BAGAIKAN
petir sabung-menyabung itulah kata-kata yang keluar daripada mulut Aleeya. Belum
pernah Ikmal melihat isterinya berkelakuan begitu. Marahnya sudah sampai ke
puncak agaknya. Bebelan dan leteran berapi-api. Nasib baik biliknya ada pintu,
jika tidak satu pejabat boleh dengar suara isterinya itu. Sambil mencekak
pinggang, air mata berjuraian mengalir. Aleeya terus bercerita dan meluahkan
isi hatinya. Terdiam dan terkedu Ikmal seketika. Selama dia mengahwini
isterinya itu belum sekalipun Aleeya bersikap seperti ribut taufan yang
memusnahkan apa sahaja yang ada di hadapan mata.
“Leya… boleh berhenti tak? Dengar
apa yang abang nak cakap ni,” pujuk Ikmal. Tidak mahu sama-sama meninggi suara
atau keadaan akan jadi lebih teruk. Biarlah dia berlembut dan memujuk. Orang
tengah marah, jangan ditambah kemarahannya.
“Nak cakap apa lagi, bang? Bukan
main lagi abang ya, siap peluk-peluk bagai!” tempelak Aleeya. Dia mundar-mandir
di dalam pejabat yang serba mewah itu. Memang cantik dan menarik, namun
langsung tidak menarik hatinya. Dia lebih berminat menyelesaikan masalah yang
ada.
“Gambar tu budak-budak yang paksa
kami. Kami sendiri tak nak, dah puas menolak. Abang nak buat macam mana?” cerita
Ikmal.
“Hah? Budak-budak yang suruh, jadi
abang ikutkan? Abang tahu dosa tak? Tahu halal dan haram tak? Atau abang memang
nak berbaik dengan janda abang tu?” marah Aleeya tidak mampu bertahan lagi.
Alasan! Anak konon!
“Kalau anak-anak abang tu suruh
terjun bangunan, abang nak terjun ke? Atau terjun laut? Cakap bang?”
“Leya, abang bukan sengaja. Semuanya
berlaku secara spontan. Dah terlambat nak patah balik. Abang tengok budak-budak
dah ambil gambar kami,” jelas Ikmal.
“Leya tak percaya! Leya benarkan
abang keluar setiap minggu dengan anak-anak abang, bawa sekali bekas isteri
abang. Leya sanggup duduk rumah, tunggu abang balik. Leya percaya, abang takkan
buat perkara tak senonoh dengan bekas isteri abang. Leya yakin dengan kejujuran
abang. Tapi rupanya, abang sama saja dengan orang lain! Pengkhianat! Kalau dah
suka sangat dengan bekas isteri abang tu, beritahu saja. Leya rela undur diri!”
“Leya! Apa Leya cakapkan ni? Abang
tak bermaksud ke situ.” Ikmal terkejut. Aleeya benar-benar marah kali ini.
“Abang, Leya dah penat terpaksa
bersaing dengan anak-anak abang. Bekas isteri abang yang masih mengejar abang. Leya
letih, bang. Leya juga ada perasaan, Leya juga ada hati. Abang ingat, Leya tak
cemburu ke tengok abang keluar dengan keluarga lama abang tu? Ingat hati Leya
tak sakit? Tapi, Leya biarkan sebab Leya tak nak anak-anak abang berasa
terabai. Tetapi bukan dengan bekas isteri abang!” rungut Aleeya panjang lebar.
“Leya…” Ikmal terdiam sekali lagi. Rupa-rupanya
Aleeya menyimpan marah di hati.
“Leya mohon dengan abang. Jangan
buat perkara macam tu lagi. Kisah lama pasti akan berulang, bang. Abang kan pernah
hidup bersama dia. Leya takut abang tak sabar menahan godaannya.” Aleeya
mengetap bibir. Rasa sebak terus mengganas di hati.
“Leya… maafkan abang!” Ikmal cuba
memegang tangan Aleeya yang menangis sayu di hadapannya.
“Maafkan Leya!” Aleeya memandang
wajah Ikmal. Dia tidak suka bersikap seperti ini. Dia tidak suka bersedih
seperti ini. Ini bukan dirinya.
“Abang akan cuba tak lagi meluangkan
masa bersama anak-anak abang setiap minggu. Abang akan lebihkan masa bersama
dengan Leya,” pujuk Ikmal. Dia benar-benar rasa bersalah.
“Leya tak larang abang meluangkan
masa bersama anak-anak abang, tetapi bukan bersama dengan Nadia.” Aleeya
memandang wajah suaminya. Bukan meletakkan syarat, tetapi untuk kebaikan bersama.
“Baik, baik!” Ikmal mengangat tangan
bagaikan orang berikrar.
Aleeya menyeka air mata dengan tisu
yang ada. Dia melemparkan senyuman. Dia meraih tangan Ikmal dan menciumnya.
“Memang Leya marah, Leya sakit hati,
Leya cemburu, tapi Leya buat semua ini demi kebaikan kita bersama,” terang
Leya. Wajahnya ceria semula. Dia tidak suka marah-marah, nanti cepat tua. Dia
tidak suka sakit hati, nanti hidup sendiri yang tidak ceria.
“Leya… maafkan abang. Abang lupa
yang isteri abang ada perasaan dan hati. Abang lupa Leya juga perempuan, ada
perasaan cemburu. Maafkan abang. Semua yang berlaku secara spontan. Abang akan
cuba elakkan perkara ini berlaku lagi. Abang janji!”
“Jangan berjanji aje, tapi di
belakang Leya, abang buat lagi,” kata Aleeya sambil menjeling manja. Sedu-sedannya
sudah berkurangan. Rasa sebak semakin menurun. Memaafkan itu adalah ubat sakit
hati. Kalau tak percaya kenalah selalu memaafkan. Biar betapa parah hatinya
tadi, tetapi setelah memaafkan suaminya terasa ringan rasa bahu.
“Leya kena percaya pada bang. Jangan
dengar cakap orang lain ya. Dalam hati abang hanya ada Leya. Nadia kisah silam
abang. Hubungan abang dengan dia hanya sebagai seorang kawan, tak lebih
daripada itu. Kami berhubung kerana anak-anak. Abang dah tak ada perasaan
terhadap dia. Percayalah!” terang Ikmal. Itulah yang sebenarnya. Hanya bekas
isterinya yang masih terhegeh-hegeh mengejarnya.
“Leya yakin dan percayakan abang.” Aleeya
tersenyum lagi. Dia menarik nafas lega. Terasa ringan sedikit bebannya. Rupanya
saling berkomunikasi antara pasangan mampu menyelesaikan masalah yang
mendatang. Salah dia juga, tidak mahu berterus terang dan bertanya dengan
suaminya. Dia hanya membiarkan masalah
itu berlarutan sehingga menjadi nanar di hatinya.
“Lepas ni, Leya jangan pendamkan
apa-apa lagi dengan abang. Sebesar mana pun masalah, kita selesaikan bersama,”
pinta Ikmal. Dia sendiri rasa bersalah. Kenapalah dia bodoh sangat mengikut
kehendak anak-anaknya untuk bergambar romantik dengan Nadia, sedangkan mereka
sudah tidak ada apa-apa hubungan lagi. Bodohnya dia! Nampaknya selepas ini, dia
harus berkeras dengan Nadia. Tidak lagi mengambil mudah dalam semua perkara. Dia
perlu menjaga hati Aleeya sebagai isterinya sekarang.
Aleeya memandang wajah suaminya
dengan penuh kasih dan sayang. Ikmal, suaminya dan dia akan mempertahankan
kebahagiaan rumah tangganya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan