Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 17 Mei 2016

ULASAN NONI karya ABDULLAH HUSSIN



NONI
ABDULLAH HUSSIN
UTUSAN PUBLICATION & DISTIBUTORS SDN. BHD.
186 muka surat

Ramli seorang pelajar yang pintar dan bijak.  Sering mendapat tempat pertama di sekolah, sehingga membolehkannya bersekolah di sekolah berasrama penuh.  Kedua orang tuanya hanya bekerja sebagai petani, mereka hidup susah.  Sebelum sempat Ramli menghabiskan pelajaranya di peringkat menengah, ayahnya meninggal dunia.  Terpaksalah  Ramli bergantung hidup dengan emaknya sahaja.
Usai SPM, Ramli mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran di universiti di Kuala Lumpur.  Pada mulanya dia berusaha juga mencari duit untuk membiayai pengajiannya itu tetapi hampa.  Bapa saudaranya sendiri tidak mampu menyediakan jumlah yang dipinta, hanya RM200 pun dia tidak mampu sediakan.  Ramli hampir putus asa.  Dia benar-benar kecewa.  Namun kekecewaannya tidak lama. Penduduka kampung sanggup mengutip sumbangan untuk membantu Ramli, kerana hanya Ramlilah  anak kampung kebanggaan mereka.  Bagi mereka, Ramli boleh dijadikan contoh kepada anak-anak mereka untuk berjaya dalam pelajaran.   Dengan duit sumbangan itulah Ramli meneruskan langkah ke universiti di Kuala Lumpur.
Dengan ditemani emaknya, Ramli bertolak ke Kuala Lumpur dengan menaiki keretapi.  Mereka tinggal di rumah seorang penduduk kampung yang telah berhijrah ke Kuala Lumpur.  Ramli berjanji akan belajar bersungguh-sungguh untuk membalas jasa orang kampungnya.  Dia tidak mahu mengecewakan  harapan penduduk kampungnya.

Di kampus, Ramli bertemu dengan seorang gadis muda yang agak garang dan suka memerintah. Sharifah Aini atau Noni, sudah bertunang.  Noni sering mengganggu Ramli.  Pada mulanya sekadar ingin mengusik Ramli sebagai pelajar baharu, sehinggalah satu hari Ramli telah menemani Noni pulang ke rumah lewat tengah malam dalam hujan lebat setelah tunangan Noni tidak datang menjemputnya di Kampus.  Ramli yang ditimpa hujan terus jatuh sakit dan terpaksa dirawat di hospital. Keadaannya agak teruk sehingga berminggu-minggu dia ditahan dan dia tidak dapat datang kuliah.  Keadaan itu benar-benar merungsinkan Ramli kerana ujian semester semakin dekat.  Dia tidak mahu gagal.  Dia tidak mahu mengecewakan harapan penduduk kampung.  Kerana terlalu memikirkan masalah yang mendatang, kesihatannya semakin hari semakin teruk.  Biarpun pulih tetapi hanya seketika.
Emak Ramli tidak senang dengan kehadiran Sharifah Aini yang dirasakan penyebab menjadikan anaknya tidak sihat.  Keprihatinan Noni membuatkan hati keibuannya tercubit.  Dia tidak suka, kerana dia mahu Ramli menumpukan perhatian pada pelajaran, bukan soal hati dan perasaan.

Sharifah Aini atau Noni sanggup memutuskan pertunangaannya dengan sepupunya sendiri lantaran terhutang budi dan rasa cinta yang lahir terhadap Ramli.  Dia dibuang keluarga dan membawa diri bersama Ramli, akhirnya mereka berkahwin.  Ramli yang masih tertekan dengan keadaan hidupnya sebagai pelajar dan suami  telah jatuh sakit sekali lagi, malah sehingga membawa maut.  Hancurlah segala harapan emaknya untuk melihat dia berjaya, patahlah harapan orang kampung untuk melihat seorang anak jati kampung berjaya membawa segulung ijazah. Noni ditinggalkan bersama seorang anak penyambung kasih mereka berdua.   Noni pula tidak diterima oleh keluarga dan penduduk kampung kerana dituduh menjadi penyebab kematian Ramli dan pematah semangat orang-orang kampung. 

Biarpun dibenci,  Noni tidak pernah lupa menziarahi emak mertuanya.  Sehingga satu hari, Noni terlibat dalam kemalangan jalanraya sewaktu hendak pulang ke kampung arwah suaminya itu.  Setelah kematiannya baharulah, ayah, emak mertua dan penduduk kampung tahu, Noni telah membeli polisi insuran, dan wang tersebut akan digunakan sebagai biasiswa kepada penduduk kampung arwah suaminya Sg. Limau  untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.  Perasaan benci yang bersarang di hati penduduk  Kampung Sungai Limau bertukar suka dan sayang apabila mendapat tahu akan kebaikan yang telah dilakukan oleh Noni.

Latar masa, kejadian selepas merdeka. Latar tempat di kawasan Kampung Kerinchi dan Universiti Malaya, tempat yang tidak asing dalam kehidupan saya ketika membesar.  Jalan cerita yang punya makna tersendiri, betapa sebuah kampung mampu berkongsi apa sahaja rasa sesama mereka.  Tanggungjawab dipikul bersama tidak kira apa hubungan antara mereka.  Cinta sewaktu belajar tidak semuanya membawa bahagia dan kecermelangan, namun ada juga yang mampu memberi semangat dan kejayaan.  Terpulang kepada diri sendiri.  Jangan membenci seseorang kerana kadangkala yang dibenci itulah yang banyak berbakti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan