“Ya Allah! Kenapa ini bang? Liya baru sahaja mengemas bilik tau!” Bebel
Liya sambil mengangkat kain pelikatku yang melengkar seperti ular kekenyangan.
“Tengok ni, tuala mandi main sepuk aje atas katil! Kan dah
basah!” sekali lagi suara Liya meledak,
agar keras dan kasar.
“Liya bukan nak suruh abang tolong
kemas rumah, tolong lipat kain pelikat abang dan sangkut tuala di tempatnya
saja dah cukup. Liya bukan berkira soal
kerja di rumah ini, tapi abang berilah kerjasama,” luah Liya, wajahnya mencuka.
Dia menggantikan kain cadar yang
sudah lembap disebabkan kain tuala yang aku gunakan tadi, kusepuk atas katil. Aduhai! Setiap hari aku lakukan perkara yang sama,
sebelum ini aku tidak pernah dengar dia berleter. Seingat aku, setelah siap
berpakaian, aku turun bersarapan dan terus ke tempat kerja. Tidak sempat mendengar leteran Liya sewaktu
melihat bilik tidur kami bersepah. Aku punya kerjalah itu.
“Liya, datang bulan ya?” tanyaku.
Liya menjegilkan mata, dia mencekak
pinggang.
“Tunggu Liya datang bulan, baru nak
berleter? Kita berkahwin dah hampir dua
tahun bang, selama ini Liya bersabar saja apa yang abang buat. Liya malas nak
bising, lagipun Liya nak berleter pada siapa? Abang dah pergi kerja. Balik kerja tentu abang penat, tak sampai
hati Liya nak tegur apa yang abang lakukan pagi-pagi. Setiap hari, abang biarkan kain pelikat yang
abang pakai di atas lantai, tuala pasti atas katil, hampir setiap hari Liya
terpaksa ganti cadar kita yang basah dek tuala mandi abang,” cerita Liya, dia duduk di katil sambil
mengeluh perlahan.
Aku memandang wajahnya, jelas kelihatan
wajah kepenatannya. Rupanya selama ini dia pendamkan perasaannya
akan tindakan aku yang tidak pandai mengemas.
“Selama kita berkawan, Liya tidak
tahupun abang tak pandai mengemas rumah. Macam mana agaknya ya, rumah bujang
abang? Bilik abang?” Liya memandang wajahku penuh tanda tanya.
Aduh! Kantoi! Aku memang pemalas
hendak mengemas, baju-baju aku semuanya bergantung dalam almari, yang kotor aku
sepak letak tepi sudut bilik, seminggu sekali baru aku basuh. Bilikku selagi tidak kelihatan di mata
kasarku butiran sampah, aku takkan sapu. Kain tuala, sudah biasa kusepuk atas
katil. Sudah terbiasa. Ingatkan ada isteri, tentulah Liya tidak
kisah akan sikap buruk aku itu. Bukankah
dia ada untuk mengemas, rupanya… Aku
mengeluh perlahan.
“Liya tidak minta abang buat
semuanya, cukuplah jangan letak tuala atas katil lagi, kain pelikat abang itu,
bukan susah nak lipat, abang boleh buat sambil-sambil. Liya tak suka rumah bersepah, abang pun tak
suka rumah bersepah, kan?”
Memang aku tidak suka rumah
bersepah, itu sebab aku berkahwin, ada orang uruskan rumah tanggaku. Bukankah itu kerja dan tugas Liya? Kenapa dia harus meleteri aku?
“Selama ini Liya tidak pernah kisah
pun?” soalku
“Liya dah tak tahanlah, Liya berleter.
Abang pandai tegur Liya kalau rumah kita
bersepah? Tapi abang?” Liya mendengus
kasar.
Aku mendekati Liya, aku merenung
wajah suramnya.
“Maafkan abang,” ucapku.
“Liya juga minta maaf, tak bermaksud
yang sakitkan hati abang. Liya suka
bilik kita bersih, segar dan tidak berbau dengan tuala basah abang tu, Liya dah
sediakan tempat sidai tuala, letaklah di situ. Bukan susahpun, kan?” kata Liya sambil tersenyum kembali.
Cepat benar dia berubah ceria
kembali. Aku sering berfikir, kerja
rumah sewajibnya seorang isteri yang lakukan. Kalau aku letak atau campak apa sahaja di atas
katil, bukankah Liya ada yang akan membersihkannya? Rupanya, perbuatanku tidak disenangi Liya.
“Lain kali abang takkan buat lagi,”
janjiku sambil mengangkat tangan kananku.
“Terima kasih bang,” ucap Liya.
“Terima kasih kembali kerana
menyempurnakan hidup abang,” kataku.
Kami sama-sama tersenyum.
Dalam sebuah rumah tangga, tidak hanya isteri atau
suami sahaja yang menggerakkannya, masing-masing ada peranan yang perlu
dijalankan. Terutama soal kebersihan
dan kekemasan di dalam rumah. Suami
tidak hanya berharap kepada isteri semata-mata, begitu juga isteri. Bersama-sama
melakukannya, bersama-sama memastikan rumah bersih dan kemas.
Aku sendiri kena ubah sikap dan
perangai ‘luar biasa’ aku itu. Selepas
ini, kenalah rajin-rajin lipat kain pelikat, masuk baju kotor dalam bakul yang
disediakan, sangkut tuala di tempat yang sepatutnya. Aku seharusnya memudahkan kerja Liya, bukan
menambah beban tugas hariannya. Memanglah
nampak kecil sahaja perbuatanku itu, tetapi tidak begitu pada pandangan Liya. Hati seorang isteri, kenalah jaga juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan