SUASANA
di pejabat tetap seperti biasa. Rakan-rakan sekerja tekun bekerja, menjalankan
tugas masing-masing. Tidak boleh curi tulang, berdosa. Setiap waktu dan jam
yang berjalan dikira oleh ALLAH kerana itu adalah tanggungjawab seorang
pekerja. Dia pula melayan perasaan sendiri. Rasa sakit terhadap Nadia dan
suaminya masih berbaki. Tiada pujukan, seperti biasalah. Agak-agaknya Ikmal
memang jenis yang tidak tahu memujuk isteri. Kalau sudah rajuk, merajuklah kau
sendiri, namun nak pujuk, kirim salam!
Hari
ini, mereka perang dingin lagi. Letihlah. Asyik bermasam muka, tidak ada
kata-kata mesra, hanya mata berbicara. Itu pun nak pandang dan tak pandang sama
banyak sahaja. Tidak mahu mengalah, ego seorang lelaki. Uh!
“Kenapa kak, buat muka poyo lagi? Ada
masalahlah tu,” tegur Lin yang datang menghampiri.
“Entahlah, Lin... masalah tak pernah
surut, asyik pasang aje. Kalau air laut asyik pasang, rasanya tenggelam bumi,”
luah Aleeya.
“Sabarlah, kak… selagi akak bersabar
dan tabah, jangan mengeluh. Serahkan semuanya pada ALLAH SWT, pasti hidup akak
akan lebih tenang. Kalau akak mengeluh pun masalah tak juga selesai,” pujuk
Lin.
“Amboi! Macam pakar motivasilah
pula,” usik Aleeya. Dia tersenyum. Sememangnya jika bersama rakan-rakan
sekerjanya, dia berasa lebih tenang dan gembira. Mereka pandai memujuknya. Betul,
ALLAH ada, kenapa dia perlu berkeluh kesah? Minta sahaja pada ALLAH agar
masalah yang dihadapinya kini selesai dengan baik.
“Ala, kak… hidup ini mudah, kak. Jangan
terlalu merumitkan keadaan. Kalau orang mengata kita, ucapkan syukur... kita dapat
pahala. Kalau orang buat naya pada kita, ucapkan Alhamdulillah, ALLAH ada,
pasti ada balasannya. Positif, kak… mudah hidup kita. Tak usah sakitkan kepala
nak meroyan dengan perangai manusia di sekeliling kita. Buat cepat pendek umur
aje, kak,” nasihat Lin lagi.
Terpaku Aleeya mendengarnya. Positif
betul. Itu sebab agaknya rakan-rakan sekerjanya tidak kisah atau langsung tidak
merungut kerana masih sendiri. Masing-masing sibuk bekerja dan dengar kata
masing-masing ingin sambung belajar. Lin, Ros dan Ina. Hebat mereka. Tidak
jadikan alasan hidup sendiri untuk bermuram durja.
“Hujung minggu ni, kami nak pergi
berkelah di PD. Akak nak ikut tak?” tanya Lin. Dia, Ros dan Ina mahu pergi berjalan-jalan
dan makan angin di PD. Tidur semalam di sana sambil merehatkan fikiran.
“Nanti akak tanya suami akak dulu. Rasanya
hujung minggu ini, dia nak keluar bawa anak-anaknya ke Legoland. Seperti biasa,
akak jadi penunggu rumahlah.” Dia dapat tahu pun setelah mendengar perbualan
suaminya dan Nadia pada malam mereka bertekak itu. Tidak pula memberitahu dia. Tidak
mengapa, ikut sukalah, ada aku kisah?
“Okey, kalau akak ikut, lagi
meriahlah percutian kami. Kita boleh lawat Muzium Tentera dan beberapa tempat
yang menarik di situ. Dah lama tak ke PD, kak… seronoklah mandi laut.” Lin
membayangkan dia bermain ombak dan berenang di tepian pantai Port Dickson yang
semakin cantik dan indah.
“Masalah akak dengan bekas isteri
suami akak masih tak selesai ke? Masih gawat?” Lin duduk di sebelah Aleeya.
“Ya, Lin… akak pening fikirkan
masalah ni. Nadia tak mahu beralah, masih nak kembali dengan suami akak.”
Aleeya mengeluh berat.
“Kenapa dia berdegil sangat, kak?”
“Entahlah... akak pun tak tahu
kenapa. Mungkin betullah, sebab anak-anak. Bukan mudah nak cari suami baru yang
mahu terima kelima-lima anak mereka tu. Suami akak pun pasti tak benarkan ada
lelaki lain yang jadi ayah tiri anak-anaknya. Kalau dapat suami yang baik, tak
mengapa, kalau dapat yang mendera, macam mana? Haru, kan?” Aleeya takut
memikirkannya. Banyak sudah tersiar di akhbar tentang ayah dan ibu tiri yang
mendera anak-anak tiri mereka. Uh! Dia tidak termasuk dalam senarai ya. Dia
bukan jenis manusia seperti itu. Hanya manusia berhati syaitan yang akan
bertindak seperti itu. Mendera anak-anak kecil yang masih mentah dan tidak tahu
mempertahankan diri sendiri.
“Akak sanggup ke berkongsi? Apa kata
suruh aje suami akak kahwin semula dengan bekas isterinya, jadi isteri kedua,
selesai masalah,” cadang Lin.
“Suami akak tak nak, dia takut tak
mampu berlaku adil. Nadia juga tidak mahu berkongsi kasih dengan orang lain. Jadi,
dia berharap suami akak akan ceraikan akaklah,” cerita Aleeya.
“Pulak… tak baiklah macam tu.” Lin
menggeleng laju. Macam-macam perangai manusia ini. Hanya tahu mementingkan diri
sendiri.
“Baguslah suami akak tak nak
berpoligami. Kalau lelaki lain, pasti tak tunggu lagi. Kalau isteri dah bagi
lampu hijau, cepat aje cari calon.” Lin ketawa. Orang lelaki selalu tamak. Jangan
juga lupa, orang tamak selalu rugi. Jarang dia bertemu sebuah poligami yang
hidup aman dan damai. Yang merana memang ramai. Dalam soal ini, masing-masing
perlu jujur, ikhlas dan bertanggungjawab terhadap apa yang mereka lakukan. Kalau
sudah berkahwin lebih daripada satu, kenalah berlaku adil dalam semua perkara.
“Yalah… tapi masalah tak juga
selesai. Kenapalah hati perempuan itu keras sangat? Bukan tidak ada lelaki lain
yang cuba pikat dia, tapi dia yang jual mahal sangat.”
“Dia takut kot kak? Takut pisang
berbuah dua kali. Sekali gagal dalam rumah tangga, selamanya ingat, kak. Kalau
dengan bekas suami, taklah terasa sangat. Tapi kalau orang lain, baru nak kenal
hati budi, susah jugak, kak...” ujar Lin.
Aleeya memandang wajah Lin. Betul
juga. Mungkin sebab itu, Nadia beria-ia ingin kembali bersama suaminya. Takut
gagal sekali lagi.
“Mungkin juga.” Aleeya mengangguk
perlahan. Hati perempuan, sukar diteka isi hatinya. Kadang-kadang mulut kata
lain, hati berbisik lain. Dia juga perempuan, tentulah dia faham perasaan
seorang perempuan, tetapi tentang bab takut berkahwin lagi itu, memang dia
tidak alamilah dan tidak akan faham.
“Tak apalah, kak... yang penting,
akak kuat dan sabar. Sabar, sabar, sabar!” kata Lin sambil ketawa. Terasa lucu dengan
kata-kata sendiri. Dalam hidup ini kenalah banyak bersabar.
“Sabar, sabar, sabar, ya Lin?” Aleeya pula ketawa.
“Yalah, kak…” Lin menyengih pula.
“Kalau tak sabarlah, Lin... akak tak
tahu entah apa jadi dengan rumah tangga akak. Suami akak dengan cara dia, bekas
isterinya pula dengan caranya. Anak-anak tiri akak pula, tak tahu nak cakap
apa. Pening kepala akak, Lin.” Aleeya mengeluh lagi.
“Semoga ALLAH SWT memberi jalan
keluar terbaik buat akak sekeluarga,” doa Lin.
“Amin... terima kasih, Lin sebab
sentiasa sudi memujuk hati akak,” ucap Aleeya.
“Kitakan kawan, kak.” Lin memeluk
bahu Aleeya erat.
Mereka saling tersenyum. Bahagia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan