Kenderaan bertali arus, Sesekali bunyi hon
kenderaan menyapa telinga. Hujan mula
turun renyai-renyai. Zakuan yang sudah
setengah jam duduk di dalam keretanya mula gelisah. Sekejap dia menyandar, sekejap dia duduk
tegak. Kegelisan mula melingkari. Waktu terus berjalan. Kalau lambat balik ke rumah, pasti ibunya
akan menelefon. Matanya masih lagi
memandang ke arah rumah banglo dua tingkat itu.
Tidak nampak kelibat sesiapa.
Sunyi sepi bagaikan tidak berpenghuni.
Hendak bertanya dengan siapa?
Zakuan mendengus kasar. Dia ke
rumah tersebut dari tempat kerja.
Perutnya sudah mula berbunyi, laparlah pula, detik hati kecilnya.
Lengan kemeja dilipat sehingga ke
siku, tali leher sudah lama dibuka.
Sesekali matanya menyinggah memandang jam di tangan. Ah! nak tunggu berapa lama? kenapa aku tidak
pergi saja ke rumah itu? Bisik hati
kecilnya sendiri. Mahukah mereka menerima kehadirannya? Tidak pasal-pasal kena halau macam hari
itu. Nasib baik dia sudah solat asar
di pejabatnya tadi, kalau tidak pasti dia terlewat solat.
Tidak mengapa, dia akan tunggu
setengah jam lagi. Manalah tahu ada rezekinya nanti. Zakuan tetap sabar, sambil mengalunkan zikir
di bibir, dia setia menunggu. Sesekali
matanya beralih arah juga. Letih memandang ke satu arah. Lima minit sebelum dia bersedia untuk
meninggalkan kawasan tersebut. Pintu
pagar di tolak orang. Sebuah kereta
meluncur keluar. Zakuan segera membuka
pintu keretanya dan berlari keluar. Dia
menahan kereta tersebut.
“Hoi! Ke tepilah, nak bunuh diri
ke?” tingkap kereta di buka. Terpacul
seorang wanita muda, berkaca mata hitam. Dia membuka cermin matanya. Dahinya berkerut.
“Cik Ayu, saya nak jumpa Cik Ayu!”
kata Zakuan.
“Awak!” Ayu merenung wajah lelaki itu. Lelaki yang telah datang ke rumahnya bersama
dengan lelaki tua yang pernah merogol mamanya.
Siapa lelaki ini? Apa hubungannya
dengan lelaki tua itu? Ayu mendengus
kasar.
“Saya nak keluar ni, awak nak jumpa
saya buat apa? Kita tak ada kena mengena, lagipun keluarga saya takkan maafkan
lelaki tua itu. Tak payahlah awak
merayu,” kata Ayu. Itulah kata nenek dan mamanya. Dia hanya mengikut. Selayakkah lelaki itu dimaafkan atas
perbuatannya yang telah menghancurkan masa depan keluarganya ini. Dan hasilnya,
dia telah dilahirkan ke dunia ini, tidak diingini dan tidak diterima
kehadirannya. Hanya neneknya sahaja yang
masih sudi memandangnya dengan penuh kasih sayang. Mamanya?
Pandang dia sebelah mata pun tidak mahu, dia terpaksa berada di situ
demi neneknya. Biarpun kasih ada kepada
mamanya, tetapi… Ayu mengeluh kesal.
“Tolonglah! Sekali saja, selepas itu saya takkan cari
awak,” rayu Zakuan.
Ayu mengerut dahi. Dia memandang sekeliling.
“Baiklah, awak ikut kereta
saya,” kata Ayu sebelum berlalu
meninggalkan kawasan tesebut.
Zakuan kembali ke keretanya dan
mengikut belakang kereta gadis itu. Dia
tersenyum kelegaan.
Gadis itu berhenti di sebuah kawasan
rumah kedai. Terdapat sebuah restoran mamak.
Dia memakirkan keretanya dan mengamit Zakuan yang berada di belakang
keretanya agar memakirkan kereta juga.
Ayu terus masuk ke dalam restoran
tersebut. Dia mencari tempat duduk yang
mudah dilihat orang. Manalah tahu jika
lelaki itu berniat jahat.
Sekurang-kurangnya orang ramai nampak dan dia boleh diselamatnya. Apa yang berlaku kepada mamanya membuatkan
dia lebih berhati. Begitu juga di rumah,
semua jenis sistem keselamatan di pasang.
CCTV pun ada. Kejadian tersebut
telah membunuh jiwa keluarganya. Dia
tidak mahu pisang berbuah dua kali.
Zakuan memarkirkan keretanya di
sebelah kereta gadis itu. Setelah
mengunci kereta dia melangkah masuk ke dalam restoran tersebut dan terus
mendekati Ayu. Zakuan duduk menghadap
gadis tersebut.
Seorang pelayan kedai mendekati
mereka.
Zakuan memesan roti telur dan teh
tarik.
Ayu hanya memesan kopi panas.
“Apa awak nak?” Ayu membuka cermin mata hitamnya. Dia memandang wajah lelaki itu agak
lama. Dahinya berkerut semula. Wajah lelaki itu sama seperti wajah lelaki
tua itu, adakah mereka ada pertalian darah?
“Saya nak minta tolong awak, pujuk
ibu awak maafkan ayah saya,” kata Zakuan
berterus terang.
Ayu menyandar lalu tersenyum. Dia sudah agak, lelaki muda itu punya
hubungan dengan lelaki tua yang datang ke rumahnya beberapa hari yang lalu.
“Saya tak mampu nak pujuk mama
saya. Awak ingat dia suka dengan
saya?” Ayu memeluk tubuh. Dia tersenyum
sinis.
“Tolonglah! Ayah saya dah insaf,
kalau awak nak dia berkahwin dengan mama awak pun boleh.”
“Gila! Awak tahu tak, lelaki yang
awak panggil ayah tu, dah jahanamkan keluarga saya!” kata Ayu tegas.
“Ya, saya tahu. Dia juga telah memusnahkan hati ibu
saya,” ujar Zakuan. Dia menunduk seketika. Hilang seleranya untuk menjamah roti canai
telur yang sudah ada di hadapan mata.
Perutnya berbunyi minta di isi.
“Makanlah dulu, tak usah awak
fikirkan masalah orang lain. Biarlah
mereka selesaikan sendiri.” Ayu
mendengus kasar.
“Awak!” Zakuan masih berharap.
“Jamahlah roti awak tu dulu, dah
habis kita sembang lagi,” suruh
Ayu. Dia memerhati Zakuan menghabiskan
makanan dan minuman yang dipesan. Lelaki itu mesti baharu pulang dari kerja,
melihat caranya berpakaian. Berkemeja dan berluar slack.
“Apa harus saya buat agar nenek dan
mama awak maafkan ayah saya? Ayah saya dah berubah tau, dia dah pun terima
hukuman 25 tahun penjara atas perbuatannya serta enam kali sebatan. Saya rasa itu sudah cukup buatnya,” cerita
Zakuan.
“Kalaupun saya simpati, saya tak
boleh membantu. Hati ibu dan nenek saya
sudah lama terluka. Masih berdarah
sehingga ke hari ini, apatah lagi melihat saya setiap hari di hadapan
mereka. Hasil perbuatan ayah awak. Ibu saya tidak jadi kahwin dengan kekasih
hatinya, pertunangannya diputusnya. Dia kehilangan orang yang disayanginya. Nenek saya pula kehilangan suami. Saya?
Masa depan saya tidak tahu akan jadi apa,” luah Ayu dengan mata berkaca.
“Tapi layakkah ayah awak itu diberi
simpati?” Ayu memandang sinis.
“Saya faham perasaan awak. Tapi masa tidak boleh diundur semula. Kesilapan ayah saya memang tidak boleh
dimaafkan. Setiap orang berhak diberi
peluang kedua.”
“Peluang kedua? Peluang apa?
Tengoklah perbuatan apa? Kenapa? Dan bagaimana? Kalau sampai melahirkan
anak luar nikah, hidup perempuan itu musnah, hancur sama sekali, awak rasa
berhak diberi peluang kedua pada orang yang telah memusnahkannya?” tempelak Ayu.
“Awak tengok saya ini, saudara mara
sebelah ibu, datok dan nenek saya, tak terima saya langsung. Mereka tak akui kehadiran saya, saya hanya hidup dengan belas ehsan nenek
saya saja,” cerita Ayu lagi.
Bagaimana mungkin dia melupakan
kehidupannya di masa kecil. Jika di bawa
ke majlis sebelah keluarga neneknya, tiada siapa yang sudi memegang dan
mendukungnya. Neneknyalah yang
mendukungnya ke sana ke mari.
Sepupu-sepupunya langsung tidak mahu bermain dengannya. Kakak dan abang mamanya langsung tidak datang
menjengah. Kalau nak bercakap dengan neneknya atau berjumpa, mereka akan datang
ambil nenek dan tinggalkan dia dengan pembantu rumah. Begitu hina dirinya. Dia hanya mampu menangis dalam hati. Mereka juga tidak benarkan dia dihantar ke
sekolah. Dia pandai membaca kerana
neneknya yang ajar. Neneknya paksa dia
membaca buku, dia tidak punya kawan seperti orang lain. Hidup sendiri-sendiri, sebatang kara. Tiada saudara mara, tiada kasih sayang orang
lain. Hanya kasih sayang neneknya.
“Saya dah lambat ni, nak beli barang
dapur. Nanti bising nenek saya. Kalau awak nak juga kemaafan keluarga saya,
awak pergilah minta maaf sendiri dengan mereka.
Kalaulah rezeki ayah awak baik, tentu dia akan dimaafkan. Saya minta diri dulu.” Ayu bingkas bangun. Dia meninggalkan Zakuan seorang diri.
Zakuan terdiam. Dia faham perasaan Ayu. Kalaulah dia berada
di tempat gadis itu, pasti sudah gila jadinya.
Namun, gadis itu kuat semangat, meneruskan hidup seperti tiada apa yang
berlaku, terima cemuhan dan penghinaan dengan sabar dan tabah. Zakuan kagum dengan gadis tersebut. Haruskah dia berjumpa dengan Puan Maheran dan
ibu perempuan itu? Kalau terpaksa, demi
ayahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan