Padang Sekolah Menengah Kebangsaan, Kulai- SMKK
Pagi Ahad
Faezah Hanim tersenyum puas apabila pasukan bola jaring anak-anak
didiknya berjaya mendapat naib johan di dalam Kejohanan Bola Jaring Peringkat
Negeri Johor. Dua orang pelajarnya pula dipilih untuk mewakili negeri Johor
untuk ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di Sekolah Sukan Bukit
Jalil. Ketiga-tiga orang guru dan sepuluh orang pelajar itu berpelukan dan
mengucap tahniah antara satu sama lain. Cikgu Ina mengalirkan air mata gembira.
Rasa hilang segala penat lelah melatih pelajar-pelajar ketika Pengerusi Majlis
mengumumkan kemenangan mereka. Hampir dua bulan mereka berlatih tiap-tiap
petang di padang sekolah. Ternyata, usaha dan doa mereka hari ini dimakbulkan
ALLAH.
Ucapan syukur diucap
berulang-ulang kali di dalam hati. Faezah Hanim terasa bangga. Dipeluk dua
orang pelajar yang terpilih untuk ke peringkat kebangsaan itu erat-erat.
Melihatkan kepada pelajar-pelajarnya yang melonjak gembira, dia teringatkan
sejarah manis dirinya sendiri. Dia juga adalah wakil sekolah, wakil daerah dan
wakil negeri untuk kejohanan bola jaring semasa remajanya. Sekarang barulah dia
faham betapa bahagianya perasaan seorang guru apabila melihatkan anak-anak
didiknya berjaya. Mungkin begitu jugalah perasaan guru-guru yang menjadi
jurulatihnya semasa dia mengharumkan nama sekolah. Dia juga faham perasaan ayah
dan ibunya ketika dia pulang dengan medal kemenangan.
“Tahniah Nim, hebat
budak-budak kau,” Ilyas memuji ketika dia datang ke pasukan SMK Tinggi Kluang
yang berdiri di tengah padang. Lelaki itu berdiri agak rapat di belakang Faezah
Hanim.
Faezah Hanim menoleh
sedikit memandang Ilyas dan melemparkan senyuman.
“Tahniah pada budak-budak kau juga. Ada seorang terpilih
wakil negeri, kan? ”
Ilyas mengangguk. Suasana
bisu seketika.
Di dalam pertemuan
semula mereka berdua kali ini, Faezah Hanim seakan-akan kehilangan kata-kata.
Dia tidak tahu apa yang hendak dibualkan dengan Ilyas. Dia merasa kekok dan
janggal berhadapan dengan Ilyas. Jika di UPSI dahulu, ada-ada sahaja cerita yang
mereka bualkan. Pasal filem, pasal sukan, pasal jadual peperiksaan atau berbual
kosong. Mereka berdua sentiasa ada perkara yang hendak dibincangkan atau
digaduhkan! Ilyas memang suka menyakat. Faezah Hanim pula mudah melenting dan
sentiasa mahu menang. Maklumlah, perangai seorang anak tunggal. Tetapi Ilyas
tetap tidak peduli. Ada-ada sahaja perkara yang hendak disakatnya.
“Kau hendak balik terus
ke, Nim?” Tanya Ilyas ketika dia memerhatikan pelajar-pelajarnya beratur untuk
naik ke atas pentas untuk dikalungkan medal dan menerima pingat naib johan.
“Hmmm, baliklah kot.
Esok budak-budak sekolah. Mesti hendak rehat juga. Dua hari game tak henti-henti.”
“Aku ingat hendak ajak
kau minum-minum. Lama kita tak jumpa, Nim,” Ilyas memandang Faezah Hanim penuh
berharap.
“Mmm, takpelah Ilyas.
Aku kena balik cepat ke Kluang. Nak hantar setiap budak ke rumah mereka lagi.
Lain kalilah ya,” Faezah Hanim cuba mengelak. Namun, memang benar, dia mahu
pulang cepat ke Kluang. Dia bukan sekadar membawa dirinya sahaja. Dia
bertanggungjawab membawa sepuluh orang anak gadis yang perlu dihantar pulang ke
rumah masing-masing. Itu janji Faezah Hanim kepada semua ibu bapa pelajar yang
turut serta.
“Ok, ok takpe. Tapi, kau mesti bagi aku nombor
telefon kau! Kalau tak, aku cari kau sampai sekolah,” Ilyas mengugut sambil
memberikan senyuman nakalnya pada Faezah Hanim yang menjeling tajam.
Mahu tidak mahu,
terpaksa juga Faezah Hanim memberikan nombor telefon bimbitnya kepada Faezah
Hanim.
“Lepas ni, kau jangan
tukar-tukar nombor pulak, menjajar aku cari nombor kau kat kawan-kawan tau
tak,” Ilyas memberi amaran lembut kepada Faezah Hanim.
“Iyalah, iyalah. Aku
tak akan tukar nombor,” Faezah Hanim mengiakan sambil mendongakkan wajahnya
memandang Ilyas yang tersengih-sengih.
Setelah menjadi seorang guru, dia
tidak kuasa menukar-nukar nombor telefon lagi. Lagi pula, ayah dan ibunya
bising memarahi dirinya yang sering menukar nombor telefon bimbit. Bukan ayah
dan ibunya sahaja yang merungut-rungut malah Kak Nora dan Kamal Arif juga
bising jika dia memberikan mereka nombor telefon bimbit yang berbeza.
Sebenarnya, jika hendak ‘melarikan
diri’ diri dari seseorang yang menganggunya melalui SMS atau panggilan telefon,
dia akan menukar nombor. Tetapi, setelah dia semakin matang dan dewasa, dia
mula berfikir yang menukar nombor telefon itu, tidak akan menyelesaikan
masalah. Lebih-lebih lagi sekarang, nombor telefon itu sudah diberikan kepada
Pengetua, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan.
“Nanti, kalau aku turun Kluang atau
Batu Pahat, kita jumpa eh? Belanjalah aku makan nasi beriani kambing,” Ilyas
tersengih-sengih.
Faezah Hanim menjeling lagi namun
dia tetap memberikan senyuman kepada Ilyas.
‘Apa salahnya jika hadirnya kali ini
untuk kami berkawan.’
Hati Ilyas bergetar. Memang Faezah
Hanim ini, walaupun sudah bertudung, namun gerak-gerinya masih lagi seperti
seorang ‘tomboy’. Dia masih lagi kelihatan lincah dan lasak. Namun disebalik
kelincahan guru muda itu, masih ada ciri-ciri kelembutan seorang wanita.
Kulitnya yang kuning langsat dan kening yang cantik terbentuk, memang ayu pada
pandangan Ilyas. Tidak tahulah pada pandangan lelaki lain, namun, Ilyas memang
sudah lama jatuh cinta dengan sahabat karibnya semasa di universiti itu.
“ Iyalah...kalau kau turun BP nanti,
give me a call. Aku belanjan kau
makan beriani kambing, ok.” Faezah Hanim mempelawa.
Ilyas Kahar tersenyum lebar.
‘ YES!’
Padang Sekolah Menengah Kebangsaan
Kulai menyaksikan kemenangan setiap pelajar dan juga persahabatan yang terbina
antara para guru dan pelajar-pelajar dari seluruh daerah negeri Johor. Memori
manis terpahat pada setiap yang ada di padang pada petang yang redup itu.Bagi
sekolah yang menang dan mendapat jolokan pemain terbaik, mereka pulang dengan
senyuman lebar. Bagi sekolah yang kalah pula, mereka pulang dengan harapan agar
tahun hadapan, kemenangan menjadi milik mereka. Bagi anak-anak buah Faezah
Hanim, Cikgu Dila dan Cikgu Ina, rasa bangga dan terharu dengan kemenangan yang
dikecapi. Walaupun, mereka tidak bergelar Johan, namun gelaran Naib Johan
Peringkat Negeri Johor, amat bermakna buat mereka. Lebih bermakna apabila ada
pelajar mereka yang dipilih mewakili negeri Johor untuk ke peringkat
kebangsaan.
Padang sekolah itu juga menyaksikan
pertemuan dua orang sahabat yang sudah lama terpisah. Semuanya di dalam
ketentuan ALLAH. Faezah Hanim sama sekali tidak menyangka dia akan bertemu
kembali dengan sahabat karibnya semasa di universiti. Ilyas Kahar pula mengharapkan,
pertemuan itu akan menjadi satu batu loncatan untuk hubungan yang lebih indah
dan bermakna.
USJ, Subang Jaya, Selangor
Ahad. Petang.
Adik mengeluarkan baju-baju pakaiannya
dan beberapa pasang seluar yang dibawa dari kampung satu persatu. Diambil
penyangkut baju dan digantung sehelai demi sehelai pakaian itu di dalam kabinet
baju milik Johari. Petang semalam, setelah Kajol dan Diana pulang ke rumah,
Johari meminta Adik mengemaskan meja makan sementara dia mengosongkan separuh
kabinet bajunya. Johari kemudiannya menyusun semula pakaian miliknya di dalam
kabinet yang sebelah kiri. Manakala, diberi ruang yang sebelah kanan kepada
Adik.
“Tak apa ke Ri aku ambik tempat dalam
almari kau ni?” Tanya Adik ketika melihatkan Johari melipat pakaiannya
kecil-kecil dan disusun rapat dan rapi di dalam kabinet empat pintu itu.
“Eh...apa kau ni? Takkanlah kau nak
letak baju-baju kau dalam beg aje? Kau nanti nak duduk lama kat sini, bukan duduk
sekejap,” Johari menjawab sambil tangannya tangkas melipat baju-baju dan seluar
miliknya.
Adik terharu. Johari ini, budi
baiknya tidak akan dapat dibalas dengan wang ringgit. Nilai persahabatan Johari
dengannya terlalu tinggi. Apa yang mampu dia lakukan adalah dengan mendoakan
kesejahteraan Johari dan kaum keluarganya. Di kampung juga, hubungan Mak Bedah
dan keluarganya itu, sudah macam saudara sendiri.
Sedang Adik menyusun
pakaiannya di dalam kabinet baju Johari, tersembul wajah Johari di muka pintu.
Dia memandang wajah Johari yang mengikat rambutnya tinggi ke atas macam jin
pakai toncit.
“Dik, esok nanti, nak pergi interview, kau pakai baju apa?” Tanya
Johari sambil tubuhnya disandarkan di daun pintu. Hari ini, dia dan Alice hanya
duduk-duduk di rumah. Terlalu banyak pakaian yang perlu dibasuh katanya.
“Pakai kemeja dengan
seluarlah, kenapa?” Jawab Adik sambil memandang wajah Johari sambil keningnya
terangkat.
“Warna apa? Meh tunjuk
kat aku,” soal Johari lagi sambil datang dekat kepada Adik dan melabuhkan
punggungnya di katil. Dia segera menghulurkan tangan kanannya meminta Adik
menunjukkan pakaian yang akan dipakai esok.
Adik mengeluarkan
seluar slack berwarna biru tua dan
kemeja berwarna putih yang masih berada di dalam beg lalu diberi kepada Johari.
“Kau nak pakai baju ni,
Isnin nanti? Baju ni???” Johari mengambil dua helai pakaian itu dari tangan
Adik dan membelek-beleknya. Keningnya berkerut-kerut – tanda tidak berkenan
dengan pilihan Adik.
“Kenapa Ri? Tak sesuai
ke?” Adik kebingungan. Ada undang-undang berpakaiankah di tempat baru ini? Pada
Adik, kemeja dan seluarnya itu adalah pakaian formal yang sesuai dipakai untuk
pergi temuduga. Dia juga mungkin akan memadankan baju itu dengan tali leher
warna biru juga.
“Adoiii Dik....sesuai
memang sesuai. Tapi kau macam nak pergi perhimpunan ahli-ahli perniagaan cina
dekat dewan saudagar-saudagar sebelah Summit Batu Pahat tu laaaa,” Johari
tersengih-sengih. Adik menjelingnya sambil tergelak kecil.
“ Heh kau ni! Habis?
Aku nak pakai baju macam mana?” Tanya Adik keliru. Keningnya pula yang berkerut
memandang Johari.
Johari terus bangun dan
menuju ke pintu kabinet miliknya. Dia menguak pintu kabinet itu. Seketika dia
memerhati baju-baju dan pakaian di dalam kabinet itu. Adik menanti dengan
sabar, memandang Johari yang seperti mencari idea.
‘ Ri ni, jangan dia
suruh aku pakai skirt sudah. Tak rela aku.’ Adik berharap di dalam hati.
“Yes! This is it!” Johari tersenyum lebar sambil mengeluarkan blaus warna
merah dengan bunga-bunga ros kecil warna putih dan sepasang seluar palazo warna putih.
Mata Adik buntang
memandang baju yang Johari keluarkan dari kabinet bajunya.
“ Kau nak aku pakai
baju tu ke, Ri?!” Adik menelan air liur. Tidak berkejip matanya memandang
sahabatnya yang memegang dua helai pakaian yang layak dipakai oleh seorang
wanita.
“ Haa, iyalah. Buat
malu aku aje kau datang interview
datang pakai baju macam tu, tak kerrrlassss nyah! Hah, cepat cuba baju dengan
seluar ni. Kau tu macam kacang panjang, takut senteng pulak palazo ni.”
Adik tidak ada pilihan
lain selain mengambil dua helai pakaian yang dihulurkan oleh Johari. Temannya
itu pula memberi ruang kepada Adik untuk menyalin pakaian dengan keluar dari
bilik itu. Johari terus ke bahagian dapur dimana dia dan Alice meletakkan mesin
basuh. Memang rutin untuk Johari untuk membasuh baju pada hujung minggu.
“ Ok ke ni, Ri?” Muncul
wajah Adik di muka pintu dapur menegur Johari yang sedang terdongak-dongak
menyangkut pakaian yang baru dibasuh.
Johari berpaling.
Matanya terbeliak. Perlahan-lahan dia tersenyum memandang Adik yang kelihatan
anggun memakai blaus warna merah dengan bunga-bunga ros kecil warna putih dan
seluar palazo yang juga berwarna
putih.
“Babe! You look gorgeous! Kau macam retis tau!” Johari tersenyum
puas.“ Baju macam inilah untuk kau pergi interview
esok, bukan pakai macam salesman tu.”
Johari memandang Adik sambil tersenyum lebar.
Adik tersengih-sengih.
Bangga juga dia apabila Johari mengatakan yang dia seperti artis. Dengan tidak
semena-mena, terpercik ingatannya kepada Kak Nora. Kak Nora yang memang suka
berdandan cantik pasti suka memakai baju seperti ini.
“ Dah baik kau buka
balik. Nanti bau busuk pulak baju tu nak pakai esok,” Johari memberi arahan.
“ Alah kau ni,
takkanlah pakai kekejapan dah bau busuk! Ada-ada aje kau ni, Ri.” Adik
menjeling Johari yang berlalu meninggalkannya untuk menyambung kerja-kerja
mendobi pakaian yang tergendala.
Adik bertembung dengan Alice yang
baru keluar dari bilik tidur. Masih sepet lagi mata Alice ketika dia keluar
dari pintu bilik tidur yang sentiasa bertutup kerana terpasangnya penghawa
dingin. Jika tidak silap Adik, Alice hanya pulang ke rumah jam lima pagi.
Menurut Johari, jika hari Sabtu malam Ahad, memang sampai subuh baru Alice akan
pulang ke rumah. Ramai pelanggan yang datang pada malam Sabtu dan malam Ahad.
“ Wahhh, Dik...manyak cantik laaaa you,” Alice pula memuji ketika melihatkan Adik yang memakai baju
Johari. Blaus merah itu, memang agak pendek.
Seluar palazo yang besar dari
bahagian atas hingga ke bawah pula amat sesuai
dengan susuk tubuh Adik yang tinggi lampai.
“ Si Ri yang suruh I pakai, Moy. Dia kata, baju yang I nak pakai esok, tak sesuai,” Adik mengadu kepada Alice.
“ Eleh Moy...you tahu apa dia nak pakai esok? Baju
kemeja putih dengan seluar slack warna
biru! Haish...macam salesman aje
Moy...buat malu akak aje esok tau!” Johari menjeling Adik yang mencebikkan
wajahnya.
“ Aiya...white shirt and blue slack? Tak mahu
pakai itu macam laaa, Dik. Macam I punya
night club waiter aje,” Alice pula memberi komen. “ Pakai baju Juls lagi
cantik lor.”
“ Iyalah, iyalah...aku
ikut laa cakap engkau orang,” Adik mengalah.
“ Dik...mak buat semua ni,
hanya yang terbaik untuk kau nyah!” Ujar Johari sambil memegang bahu Adik
sambil membuat muka kasihan. Alice tersengih-sengih dengan lagak Johari.
“Iyalah tu,” Adik
mencebikkan bibirnya. Dia kemudian masuk semula ke bilik untuk menyalin pakaian
asalnya dan menggantung blaus dan seluar palazo
milik Johari.
Apabila Adik keluar
semula ke ruang tamu. Dia melihat Alice sedang menikmati secawan air kopi
sambil duduk di sofa bersama Johari yang sedang menonton televisyen.
“ You tak makan, Moy?” Tegur Adik sambil melabuhkan punggungnya di
salah satu sofa satu tempat duduk. Dipandangnya wajah Alice kelihatan sembab.
“Tak apa, Dik. I terus dinner saja nanti,” jawab Alice sambil tersenyum. Tengahari tadi
pun, Adik dan Johari hanya memakan nasi goreng kampung yang dimasak Johari.
“Kau ni, Dik. Ini kira
sarapan dia ni. Pukul tiga empat petang, baru nak minum kopi dengan makan
biskut. Makan malam kang, macam makan tengahari dia,” Johari menerangkan. Alice
hanya tersenyum-senyum.
“Moy...malam ni, kita
bawa Adik keluar makan laa eh? Dinner dekat
Johnny Steamboat kat Summit?” Johari
memberi cadangan.
Alice mengangguk-angguk, “Ok ok...no problem.”
“ Malam kita makan steamboat, boleh Dik?” Tanya Johari
sambil memandang wajah Adik.
“ Aku tak kisah, Ri. Aku ikut aje
mana kau orang nak bawa aku.”
“ Juls...esok, you bawa Adik pergi ofis terus ke?”
“ Haah, iyalah. Sekali jalanlah. Interview pun sembilan setengah. Cuma, I tengah fikir,
macam mana Adik hendak balik? Kena naik teksi laa agaknya. Cuma, I takut, teksi pusing-pusing entah
mana-mana, nanti meternya naik macam gunung! Teruk pulak nak membayarnya,”
Johari menyatakan keraguannya. Dia tidak mahu Adik ditipu. Adakalanya, pemandu
teksi mengambil kesempatan kepada invidividu yang baru datang ke kota.
“Macam inilah Juls…kalau sudah habis interview, I boleh ambil Adik,”
Alice memberi cadangannya.
“Eh…kau orang berdua ni, janganlah fikirkan aku. Beritahu aku,
hendak naik bas nombor apa, aku naik bas saja. Tak payahlah Amoy hendak datang
ofis semua,” Adik merasa serba-salah kerana kedua-dua temannya itu bimbangkan
dirinya yang sudah besar panjang.
“Tak apa, Dik. I pun
memang kena keluar beli makan. Nanti, I
datang ambil you, lepas tu, kita
boleh lunch sama-sama maaa.”
Cadangan Alice akhirnya dipersetujui oleh Johari dan Adik. Sambil
ketiga-tiga teman itu menonton sebuah filem di rangkaian HBO, Adik memerhati wajah Johari dan Alice.
‘ ALLAH telah mendatangkan dua orang sahabat yang ikhlas membantu
aku. Walaupun zahir mereka sebegini, namun mereka punya hati budi yang luhur.’
Sedang dua orang sahabatnya itu khusyuk menonton filem, fikiran Adik
pula menerawang ke kampong. Macam-macam yang menerjah di kotak mindanya.
Petang-petang begini, mungkin ayah berada di kebun ataupun melawat atok dan
nenek. Emak pula mungkin sedang menonton drama di televisyen. Kak Nora mungkin
sedang berada di majlis-majlis persandingan atau pertunangan. Dia tidak dapat
membohongi dirinya, yang dia amat merindukan mereka. Walaupun, Johari dan Alice
itu cukup baik dan membuatkan dia tidak janggal tinggal di kota, namun kata
orang tua, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, negeri
sendiri tetap di hati.
‘ Kalau bukan kerana Abang Khalid, aku mungkin ada di Batu Pahat
lagi. Alangkah baiknya jika Abang Khalid punya hati budi seikhlas Johari dan
Alice.’
Adik menarik nafas panjang sambil matanya di alihkan ke kaca
televisyen- cuba ‘menyibukkan’ mindanya dengan filem yang sedang ditayangkan.
Tetapi sebenarnya, dia masih hiba dengan perkara yang berlaku hingga memaksa
dia merantau ke kota ini. Dia menarik nafas lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan