Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Selasa, 9 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 21 -ASMAH HASHIM



                Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia hempuk kepala Haziq dengan fail-fail yang ada di atas mejanya itu.   Ada sahaja perkara yang dirungutkan.  Bosan belajar agamalah, tidak tahu mengajilah, susah nak menghafal doa-doalah.  Ikutkan hati mahu sahaja dicekik leher suaminya itu.  Nak suruh jadi baik pun susah?   Nak minta jadi manusia pun payah?  Ini manusia ke apa?
            “Apa yang awak leterkan ni? Sakit telinga saya,” tegur Riana, terberhenti kerja-kerja mengemas kini stok yang baharu sampai.  Kerja tersebut sudah diselesaikan oleh Arman, dia hanya memeriksa pesanan yang dia sendiri lakukan.
            “Awak nak suruh saya belajar agama sampai tiga bulan?  Tiga hari pun rasa nak mati tau!” bentak Haziq. Dia duduk di sofa sambil menjeling tajam ke arah Riana yang bermuka selamba. Geram pula dia melihatnya.
            “Baik matilah, kalau tak nak belajar agama sendiri!” marah Riana, geram.
            “Amboi, bahasa!” marah Haziq.
            Riana mengerut dahi.  Ait! Lawan tokey nampak?  Riana bingkas bangun.
            “Kalau awak tak nak buat apa-apa.  Baik berambus! Lemaslah saya!  Duit nak, bergaya nak, tapi malas nak belajar tentang agama sendiri?  Awak ingat, awak hidup di dunia ini aje ke?  Tak mati?  Nak bawa bekalan apa?  Solat pun tidak?  Awak ni memang memalukan bangsa dan agama sendirilah!  Awak bukan muda lagi tau, dah nak masuk 40-an, sedarlah diri, kalau dibuatnya awak mati sebelum sempat mengucap atau solat, awak nak masuk neraka? Sudahlah tidak bertaubat dari dosa-dosa yang pernah awak lakukan, boleh cakap besar pula depan saya!” bentak Riana geram. Ikutkan hatinya mahu sahaja dibaling dengan kerusi yang ada.  Nanti dikatakan kurang ajar pula.  Dia masih boleh berlembut dengan Haziq, tetapi tidak sampai  mempermainkan hidupnya.  Inilah susahnya, kalau tidak ada pelajaran agama, nak bimbing diri sendiri pun tidak tahu, mana nak bimbing isteri dan anak-anak.
            “Awak jangan hina saya, Rin!”  Haziq bangun mencekak pinggang.
            “Saya cakap yang benar, awak tu yang tak sedar diri!” marah Riana. Riuh rendah biliknya dengan pertengkaran yang tidak diduga.  Haziq sengaja mencabar kesabarannya.
            Haziq mendekati Riana dan mengangkat tangan kanannya untuk menampar isterinya itu.
            “Awak cubalah!”  Riana berdiri teguh. 
            Haziq mengetap bibir.  Tanganya masih di atas kepala hanya menunggu masa untuk melekat di pipi gebu Riana yang berdiri kaku di hadapannya.
            “Pergi baliklah!” halau Riana.  Semakin sakit hatinya, berdenyut kepalanya.  Apa yang harus dia lakukan dengan manusia bernama Haziq yang tidak tahu dek untung ini.
            Dia sudah muak bermain tarik tali dengan Haziq yang cuba diubah menjadi manusia yang baik, yang satu hari nanti mampu membimbingnya menuju syurga Ilahi, makin dipujuk, makin menjadi-jadi pula.  Aduan Ustaz  Harun membuatkan dia bertambah kesal. Haziq tidak bersungguh-sungguh belajar.  Ada sahaja alasanya hendak culas kelas.    Langsung tidak ada kesedaran diri. 
            Apa yang harus dia lakukan?  Berkerut dahinya memikirkannya.  Berbeza dengan Diana yang bersungguh-sungguh mendalami agama. Benar-benar insaf dan bertaubat. Orang lelaki dan perempuan, kesedaran diri tidak sama.  Nak tunggu bongkok tigalah kut baru belajar agama.  Waktu itu lidah sudah kelu, nak sebut alif, ba, ta pun tidak mampu, jangan-jangan terlantar sakit di atas katil, apapun tidak boleh buat.  Nau’zubillah, minta dijauhkan.
            Haziq mengundur ke belakang.  Dia memandang ke arah lain.  Dadanya berombak.  Dia masih mencekak pinggang.
            “Saya suami awak, saya punya hak atas segala kepunyaan awak.  Kalau saya tak nak kahwin dengan Diana gadis kampung  tu.  Itu hak saya!  Jangan sesekali awak paksa!  Saya akan tuntut hak saya!”  Haziq berkeras.
            “Berkali-kali awak cakap ayat yang sama, hati saya dah kosong untuk awak, tiada apa yang tinggal.  Harta yang ada ini semua, bukan hak awak, saya sudah namakan semuanya dengan nama anak-anak saya, awak tak boleh tuntut apa-apa hatta harta sepencarian kerana saya dah beri bahagian awak setiap bulan.  Ada bukti dan saksi semuanya atas usaha saya sendiri, bukan awak,”  kata Riana berani.
            Merah padam muka Haziq.  Riana bukan calang-calang perempuan.  Ada saja cara nak mematahkan usahanya merampas segala harta milik isterinya itu. 
            “Pergilah balik, saya banyak kerja.  Ustaz Harun tunggu awak di rumah,” halau Riana. Dia kembali ke mejanya.  Langsung tidak memandang wajah Haziq yang beku dan kaku di hadapan sofa kulit itu. 
            Riana menyambung kerjanya semula.
            “Awak memang tak gunalah Rin!” marah Haziq sebelum berlalu pergi.
            Riana  buat-buat tak dengar.  Dia menahan rasa marah di hati dengan  perasaan bercampur baur, cuba menghormati Haziq sebagai seorang suami, tetapi dia tidak berdaya.  Setiap kali dia mencuba, terbayang kata-kata Haziq dan perbuatan lelaki itu berlaku curang.  Perkara yang tidak mampu dia menerimanya.
            “Haziq nak apa lagi tu?” tanya Rafeah sebaik sahaja melangkah masuk ke bilik Riana.  Wajah muram Riana sudah dapat diteka, pasti lelaki itu menyusahkan sahabatnya itu lagi.
            “Kenapa kau tak minta fasak Rin? Aku bukan nak pecah belahkan rumah tangga kau, tapi kalau tak bahagia, buat apa?” tegur Rafeah. Rimas dia melihat keadaan hidup Riana yang tidak pernah tenteram.  Ada sahaja dugaan dalam hidup berumah tangga.  Tidak pernah putus-putus air yang mengalir di matanya.  Ada sahaja kisah sedih yang menyentuh hati, semuanya kerana perbuatan lelaki tidak berguna itu.
            “Aku malu Feah, malu sangat-sangat!  Seolah-olah aku tidak pandai memilih lelaki untuk dijadikan pemimpin dan imam aku, entah kenapa  nasib aku dalam rumah tangga tak pernah kenal kebahagian.”  Riana mengeluh kesal.  Kalau dia tahu hendak jadi seperti ini, rela tak berkahwin sehingga ke tua.  Baik dia membesarkan anak-anak yang kadangkala diabaikan. 
            “Habis tu? Kenapa harus bertahan?”  soal Rafeah.
            Riana mengeluh.  Sukar untuk diterangkan.  Dia ingin Haziq insaf, bertaubat dan kembali ke fikrah agama, kenapa manusia itu dijadikan. Kembali kepada Allah swt.  Kembali menjadi imam yang bertanggungjawab. Menjadi ketua keluarga yang mampu membimbing.  Manusia kalau dibiarkan hanyut, maka akan terus hanyut.  Kalau tidak dibimbing, sampai bila pun tidak akan sedar.  Memanglah, bukan semua orang mendapat hidayah, tapi perlu ditunjuk, diberitahu, diberi pendedahan, baharulah hidayah akan datang.  Bukan dengan hanya mengharap tidak berbuat sesuatu. Itulah yang sedang dia lakukan.  Mana tahu Haziq mampu berubah.  Mampu menjadi seorang lelaki, suami dan ayah bertanggungjawab. Ah! impian seorang perempuan yang hampir putus harap.
            “Sudahlah, lupakan hal laki aku tu.  Biarlah dia, nanti tahulah aku uruskan,” kata Riana dan kembali melakukan kerja-kerjanya, sambil berbincang dengan Rafeah yang hanya mampu menggeleng kekesalan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan