Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 27 Julai 2016

TOLONG CARI SUAMIKU - BAB 23 - ASMAH HASHIM





"apa? Ibu tak boleh keluarkan duit? Habis tu, macam mana dengan rancangan Rina nak buka butik? Penat bersiap, hendak ke bank bersama ibu,” dengus Katrina.
“Maafkan ibu, tapi akaun ibu dah dibekukan oleh Mastura. Entah apa dia beritahu pihak bank!” adu Halijah geram. Tidak lena malam dia memikirkan cara untuk mendapatkan semula wang simpanannya itu.
“Mana boleh orang lain yang bekukan akaun ibu? Semua itu propaganda dia ajelah, ibu! Jom kita ke bank,” ajak Katrina. Mana ada orang lain boleh bekukan akaun melainkan ada surat mahkamah atau akaun itu adalah akaun penjenayah? Kenapalah cepat sangat ibu mertuanya melatah?
“Tapi pihak bank yang beritahu ibu semalam?” Halijah yakin pihak bank yang telah menelefonnya dan pagi tadi sekali lagi dia menelefon pihak bank untuk mengeluarkan duit. Dia kena minta kebenaran daripada Mastura terlebih dahulu. Bagaimana menantunya lakukan dia sendiri tidak faham.
“Mesti dia kenal orang dalam bank itu.” Katrina serkap jarang. Beg tangan dicampakkan ke sofa. Pagi-pagi sudah bikin hati panas. Memang licik madunya itu.
Mastura yang baru keluar dari bilik disergah dengan kasar. Katrina menarik tangan Mastura. Rasa ringan sahaja tangannya hendak menampar pipi gebu itu. Kalau tidak rasa sakit seseorang itu tidak akan sedar diri.
“Kenapa dengan kau ni, Rina?” Mastura merentap tangannya semula. Wajah ibu mertuanya yang memandang bagaikan hendak telannya hidup-hidup dipandang sekali imbas. Dia menoleh ke arah Katrina. Kenapalah pagi-pagi wajah mereka sudah seperti asam keping kecut. Buang masa dan menghilangkan semangat cerianya pagi itu.
“Kenapa kau bekukan akaun ibu? Kau tahu ya, aku nak keluarkan duit ibu pagi ni?” Katrina sudah menyinga. Jari telunjuk betul-betul berada di hadapan muka Mastura.
“Aku tak mahu ibu membazir. Itu aje. Manalahlah aku tahu kau nak keluarkan duit? Tak ada masa hendak ambil tahu hal kau!” Mastura mencebik.
“Aku nak pakai duitlah! Kenapa kau buat kami begini?!” Hampir menjerit Katrina melepaskan amarah.
“Hei, itu kau punya pasal! Ini duit kau untuk bulan ini. Belajar berjimat cermat. Jangan nak membazir. Orang tua kau kan kaya? Mintalah dengan mereka Kenapa menyusahkan ibu?” Mastura menyerahkan dua sampul surat. Satu kepada Katrina dan satu lagi kepada Halijah. Tiada sambutan. Dia meletakkan sampul surat itu di atas meja kopi. “Kalau perlu, ambillah. Kalau tidak mahu, sedekahkan ke rumah anak-anak yatim atau orang miskin yang memerlukan.” Dia melangkah ke dapur. Orang sombong harus diajar. Biarlah mereka hendak marah dan meroyan sekalipun. Dia peduli apa? Harta itu semua berada di tangannya. Senyuman melebar.
Halijah memandang sampul surat yang terletak kemas di atas meja sofa dengan pandangan tajam menikam. Kalau matanya mampu mengalirkan aliran kuasa laser sudah pasti terbakar sampul surat tersebut. Belum pernah dirinya diperlakukan seperti itu. Siapa sebenarnya Mastura? Kenapa dia mampu berbuat apa sahaja?
Katrina terus menyambar sampul tersebut. Daripada tiada, biar sedikit asalkan poketnya sentiasa berisi. Duit yang dijanjikan oleh ibu mertuanya tampak tiada bayang. Gigit jari lagi. Dia mengeluh kecewa. Sudahlah kedua orang tuanya mendesak agar dia mendapatkan jumlah wang yang banyak untuk mereka. Apa sudah jadi? Dia sendiri bingung. Lain dirancang, lain pula yang muncul. Lain skrip yang diserah, lain pula cerita yang ditayang. Kalau dia jadi pengarah pasti sakit kepala tahap kronik.
“Kau ambil juga, Rina?” Halijah menjegilkan mata.
“Daripada papa kedana, ibu. Sekurang-kurangnya ada juga duit nak beli seluar dalam.” Sampul itu dimasukkan ke dalam beg tangannya.
“Kalau ibu tak nak bahagian ibu, beri aje pada Rina.” Keningnya diangkat. Bibirnya mengukir senyuman. Matanya silih berganti memandang wajah ibu mertua dan sampul yang berisi duit perbelanjaan bulanan yang diberi Mastura tadi.
“Bagi sini duit tu. Ku ingat ibu ada duit setelah akaun ibu juga dia pegang.” Halijah mencebik. Terasa sukarnya hidup apabila menantu sulungnya buat perangai. Habis semuanya hendak disekat. Kenapa semua ini berlaku dalam hidupnya?
“Ibu, kenapa kita buat dia musuh? Kalau kita berkawan dengan dia, pasti kita minta apa sahaja akan mudah dapat. Lebih-lebih lagi kalau ibu yang minta,” saran Katrina.
“Tak mungkin! Rina ingat ibu boleh berpura-pura suka orang yang sememangnya ibu tak suka langsung!” Hati Halijah sudah panas. Kalau dia tidak suka tetap tidak suka. Dia tidak pandai berpura-pura dan bermuka-muka.
“Jadi, ibu nak kita hidup mengemis dengan dia? Sampai bila?” Katrina menjeling.
“Kalau Katrina nak berbaik dengan dia, dipersilakan. Jangan paksa ibu!” kata Halijah kasar.
“Yalah, kalau ibu tak sudi, Rina pun samalah.” Katrina duduk di sofa. Perutnya sudah mula terasa lapar. Belum menjamah sarapan lagi. Asyik bercakap sampai lupa hendak bersarapan. Dia bingkas bangun dan menuju ke dapur.
“Hendak ke mana?” Halijah memandang langkah menantu keduanya dengan mata tajam menikam.
“Cari makan!” laung Katrina. Menghilang di sebalik pintu dapur.
Halijah menghembus nafas berat. Apa yang harus dia lakukan untuk melawan menantu sulungnya itu? Semakin hari, semakin berani.

Di dapur, pandangan Katrina melekat merenung tayangan yang sedang bermain di hadapannya. Dia tersenyum sendiri. Kalau ibu mertuanya tidak sudi untuk berbaik dengannya, kenapalah dia harus bersusah payah berbaik dengan orang tua itu? Kenapa benci sangat kepadanya? Madunya pula pandai hendak berbaik-baik dengannya. Jangan harap. Mereka pandai bermuka-muka. Dia lebih dari itu. Mereka belum kenal siapa dirinya yang sebenar.
“Kau buat apa tu, Mas?” tegurnya.
“Tengok Youtube.” Selamba Mastura menjawab. Laju tangannya menutup skrin telefon bimbitnya.
Katrina mencuri pandang. Tiada apa yang menarik. Rajin pula tengok Youtube, banyak masa dia. Sarapan yang terhidang diperhati dengan renungan bersahaja. Nasi lemak, ayam goreng, sambal ikan bilis serta kangkung rebus. Dia menelan air liur.
“Maria mana? Tak nampak pun?” Dia baru perasan, anak tirinya tidak ada di situ.
“Hai, selama ni tidak pernah pun kau ambil tahu. Kenapa tiba-tiba bertanya?” sindir Mastura. Hairan bin ajaib.
“Yalah, selama ni aku tengok kau dan anak kau tu kan berkepit sahaja. Itu yang aku hairan.” Katrina menceduk nasi lemak ke dalam pinggan.
“Dia aku hantar ke sekolah. Duduk di rumah pun bukan boleh buat apa.” Mastura menghabiskan kopi yang masih berbaki di dalam cawan. Dia mengerling ke arah Katrina yang sedang menikmati sarapan paginya.
“Aku nak minta duit daripada kau, boleh? Bila perniagaan aku berjaya, aku bayar baliklah.” Katrina mencuba nasib.
Mata Mastura menjalar di setiap inci wajah Katrina yang selamba. Langsung tidak ada riak malu atau segan. Memang dasar mata duitan. Sudah tidak dapat daripada ibu mertua, dengan dia pun jadi. Dia tersenyum sinis.
“Kau pandai berniaga ke? Aku dengar perniagaan orang tua kau pun dah terjual. Aku takut duit yang aku laburkan jadi abu, terbakar dan hangus.” Mastura memandang wajah Katrina yang merenungnya juga.
“Dalam perniagaan umpama untung sabut timbul, untung batu tenggelam. Kalau tidak cuba, manakan tahu hasilnya, betul tak?” Katrina menyengih.
“Kau kerja ajelah di syarikat. Buat apa membazir wang. Aku tahu kau tak pandai berniaga. Dan aku tak akan labur kepada orang yang hanya tahu membeli-belah.”
“Kau pandang rendah pada aku, ya? Kau ingat kau hebat sangat?” perli Katrina. Nasi di dalam pinggan sudah habis dijamah. Dia membasuh tangan. Air sejuk diteguk perlahan bagi menghilangkan rasa bahang di dada.
“Pasal aku hebatlah, aku ada di sini dan rampas semuanya sekali.” Mastura tersenyum manis.
“Kau jahat rupanya, ya? Aku hairan macam mana arwah boleh terpedaya dengan kemanisan dan kelembutan kau yang berpura-pura itu.” Katrina menajamkan pandangan ke wajah Mastura.
“Aku jadi jahat kerana adanya manusia seperti kau dan ibu,” kata Mastura perlahan tetapi mampu didengari oleh Katrina.
“Kau!” Katrina mengetap bibir. Lancang juga mulut madunya ini. Madukah lagi mereka? Suami sudah berbulan-bulan pergi bertemu ILAHI. Yang tinggal mereka bertiga asyik bertikam lidah. Tinggal sebumbung tetapi harmoni entah ke mana pergi.
“Aku nak keluar. Hidup sebagai jutawan ni, seronok juga ya. Syarikat ada orang jaga. Rumah pula ada orang uruskan. Kalau kau nak jadi pembantu rumahpun, aku suka juga, tak perlulah aku gajikan orang lain,” sindir Mastura sebelum berlalu pergi.
Katrina membaling kotak tisu. Hampir terkena belakang Mastura.
Pecah gelak Mastura. Hatinya cukup senang sekarang. Keluar sekali-sekala menghiburkan diri. Biarlah mereka melayan perasaan marah dan dendam. Mereka tidak akan mengerti. Sudah lama dia tidak menghubungi ibunya di kampung. Dia tidak risau sangat, sebab ibunya pandai menjaga diri.
Sepanjang dia berkahwin dengan arwah suaminya mereka jarang pulang ke kampung. Hanya wang dikirim penganti diri. Biarpun dia tahu emaknya tidak memerlukan duit itu. Hasil kebun getah dan dusun sudah cukup untuk menampung kehidupan emaknya sendirian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan