Setiap
pagi, baju yang tergantung di dinding bilik akan menjadi tatapan mataku. Bau haruman tubuhnya begitu kuat menyinggah
hidungku. Haruman itu buat aku semakin
rindu padanya, biarpun setahun sudah berlalu.
Dia pergi takkan kembali lagi, meninggalkan aku dan anak-anak buat
selamanya. Titisan manik jernih mengalir
laju tanpa dipinta. Sendu menyentap jiwa
kesayuan yang tidak pernah luntur dari hatiku.
Dia tidak pernah hilang dari pandangan mata ini. Suaranya bagaikan terngiang-ngiang
bermain-main dan menari-nari di cuping
telinga ini. Gelak ketawanya masih jelas menjadi halwa telinga. Dia terasa begitu dekat di hati ini.
Sesekali
kata-kata kasarnya menyentap amarahku. Sesekali rajukku menerpa kerana dia
tidak menunai permintaanku. Kadangkala
usikkannya membuatkan tawaku berdekah-dekah.
Kata-kata nasihatnya membuatkan aku menunduk malu. Ah! semua itu tidak akan aku nikmati
lagi. Tidak lagi teman berbicara, tidak
ada lagi teman berbual mesra. Jauh
sekali tempat untuk berkongsi duka. Tiada
lagi orang yang sudi mendengar bebelanku.
Tiada siapa yang sudi mendengar leteranku dengan sabar seperti
dirinya. Marahku disambut dengan
senyuman mengusiknya. Rajukku disambut
dengan rajuknya juga. Akhirnya aku
mengalah jua.
Aku
sepi sendiri, tiada teman untuk berbicara.
Anak-anak sudah besar panjang, sudah ada aktiviti mereka sendiri. Abang, kalaulah abang ada bersama, keluhku
sendiri. Semakin semarak rasa rindu yang
bertandang. 40 tahun hidup bersama, suka dan duka kami harungi bersama, mana
mungkin aku melupakan segalanya. Mana mungkin kenangan 40 tahun itu akan lenyap
terus dari ingatanku. Dia orang yang aku
cintai sepenuh hati, sepenuh jiwa ragaku, tiada dua. Dia ayah anak-anakku. Di hadapan anak-anak aku berlagak kuat, aku
berlagak mampu hidup sendiri tanpa dia.
Tetapi, jauh di sudut hatiku menangis pilu mengenangkan insan tersayang
yang pergi meninggalkanku selamanya.
Pakaian-pakaiannya
masih kusimpan, tidak sampai hati membuangnya keluar, biarpun untuk diberi
kepada orang lain. Gambar-gambarnya
masih tersimpan kemas di dalam kamar kami.
Tidak sanggupku berpisah daripadanya.
Biarlah ia di situ, kenangan itu terlalu indah untuku buang pergi. Dialah imamku, syurgaku. Biarpun dia tidak
sesempurna mana, namun dia tetap istimewa
di hatiku.
Kekosongan
tidak akan kuisi. Aku suka hidup begini,
bermain dengan kenangan itu sekali-sekala. Mengingatkan kenangan itu buat aku
menghargai setiap inci kehidupan ini bersama orang-orang yang masih ada di
sisiku. Aku tidak mahu kehilangan itu
nanti buat aku menyesal kerana tidak menghargai mereka ketika ada bersama. Apa sahaja boleh berlaku. Hargai setiap detik nafas ini.
“Leya
rindukan abang,” luahku pada gambarnya yang duduk tersenyum di sebelahku. Ah! terlalu pahit untuk aku telan.
Kehilangannya benar-benar menguji kesabaran dan ketabahanku sebagai seorang
isteri dan ibu. Seminggu aku berkurung
dalam bilik, menangis dan menangis.
Setiap kali teringatkannya, setiap kali itulah aku kalah melawan hawa
nafsu sedihku, mudah sahaja air mataku mengalir. Mudah sahaja aku berasa
pilu. Gelora resah yang melanda,
meragut rasa gembira di hati, kerinduan yang menyapa sesekali menghimpit
sanubari, membawa gelombang kecewa yang tumbuh biarpun tidak kubaja setiap
masa. Aku tidak boleh kecewa, inilah
ketentuan buatku dan buatnya. Aku harus
terima takdir ini dengan sepenuh hati.
Giliranku akan tiba juga. Sama sepertinya.
“Malam ini, Leya dan anak-anak akan buat tahlil dan baca Yassin untuk abang, Kami tak pernah lupa mendoakan kesejahteraan abang di sana, hanya itulah bakti Leya pada abang,” ceritaku, biarpun dia tidak lagi dapat berinteraksi denganku, itu tidak menjadi kudis padaku. Cukuplah sekadar dia menjadi pendengar tanpa suara. Bukan ketika hidupnya aku berbakti kepadanya, biarpun dia sudah tiada, aku masih berbakti dengan menyedekahkan al-Fatihah buatnya setiap kali solat lima waktu. Hanya itu yang dapat aku sumbangkan buat insan tersayang selain doa yang tidak putus-putus buat kesejahteraanya di sana.
“Malam ini, Leya dan anak-anak akan buat tahlil dan baca Yassin untuk abang, Kami tak pernah lupa mendoakan kesejahteraan abang di sana, hanya itulah bakti Leya pada abang,” ceritaku, biarpun dia tidak lagi dapat berinteraksi denganku, itu tidak menjadi kudis padaku. Cukuplah sekadar dia menjadi pendengar tanpa suara. Bukan ketika hidupnya aku berbakti kepadanya, biarpun dia sudah tiada, aku masih berbakti dengan menyedekahkan al-Fatihah buatnya setiap kali solat lima waktu. Hanya itu yang dapat aku sumbangkan buat insan tersayang selain doa yang tidak putus-putus buat kesejahteraanya di sana.
Dia
tidaklah kacak sangat tetapi sempurna sebagai seorang lelaki, suami dan ketua
keluarga. Baik dan santun dengan
anak-anak, jarang berkasar namun tegas.
Baik dengan jiran tetangga dan saudara mara. Disenangi oleh kawan-kawannya. Sewaktu hidupnya, dia menghabiskan masa
berbakti di masjid usai bekerja di
pejabat kerajaan. Aku kagumi
kesungguhannya. Aku tidak pernah
melarang minatnya yang suka membantu menguruskan masjid berhampiran rumah
kami. Aku memahami minatnya. Kuredha apa sahaja yang dilakukannya selama
hidupnya. Dia tidak pernah mengabaikan
aku dan anak-anak, keperluan kami tertunai sepenuhnya. Dia tidakan akan ada galang gantinya, biarpun
pepatah berkata, yang hilang akan berganti.
Biarlah dia menjadi imanku di syurga juga. Itulah doaku setiap
hari. Aku mengesat air mata yang masih
membasahi pipiku yang semakin direntap usia.
Tidak perlu kutegangkan apa yang sudah kendur. Biarlah. Aku sudah cukup tua untuk berasa cantik dan
lawa. Cukuplah aku habiskan kecantikanku
buat insan yang sentiasa bertahta di hatiku.
“Mama,
mama.”
Suara
anak anak perempuan sulongku menerbangkan semua kenanganku bersama dia. Aku mengesat saki baki air mata yang masih
bersisa di pipi. Cepat-cepat aku
melangkah keluar.
“Ada
apa long?” tanyaku, air muka kuceriakan serta-merta.
Along
menolak pintu bilik, dia menarik nafas seperti mencium sesuatu.
“Ayah!”
sepatah kata itu keluar dari bibirnya.
“Along!” Aku menerpa ke arahnya yang sudah terjelepuk
di lantai. Menangis. Ya Allah, adakah
along juga merindui ayahnya?
“Bau
ayah masih berlegar dalam bilik ini, mama tentu rindukan ayah, kan?” kata
along, wajahnya bertukar riak sedih, memandangku dengan linangan air mata.
Aku
duduk mencangkung di hadapannya.
“Siapa
yang tidak rindu along. 40 tahun kami
hidup bersama, mana mungkin mama lupakan ayah begitu sahaja,” luahku.
“Bagaimana
mama hadapi semua ini? Kalau along, tak
tahulah, mampukah along hadapi kehilangan suami along nanti,” ucap along dengan
deraian air mata yang semakin mengalir laju. Lantas aku memeluknya erat.
“Semua
orang akan melaluinya along. Cepat atau lambat.
Semua ini takdir Ilahi, kita tak tahu bila waktunya akan tiba giliran
kita. Mama terpaksa redha dengan takdir
ini, biarpun dengan hati yang berat,” ceritaku.
Along
memelukku erat, menangis dibahuku, seolah-olah dia yang kehilangan suami.
“Along,
mama, kenapa?” tanya menantuku, baharu keluar dari biliknya. Wajahnya berkerut kehairanan.
“Abang,
maafkan along ya, along janji akan jadi seorang isteri yang baik buat abang,”
kata along lalu berdiri memeluk erat suaminya.
Menantu
lelakiku merenungkU sambil mengangkat kening, seolah-olah bertanya sesuatu
kepadaku. Aku hanya melakarkan senyuman
buatnya.
Kehilangan
buat aku menghargai sesuatu, kehilangan buat aku sedar, semua yang ada di
hadapan aku adalah pinjaman cuma. Sama seperti anak-anakku juga. Mereka juga perlu bersedia menerima pemergiaanku juga. Seperti
mana aku bersedia menerima pemergiaan suamiku buat selamanya. Ajal maut ketentuan Ilahi, tidak tahu bila
aku akan dijemput bertemu-NYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan