang wanita dari dalam rumah. Pintu utama terbuka luas. Wanita tua berkerusi roda memandang tajam ke
arah Malek.
Malek menunduk hormat.
“Kenapa kau datang lagi? Tak reti
bahasa ke?” jerkah wanita berkerusi roda
itu.
“Puan, saya hanya ingin memohon
ampun dan maaf! Tolonglah maaf dan ampunkan saya!” pinta Malek dengan wajah sugulnya.
Malek terus melutut, sudah tiada
lagi perasaan malu.
“Kau ingat mudah untuk aku maafkan
kau?!” soal wanita itu lagi.
“Saya tahu, saya bersalah! Biarlah saya tebus kesalahan saya itu, saya
rela berkhidmat untuk puan, jadi hamba abdi puan,” kata Malek dengan wajah
duka.
“Gila! Kau nak aku tengok muka kau setiap hari? Kau nak anak aku jadi gila balik?”
“Hei!” jerkah Maheran yang tiba-tiba
terpacul di sebelah ibunya.
“Maheran tolong maafkan saya,
ampunkanlah saya. Biarlah saya mati dengan tenang,” pinta Malek, tidak berputus asa. Sambil itu
dia berzikir dan berdoa, agar Allah lembutkan hati-hati ketiga-tiga wanita itu.
“Berambuslah! Aku tak sanggup tengok muka kau!” jerit
Maheran. Dia menarik-narik tudungnya.
“Pak cik, pergilah balik! Mama saya
belum sehat betul lagi tu. Nanti datang
gilanya,” pinta Ayu yang masih berdiri di sebelah Malek. Kasihan juga dia melihat keadaan Malek yang
tidak pernah putus asa meminta kemaafaan daripada keluarganya.
“Berambus! Berambuslah!!” jerit pula
wanita tua itu. Mukanya merah padam,
matanya dijegilkan. Hidungnya kembang
kempis menahan kemarahan.
Maheran membaling Malek dengan kayu
yang ada di tangannya. Entah dari mana
datangnya kayu tersebut. Hampir sahaja
mengena kepala Malek.
“Pak cik, baliklah! Sebelum pak cik tercedera,” suruh Ayu.
“Ayu, tolonglah maafkan pak cik!”
rayu Malek lagi.
“Pak cik, baliklah! Pergilah!” halau Ayu.
“Kau nak mati ya? Nanti kau!” Maheran menghilang ke dalam, datang semula
dengan pisau di tangannya.
Ayu ketakutan. Mamanya boleh dan
mampu berbuat apa sahaja jika tidak sedar dan kemarahan menguasai dirinya.
“Pak cik! Saya rayu! Pergilah!” Ayu menolak Malek pergi dari kawasan rumah
itu.
Maheran sudah mula melangkah turun
ke laman rumah.
Malek yang melihat Maheran menerpa
ke arahnya dengan pisau di tangan segera angkat kaki dan berlalu pergi.
“Kalau kau datang lagi, aku tetak
dengan parang!” jerit Maheran.
“Mama!” panggil Ayu cuba menenangkan
mamanya.
“Siapa mama kau? Kau jangan perasan
aku akan terima kau sampai bila-bila!” kata Maheran lalu masuk semula ke dalam
rumah.
Ayu hanya menunduk. Itulah sikap
wanita yang pernah melahirkannya itu.
Tidak mahu menerima kehadirannya, rasa benci tetap menebal. Ayu menahan gelora sedih di hati. Sampai bila mamanya hendak berdendam dan
tidak mahu menerima dirinya? Dia tidak
pernah minta dilahirkan, sudah ditakdirkan dia lahir juga dari rahim wanita
itu, biarpun dibenci, namun rasa kasih
tetap terlahir juga di hatinya.
“Hah! Kau pun nak ikut lelaki tu?” tempik wanita
tua itu pula.
Ayu memandang wajah neneknya
seketika. Terlihat jelingan tajam wanita
itu. Ya, wanita itu terpaksa menjaganya.
Hatinya menangis sayu. Kehidupan yang dirahsiakan daripada orang
lain. Kehidupan yang perit terpaksa
ditanggung sendiri. Hanya kepada Allah
dia berserah. Biarpun neneknya garang,
tapi masih sudi mengajarnya membaca, menulis dan mengaji. Itu sudah cukup untuknya. Dia jug tidak bersekolah. Masanya dihabiskan di rumah. Disuruh belajar
memandu, untuk memenuhi keperluan kedua wanita itu.
Di rumah itu, dia memasak, mengemas
dan menyediakan semua keperluan wanita dua beranak itu. Dia tidak akan mengeluh. Tidak sesekali
mengeluh.Ya, terimalah kehidupan yang telah dianugerahkan padanya dengan hati
yang terbuka. Redha!
“Hah! Apa lagi?” kata wanita tua itu
lagi.
Ayu berlari masuk dan menutup pintu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan