Haziq
duduk termenung di anjung biliknya, memandang jauh ke laman rumah yang
terhias cantik dan sejuk mata memandang.
Pepohon renek berbagai jenis, bunga-bungaan mekar kembang, hidup subur
dijaga dengan baik oleh tukang kebun yang diupah oleh isterinya. Isteri? Layakkah dia mengelarkan Riana itu
isterinya? Ah! Dia manusia kejam, kejam pada diri sendiri
dan juga keluarga yang dibina atas dasar nafsu dan ingin kepada harta
semata-mata. Dia meraup wajahnya yang
muram sejak beberapa hari ini.
Fikirannya bercelaru. Jiwanya
kosong, hambar.
Dua
hari dia demam terkejut mendengar cerita tentang Hari Kebangkitan, Hari Kiamat,
Syurga dan neraka. Memang benar-benar
menakutkan. Terutama azab kubur dan
sebelum Malaikat Maut mencabut nyawa
seseorang hamba-NYA. Ya Allah! Ya Allah! Aku banyak dosa! Detik hati kecil
Haziq dengan wajah yang sugul. Sebak
dadanya. Suram hatinya. Lara jiwanya, bagaikan hilang diri dalam
timbunan sampah dan berusaha mencari jalan keluar, terkapai-kapai kelemasan,
menolak segala kekotoran yang telah terpalit di tubuhnya. Bagaiman dia ingin membersihkannya? Mampukah dia melakukannya? Khilaf seorang manusia yang tidak mengenal
akan Penciptanya. Manusia yang dijadikan
cukup sempurna dan sebaik-baik kejadian tetapi menjadi seorang yang lupa diri, bernafsu-nafsi.
Dia
mengeluh kekesalan. Tiga bulan begitu cepat berlalu, segala ilmu dan amalan
yang diajar oleh Ustaz Harun hampir semuanya diamalkan. Terasa malu sendiri, usia sudah menjangkau
40-an tetapi hidup seperti lelaki muda yang suka berfoya-foya, tidak kenal
tikar sejadah, tidak kenal ayat-ayat Allah. Hanya tahu bersuka ria dan
mengumpul harta yang tidak boleh pun dibawa mati. Hanya kemanisan dunia, kenikmatan yang
sementara. Manusia perlukan agama,
manusia hidup bukan suka-suka.
Haziq
bingkas bangun. Waktu solat zohor sudah menghampiri. Kata Ustaz Harun, menunaikan solat diawal
waktu lebih afdal dan berkat. Memanglah
berat untuk dia melakukannya, perkara yang tidak biasa dilakukan selama
ini. Terutama solat subuh, cukup liat
untuk melangkah ke bilik air. Terasa berat sahaja matanya, seperti terkena gam
UHU atau gam gajah yang melekat terus dan tidak mudah dibuka. Kalaulah Allah swt butakan matanya kerana
sukar untuk bangun solat subuh, bagaimana agaknya kehidupannya ketika itu? Allah! Terlalu banyak nikmat Allah swt yang
telah dinafikannya. Ah! Sungguh hina diri, sehina najis yang
membaluti tubuh, membusuk dan memualkan sesiapa sahaja yang lalu di hadapan
atau di belakangnya. Jika disamak dan
dicuci pun baunya masih terlekat lagi.
Air
matanya mengalir keluar, bertayangan satu persatu segala kemungkaran yang
pernah dilakukannya. Malunya aku! Detik
hati kecilnya sendiri. Setiap langkahnya
rupanya ada memerhatikan, setiap gerak geri, hembusan nafas yang melalui rongga
hidungnya tiada satu pun terlepas dari pandangan Allah Yang Esa. Ya Allah! Boleh sahaja nyawanya diambil
ketika dia sedang melakukan maksiat di muka bumi ini. Boleh sahaja Allah mencambut nyawa-nyawa
manusia yang berhati kejam, yang sedang merosakkan alam dan seisinya. Tanpa ada rasa bersalah dalam diri, dia
membongkar bumi kemaksiatan, meracun dan
memusnahkan kemuliaan yang ada dalam diri, mencemarkan kejadian yang indah ini.
Hanya kerana mengikut hawa nafsu dan hasutan syaitan laknatullak.
Tidak
henti-henti dia beristighfar agar dirinya diampunkan Allah. Kata Ustaz Harun, biarpun sebesar zarah dosa yang
dilakukannya, selagi dia tidak mensyirik atau menyekutukan Allah, taubatnya
pasti diterima. Namun, setiap dosa yang
dilakukan biarpun diampunkan tetap akan dihisab juga. Kuatkan dia menghadapinya nanti? Haziq mengeluh. Terasa bergetar hatinya. Seram sejuk
tubuhnya. Buku tentang syurga dan neraka
diulang baca entah ke berapakali. Benarkah
Allah telah membuka pintu hatinya?
Betulkah dia benar-benar telah insaf terhadap dosa-dosanya yang lalu dan
tidak akan mengulanginya lagi? Sekali
lagi keluhan berat dilepaskan. Dia masih
duduk di atas tikar sejadah dan memikirkan nasib dirinya di masa hadapan.
Hembusan
angin pendingin udara menyapu perlahan wajahnya. Usai solat zohor dia terus menelefon
Diana. Gadis itu perlu ditemui, dia juga
perlu bertemu keluarga Diana. Kata maaf dan keampunan perlu dilafazkan demi
menyucikan hatinya yang telah dikotori sendiri dengan dosa-dosa semalam. Dia menunggu dengan tenang kehadiran ‘bakal’
isterinya itu sambil matanya memerhati segelintir manusia yang lalu lalang di
dalam pusat membeli belah IOI Mall yang terletak di Bandar Puchong.
“Assalamualaikum,”
sapa Diana.
Haziq
segera menjawab salam dan… Diana?
Wajahnya tenang, penampilannya berbeza dengan Diana yang pernah dia kenal
dahulu. Berjubah dan bertudung labuh, tiada seculit solekan pun di wajahnya
yang damai dan tenang itu. Suaranya
perlahan dan penuh sopan duduk di hadapannya.
Diana yang dikenalinya tiga bulan yang lalu berada di hadapannya dengan
penampilan yang jauh berbeza.
“Maaf
lambat, baru habis kelas raudah bersama Ustazah Mardhiah,” kata Diana, sesekali
menunduk.
Haziq
membisu, seperti lidahnya dilekat kemas di lelangit mulutnya, tiada kata yang
mampu diucapkan melihat perubahan gadis yang telah dirosakkan. Adakah Diana juga berubah sama
sepertinya? Subhana-Allah, berkat Kebesaran-MU
yang Allah, Kau mampu mengubah hati hamba-hamba-Mu, bisik hati kecil Haziq,
matanya masih lagi melekat di wajah tenang Diana.
“Kenapa
En. Haziq nak jumpa saya?” tanya Diana perlahan,
satu persatu perkataan itu mengalir keluar dari bibirnya.
Encik? Bukan ‘abang’ ke? Haziq terkesima seketika, mati
kata-kata. Sedangkan sewaktu melangkah
keluar dari rumah, berkajang-kajang ayat telah disusun untuk disampaikan kepada
gadis itu. Tidak pernah dia terkedu
seperti ini ketika berhadapan dengan seorang perempuan. Mulutnya akan manis berkata-kata, melafazkan
kata-kata indah untuk menambat hati si gadis yang akan dijadikan mangsa
keseronokkannya mencari syurga dunia. Syurga anggapan dirinya sendiri.
“Saya
nak bincang tentang perkahwinan kita,”
kata Haziq setelah membisu untuk beberapa waktu.
“Perkahwinan?” Diana mengangkat muka, memandang wajah lelaki
yang pernah digila-gilakannya dahulu.
Haziq juga kelihatannya sudah jauh berubah. Berkopiah dan memakai kurta, sejenias pakaian
yang sering dipakai oleh orang Pakistan.
Mukanya juga berjambang tetapi kemas.
“Kenapa? Awak tak bersetuju?” soal Haziq.
“En.
Haziq, bagaimana mungkin saya menyakitkan hati seorang perempuan yang telah
membawa saya kembali ke pangkal jalan?
Mana mungkin saya merampas hak seorang perempuan lain, demi kebahagian
saya sendiri?” Diana mengeluh berat.
Wajah tenang Riana bermain di matanya.
Sebak dadanya,menyucuk-nyucuk jiwanya.
“Tapi!
Saya harus menebus segala dosa-dosa saya dengan awak dan keluarga awak!” ucap
Haziq, tegas.
Diana
mengeluh. Adakah hanya itu sahaja jalan untuk lelaki itu menebus segala
kesalahan yang telah dilakukan terhadapnya dan keluarganya?
“Apa
kata kita bincangkan hal ini dengan Puan Riana, saya belum bersedia untuk
berkongsi kasih dengan perempuan lain, apatah lagi dengan Puan Riana,” jawab
Diana, wajah sugul memandang keluar restoran.
“Awak
tak nak berkahwin dengan saya?” tanya
Haziq inginkan kepastian.
Diana
memandang wajah Haziq, kemudian menunduk, mengangkat kepala kembali,
perlahan-lahan dia menggeleng.
“Bila
hati kita bertemu dengan cinta Allah, nikmat cinta sesama manusia, akan berlalu
pergi, apatah lagi cinta kita berpaksikan nafsu semata-mata,” kata Diana penuh
yakin. Dia benar-benar yakin, hatinya
sudah tertutup untuk Haziq. Cintanya
lebih kepada dunianya yang baharu, mencari redha Ilahi dan cinta Rasul-Nya.
“Biarpun
saya tidak mampu memberi cinta semulia
cinta Rabiatul Adawiyah kepada Allah swt, cukuplah saya menjadi sebelah kaki
Rabiatul Adawiyah mampu membina ketulusan cinta saya kepada Allah, En. Haziq
doakan saya mampu menjadi muslimat sejati dan seorang anak yang baik, yang
mampu membersihkan nama keluarga saya akibat perbuatan saya sendiri,” ujar Diana, setitis manik jernih jatuh ke
pipinya.
Haziq
menarik nafas panjang. Dia memejamkan
matanya seketika, mencari ruang bernafas, terasa perit kerongkongnya mendengar
kata-kata Diana. Dia menelan air liur,
mencari kekuatan dalam diri, berhadapan dengan insan yang telah dimusnahkan
masa depannya. Dia menunduk malu. Insan
yang lemah di hadapannya, sepatutnya dibimbing dan dijaga kemuliannya, tetapi
dirosakkan kerana hawa nafsu yang tidak bertepi itu.
“Biar
apapun keputusan awak, benarkan saya bertemu dengan kedua orang tua awak,
Diana, bolehkan? Izinkan saya memohon
ampun dan maaf kepada mereka. Saya
bersalah kerana telah mencemar nama baik keluarga awak. Saya benar-benar kesal. Maafkan saya, ampunkan segala dosa-dosa saya
terhadap awak selama ini,” ucap Haziq, tenang dia menuturkan, tidak sedikit pun
berasa gentar, malah berasa lega kerana
telah terlepas dari bebanan dosa yang telah dilakukan terhadap manusia lain,
manusia ciptaan Allah swt. Malunya dia!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan