Setiap
ajaran Ustazah Mardhiah didengari dengan teliti, setiap kali dia membaca
kembali al-Quran yang sudah lama tidak dipegang, disentuh dan dibaca, bergetar
jantungnya, sayu hatinya, ditambah dengan suara lembut Ustazah Mardhiah
mengajarnya. Setiap hari Ustazah
Mardhiah akan datang ke rumah sewanya.
Bermula jam 9.00 pagi sehinggalah 5.00 petang.
Hampir sama waktu bekerja.
Berhenti untuk solat dan makan sahaja.
Tekun Ustazah Mardhiah mengajarnya, sabar dan tenang, kadangkala dia tersalah
membacanya. Ditegur dengan lembut dan penuh tawaduk.
“Adakah taubat saya diterima Allah,
ustazah?” soal Diana sewaktu mereka berhenti makan tengahari. Lauk pauk dimasak oleh Diana sebelum Ustazah
Mardhiah datang.
“Kenapa tidak? Selagi kita bernyawa, selagi kita mahu
bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, Allah akan terima taubat kita. Bukankah Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih
dan Maha Penyayang.” Ustazah Mardhiah memandang wajah Diana yang tunduk,
pipinya dibasahi air mata. Diharap air
mata kekesalan.
“Saya malu ustazah, malu dengan
orang tua saya, malu dengan manusia, malu dengan ustazah, dah tua begini pun
solat masih culas, mengaji malas,” tutur
Diana dalam keadaan teresak-esak.
“Tiada apa yang ingin
dimalukan? Kita jangan malu melakukan
kebaikan, tetapi hendaklah malu ketika melakukan kejahatan dan dosa. Diana jangan bimbang, selagi nyawa kita tak
sampai ke halkum, selagi itulah taubat kita masih diterima. Dan berjanji tidak
akan mengulanginya lagi,” nasihat Ustazah Mardhiah penuh tawaduk.
“Bodoh betul saya!” kata Diana
keras.
“Tiada manusia yang tidak melakukan
kesalahan kecuali Rasulullah saw, sebab Baginda maksum, terhindar dari sebarang
dosa. Kita kena sering memohon ampun dan berzikir mengingati Allah, berdoa agar
ditunjukkan jalan yang benar, jalan yang lurus, jalan menuju redha-NYA. Diana, awak diberi peluang untuk kembali ke
pangkal jalan dan membetulkan kesilapan yang lalu, itu tanda kasih Allah swt
pada awak. Bersungguh-sungguhlah
beribadat dan memohon ampun kepada-NYA, saya yakin, taubat awak akan diterima.”
Ustazah Mardhiah melakarkan senyuman.
Dia menghabiskan nasi yang bersisa di pinggan. Sekejap lagi mereka berdua akan solat
berjemaah. Mudah mengajar Diana sebab
dia tahu mengaji dan tahu tentang solat.
Cuma, jarang buat dan sudah lama meninggalkan amalan tersebut.
“Ayah dan ibu saya orang baik-baik,
ustazah. Dihormati oleh penduduk
kampung. Apabila terjadi perkara yang
memalukan pada saya, ya Allah! Menyesal
saya ustazah. Mereka berterusan dihina,
ayah dituduh tidak tahu menjaga anak, tidak tahu mendidik anak, nampak sahaja
alim. Malu mereka, tapi mereka masih
menerima saya, biarpun saya telah menconteng arang ke muka mereka. Saya jatuhkan maruah mereka. Saya aibkan
mereka.” Semakin sayu suara Diana. Tangisannya semakin kuat. Nasi yang di dalam pinggan tidak terusik.
Ustazah Mardhiah mengeluh.
“Menangis kerana kesal dengan dosa
yang dilakukan, akan dikira Allah swt nanti.
Sabar dan tabahlah Diana. Inilah kesan yang akan kita hadapi atas
perbuatan kita mengikut hawa nafsu. Itu
sebab Allah memberi kita akal untuk kita membezakan baik dan buruk. Allah
turunkan buku panduan kehidupan kepada
hamba-hamba-Nya iaitu Al-Quran dan Hadis Rasulullah saw sebagai petunjuk jalan
yang benar. Awak masih diberi peluang
kedua, jangan abaikan, rebutkan peluang yang diberi, dekatilah agama kita,
belajarlah, khayatilah kehidupan sebenar sebagai hamba Allah swt. Kita dijadikan hanya kerana satu tujuan,
untuk sujud dan tunduk serta patuh kepada-NYA. Tiga bulan tidak cukup untuk belajar agama,
sekadar belajar yang asas sahaja, mungkin cukup. Selepas ini, saya harap awak akan terus
belajar dan belajar lagi. Isi hidup dengan amal dan ilmu. Islam itu indah, Diana. Islam itu cantik,
kita sahaja yang tidak tahu menghayatinya,” nasihat Ustazah Mardhiah panjang
lebar.
“Terima kasih ustazah kerana sudi
mengajar saya yang jahil dan berdosa ini,”
ucap Diana, dia menyeka air mata yang membasahi pipinya. Sembab matanya lantaran terlalu banyak
menangis. Kata-kata Ustazah Mardhiah terlekat di hati. Dia manusia yang tidak tahu menghargai kedua
orang tua dan diri sendiri. Sanggup
mencemar maruah sendiri kononnya cinta. Cinta
yang telah mencemar maruah dirinya dan keluarga. Tidak tertanggung olehnya
melihat wajah resah dan kecewa kedua orang tuanya. Kata-kata semangat mereka semakin menambah
sesak di dada. Sepatutnya dia dibuang
dan dihalau sahaja, dia anak yang tidak berguna, tidak tahu membalas jasa orang
tua. Hanya tahu memalukan sahaja.
“Sudah tanggungjawab saya Diana.
Ilmu yang saya perolehi seharusnya saya sebarkan, bimbing orang yang seperti
Diana, bukan disimpan untuk diri sendiri,
Diana kena tekun tau, semoga Diana akan terus menjadi muslimat sejati,
aamin” kata Ustazah Mardhiah.
“Aamin,” sambung Diana. Dia senyum kembali. Terasa hilang rasa sebak yang menebal di
hatinya. Ustazah Mardhiah berjaya
menenangkan hatinya. Dia menarik nafas
lega. Masih jauh perjalanan hidupnya,
masih panjang waktu dan masa yang perlu dilalui demi mencari redha Ilahi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan