M
|
uhayat
membesar dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Dia menjadi abang yang baik
dan menjadi contoh kepada adik-adiknya Marsyila dan Mursyid. Tidak lama, kesangsian yang dijangka pun muncul
di celah hati Muhayat.
“Abah, kenapa nama bapa kami berbeza?”
Itu kekeliruan yang pertama terbit dari bibir Muhayat selepas dia
mula bersekolah dan tahu membaca.
“Sebab Hayat ni bukan anak kandung abah. Tapi abah kasihkan seperti
abah kasihkan Syila dan Syid.” Ahmad Adham tidak berbohong dan dia tidak akan
mengajar Muhayat mendengar kisah-kisah rekaan untuk mengambil hatinya.
“Siapa ayah kandung Hayat?”
“Dia ada di Johor. Nanti kalau Hayat dah
besar, kita cari dia.”
“Tapi kenapa dia tinggalkan Hayat?”
“Hayat masih kecil untuk faham masalah orang
dewasa,” pujuknya. Kemudian hal itu
tidak ditanya lagi. Muhayat seperti faham bahawa soalan itu tidak penting dalam
hubungan mereka di rumah itu.
Bukti kasih sayang, cinta dan kesetiaan
Kartina begitu banyak untuk dihitung. Namun yang paling tidak dilupakan untuk
diingat dan dikenang ialah ketika dia jatuh sakit dan terlantar lama akibat
satu penyakit aneh.
Dia dimasukkan ke hospital. Namun doktor tidak
dapat mengesan apa-apa penyakit. Setelah pemeriksaan darah, najis dan kahak
sudah dibuat dan tidak ada penyakit yang dapat dikesan, dia dibenarkan pulang.
Namun bila sampai di rumah, dua malam sahaja
yang dia dapat tidur dengan lena. Selepas itu, dia akan batuk sampai ke pagi.
Batuk yang langsung tidak berhenti. Semua ubat sudah dimakan. Semua petua juga
sudah dibuat. Namun batuknya tetap begitu. Akhirnya atas nasihat seorang rakan,
dia cuba ikhtiar dengan cara berbomoh. Bomoh mendakwa dia terkena santau angin.
Benar atau tidak hanya ALLAH yang tahu. Dia
terus berusaha. Macam-macam cara bomoh buat. Begitu juga macam-macam ubat yang
dia telan.
Batuknya tidak juga pulih sepenuhnya. Malah
batuk yang berpanjangan itu membuatkan dia semakin lemah hingga tidak mampu
bangun dari tempat tidurnya. Semua kelangsungan hidupnya dibuat di tempat
pembaringan. Jika dia buang air besar, Kartina yang membersihkannya. Jika dia
termuntah, Kartina yang akan menadahnya. Kalau tidak sempat dengan besen, dia
akan menadah dengan tangannya!
“Kenapa abang jadi macam ni?”
“Jangan mengeluh bang. Anggap ini ujian ALLAH.
Dah lama DIA berikan kesihatan yang baik. Baru sekali ini dia menarik
nikmat-Nya itu. Bersyukur dan reda, bang.”
Itulah Kartina. Sentiasa tenang dan tabah. Dia tetap setia
saban malam bersengkang mata di sisi katilnya.
Dia tidak jijik membuang muntah dan najisnya!
“Terima kasih kerana Tina sudi menjaga abang,”
bisiknya pada satu malam. Ketika itu batuknya sedikit reda tetapi demamnya pula
yang muncul. Tangan Kartina tidak henti-henti menjelum kepalanya dengan air
asam jawa.
“Ini adalah tugas dan tanggungjawab Tina
sebagai isteri. Tina tak nak abang berfikir dan ingat yang bukan-bukan. Tina
nak abang kuat melawan kesakitan ini. Tina akan sentiasa ada di sisi abang.
Tina akan tetap menjaga abang selagi abang perlukan Tina,” balas Kartina.
Dia mendengar ketulusan kata-kata Kartina. Dia
juga melihat keikhlasan dalam matanya. Juga ada kejujuran dalam setiap gerak
gerinya. Akhirnya dia tidak mampu menahan tangis. Hatinya sungguh sebak dan
terharu mendengar kata-kata itu.
“Kenapa abang menangis ni? Adakah kata-kata
saya menyakitkan hati abang?” Kartina mendekatinya. Tubuhnya dipeluk erat. Dia
dibelai seperti seorang anak kecil.
“T... tidak.
Abang cuma rasa terharu dengan layanan dan kasih sayang Tina.”
“Tina nak abang tahu bahawa Tina amat kasihkan
abang. Cinta Tina hanya untuk abang. Kalau benar abang juga kasihkan Tina,
abang kena kuat dan tabah menghadapi dugaan ini. Kita akan hadapi bersama,”
kata Kartina lagi.
“ALLAH berikan sakit ini sebagai kifarah untuk
semua dosa-dosa abang. Lalu abang kena sabar dan tabah,” bisik Kartina ke
telinganya.
“ALLAH juga sedang menunjukkan sebuah kebenaran,
tentang kesetiaan, kejujuran dan ketulusan hati manusia,” balasnya dengan
juraian air mata yang tidak putus-putus mengalir.
“Abang, Tina tak bersedia nak terima semua
pujian abang. Cukuplah ALLAH memberikan semangat dan kekuatan untuk Tina lalui
semua ini dengan tabah. Selebihnya adalah milik DIA,”
“Ya ALLAH! Ya Rahman! Ya Rahim... aku
bersyukur kepadamu ya ALLAH kerana memberikan aku isteri sebaik ini.” Dia mendongak ke atas.
“Sejak abang sakit, baru abang tahu betapa
abang memang amat perlukan Tina dalam hidup abang.”
“Kalau abang tak sakit, abang tak perlukan
Tina?” tanya Kartina dengan senyum. Dia tahu Kartina sedang menduga hatinya. Dia
ingin bersuara meluahkan rasa hatinya. Dia ingin menjelaskan apa yang ada dalam
jiwa raganya.
Namun ketika itu jari Kartina sudah menutup
mulutnya. “Abang tak perlu cakap apa-apa. Tina tahu kasih sayang abang selama
ini. Jasa abang membesarkan Muhayat amat besar. Kasih abang pada kami berdua
tak terbalas.”
“Itu tanggungjawab abang.”
“Samalah juga dengan Tina. Menjaga abang,
mengasihi abang adalah tanggungjawab yang tulus dari Tina. Selagi abang sudi
jadikan Tina isteri abang, Tina tidak akan abaikan tanggungjawab dan amanah
ALLAH ini,” kata Kartina sambil memeluknya sekali lagi.
Alangkah manisnya cinta. Alangkah indahnya
rasa. Itulah Kartina. Kalau dulu dia dilayan begitu. Sekarang pun layanan itu
tetap sama.
Kartina pula, sejak pertemuan semula itu
jiwanya sedikit kacau. Semua kenangan yang sudah lama dilupakan, kembali terimbau.
Dia ingin menolak semua ingatan itu. Namun, dia tidak berdaya.
Lelaki itu pernah dicintainya. Pernah mengisi
jiwa raganya. Dia adalah lelaki pertama yang dicintainya.
Selepas Natasya lahir, semuanya menjadi indah.
Kasih sayang mereka
begitu erat. Kemudian lelaki itu dinaikkan pangkat. ALLAH Yang member rezeki.
“Inilah rezeki anak namanya,” bisiknya selepas ucapan syukur. Dia
gembira dengan apa yang ALLAH kurniakan kepada keluarganya. Namun, rupanya
ALLAH memberikan sesuatu sebagai ujian.
Itulah permulaannya. Ujian berupa nikmat itu membuatkan suaminya
berubah. Dia lupa diri. Cinta yang dilafazkan tiba-tiba menjadi hempedu yang
pahit untuk ditelan. Janji yang dipadu, terbiar lesu. Perubahan demi perubahan
yang ditunjukkan membuatkan dia mengesyaki sesuatu. Namun dia tidak mempunyai
bukti yang kukuh.
Setiap detik dia berdoa : “Tuhan, berilah aku kekuatan. Tunjukkan
aku jalan. Berikan aku petunjuk.” Hanya itu doa yang diulang-ulang dalam hati.
Hanya ALLAH tempat dia menyandarkan dirinya yang semakin tidak kuat.
Akhirnya doanya dimakbul Tuhan. Akhirnya apa yang disyaki itu
terbongkar. Seorang wanita mengetuk pintu rumahnya dan menyerah diri.
“Saya Naimah, isteri kepada suami awak. Dah tiga bulan kami
kahwin,” kata wanita itu memperkenalkan dirinya dengan angkuh.
Ketika itu hatinya menggelupur. Dia kesakitan. Perempuan mana yang
tidak sakit hati dan marah bila suaminya berkahwin lain. Namun, dia cuba
bertenang. Dia cuba bersikap selamba.
“Saya harap awak sedar diri dan tahu,” kata wanita itu lagi. Gayanya angkuh dan
sombong.
“Nak sedar diri kenapa?” Dia cuba bersabar
dengan keangkuhan itu.
Naimah meneliti wajahnya. Kemudian tangan
wanita itu membelek baju yang dipakainya. Ketawanya berdesir sinis.
“Aku tak tahu kenapa dia berkahwin dengan kau.
Perempuan yang selekeh macam ni, dia jadikan isteri. Entah-entah kau dah
bomohkan dia ya?”
Dia menelan air liur yang amat pahit sepahit
hidupnya. Jauh dari sudut hati, dia beristighfar menghalau anak-anak iblis yang
sedang berlumba-lumba menawanya. Tidak. Dia tidak akan kalah pada musuh ALLAH
itu.
“Dengan baju yang serebeh ni, kau nampak macam
orang tua! Sedarlah diri kau tu. Kau tak sesuai dengan dia.” Keangkuhan Naimah
semakin memualkan.
“Jadi?” Tiba-tiba dia menjadi berani.
“Awak pergilah balik ke kampung awak. Tak payah nak tunggu dia di
sini. Dia tak akan pilih awak. Saya akan jaga dia. Saya akan pastikan dia jadi
hak saya seorang.”
“Wahai cik puan, saya ni ada iman. Sungguhpun
saya tak secantik awak, tak seksi macam awak tapi iman saya tetap cantik. Awak
tahu apa hukum meninggalkan rumah suami tanpa izin suami. ALLAH akan melaknat
sehingga suami memaafkannya,” katanya dengan lantang. Langsung tidak gentar.
Tidak juga bimbang.
Ketawa wanita itu membelah ruang. Sinis dan
begitu munafik.
“Awak jangan ketawa kerana itu bermakna awak
telah mempersendakan hukum ALLAH.”
Wanita itu segera bangun dan meninggalkan
ruang tamu rumahnya. Dia menarik nafas lega. Namun, tidak lama air matanya
mengalir akibat sungai rasanya yang pecah!
“Sampai hati dia buat aku macam ni. Inikah balasan untuk
pengorbananku selama ini.” Lama dia teresak. Berhari-hari dia menangis. Namun,
akhirnya dia sedar bahawa dia tidak boleh kalah dengan perasaan itu.
Dia harus terus bersemangat. Kalau bukan untuk
dirinya, untuk Natasya. Anaknya tidak boleh membesar dengan semangatnya yang
lemah.
“Abang dah kahwin kan? Sampai hati abang buat saya macam ni?”
“Jangan nak buat fitnah.”
“Saya tak buat fitnah. Bini abang tu dah datang ke sini. Siap suruh saya balik kampung. Siap hina saya. Apa
ni bang?”
Lelaki yang bernama suami itu gugup. Dia
langsung tidak berani mengangkat muka dan menjawab lagi. Terus terkunci
mulutnya. Selepas seketika lelaki itu berkali-kali mengucap kata maaf. Semudah
itu rupanya cinta bertukar arah.
“Abang janji akan berlaku adil. Abang janji tak akan abaikan awak dan
Tasya.”
“Jangan berjanji bang. Abang tak akan mampu nak tunaikan janji itu.
Dah banyak janji yang abang mungkiri,” katanya dengan tangis.
Apa lagi yang ada pada seorang wanita selain air mata. Tangisan itu
kembar kepada seorang wanita.
Apa yang dijangka, itulah yang terjadi. Suami dan ayah itu tidak
pulang menjalankan tanggungjawabnya. Hanya wang nafkah dihantar. Itupun tidak
pernah cukup. Ada sahaja alasannya untuk
mengurangkan pemberian.
Dimadukan, masih mampu diterima. Mungkin itu takdir hidupnya. Di
dunia ini wanita lebih ramai berbanding dengan lelaki. Yang tidak mampu
diterimanya ialah dia tidak diperlakukan dengan adil.
“Saya tahu abang mampu untuk berkahwin lagi. Tapi, abang tak mampu
nak adil. Abang abaikan kami. Tasya masih kecil untuk abang pisahkan dengan
kasih abang,” katanya kepada lelaki itu pada satu hari.
Lelaki itu hanya terkelip-kelip. Tidak
menjawab dan tidak juga menunggu lama.
“Sampai hati ayah buat ibu macam ni, Tasya,” rintihnya kepada anak
yang baru berusia setahun itu. Anak itu belum memahami apa-apa. Lalu dia
menarik tubuh anak itu dan memeluknya. Dia melepaskan semua sedih dan duka
laranya kepada anak itu.
Sejak suaminya beristeri baru, dia semakin
tidak dipedulikan. Dia semakin disisihkan. Dia terpaksa rela dan reda. Dia
pasrah dan menyerah. Setiap malam dia mengadu pada ALLAH minta diberikan
kekuatan.
Setahun dia melara dalam ketandusan cinta
suami. Dalam masa setahun itu, dia seperti hidup di atas bara. Bukan sahaja panas
dengan sikap suami, malah mendidih dengan sikap madu yang selalu mencari pasal.
Suami tidak pernah pedulikan perasaannya lagi.
Tidak pulang mengikut giliran. Tidak akan menelefon kalau tidak ada yang
penting. Kalaupun dia pulang, dia akan meletakkan
keretanya jauh dan bersembunyi. Dia hidup dalam ketakutan.
Kartina memujuk hati supaya sentiasa sabar.
Akhirnya dia menjadi semakin pasrah dan tidak pernah merungut atau melayan
sedih yang melampau. Dia menerima semua pemberian dengan seadanya. Jika tidak
balik, dia tidak akan mencarinya.
Namun, kesabarannya ada batas.
Berkali-kali dia dihina dan diserang oleh
madunya, dia masih mampu bertahan dan tenang. Tetapi bila dia
dihina oleh suaminya sendiri, hatinya menjadi luluh. Walaupun itu hanya perkara
kecil, namun dia rasa amat terluka.
Hanya yang pernah merasai, akan faham
kesakitan yang sedang ditanggungnya.
Ceritanya tidak habis begitu mudah. Pada suatu
hari, suaminya pulang ke rumah membawa sebuah peti sejuk, set meja makan dan sofa. Kononnya barang-barang
itu dibeli di kedai barang-barang terpakai.
“Abang minta maaf kerana tak beli barang baru.
Ini yang abang mampu. Abang tengok peti sejuk kita tu selalu rosak. Jadi, abang
rasa nak tukar.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan