Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 27 Januari 2015

ULASAN MAWAR PUTIH BUATMU













MAWAR PUTIH BUATMU
ANNUR IMAN
ALAF 21
RM21.00
2015
519 Muka surat

                Mawar Irdina seorang gadis manis, cantik dan mempunyai perwatakan yang menarik.  Mempunyai seorang adik kembar, tidak seiras bernama Iryani, itulah anggapannya.  Rosman dan Harun adalah kedua orang tuanya.  Cuma, dia dihambat kehairanan apabila kedua orang tuanya melayan dia bukan seperti anak sendiri.  Dia sering dipukul, dihina dan dicaci.  Disuruh melakukan semua kerja rumah, sehinggakan kerja sekolah Iryani pun dia yang buatkan.  Namun tidak pula dia bertanya.  Disimpan perasaan itu jauh ke lubuk hati.
                Suatu hari, Harun pulang dengan membawa borang kebenaran menikah lagi, ketika itulah rahsia terbongkar.  Irdina bukannya anak kandung Rosmah dan Harun.  Hanya anak punggut yang ditemui di hadapan rumahnya.  Kebetulan pasangan itu tidak mempunyai anak setelah lima tahun berumah tangga.  Pada mulanya Irdina amat disayangi, semuanya berubah apabila Rosman disahkan mengandung dua bulan kemudian.  Kasih sayang mereka bertukar menjadi benci terhadap Irdina lantaran anak gadis itu sering sakit-sakit.  Bermulalah episod duka dalam kehidupan Irdina.
                Iryani pula sering berasa cemburu dengan kecantikan dan kepandaian Irdina.  Gadis itu sering mendapat pujian daripada pihak sekolah dan diminati oleh pelajar lelaki sekolah mereka.  Ketika mendapat tahu Irdina bukanlah kakak kembarnya, perasaan benci Iryani terhadap gadis itu semakin menjadi-jadi.  Dia sering difitnah sehingga hampir diberhentikan dari sekolah.
                Kehadiran Indra Faris dengan bunga mawar putih mengubah hidup Irdina, semakin duka hidupnya apabila Rosmah mendapat tahu, kononnya Irdina bercinta.  Dia dipukul dan tidak dibenarkan ke sekolah.  Tapi Irdina cerdik, dia menggunakan Iryani yang tentunya mengharapkan dirinya untuk menyiapkan kerja sekolahnya.  Akhirnya Irdina dibenarkan ke sekolah sehinggalah berakhirnya peperiksaan SPM.
                Indra Faris tidak pernah berputus asa, dia berusaha memiliki sekeping hati Irdina, tetap tidak berbalas. Usai SPM, Irdina menjadi pembantu rumah di rumah keluarga angkatnya.  Setiap hari kehidupannya bagaikan berada dalam neraka.  Dipukul dan dimarahi sesuka hati Rosmah. Harun pula tidak sudah-sudah ingin mengambil kesempatan terhadap Irdina, tetapi tidak berjaya.  Sehinggalah suatu hari…
                Irdina terpaksa melarikan diri demi maruah dan harga diri.  Dia terperangkap, terpaksa berkahwin dengan seorang pemuda  yang pada mulanya tidak dikenali. Ketika akad nikah barulah dia perasan,  pemuda itu adalah rakan sekolahnya sendiri.
                Indra Faris membawa Irdina pulang ke rumah orang tuanya sebagai pembantu rumah. Irdina akur.  Siapalah dirinya, isteri merangkap pembantu rumah kepada suaminya sendiri.  Di rumah itu Rizman dan Sara menerima kehadiran Irdina sebagai orang gaji, tetapi Rizman jatuh sayang pada Irdina, wajah Irdina mengingatkan dia kepada seseorang yang sudah lama menghilangkan diri.  Rasa rindu dan sayang pada wajah itu tidak pernah mati, malah diabadikan pada taman mawar putih yang menjadi tempat  yang paling disayangi.
                Rosmah pula telah dihalau keluar dari rumahnya sendiri oleh madu dan suaminya sendiri.  Anaknya, Iryani pula melarikan diri setelah keguguran anak luar nikah.  Rosmah terpaksa mengemis untuk meneruskan hidup. Iryani pula terus menyimpan dendam terhadap Irdina yang dirasakan telah menghancurkan hidup keluarganya.
                Sarah pula cemburu  dan benci dengan perhatian yang diberi Rizman terhadap  Irdina.  Faris pula cemburukan Irdina  apabila Dr. Haziq yang dikenali Irdina cuba mencuri hati isterinya.  Pelbagai konflik berlaku. Kehidupan  Irdina semaki kacau dengan kehadiran Iryani ke dalam keluarga Faris.  Hidupnya terus dirundung malang sehingga dihalau keluar dari rumah itu.  Faris juga percaya dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan Iryani terhadap  Irdina. Kehadiran  Haryati mewarnai kehidupan Irdina.

                Apa yang telah Harun lakukan terhadap Irdina sehingga gadis itu lari dari rumah?  Adakah Rosmah insaf setelah apa yang dilakukan terhadap Irdina, setelah apa yang terjadi kepadanya?  Bagaimana hubungan Faris dan Irdina? Dapatkah Irdina mencari keluarganya yang sebenar?  Terbalaskah dendam Iryani terhadap Irdina?   Siapa pilihan Irdina antara Haziq dan Faris yang sudah sah menjadi suaminya?  Mahukah Sarah menerima kehadiran Irdina sebagai menantunya, sedangkan di hatinya hanya ada benci dan cemburu terhadap gadis itu?  Benarkah Rizman mencintai Irdina dalam diam?  Siapa pula Haryati?  Hendak tahu kesudahan konflik yang berlaku?  Dapatkan buku ini.  Kisah kekeluargaan, cinta, poligami, dendam dan air mata yang menyayat hati.  Kepada peminat kisah sedih, buku ini amat sesuai sekali.  Mampu membuatkan para pembaca terbuai dengan kesedihannya, hanyut dengan dukanya. Plot tersusun tetapi diselang selikan dengan imbas semula. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan