Aku memeriksa dahi Aiman yang
benjol. Usianya sudah 11 bulan, sudah
berjalan jatuh. Aku menggeleng
kekesalahan. Aiman terjatuh ketika bermain
di padang permainan petang tadi. Aku
memandang wajah Liya yang berkerut. Aku
mendengus kasar.
“Liya sibuk bersembang ya? Biarkan Aiman bermain dengan anak Kak Kiah,
anak Kak Yam? Liya tidak perhatikan
Aiman betul-betul?” leterku. Penat
pulang dari tempat kerja tidak hilang, ditambah penat melihat dahi Aiman yang
benjol sebesar telur ayam.
“Liy… Liya tak perasan bang!” kata Liya dengan wajah penuh bersalah.
Aku mengetap bibir, pantang benar
aku, jika Liya leka dengan hal lain, Aiman yang sepatutnya menjadi tumpuan
utama, dibiarkan bermain dengan kanak-kanak, biarpun sudah besar, tetapi kudrat
mereka tidak sama dengan orang dewasa.
“Liya mana boleh biarkan Aiman
sendirian dengan budak-budak lain! Kalau
ada orang jahat tadi, macam mana? Mana
tahu, dia culik Aiman, Liya bukan sedar pun!
Sibuk mengumpat agaknya sampai anak jatuh pun tidak sedar!” bertambah bebelanku.
“Abang! Kenapa cakap macam itu? Ingat kami duduk bersembang tu, mengata
orang saja ke? Tak ada hal lain ingin
kami bualkan? Abang jangan samakan Liya dengan orang lain! Abang tak kenal Liya ya?” Liya memandang wajahku tidak berkedip.
“Tak betul ke? Orang perempuan kalau berkumpul, bukan ada
kerja lain nak buat kalau tak mengumpat hal keluargalah, hal suami, hal jiran
setaman,” kataku, wajahku serius sepanjang kami berbual. Hatiku masih berasa marah atas kelalaian Liya
tadi.
“Habis itu, orang lelaki tak
mengumpat ke?” tempelak Liya.
“Abang bukan kisah Liya nak berkawan
dengan siapapun. Berkawanlah,
bergaullah, tapi anak tu perhatikan! Aimankan baru belajar berjalan. Kan dah jatuh sebab mamanya sibuk
bersembang!” Aku mendengus kasar. Masih
tidak berpuas hati. Biarpun baru pertama kali Aiman terjatuh, dan hanya
mengalami benjol di dahi, tapi tidak
boleh dibiarkan. Liya tidak boleh
membiarkan perkara itu berlaku.
“Biarlah dia belajar jatuh dan
bangun bang! Itukan pengalaman untuk
mengajar jiwanya menjadi kental apabila dah besar nanti, terutama Aiman lelaki,
bukan boleh dimanjakan sangat,” luah
Liya.
Dia duduk menyandar di sofa. Kulihat wajahnya sudah keruh. Matanya semakin dikecilkan. Takkan nak menangis? Bisik hati kecilku. Sensitifnya jiwa seorang perempuan? Penatlah
kalau begini? Takkan tidak boleh tegur
jika dia buat salah atau kesilapan? Uh! Orang perempuan!
“Jatuh boleh! Tapi jangan sampai
cedera, kalau bergegar otak Aiman, bagaimana?
Nasib baik dia tidak muntah-muntah, kalau tidak kenalah bawa ke
hospital. Inipun kena bawa ke klinik,
takut ada luka dalaman, mana kita tahu?”
“Abang! Jauh sangat abang menyimpang tu!” tegur Liya.
Suaranya masih mengendur, tidak terlalu
berkeras. Mungkin, masih menjaga adabnya
sebagai seorang isteri ketika bercakap denganku, biarpun kutahu hatinya mesti
panas membara.
“Abang tidak peduli! Lepas ini,
kalau tidak mampu jaga Aiman ketika di luar, baik tak payah bawa Aiman bermain
di padang. Duduk saja di rumah!” kataku, tegas.
“Abang! Abang nak anak kita jadi
apa? Takut dengan dunia luar? Hanya kerana takut jatuh? Abang nak suruh Liya kurung Aiman? Biar dia terperuk dalam rumah saja? Abang ingat, di rumah Aiman tidak boleh jatuh
ke?” lengking Liya.
Matanya sudah berkaca. Aku mengeluh
kasar. Hembusan angin daripada kipas
angin yang berpusing tidak mampu menyejukkan hatiku. Mungkin juga hati Liya panas membara. Keletihan tubuh masih terasa, belum sempat
melunjurkan kaki sudah dikhabarkan berita yang kurang menyenangkan.
“Demi keselamatan Aiman!” kataku lagi.
Liya tersenyum sinis.
“Liya, mamanya bang.
Jika abang sayangkan Aiman, Liya lagilah. Liya yang mengandung dan melahirkannya. Baru
11 bulan berlalu, masih terasa sakitnya sewaktu melahirkan Aiman. Liya juga inginkan yang terbaik untuk Aiman.
Takkan Liya nak biarkan Aiman tercedera, terjatuh dan sebagainya. Liya tahu tanggungjawab sebagai seorang ibu,
bang!” luah Liya.
Aku memandang wajah Liya, kulihat
air mata sudah membasahi pipinya. Ya,
Liya mama Aiman, tentulah Liya juga inginkan yang terbaik buat Aiman. Kenapa aku terlupa? Ibu mana yang ingin melihat anaknya terluka
atau tercedera? Tentulah inginkan yang
baik-baik buat anaknya. Aku mengeluh
perlahan. Kesal dengan sikap
sendiri. Menuduk Liya yang bukan-bukan
tidak akan menyelesaikan masalah.
Mungkin, Liya sendiri tidak mahu Aiman terjatuh. Mengurung mereka bukan penamat semua perkara
buruk. Di dalam rumah pun boleh berlaku
macam-macam kejadian. Apa penting,
pemantauan yang berterusan. Aku dan
Liya sama-sama menjaga kebajikan Aiman.
Bukan hanya membiarkan Liya seorang menjalankan tugasnya. Biarpun aku bekerja, tetapi Aiman anakku
juga.
Liya pula seharian tinggal di
rumah. Kawannya, hanyalah jiran tetangga
kami. Kalau dia tidak keluar bergaul
dengan mereka, dengan siapa Liya akan berkawan?
Mengurung Liya juga tidak menyelesaikan masalah, malah aku bersikap kejam dengannya. Dia perlu ada kawan, untuk berbual dan
berkongsi cerita. Cuma, aku pesan, usah
bercerita hal rumah tangga sendiri, keluarga dan orang lain. Berkongsilah ilmu yang bermanfaat, usah bercakap besar di hadapan orang
lain. Biarpun kami serba ada, belum
tentu jiran tetangga kami mampu ada semuanya.
Hormati perasaan orang lain. Aku yakin dengan sikap Liya, dia seorang yang
terpelajar, tahu bawa diri.
“Okay, lain kali Liya harus
berhati-hati, boleh?” pesanku.
“Insya-Allah bang. Tahulah Liya jaga Aiman. Liya bukan budak kecil tau.
Sudah jadi isteri dan ibu pun.”
Jawabnya.
Wajah Liya tenang semula. Isteriku memang seorang yang mudah sejuk,
tidak mudah melatah apabila ditegur. Aku
beruntung mempunyai isteri yang tahu menjaga adabnya di hadapanku.
Biarpun marah, tapi tutur katanya tetap lembut, namun tegas. Mampu meluahkan perasaannya langsung tidak
mengguris hatiku. Aku yang sepatutnya mengawal emosi amarahku. Maklumlah orang lelaki, nak tunjuk ego dan
keras di hadapan isteri sendiri. Aku
tersenyum dalam hati, terasa bodoh sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan