Kami bertolak ke Madinah usai solat zohor. Bas yang dinaiki bergerak laju, jalan yang
dilalui, lurus sepanjang empat jam perjalanan.
Berhenti di satu kawasan seperti R&R, kami dijamu dengan nasi arab seusai solat asar. Seronok bukan main kami. Makanannya enak, harganya juga murah. Paling penting ada yang belanja. Terima kasih Pihak Andalusia.
Perjalanan diteruskan, melalui
kawasan padang pasir yang luas. Berbukit bukit.
Tanah tandus di kiri kanan kami.
Mata tidak mahu terlelap, kalau tertidur, apa lagi yang boleh
dilihat. Bukan mudah datang ke tanah
Arab itu. Perlukan ongkos yang
banyak. Nanti tidur di hotel sahajalah. Sepanjang perjalanan kami beberapa kali
terlihat kereta berhenti di bahu jalan yang sunyi dan sepi itu, mereka berhenti
untuk solat maghrib, bukan ada tempat berhenti pun, hanya tanah tandus dan
berpasir. Tanggungjawab sebagai hamba
tidak mereka lupakan.
Dari kejauhan sudah kelihatan
kerlipan lampu bergermelapan. Berbeza
sungguh keadaan di Mekah dan Madinah.
Madinah nampak lebih moden.
Kami sampai di hotel lebih kurang hampir pukul 9.00 malam. Sementara menunggu nombor bilik, kami berehat
di lobi sambil bercerita. Perut juga
sudah mula terasa lapar. Kami naik makan
malam dahulu yang sudah siap tersedia. Turun semula ke lobi untuk mengambil
kunci bilik dan juga mendengar taklimat daripada mutawif Ustazah Aisyah yang akan bawa kami kaum
wanita ke Makan Rasulullah saw. Pukul
7.00 pagi kami diminta berkumpul di lobi hotel.
Ya Allah! Sebak rasa dada, tidak
sabar hendak melihat sendiri Makan Baginda.
Nak tengok Masjid Nabawi, nak tengok payungnya yang besar dan sering
diperkatakakan itu. Macam-macam nak
tengok. Keghairahan biasa buat orang
yang pertama kali datang ke Madinah.
Orang lelaki dan wanita akan pergi
berasingan menziarahi makam Rasulullah
saw. Di Madinah semuanya
diasingkan. Jemaah wanita ada kawasan tempat solat yang dikhaskan, begitu
juga lelaki. Kami berpisah di dataran
sahaja, berjanji akan bertemu di sekian pintu.
Kalau tidak pasti takkan jumpa, sesak dengan lautan manusia.
Paling menyentuh hati dan perasaan
adalah ketika menziarahi Makan Rasulullah saw.
Allah! Siapapun akan menangis,
sayu, hiba, rasa rindu yang teramat amat sangat. Terasa Baginda melihat kita. Seronoknya berada di dalamnya, dapat solat di
bahagian Raudhah. Menangislah,
berdoalah. Tempat paling mustajab untuk
berdoa. Usah difikirkan perkara yang
bukan-bukan. Ingatlah Allah itu Maha
segalanya.
Saya sempat solat taubat sebelum
rombongan kami berangkat masuk ke dalam Raudhah. Jemaah wanita begitu ramai, kehadiran mereka
hanyalah ingin menyatakan rasa rindu dan selain itu berdoa sebanyak-banyaknya
kerana tempat itu dikatakan adalah tempat yang paling mustajab untuk berdoa. Saya memandang sekeliling. Allah! Langsung tiada ruang untuk mendirikan
solat. Penuh dan bersesak dengan manusia
yang berhimpit-himpit.
Ada yang duduk di kerusi sambil
membaca doa. Ada yang berpaut pada pagar
makam sambil berdoa, menangis dan merayu.
Dalam hati saya, tidak berhenti-henti berdoa agar Allah memberi saya
ruang untuk bersolat di kawasan Raudhah.
Sambil memandang kiri dan kanan, depan dan tepi, Allah! Di hadapan saya
terbentang satu kawasan lapang, saya menarik tangan anak gadis saya, terus saya
suruh dia solat di sebelah saya. Saya
berada betul-betul di tengah-tengah kawasan antara empat tiang di kawasan
Raudhah dan tidak jauh dari Makan Rasulullah, tetapi untuk mendekati makam
bukanlah mudah, Jemaah wanita masih
berpusu-pusu ke situ. Saya terus
melakukan solat taubat empat rakaat,
selepas itu berdoa apa sahaja yang terlintas di hati. Paling saya harapkan adalah keampunan dan
kasih sayang Allah serta kebahagian seluruh kaum keluarga saya.
Setiap kali selepas bangun dari sujud,
terbau haruman yang menyinggah hidung saya.
Allahu Akbar! Semoga Allah menerima doa-doa saya. Tidak dilupakan juga doa buat sahabat-sahabat
yang menitipkan doa mereka serta salam mereka kepada Baginda saw. Sudah saya
sampaikan. Bukan sekali saya dan
beberapa orang Jemaah wanita satu rombongan melakukan ziarah ke makam Rasulullah saw. Kami sempat pergi buat kali kedua. Masuk akhir sekali, kali ini agak jauh
sedikit daripada makam, tetapi masih di dalam kawasan Raudhah. Lapang dan orang pun tidak berapa ramai,
sempat solat taubat beberapa kali, sepuas-puasnya berdoa. Menangis sepuas-puas hati.
Di Madinah kami juga dibawa
menziarahi beberapa tempat bersejarah, antaranya Bukit Uhud di mana tempat
terjadinya Perang Uhud. Bukit yang
berwarna merah kemerahan jika dilihat waktu siang. Kawasan persekitarannya juga dipenuhi ramai
manusia yang datang melawat. Di mana ada
pengunjung, pasti ada orang berniaga.
Siapkan duit sahaja. Usah
terburu-buru membeli.
Kami juga pergi ke Ladang Kurma,
kebetulan bukan musimnya, buah ranum sukar ditemui. Biasanya buah kurma masak ranum sekitar bulan
Julai. Jika beli di ladang, harganya
agak tinggi, kami juga dibawa pergi ke Pasar Kurma, harga jauh lebih rendah dan
tidak berapa jauh tempatnya dari Masjid Nabawi.
Kedai atau pusat membeli belah di
Madinah tidaklah sesibuk pusat membeli
belah kita di Malaysia, tidak akan bersesak atau berebut dengan orang. Kedainya tersusun dan kemas. Mudah, paling mudah pandai bercakap Bahasa
Arab, pasti dilayan dengan penuh bangga.
Harga barangan juga tidak terlalu mahal, harga mampu milik, jangan
sampai ‘gila’ sudahlah. Harga jubah yang
cantik, jauh lebih murah berbanding negara kita. Kalau sudah sampai, baiklah
beli beberapa helai, takut balik ke negara kita, menangis tidak sudah.
Tapi, bukan semua suka jubah Arab,
terutama mereka yang kurang memakai jubah untuk kegiatan harian atau keluar
berjalan-jalan. Apapun, amat sesuai
dijadikan buah tangan buat keluarga di Malaysia.
Berhampiran Masjid Nabawi juga ada
beberapa buah Muzium yang boleh dilawati.
Kalau hendak tengok dan menyaksikan bagaimanakah rupa rumah Rasulullah
saw, bolehlah ke Muzium yang ada. Ada Muzium al-Quran dan Asma Al Husna. Ada pasar tani juga, barangan jualan dijual
dengan harga lelong. Berbaloilah. Paling saya suka tengok adalah deretan kedai
emas. Berkilaun menyentuh mata. Hendak beli?
Tak mampu juga, harganya emas lebih kurang sahaja di mana-mana negara
pun, cuma hasil seni ukirannya sahaja
yang berbeza. Kalau berminat, bolehlah bawa wang bersama untuk beli emas Arab.
Sepanjang tujuh hari di Madinah,
saya ditimpa musibah, demam beberapa hari, akhirnya rebah juga. Ingatkan
akan sehat sehingga pulang ke tanah air.
Asyik telan ubat, agar cepat sehat dan bolehlah berjemaah di Masjid
semula. Sepanjang masa di Madinah,
selalunya, saya dan anak akan dapat
solat berjemaah di bahagian dalam, biarpun berhimpit dengan lautan manusia,
tetap boleh masuk dan solat di sana. Tetapi, sebelum pulang, buat ziarah wida’ atau ziarah perpisahan kepada
Baginda Rasulullah saw, hari itu jugalah, kami tidak boleh masuk ke dalam
masjid, langsung tiada ruang untuk kami bersolat, penuh sepenuh penuhnya. Ditambah dengan cuti umum warga Madinah. Akhirnya kami bersolat di dataran Masjid
Nabawi.
Usai solat, kami pulang ke hotel,
berkemas dan bersiap untuk berangkat pulang ke tanah air. Allah, air mata para Jemaah pasti mengalir
apatahlah terpaksa berpisah dengan Baginda Rasul yang amat dirindui dan kasihi. Berasa beratnya hati, berasa hiba yang tidak
mampu ditahan. Sendu dan sayu hati kami
semua. Akhirnya kami ucapkan juga salam
perpisahan kepada Baginda Rasul, dan berdoa, semoga kami dijemput lagi.
Setelah semua Jemaah rombongan
berkumpul dalam bas. Ada dua tiga orang
wanita muda Arab, entah dari mana
datangnya, meminta sedekah, mereka adalah sindiket, berhati-hatilah. Bukan seorang dua, ramai, jadi jika hendak
memberi, jangan beri sampai habis. Apapun, kenangan berada di kedua tanah suci itu adalah saat yang paling
menyeronokkan. Sudah pasti, sesiapa yang
pertama kali menjejakkan kaki, pasti ingin datang dan datang lagi. Melihat lautan manusia, sama-sama bersujud
kepada yang Esa, benar-benar menyentuh hati.
Biarpun dipenuhi lautan manusia setiap ruang yang ada, tetapi cukup
mendamaikan. Dalam hati puluhan ribuan
manusia yang berada di kedua-dua tanah suci itu tidak lain, tidak bukan hanya
untuk beribadat kepada Allah swt.
Semoga kita akan sentiasa dipanggil
kembali ke sana. Duit bukan segalanya,
tetapi jemputan Allah swt tidak mengira tua muda, kaya atau miskin, ada duit
atau tidak, jika diajak, pergilah dengan hati yang penuh kegembiraan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan