Usai mengemas dalam masjid, menutup
semua lampu dan hanya membiarkan lampu di kawasan koridor dan tandas sahaja
terbuka, Malek terus melangkah pulang ke rumah.
Perut sudah kenyang, kerana ada jamuan setelah selesai majlis ilmu di
masjid tersebut. Dia menarik nafas lega
anak gadisnya selamat bertunang dengan pemuda pilihan Zara sendiri. Malek juga berasa lega kerana keluarga pemuda
bernama Taufik menerima Zara seadanya.
Malek membuka pintu rumah yang
berkunci. Biarpun dekat, tidaklah dia
akan membiarkan pintu rumah tidak berkunci.
Biarpun tiada harta berharga.
Malek menguap beberapa kali.
Terasa letih seluruh badannya.
Lampu dipasang. Belum sempat dia duduk di kusyen kayu,
seseorang telah mencekak lehernya dari belakang. Malek meronta.
“Hey! Kenapa ni!” Malek cuba melihat wajah orang yang telah
mencekak lehernya. Dia cuba mengalihkan
lengan orang itu daripada lehernya. Terasa
sukar untuk bernafas, semakin lama semakin kuat orang itu mencekak lehernya,
semakin lama seperti hendak mencekiknya
pula.
Malek menggunakan kekuatan yang ada
untuk menarik keluar tangan orang tersebut.
Siapa dia? Malek memusingkan
tangan tersebut. Dipulasnya pula. Malek
menghalakan tangannya ke belakang lalu
menolak muka orang tersebut. Dia
mengangkat kakinya dan memusingkannya ke belakang. Dengan sekuat hati, Malek
menendang ‘anu’ orang tersebut.
Terdengar jeritan dan orang itu melepaskan tangannya dari leher
Malek. Sepantas kilat Malek menolak
orang itu dan menjauhkan diri.
Malek menoleh. Seorang lelaki sedang
mengerang kesakitan sambil membongkok.
“Rocky!” Malek mendengus kasar. Dasar lelaki tidak berguna! Marah Malek dalam
hati.
“Apa kena dengan kau ni? Apa hal kau datang rumah aku? Kau nak apa?”
jerkah Malek. Dia mengurut lehernya, terasa perit. Bagaimana lelaki itu masuk? Dia
memandang ke arah pintu belakang rumahnya, terkopak. Tahulah dia, Rocky masuk melalui pintu
belakang.
“Kau yang pasang perangkap sehingga
orang-orang aku ditangkap? Kau memang
tak guna!” marah Rocky.
“Orang kau? Aku tak faham?” Malek buat tidak tahu.
“Hey! Jangan buat bodohlah!” Rocky menempik.
“Hey, Rocky! Baik kau berambus!” halau Malek.
“Kau seharusnya matilah Malek! Kau menyusahkan aku!” Rocky mengeluarkan pistolnya.
“Hey, anak jantan mana boleh bunuh
orang yang tidak bersenjata. Kalau nak
anak jantan, baik kita berpadu tenaga. Kalau aku kalah, kau boleh bunuh aku.
Kalau kau pula kalah, aku berhak bawa kau ke balai polis!” Malek menyengih.
“Kau fikir aku pengecut?” Rocky meletakkan pistolnya di atas meja kopi
kecil berhampirannya. Dia mendekati
Malek.
Malek sudah bersedia untuk
mengalahkan lelaki tidak berguna
itu. Mana pula perginya pengawal
peribadi lelaki itu? Takkan datang
sendirian?
“Mana pengawal peribadi kau?” Malek memandang kiri dan kanan, takut-takut
mereka bersembunyi dan hanya menunggu masa untuk membunuhnya.
“Buat apa kau nak tahu?” Rocky mendengus kasar. Pengawal peribadinya ditangkap polis sewaktu
menghantar bekalan dadah di satu kawasan pengedarannya. Tinggal dia sendirian. Pihak polis sedang
menjejakinya. Dia tidak tahu hendak lari
ke mana, hanya teringatkan Malek.
Dahulu, lelaki itu adalah rakannya, sekarang sudah menjadi
musuhnya. Dia harus membunuh lelaki itu,
kerana lelaki itulah perniagaannya terjejas dan orang-orangnya ditangkap oleh
pihak polis. Perniagaannya terjejas teruk.
“Hoi! Berangan pula?” jerkah Malek.
Rocky terus menerpa ke arah Malek,
satu tendangan dilepaskan.
Malek sempat mengelak.
Rocky tersembam ke dinding
kayu. Rambutnya yang kusut masai semakin
tidak terurus. Baju t-shirt leher bulat
yang dipakai kelihatan amat lusuh.
Malek menggeleng. Benar-benar sudah jatuh mufliskah lelaki
itu? Detik hati kecil Malek. Teruk benar rumah lelaki ini.
Rocky melayangkan penumbuk sebelah
kiri, kemudian kanan.
Malek mengelak dan menepis. Malek mengangkat kaki kanannya dan menendang
perut Rocky, mengangkat pula kaki kiri,
menendang muka lelaki itu bertubi-tubi. Melayangkan
penumbuk kiri dan kanan ke muka lelaki itu.
Rocky yang diasak bertubi-tubi jatuh
ke lantai.
Malek menarik Rocky bangun, ditumbuk
lagi, ditendang sekuat hatinya.
Rocky masih cuba melawan.
Malek tidak memberi peluang, sebelum
Rocky menyerangnya, baiklah dia menyerang lelaki itu terlebih dahulu. Sebaik
saja Rocky cuba bangun, Malek terus menumbuknya. Tendangan juga dilepaskan.
Rocky tidak mengaku kalah biarpun
mukanya sudah bengkak dan berdarah. Dia
mengerang kesakitan.
“Sudahlah Rocky, menyerahlah!” kata Malek tercungap-cungap.
Rocky menerpa ke arah meja yang
diletakkan pistolnya tadi. Dia mengacu
pistol tersebut ke arah Malek. Dia menyengih.
“Dengan ini, kau akan kalah!” kata Rocky sambil ketawa.
“Itu main kotor namanya!” Malek berlari laju ke arah Rocky. Tangan Rocky yang memegang pistol ditolak ke
atas. Sekali lagi, perut Rocky menjadi
sasaran Malek. Pistol tersebut terlepas
dari pegangan tangan Rocky. Jatuh ke
lantai.
“Malek! Malek!!” laungan dari luar rumah.
Malek dan Rocky saling berpandangan.
“Malek! Buka pintu!
Rocky keluar kau!” jerit seseorang dari luar rumah lagi.
Malek mengerut dahi, bagaimana
mereka tahu Rocky ada di dalam rumahnya?
Malek mengambil pistol yang jatuh di lantai dan mengacukan ke arah
Rocky.
“Angkat tangan kau!” arah
Malek.
“Jauh dari pintu!” suruh Malek.
Rocky mendengus kasar. Dia bergerak perlahan-lahan. Kesakitan di
muka dan tubuhnya cukup terasa. Terasa
pedih di bahagian mata, sukar untuk dia membuka mata.
Malek mendekati pintu dengan
berhati-hati, matanya masih memandang ke arah Rocky, takut lelaki itu
lari. Dia tidak teragak-agak untuk
menembak jika lelaki itu berniat untuk lari.
“Malek! Kau kena lepaskan aku!
Maafkan aku, aku takkan cari kau lagi, lepaskan aku!” rayu Rocky.
“Lepaskan kau? Supaya kau bina
empayar jahat kau kembali? Kau memang gila kalau aku akan biarkan kau bebas
Rocky? Kau tak merasa merengkok di penjara.
Aku akan pastikan kali ini kau merasakannya!” Malek membuka pintu rumah.
Haji Shauki dan beberapa anggota
polis melangkah masuk.
Rocky masih berdiri kaku, bagaimana
polis tahu dia berada di situ? Adakah mereka mengikut jejaknya sehingga ke
rumah Malek? Mereka sengaja memasang
perangkap untuk menangkapnya? Rocky
mendengus kasar. Cis! Tak guna! Kalaulah dia tahu dia dijejaki, dia
takkan datang ke rumah Malek!
“Serahkan pistol itu Malek!” arah
Haji Shauki.
Dua
orang anggota polis berpakaian biasa mendekati Rocky dan menggarinya.
Malek menyerahkan pistol tersebut
kepada pihak polis.
“Macam mana pak su tahu lelaki
jahanam ini ada di dalam rumah saya?”
Malek kepenatan. Boleh tahan
sakit juga tubuh badannya.
“Kami memang memerhati gerak geri
Rocky sejak pengawal peribadinya di tangkap.
Kami mengikut dia sehingga ke rumah En. Malek. Kami tidak terus menahannya, kami mencari
Haji Shauki dan mengkhabarkan tentang Rocky,” cerita salah seorang anggota
polis tersebut.
“Dia bersenjata, nasib baik dia tak
tembak saya,” ujar Malek lalu menarik nafas lega.
“Maafkan kami kerana bertindak
lambat,” kata anggota polis itu lagi.
“Tak mengapa tuan, terima kasih,”
ucap Haji Shauki. “Nasib baik kau tak apa-apa Malek,” kata Haji Shauki kelegaan.
“Kau kenal lelaki tadi?” tanya Haji
Shauki setelah pihak polis menahan Rocky dan meninggalkan rumah Malek.
“Dulu kami sama-sama merompak rumah
orang pak su,” cerita Malek dengan nada sedih. Kalau boleh dia tidak mahu ingat
perkara tersebut. Biarlah berkubur selamanya.
Haji Shauki mengangguk perlahan dan
menepuk-nepuk bahu anak buahnya.
Alhamdulillah, Malek tidak dicederakan.
Haji Shauki menarik nafas lega.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan