Hari
ini aku terima sekeping kertas yang bertinta merah terletak kemas di atas
mejaku. Dari kejauhan aku cuba membaca
tulisan kecil yang samar di pandangan mata. Aku melangkah perlahan mendekati
meja kerjaku. Keluhan terluah keluar
dari bibirku. Kerutan di dahi semakin
merapat, hampir mencantumkan kedua-dua keningku. Begitu berkecamuk sekali perasaanku ketika
melihat kertas putih bertinta merah yang masih terbentang kemas di atas meja
itu.
Debaran
jantungku semakin berdegup kencang. Terasa seperti berlari berpuluh kilometer
sejam, terasa senak perutku menahan rasa gementar. Kering tekakku kerana ruang rongga kerisauan mencanak mengganggu
urat nadi kebimbangan yang merasuk dalam jiwa.
Kupandang kiri, kupandang kanan. Rakan-rakan sekerja sedang tekun
meneruskan tugasan yang telah diamanahkan.
Aku mengeluh berat, seberat masalah yang sedang bermain
difikiranku. Terasa lemah seluruh
tubuhku. Ah! Kertas putih bertinta merah
itu sekali lagi mengganggu perasaanku.
Hilang rasa fokus kepada tugasan utama yang perlu aku lakukan.
Aku
menarik kerusi yang menjadi tempat aku
melabuhkan punggungku. Tanganku depakan
lalu singgah di atas meja, mataku tetap tajam memandang kertas putih bertinta
merah itu. Bergetar bibirku menahan rasa
cuak yang bergelora di hati. Kenapalah
kertas bertinta merah itu ada di atas mejaku? Bukankah tadi masih berada di
meja Pengerusi Syarikat? Bukankah di atasnya tertulis tugasan yang
harus diuruskan. Hanya sehelai kertas
itu sahaja yang ditulis oleh Pengerusi Syarikat tempatku bekerja. Tiada dua, tiada tiga. Debaran
naluri keamukan kerisauan yang membara mampu menghentikan seketika nafasku. Sesak dadaku, menahan rasa gusar yang semakin
menggila di hati.
Tidak
boleh jadi! Aku berdiri semula, kertas
itu langsung tidak kusentuh. Kubiarkan sahaja. Kuperhati dari jauh. Tidak
berani membaca atau membeleknya. Sesiapa
yang menyentuh, tugasan itu akan jadi haknya, itulah yang dikatakan oleh
Pengerusi Syarikat sewaktu mesyuarat pagi tadi.
Aku tinggalkan seketika mejaku, kertas bertinta merah sudah berada di
atas mejaku. Siapa yang
meletakkannya? Mungkinkah Pengerusi
Syarikat? Ah! Penat berteka-teki. Hatiku meronta-ronta hendak bertanya pada
kawan-kawan yang ada. Nanti dikatakan
menolak tugasan yang diberi. Bimbang merusuh di hati. Tidak mahu digelar
pemalas dan tidak bertanggungjawab. Kubawa diri ke arah pantri, berharap ketika
kembaliku nanti kertas bertinta merah itu tidak ada lagi di atas mejaku. Kududuk di pantri setengah jam
lamanya. Masih berharap dan
berharap. Aku kembali ke mejaku. Ya Allah! Ia masih di situ? Kenapa tiada
siapa yang sudi mengambilnya? Kenapa orang yang meletakkannya tidak
mengambilnya semula. Kertas bertinta merah itu telah mengganggu gugat
keamananku hari ini!
Kalau
tidak kerana kertas bertinta merah itu adalah nota tugasan daripada Pengerusi
Syarikat sudah lamaku bakul sampahkan.
Menakut dan mengganggu hidupku.
Merosakkan seketika ketenteraman hatiku yang selama ini tenang dan
damai. Aku tidak mahu membiarkan diriku
dihantui kertas bertinta merah itu.
Akhirnya tanganku laju mencapai kertas bertinta merah itu. Kubelek, kubaca, aku mengetap bibir. Menahan
rasa amarah di hati. Asyik aku sahaja
yang perlu melakukannya! Tugasan yang
aku tidak suka, yang aku tidak gemar! Kenapa aku? Kertas bertinta merah itu
kucampakkan ke dalam bakul sampah. Geram benar hatiku. Sakit benar jiwaku. Sekali lagi aku perlu memikul tanggungjawab
ini. Semuanya menolak, semuanya tidak sudi, pelbagai alasan diberi. Hanya aku yang sanggup membuat sambal belacan
kegemaran Pengerusi Syarikatku. Uh!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan