Malek
menghabiskan teh tarik yang telah dipesan tadi.
Pagi-pagi lagi sudah menyinggah di restoran mamak yang terdapat di pekan
tidak jauh daripada kampung tempat tinggalnya sekarang. Tanah milik arwah ayahnya, syukurlah bekas
isteri dan anak-anaknya masih tinggal di situ.
Dia tidak mahu menyusahkan keluarganya, kalau bolehlah. Dia ingin berdikari sendiri. Bukan dia budak kecil, atau tidak tahu selok
belok pekan tersebut. Alhamdulillah, dia
juga telah mula bekerja sebagai pengawal keselamatan, tidak kisahlah, asalkan
halal. Gaji tidak besar mana, cukuplah
untuk menanggung dirinya seorang.
Mungkin boleh juga dia memberi sedikit kepada Zakuan dan bekas
isterinya. Tidak mungkinkan duduk
percuma sahaja, bekalan eletrik dan air
perlu juga dibayar. Biarpun Zakuan tidak meminta, sebagai pendatang, kenalah
tahu diri.
“Perompak sudah balik kampunglah!”
kata seoran lelaki yang duduk di meja sebelah.
“Mana? Mana?” tanya seorang lagi.
Malek mengeluh. Tidak mahu mencari sengketa. Sebelum jadi apa-apa, biarlah dia angkat
punggung dan pergi dari situ.
“Itu, di hadapan kita ini,” kata
lelaki tadi sambil memuncungkan bibirnya menunjuk ke arah Malek yang
membelakangkannya.
“Nanti habislah rumah penduduk kampung dirompaknya,” kata kawan yang seorang lagi.
“Engkau tahu Hassan, orang yang sudah
biasa bergelumang dengan najis ni, aku rasa mana boleh tak makan najiskan? Kau rasa dia boleh berubahkah?”
“Uh! Tidak mungkin, orang kalau sudah
jahat Halim, selagi ada hayatlah dia jahat!”
kata lelaki bernama Hassan.
“Kenapa dia balik sini ya? Kenapa
tak berambus sahaja dari sini, menyusahkan orang sahaja. Pasti lepas ini ramai
rumah penduduk kampung akan dirompaknya.
Dah lama kita duduk aman damai, tiba-tiba muncul kembali pula? Kenapalah
tak mampus sahaja di penjara?” kata Halim menyindir.
Malek masih tidak ambil peduli. Ini perkara biasa baginya. Biarlah mereka nak
bercakap sehingga hilang suara. Dia tidak akan terusik atau berkecil hati.
Inilah jumlah yang perlu dibayar pada setiap dosa-dosa yang telah dilakukannya.
“Hey, perompak! Perogol! Buat apa engkau
balik hah? Nanti habis anak dara kampung
ini engkau rosakkan! Habislah rumah penduduk kampung nanti!” sindir Halim tanpa
ada rasa bersalah. Bencinya dia dengan
lelaki itu. Kenapa? Kerana dia tidak
suka manusia jahat seperti itu ada di kampungnya. Malek dikenali sejak kecil. Mana tahu sudah
dewasa sanggup jadi perompak dan perogol pula. Pada mulanya dia tidak percaya,
tetapi berita penangkapan Malek 25 tahun dahulu terpampang di dalam
suratkhabar. Kecuh satu kampung, ditambah dengan kepulangan anak dan bekas
isteri Malek yang mendiami rumah pusaka.
Malek tidak menjawab. Setelah membayar harga minuman dan makanan
dia bingkas bangun dan berlalu dari situ.
Usah dijawab pertanyaan orang yang sedang sakit hati padanya. Menambah keruhkan suasana. Dia ingin hidup aman damai di kampung
halamannya.
“Sudahlah Halim, dia tak layan kita
pun. Mungkin juga dia telah berubah.
Kita bagilah dia peluang,” nasihat
Hassan setelah melihat Malek buat tak dengar sindiran mereka.
“Uh! Aku tak percaya!” kata Halim
memandang langkah Malek dengan rasa benci.
“Sudahlah, makan sajalah,” pujuk
Hassan. Sesekali dia menoleh
memerhatikan tubuh sasa Malek yang tidak banyak berubah. Kalau kena sekali penumbuk bekas banduan itu,
mahu terduduk bawah meja.
“Aku mesti beritahu tok ketua! Lelaki itu tak sepatutnya dibenarkan tinggal
di kampung kitalah!” kata Halim bertegas.
“Halim, sudahlah! Tak usah diganggu
tebuan yang sedang tidur. Kalau diserangnya kita, berlari tak cukup tanah
nanti,” kata Hassan, berharap sahabat
sekampungnya itu sedar. Mereka sudah pun berumur, bukan muda lagi.
“Setakat tebuan, ada aku kisah? singa pun aku beranilah?” kata
Halim dengan penuh sombong.
“Jangan ganggu dialah,” nasihat Hassan dari tadi. Berasa bersalah
pula menyindir tadi. Malek bukan orang
lain di kampung itu. Anak jati Kampung Seberang. Sepatutnya kepulangannya
dirai, manalah tahu dia sudah berubah, kenapa tidak diberi peluang.
“Kau dah kenapa? Takkan nak sokong
penjenayah itu?” tegur Halim, geram pula tengok sikap teman sekampungnya itu
yang tiba-tiba berubah.
“Bukan macam itu, dia anak jati
kampung kita, dia pernah jadi kawan sepermainan kita. Engkau tengoklah keluarga dia, sampai ke hari
ini, bekas isteri dan anak-anaknya kita pinggirkan. Apa nak jadi?
Sekarang, Malek sudah balik. 25 tahun dia dihukum, aku rasa, dah cukup
memeritkan,”ujar Hassan.
Halim ketawa kuat. Terasa gelihati
mendengar kata-kata Hassan.
“Kita sudah tualah Halim, tak
payahlah nak jadi kutu kampung pula,” tegur Hassan. Halim sewaktu mudanya boleh
tahan nakal. Cuma, tidaklah sejahat Malek tadi.
Nakal-nakal budak kampung. Suka sangat mengusik anak dara orang dan
biasalah curi buah kelapa. Hassan
tersenyum sendiri, setakat curi buah kelapa, ada hati nak jadi samseng. Lainlah Malek itu. Kalau dilawan takkan menanglah
nampaknya. Tengok sahajalah
badannya. Sekali didebik, berterabur
gigi.
“Engkau ini sudah kena rasuk dengan
si Malek agaknya,” kata Halim
bengis. Dia bingkas bangun setelah
membayar harga makanan. Laju langkahnya
meninggalkan Hassan sendirian.
“Halim! Halim!” laung Hassan.
Halim hanya mengangkat tangan dan
berjalan menuju ke keretanya.
Hassan menggeleng kekesalan. Sejak muda sehinggalah sudah berumur separuh
abad, masih sukar ditegur. Dia membayar harga makanan dan minuman, langkah
diatur terus pulang ke rumahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan