Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 31 Ogos 2016

JALAN PULANG - BAB 7 - ASMAH HASHIM.



Segala perancangan membangunkan semula persatuan belia kampung itu berjalan lancar.  Biarpun ada yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Malek sebagai pengerusi persatuan tersebut.  Haji Shauki ada matlamatnya sendiri.  Bukan sengaja dia melantik anak buahnya sendiri apatah lagi bekas banduan.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Bukan menongkah arus, past ramai yang akan berkata dia sudah hilang akal.  Daripada dibiarkan persatuan belia itu mati tidak berkubur, baiklah dia menggerakannya semula.  Perancangan sepanjang tahun akan diaktifkan perlahan-lahan.    Fail yang terisi dengan agenda, perancangan dan nama ahli jawatankuasa yang dilantik siang tadi dibiarkan di atas meja kopi. Dia menarik nafas lega. 
            “Orang kampung sudah bising, mereka kata abang sudah nyanyuk, lantik Malek sebagai Pengerusi Belia di kampung kita ini,”  adu Hajah Rokiah.  Secawan kopi diletakkan di hadapan suaminya.  Matanya masih lagi melekat di wajah suaminya itu. Dia sendiri berasa pelik dengan sikap suaminya.  Jangan-jangan memang buang tabiat agaknya?  Berkali-kali Hajah Rokiah beristighfar.  Bukan menidakkan kematian yang sememangnya akan menjemput diri, tidak kira siapa pun, tua atau muda.
            “Biarkanlah, saya tahu apa yang saya lakukan.  Awak pekakkan sahaja telinga,”  ujar Haji Shauki.
            “Masalah, mampukah si Malek itu menguruskan persatuan itu?  Anak-anak muda di kampung kita ini, boleh tahan samsengnya,” luah Hajah Rokiah bimbang. Kes penagihan dadah semakin menjadi-jadi.  Kecurian juga begitu. Biarpun orang kampung sering mengadakan rondaan, kecurian tetap berlaku. Sudah pening kepala Haji Shauki sebagai ketua kampung dan imam di masjid kampung tersebut hendak  menyelesaikan masalah  yang ada. 
            “Sebab nak bertemu dengan samsenglah, saya bawa ketua samseng ke mari, biar kena buku dengan ruas.  Anak-anak muda kampung ini, hidup pun minta belas ehsan orang tua, ada hati nak jadi samseng!” tempelak Haji Shauki.
            “Ikut suka awaklah, saya tidak mahu orang kampung kata awak itu sudah buang tabiat!”  Hajah Rokiah mengeluh berat.  Suara orang memberi salam membuatkan dia bingkas bangun dan menuju ke muka pintu. 
            “Halim? Nak jumpa pak ajikah?” tanya Hajah Rokiah ramah.  Dia kenal hampir keseluruhan penduduk di kampung itu, maklumlah isteri ketua kampung dan imam masjid. Tentulah dia banyak bergaul dengan penduduk di situ.
            “Ha ah Mak Kiah, pak aji adakah?” tanya Halim dengan wajah gelisahnya. 
            “Ada, jemput naik,” pelawa Hajah Rokiah. 
            Halim melangkah masuk ke dalam rumah.  Rumah batu setingkat itu kemas dan tersusun rapi. Mata Halim terpacak pada kelibat Haji Shauki yang sedang bersantai di ruang tamu.
            Hajah Rokiah pula berlalu ke dapur.  Adat orang bertamu, sediakan sesuatu untuk tetamu walaupun hanya segelas air kosong.
            “Halim?”  sapa Haji Shauki kehairanan.  Kenapa lelaki itu datang ke rumahnya lewat malam ini.
            Halim menghulur tangan bersalaman dengan Haji Shauki.  Dia terus melabuhkan punggung di sofa.  Dia mengeluh berat.
            “Apa hal engkau datang malam-malam ini?” soal Haji Shauki.         
            “Pasal si Malek!”  kata Halim agak keras. 
            “Kenapa pula dengan anak buah aku itu?” soal Haji Shauki.
            “Kenapa pak aji lantik dia jadi pengerusi belia? Pak aji nak rosakkan anak-anak kampung inikah?” soal Malek.
            “Kenapa?  Sudah ramaikah yang rosak?  Bukankah masalah sosial di kampung kita ini memang teruk sebelum kehadiran si Malek itu lagi?” tempelak Haji Shauki.
            “Itu bukan masalahnya pak aji, kehadiran dia boleh mengundang masalah,”  ujar Halim, dia menjeling.
            “Masalah apanya Halim?  Engkau kawan dia sejak kecil. Berilah dia peluang untuk berubah.  Halim… manusia dijadikan ALLAH ada baik dan buruknya.  Kalau engkau sayangkan anak-anak kampung ini, kau berganding bahulah dengan Malek. Bantu anak-anak kampung kita ini agar mampu bersaing dengan anak-anak muda di bandar sana, jangan hanya tahu cari kesalahan orang lain sahaja.  Kalau kita asyik cari salah orang, sampai bila pun kita tetap di takuk lama,” nasihat Haji Shauki.
            “Kalau jadi apa-apa, pak aji jangan salahkan saya dan orang kampung kononnya tidak beri nasihat dan amaran!”   Halim mengetap bibir.
            “Hendak jadi apanya?  Kalau kita semua bekerjasama, tidak mungkin berlaku perkara yang tidak baik, kalau jadi apa-apa, sudah tentulah engkau yang melakukannya.  Jangan engkau nak sabotaj pula program yang sedang kami rancangkan nanti,”  kata Haji Shauki sinis.  Orang seperti Halim harus diajar, tidak mudahlah dia hendak menyalahkan orang lain.  Mentang-mentang Malek itu bekas banduan, pasti ada sahaja pandangan negatif daripada penduduk kampung.
            “Kenapa pula tuduh  saya? Uh! Pak aji berat sebelah!”  Halim mendengus kasar.
            “Baliklah Halim, hari pun sudah jauh malang.  Aku sudah mengantuk.  Pandangan engkau itu nantilah aku fikirkan,”  kata Haji Shauki seraya menguap.
            “Saya balik dahululah pak aji.”  Halim melangkah turun dari rumah Haji Shauki. Tidak guna mengadu kepada orang yang tidak mahu mendengar aduannya.  Melangkah laju meninggalkan rumah itu.
            Haji Shauki menutup daun pintu. Dia duduk semula di kusyen.  Mengeluh berat.  Dia tidak boleh terpengaruh dengan kata-kata orang kampung yang tidak senang dengan Malek.  Dia tahu apa yang dilakukannya.  Keadaan di kampung itu sudah semakin tenat. Penagihan dadah, pengedaran semakin menjadi-jadi. Pihak polis sudah beberapa kali melakukan serbuan.  Hari ini serbu, esok muncul tapak baharu tempat mereka melepaskan gian. Mentang-mentanglah kampung ini jauh dari bandar. Seenaknya sahaja mereka gunakan sebagai markaz.  Hanya Malek yang sesuai membantunya melenyapkan konco-konco pengedaran  dadah itu.  Kampung ini harus dibersihkan daripada semua anasir jahat. Itulah azamnya sebagai imam dan ketua kampung.
            Sekali lagi dia bingkas bangun.  Menutup lampu dan menuju ke bilik.  Penat seharian bertugas. Tugas yang diamanahkan kepadanya.  Tanggungjawab yang begitu besar buat insan sepertinya. Hanya berkelulusan sekolah pondok. Mula-mula jadi imam kemudian dilantik menjadi ketua kampung.  Dialah tempat masyarakat kampung merujuk jika ada apa-apa masalah. Baik dunia mahupun akhirat.  Semoga setiap langkahnya diredha ALLAH dan sentiada dibawa perlindungan dan rahmatNYA.  Usai mengambil wuduk, membaca empat Qul serta doa tidur.  Haji Shauki terus melelapkan mata. Biar mimpi yang indah-indah sahaja.  Aduan Halim biarlah menjadi halwa telinganya sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan