Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 10 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 1 - ASMAH HASHIM



Wajah muram itu menyentuh seluruh hatinya. Meramas rasa risau yang bertandang secara tiba-tiba, merobek perasan bimbang jika rajuk ibunya berpanjangan lagi. Langkahnya terasa lemah, seperti orang tempang kehilangan tongkat.  Tidak ada secalit senyuman terpamer di wajah itu.  Memandangnya dengan tajam.  Setajam bilah pisau yang baru diasah semalam.  Serba salah rasanya.  Kerutan di wajah itu membuatkan dia mengerti, ada kemarahan yang sedang menyala-nyala di hati.  Bukan dia sengaja.  Dia ada sebab tersendiri.
            “Wan ke mana?  Ke sana lagi?  Ibukan sudah larang, kenapa degil?” Berkaca matanya.  Sebak dadanya.  Pilu dan kecewa terasa.
            “Taklah ibu, Wan jumpa kawan aje,”  kata Zakuan menafikan tuduhan yang baru sahaja diterima tadi.  Tidak mungkin dia berterus terang.  Tidak mungkin menyakitkan hati orang yang telah melahirkannya ke dunia ini.  Biarlah dia simpan segalanya di hati. 
            “Ibu tak benarkan Wan ziarah lelaki tak guna itu! Faham tak!” jerkah Sarimah.  Dia mengurut dada.  Kesakitan terasa, menyentuh jauh ke lubuk hatinya.  Menguris kembali luka yang masih belum kering darahnya. Masih basah, masih bernanah.  Sampai bila-bila luka itu tidak akan sembuh.  Sakitnya terlalu parah,  Terlalu dalam lukanya. 
            “Ibu! Buruk-buruk pun, dia tetap ayah Wan, dia  pernah jadi suami ibu,”  luah Zakuan.  Wajah kelat ibunya menconteng rasa sebak di hati.  Dia faham perasaan ibunya.  Mengerti masalah yang pernah melanda keluarganya.  Sehingga sekarang keadaan tidak pernah berubah.  Hanya tahun dan masa sahaja yang berlalu.
            Kau  mana ada ayah?  Ayah kau  sudah  lama mati, tahu tak! Dia hanya bekas suami ibu”  jerkah  Sarimah. Kenapa anak sulongnya itu tidak faham-faham dan tidak mahu mengerti?  Bukan Zakuan tidak tahu sejarah lama yang telah merobek hati seluruh keturunannya.  Kenapa dicari orang yang memberi masalah? Kenapa dicanang yang dia masih ada ayah?  Sarimah mengetap bibir, menahan rasa marah di hati. 
            “Hanya Nabi Isa dilahirkan tanpa seorang ayah, ibu.  Zakuan bukan Nabi Isa, Ibu juga bukan Maryam,”  ujar Zakuan agar ibunya faham. Biar buruk pandangan mata masyarakat tentang ayahnya tetapi sebagai seorang anak dia tetap menerima kehadiran ayahnya.
            “Zakuan! Jangan hendak  kurang ajar dengan ibu!” tengking Sarimah. Jari telunjuk sudah diangkat ke atas.  Matanya dikecilkan memandang dengan rasa marah yang berombak di hati.
            “Bukan niat Wan nak kurang ajar.  Dosa seorang anak tidak pernah lekang jika terus derhaka, ibu.  Derhakalah Wan jika menjauhkan diri daripada ayah,” ujar Zakuan mengharapkan kefahaman daripada seorang ibu.
            “Kenapa Wan buat macam ini pada  ibu? Kenapa Wan tidak boleh lupakan lelaki itu?  Luka ibu belum sembuh, sakitnya terlalu dalam, Wan! Wan sudah lupa ya? Ibu sudah  minta fasakh dan perkahwinan kami sudah pun dibubarkan!”Tangisan mengganti bebelan yang terlahir di bibirnya.  Terlalu lama dia memendam rasa, memendam derita dan kecewa. Bukan minta memahami tetapi sebuah pengertian yang mampu menenangkan jiwa. 
            “Ibu! Tidak lama lagi ayah akan keluar, ke mana dia nak pergi ibu?  Dia tidak ada sesiapa di luar sana.  Dia ada kita sahaja,” kata Zakuan seraya memegang kedua belah tangan ibunya yang berdiri kaku di hadapannya.  Bergetar tangan itu. Seperti menahan rasa marah yang bersarang di dada.
            “Ibu takkan benarkan dia balik ke rumah ini!”  bantah Sarimah. Tidak! Tidak akan dibiarkan lukanya terus merebak.  Anak-anaknya sukar bertemu jodoh kerana  bekas suaminya.  Dia tidak akan benarkan perkara itu berlaku.  Zakuan sendiri sudah hampir mencecah 30-an, masih sendiri.  Anak perempuannya yang bongsu juga sudah hampir 25 tahun masih tidak bertemu jodoh. Ada yang datang meminang tetapi semuanya balik  begitu sahaja setelah mengetahui cerita yang benar tentang  bekas suaminya, ditambah cakap jiran tetangga. Semakin sakit hatinya memikirkan keadaan anak-anak yang terpaksa menjadi mangsa keadaan. Semuanya gara-gara seorang lelaki bernama  suami yang hanya mementingkan diri sendiri. Lupa segalanya demi mencari sesuatu yang tak pasti.  Dia tahu, tanah ini milik bekas suaminya, tanah pusaka arwah ayah mertuanya.  Bekas suaminya berhak kembali ke rumah itu.  Sarimah mendengus kasar.
            “Ibu!” Zakuan hampa. Usah dilayan mainan syaitan di hati, ibu. Biarpun bekas suami tidak salah jika membantu orang yang dalam kesusahan dan meminta tempat berteduh
            “Kerana dia, Wan dan adik tak kahwin-kahwin! Kerana dia, sepanjang masa kita  hidup dalam penghinaan! Wan tak serik-serikkah?”
            “Jodoh pertemuan itu kan ketentuan ILAHI. Belum sampai jodoh kami. Tak bolehlah salahkan ayah sahaja,”  kata Zakuan masih bertegang urat dengan ibunya.
            “Kalau ibu cakap pasal ayah sahaja, pasti ada perasaan tak senang di hati Wan, kan?  Hebat sangatkah  ayah Wan itu?  Dia jahat Wan! Jahat!”  jerit Sarimah seperti orang hilang pedoman.           Dia terduduk di kusyen, menekup wajahnya dengan kedua belah tangan.  Air mata kesal mengalir laju, kekecewaan yang dirasa tak siapa yang tahu.  Sengsara dan derita ditanggung sendiri. Dibuang keluarga kerana sikap  bekas suami sendiri.  Dibenci jiran tetangga kerana perbuatan lelaki itu.  Siapa yang tidak marah? Siapa yang tidak geram? Hati mana yang tidak sakit?  Sakitnya terlalu dalam, jika dalamnya lautan, dalam lagi kekecewaan di hati.
            “Sudahlah ibu, usah difikirkan lagi.  Kita berserah kepada ALLAH, yang pasti ayah  akan bebas tidak lama lagi,”  ucap Zakuan seperti memahami gejolak hati seorang ibu
            “Biarlah dia bebas berkali-kali pun. Ibu tak nak berjumpa dengan dia!”  Sarimah menjeling tajam. Baginya bekas  suaminya telah lama mati. Setelah diri dikhianati, rasa cinta juga telah lama berkubur, yang tinggal hanya rasa dendam yang menjalar dan sedang mengamuk di sanubari.
            “Ibu, dendam tidak membawa untung pada diri, dendam itu mainan syaitan,” pujuk Zakuan lagi.  Mungkin dia kurang mengerti. Perbuatan ayahnya memang menyakitkan hati, mengecewakan seluruh keluarga tetapi manusiakan harus diberi peluang kedua. Sedangkan ALLAH masih ampunkan hambaNYA, inikan kita sesama manusia.
            “Jangan sesekali  pandang ibu sebagai orang bersalah!  Bukan ibu yang membuat onar?  Bukan ibu yang seharusnya dipersalahkan?” kata Sarimah tegas.  Gengaman jari jemarinya semakin utuh, kuat dan padu. Menahan rasa amarah yang menggila dan beraja di hati.
            “Ibu contoh yang baik pada anak-anaknya.  Firaun lagi jahat ibu, tapi isterinya Asiah tetap setia.” Bukan ada niat hendak membantah, jauh sekali menderhaka.  Ibunya terlalu ikutkan rasa dendam yang membunuh dalam senyap sehingga kering hatinya. Tidak ada lagi perasaan saling memaafkan.
            “Ibu bukan Asiah!” bantah Sarimah tegas.  Hatinya menjerit pilu. Kenapalah lelaki itu akan dibebaskan?  Kenapa perlu kembali semula kepadanya? Kenapa harus mereka bertemu lagi? 
            “Ibu, Wan rayu… biarlah ayah kembali pada kita. 25 tahun dia dipenjara, sudah banyak dia belajar dan  ayah sudah berubah. Berilah ayah peluang, ibu,” rayu Zakuan masih mengharap. Penat memujuk, hati ibunya sekeras kerikil. Bagaikan tidak boleh dilembutkan lagi.
            Tiada jawapan yan terlahir keluar dari mulut ibunya. Hanya kebisuan, tangisan kedengaran di telinga begitu menyentuh hatinya.  Diusap lembut bahu ibu tercinta.  Hatinya turut tersentuh mendengar tangisan ibunya.  Dipeluk ibunya seerat yang boleh. Mengurangkan rasa beban yang sedang melanda.  Merusuh dan merasuk rasa kecewa yang menggarang, memusnahkan rasa gembira selama ini yang sedikit sahaja singgahnya. 
            Ya ALLAH, Kau berilah ketenangan di hati ibuku, doa Zakuan dalam hati.  Matanya berkaca menahan rasa sedih yang turut dirasakannya. Kedua-duanya insan tersayang yang telah menyebabkan dia lahir ke dunia ini.  Kenapa perlu dia menyimpan dendam atas kekhilafan ayahnya yang cetek ilmu tentang tanggungjawab yang sebenar.  Biar apapun sebab, kenapa ayahnya jadi seperti itu, sebagai anak dia tidak berhak meletakkan hukuman terhadap orang yang telah dihukum atas dosa-dosanya yang lalu. Memanglah ayah dan ibunya sudah lama bercerai tetapi dia mahu ayahnya tinggal di situ buat sementara waktu sahaja. Bukan selamanya sehingga mendapat pekerjaan dan rumah yang  mampu dibayar sewanya.
            “Kalau lelaki itu datang ke mari, ibu akan keluar dari rumah ini,” kata Sarimah tegas. Air mata yang tadi memenuhi wajahnya sudah dibersihkan dengan tisu.   Dia bingkas berdiri, merenung wajah anak sulongnya tidak berkelip.
            “Wan dah  tak tahu hukum ke?  Ayah Wan tidak boleh tinggal di sini. Kami bukan mahram, faham tak?”  Sarimah berlalu meninggalkan Zakuan sendirian di ruang tamu. 
            Bukan dia tidak tahu hukum, dia tahu, tetapi rayuan ayahnya agar membenarkan dia tinggal di rumah itu tidak dapat ditolak.  Ayahnya tidak ada tempat hendak dituju setelah keluar dari penjara.  Tidak mungkin tinggal di tepi jalan?  Zakuan mengeluh berat.  Berkerut dahinya memikirkan masalah yang ada.  Kedua-duanya dia sayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan