HARI
Isnin yang penuh dengan ketenangan. Harap-harap hari ini tidak ada masalah yang
menyinggah. Dua hari lagi tanpa suami di sisi. Kali ini anak-anak tirinya
hendak ke puncak Cameron Highlands. Kenalah suaminya angkut juga mereka ke
sana. Dia seperti biasa tidak dibenarkan ikut serta. Rasa hendak menangis. Tapi,
apa gunanya? Suaminya akan tetap pergi demi rasa cinta dan sayangnya yang tidak
pernah berbelah bahagi terhadap anak-anaknya. Nadia? Seperti biasalah, menyibuk
di situ.
Suaminya sampai di rumah pun hampir
tengah malam tadi. Ada strawberi bersalut coklat, hadiah untuknya. Mampukah
hadiah itu melembutkan hatinya yang semakin parah dimamah masalah Nadia dan
suaminya? Dia akan cuba menghadapinya sekuat yang mungkin. Tercalar dan
terluka.
“Aleeya!” jerit seseorang. Suara itu
bergema di seluruh tempat letak kereta yang sunyi dan sepi itu. Keadaan di
Putrajaya, mana ada riuh-rendah. Walaupun banyak kenderaan, tapi sunyi dan sepi
bagaikan tiada penghuni.
Aleeya menoleh.
Nadia?
“Kau nak apa?” tanya Aleeya selamba.
Apa pula masalah perempuan ini? Bukankah dua hari sudah pergi bercuti dengan
suaminya, tak puas-puas lagi ke?
“Aku bagi amaran terakhir kat kau!
Lepaskan Ikmal, tinggalkan dia!” paksa Nadia.
“Kau siapa nak suruh aku buat semua
tu? Kau tak ada hak dalam rumah tangga kami. Kenapa pula aku nak tinggalkan
suami aku? Apa pula salah dia?” Aleeya melawan. Dengan suami jangan melawan,
tapi kalau suami itu kaki brutal, naik kaki tangan, boleh lawan. Kalau
perempuan ini main kasar, dia juga boleh main kasar.
“Kau tahu apa jadi kat kami di
Cameron Highlands? Kau tak nak tahu?” kata Nadia sedikit berbisik.
“Tak perlulah bercerita. Semua
cerita kau tu bohong belaka!” Aleeya menolak untuk mendengarnya. Perempuan itu
ada agenda dan sudah tentu sanggup lakukan apa sahaja untuk memenuhi agendanya
itu.
“Ini…” Nadia menunjukkan telefon
bimbitnya. Terpampang gambar suaminya sedang memeluk Nadia dengan begitu mesra
sambil dikelilingi oleh anak-anak mereka.
Bergetar jantung Aleeya melihatnya. Suaminya
takkan lakukan hal seperti itu. Suaminya tidak akan menyentuh, hatta sehelai
pun rambut Nadia. Suaminya tahu halal dan haram. Aleeya memandang wajah Nadia
dengan rasa geram yang membuak di dada.
“Ini baru sikit. Lama-kelamaan, kau
tahulah sendiri, kan? Aku pernah jadi isteri dia, aku tahu apa yang dia mahukan
daripada seorang isteri,” kata Nadia bangga.
“Kau bangga dengan dosa dan noda
yang kau lakukan? Memang peliklah kau ni. Waktu kau jadi isteri Ikmal, kenapa
kau tak buat macam ni? Dah jadi janda dia, baru kau terhegeh-hegeh nak tunjuk
romantik? Kau ingat Ikmal tak cerita kat aku ke tentang kau? Kau ingat, aku tak
tahu apa yang berlaku dalam rumah tangga kau?” kata Aleeya geram. Terhambur
semua perasaan yang telah bernanah di hati. Terkeluar semua perkataan yang
tidak sepatutnya diluahkan. Itu sebab kemarahan adalah kawan syaitan yang
terbaik. Kemarahan mampu memusnahkan sikap yang baik dalam diri.
“Itu semua tak penting. Aku akan
rampas kembali Ikmal daripada kau!” Nadia menarik tudung Aleeya sehingga senget
jadinya.
“Kau fikir aku akan biarkan?”
lengking Aleeya. Rasa marah meletup-letup dalam hati. Kalau suaminya ada di
hadapannya mahu sahaja dia menerkam. Air mata mula mengalir keluar. Tidak
sanggup melihat gambar yang dipaparkan kepadanya tadi. Masih terbayang
kemesraan kedua manusia itu. Kenapa semua ini berlaku dalam hidupnya? Kenapa
dugaan sekuat ini yang harus dia tempuhi?
“Kak!” panggil seseorang.
Aleeya menoleh sekali lagi. Dia
masih berdiri di tempat letak kereta dengan juraian air mata. Tangisannya tidak
mampu dihentikan. Dia menangis kerana marah, sakit hati dan geram. Adakah
suaminya sudah mula bermain kayu tiga di belakangnya? Dia memberi izin bukan
untuk suaminya membuat onar. Kalau sudah suka kembali dengan bekas isteri,
kahwin sajalah. Kenapa buat dosa seperti ini? Biarpun mereka mungkin tidak
sampai terlanjur, tetapi mendekatkan diri seperti ini boleh mengundang apa
sahaja bakal berlaku.
Dia
akan melarang, bukan melarang suaminya berkahwin semula dengan jandanya itu,
tetapi melarang suaminya keluar lagi dengan Nadia dan anak-anaknya. Kalau nak
juga, dia harus ikut bersama. Dia tidak mahu berkongsi bergelumang dosa. Bukanlah
dia baik sangat, tapi biarlah sedikit kebaikan yang dilakukan mampu membawanya
ke syurga.
“Ros, akak ambil MC… nanti beritahu Kak
Rozita ya?” Aleeya melangkah laju menuju ke keretanya kembali. Dia perlu cari
suaminya. Dia perlu selesaikan masalah ini. Semakin hari dibiarkan, semakin
menjadi-jadi pula. Nadia memang berani dan nekad rupa-rupanya.
“Kak!” laung Ros. Dia menggeleng. Memerhatikan
sahaja langkah laju teman sepejabatnya itu.
Dalam kereta, Aleeya hanya menangis.
Tidak terluah dengan kata-kata perasaan marah yang menggila di hatinya. Air
matanya semakin laju mengalir. Tergamak suaminya menyentuh bekas isterinya. Tergamak
suaminya memeluk tubuh badan bekas isterinya?
Ingat dia tidak ada hati dan perasaan ke? Ingat dia tidak ada rasa cemburu
dan marah? Dia bukan robotlah. Dia manusia dan perempuan. Tak tahu ke apa?
Terbayangkan wajah manis suaminya awal pagi tadi. Seronok sangatlah dapat peluk
percuma. Uh! Yang perempuan pun tak tahu malu, sanggup dan merelakan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan