Bunyi
deruman enjin jentolak memunggah tanah yang bersemak samun itu membingit
telinga. Sejam dua lagi lapanglah
tanah itu. Haji Shauki menarik nafas
lega. Kegiatan penagihan dadah tidak
lagi bermaharajela di kampungnya itu.
Semua kawasan semak samun yang
berpaya sudah dibersihkan. Tanah yang
tidak bertuan, digunakan untuk bercucuk tanam, projek terbaharu untuk anak-anak
muda di kampung itu. Sebahagian tanah
lagi yang ada bekalan air sungai dijadikan tempat penternakan itik. Semuanya idea Malek. Haji Shauki menarik nafas lega. Malek juga sudah berhenti sebagai pengawal
keselamatan di kilang tempatnya bekerja sebelum ini. Dia akan memantau semua projek yang sedang
berjalan.
Malek juga berasa lega, penagihan
dadah di kampung itu juga sudah dapat dibanteras. Para pengedar juga dengar kata tidak lagi
kelihatan merayau di kampung tersebut.
Malek berharap perkara itu akan berterusan baik. Dia tidak akan membiarkan anak-anak muda di
kampungnya itu dirosakkan oleh mereka yang hanya tahu mencari keuntungan
semata-mata. Biar anak bangsa sendiri
mati asalkan dapat duit yang banyak.
Memang dasar tidak guna punya manusia.
“Alhamdulillah Malek, banyak perkara
berubah di kampung ini. Terima kasih kerana bantu pak su,” ucap Haji Shauki dengan wajah penuh ceria.
“Saya yang sepatutnya berterima
kasih dengan pak su kerana mempercayai orang seperti saya ini,” luah Malek
dengan wajah sendu. Siapalah sudi
menerima kehadiran penjenayah kejam sepertinya?
Nasib baik bapa saudaranya itu sudi mengutipnya dan memberi tempat yang
sewajarnya dalam masyarakat kampung kelahirannya itu. Biarpun ada yang membenci, itu tidak pernah
mematahkan semangatnya untuk terus berbakti kepada penduduk kampungnya
sendiri.
“Kau anak saudara aku Malek, takkan
aku nak biarkan kau merempat? Yang lepas usah dikenang, biarlah menjadi
tauladan dan sempadan,” nasihat Haji Shauki.
Malek hanya tersenyum, dalam hati
tetap berasa bersalah. Kesilapan masa
lalu yang tidak boleh diubah sejarahnya.
Dia boleh diterima oleh penduduk kampung, tetapi tidak bekas isterinya,
rasa dendam terpaku teguh di hati Salmah, tidak mampu ditanggalkan dengan
mudah, biarpun dikopek dengan menggunakan mesin yang paling canggih di dunia
ini. Apa lagi dayanya untuk memujuk.
Keperitan yang tidak mampu diucapkan dengan kata-kata. Onar yang dilakukan telah memusnahkan seluruh
kehidupannya.
“Pak su harap sangat, Malek akan
terus bantu pak su di sini,” ucap Haji Shauki.
Terasa segala impian dan cita-citanya ingin menjadikan kampung itu
sebuah kampung contoh dan terbaik akan berjaya.
“Insya-Allah pak su, selagi ada
nyawa saya,” jawab Malek.
Mereka masih lagi memandang
kerja-kerja meratakan tanah dijalankan. Jentolak berwarna kuning yang dipandu
oleh seorang lelaki Cina rancak bekerja.
Dibantu oleh lima ke enam orang pekerja yang lain, memotong dan menebang
pokok yang sudah tumbang dengan menggunakan gergaji eletrik. Kayu-kayu itu dikumpulkan dan akan
dibakar. Tanah seluas dua ekar itu
sekejap sahaja dibersihkan.
Di kejauhan, tidak jauh dari kawasan
yang sedang diratakan, di dalam sebuah kereta
mewah, beberapa orang lelaki sedang memerhati dengan perasaan
marah.
“Tak guna! Habis semua kawasan semak di kampung ini
diratakan? Mana lagi tempat yang sesuai
para penagih nak buat sarang?” kata Man
Cengal dengan wajah bengisnya.
“Tempat nak menghisap tak jadi
masalahlah! Masalahnya, barang-barang
kita tak laku!” kata Buncit keras.
“Kita nak buat macam mana ni boss?”
tanya Man Cengal.
“Nak buat macam mana lagi?” Buncit sendiri mati akal. Bukan mudah hendak mendapatkan penagih
baharu. Uh! Dia menumbuk-numbuk kusyen kereta. Pasti ketuanya akan naik angin juga.
“Sudah ambil gambar lelaki tu?”
tanya Buncit.
“Sudah boss!” jawab Man Cengal
sambil membelek gambar yang diambil tadi
dengan menggunakan telefon bimbitnya.
“Bagus! Jom berambus dari sini,”
ajak Buncit. Dia mengeluh berat. Strategik baharu terpaksa difikirkan untuk
meneruskan perniagaannya. Takkan nak
berniaga nasi lemak? Berapa sangat
pendapatannya? Manalah dia tahu memasak
nasi lemak? Buncit mencebik. Pengedar utama kawasan daerah Seberang nak
jual nasi lemak? Pasti dia akan
diketawakan oleh konco-konconya nanti.
Buat malu kumpulan gangster sahaja!
Malek menoleh memandang kereta yang
baharu sahaja berlalu pergi. Dahinya
berkerut. Siapa mereka? Rasanya bukan penduduk kampung ini? Mungkinkah orang Majlis Bandaran? Kalau mereka, kenapa tidak turun tadi?
“Kenapa Malek?” tanya Haji Shauki,
turut menoleh memandang ke arah kereta yang sudah bergerak jauh dari kawasan
itu.
“Tak ada apa-apa pak su,” jawab Malek.
Hatinya dipagut resah, melihat
keadaan kampungnya yang sudah berubah, sudah tentulah para pengedar dadah di
kawasan itu tidak akan duduk diam.
Perniagan mereka diganggu gugat, keuntungan mereka sudah berkurangan.
Rugi besar! Malek mengeluh. Dia akan aturkan anak-anak muda kampung yang
berjaya dalam pelajaran dan berpendidikan
baik untuk membimbing anak-anak remaja kampung itu yang bermasalah dalam
pelajaran atau ada masalah disiplin di sekolah.
Dia tidak mahu mereka ketinggalan dalam pendidikan. Biarpun susah untuk membentuk mereka, dia
tidak akan putus asa. Malek tidak mahu
anak-anak itu menjadi sepertinya. Yang malas, akan diajar supaya rajin. Yang lemah dalam pelajaran akan diajar biar
pandai.
Ya, mereka semua anak-anaknya. Anak-anak kawan-kawannya. Hampir sebahagian daripada mereka, Malek
kenali sejak daripada kecil lagi. Tidak
mungkin dia akan membiarkan anak-anak kampungnya rosak akhlak mereka. Anak-anak gadis pula diberi pendidikan sains
rumah tangga, memasak dan menjahit serta kerja tangan yang lain. Duit Masjid Kampung Seberang digunakan sebaik
mungkin untuk mengupah guru-guru yang sesuai mengajar anak-anak kampung itu.
“Bila stadium ini sudah siap, adalah tempat buat anak-anak kampung ini
beriadah dan bermain sukan yang mereka
minati,” kata Haji Shauki gembira. Dia tahu, apa yang dilakukan oleh anak buahnya
itu adalah berkat kesedaran setelah melalui kehidupan yang penuh dengan
kepahitan. Keinsafan telah membawa
perubahan besar dalam hidup anak buahnya itu.
Orang seperti Malek perlukan sokongan dan kekuatan untuk berubah dan
bergaul semula dalam masyarakat.
Bukan mudah penduduk kampung hendak
menerima kembali kehadiran Malek, tetapi melihat apa yang dilakukan oleh Malek
telah berjaya dan terbukti membuat mereka buka mata dan sedia memaafkan
dirinya. Haji Shauki cukup berasa lega
dengan apa yang berlaku. Kehadiran Malek biarpun pada mulanya dipandang membawa
bencana tetapi jika diatur dengan betul, pasti membawa sesuatu yang
bermanfaat. Orang yang ingin berubah,
pasti akan berubah. Hanya mereka yang
suka hidup dalam dunia kegelapan akan kekal dengan sikap lama mereka, terus
melakukan jenayah tanpa berasa bersalah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan