Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 15 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI - BAB 24 - ASMAH HASHIM



Riana kehairanan, pagi ini Haziq tidak turun sarapan, kenapa?  Berdetik di hati ingin melihat keadaan suaminya, dalam benci ada juga  keprihatinan terhadap lelaki yang masih menjadi suaminya itu. Dia melangkah mendaki anak tangga menuju ke bilik tetamu yang kini dihuni oleh Haziq.  Daun pintu diketuk perlahan. Tiada sahutan.  Dia memulas tombol pintu.  Tidak berkunci.  Riana menolak pintu bilik itu perlahan-lahan.
            “Abang!” panggil Riana perlahan.
            “Uhuhuh…” suara Haziq yang berbalut selimut.
            “Ya Allah! Tak bangun lagi?  Awak tak solat subuh ya?” 
            “Saya demamlah!” kata Haziq, membuka selimut yang menutup mukanya.  Dia menggagahi untuk duduk. Terasa lemah seluruh tubuhnya. 
            “Kenapa rahang awak bengkak?  Awak bergaduh dengan siapa?” soal Riana ketika terlihat rahang kiri Haziq bengkak.
            “Jatuh bilik air,” bohong Haziq, mana boleh bagitahu dia ditumbuk oleh Ustaz Harun, jatuhlah air mukanya.  Dia mencebik dan memandang ke arah lain.
            “Semalam sehat aje, hari ni dah demam?  Apa yang Ustaz Harun dah buat dengan abang? Takkan belajar solat pun sampai boleh demam?” sindir Riana. Macam budak kecil.  Baru belajar agama sudah demam. Kalau suruh berperang, agak-agaknya pengsan terus.
            Haziq tidak menjawab, hanya jelingan yang dilemparkan.
            “Kalau awak nak sakitkan hati saya, baik tak payah jenguk saya dalam bilik ni!” kata Haziq agak kasar.
            “Ala, merajuk pula? Tak ada siapa nak pujuk awak.  Demam ke, sakit ke, selagi boleh bercakap dan berjalan, jangan culas kelas, kejap lagi Ustaz Harun datang,”  omel Riana. Dia melangkah keluar dan menghempas daun pintu.  Bukan tidak simpati.  Tetapi, entahlah.
            Haziq termenung jauh.  Cerita-cerita Ustaz Harun masih kedengaran di cuping telinganya.  Terasa ustaz itu masih duduk di hadapannya bercerita tentang syurga dan neraka serta dahsyatnya kiamat, keadaan di Padang Masyar.  Uh! Dia mendengus kasar.  Kenapalah buat cerita seram, sedikit sahaja Ustaz Harun ingin bercerita tentang seksaan kubur. Wah!  Boleh demam kura-kura, bebel Haziq  dalam hati.  Dia bingkas bangun, badannya masih terasa lemah.  Bukan lemah apa, lemah semangat.  Uh! Dia mendengus kasar.
            Usai bersiap, dia menuju ke ruang makan, Riana sudah tiada.  Dia mengeluh, duduk sebumbung, tapi hubungan tak seperti suami isteri, lantaklah!  Dia terus menjamah sarapan.  Sekejap lagi Ustaz Harun tiba, aduhai. Cerita apa pula kali ini. 
            Seperti biasa, bilik yang dijadikan surau menjadi tempat dia belajar.  Ustaz Harun melakarkan senyuman kepadanya. 
            “Macam mana, nak kita sambung tentang alam kubur pula?” tanya Ustaz Harun.
            Wajah Haziq terus bertukar kelat.  Nak dengar ke tidak?  Kalau Ustaz Harun cerita yang bukan-bukan macam mana?  Boleh pengsan di sini juga, detik hati kecil Haziq.  Dahinya berkerut.
            “Tak payahlah fikir sangat En. Haziq, kita teruskan pelajaran hari ini ya?  Ustaz Harun terus bercerita tentang keadaan jenayah dari ketika nazak sehinggalah di tanam. Aduh!  Boleh jatuh sakit.  Bukan sebab cerita, tetapi cara Ustaz Harun bercerita, seperti mayat itu benar-benar berada di hadapannya.    Badannya mula berpeluh, dahinya berkerut tidak sudah-sudah, boleh bercantum mata kiri dan mata kanan, kalau Ustaz Harun terus bercerita.
            “Ustaz, berhenti sekejap. Saya nak ke bilik air,” ujar Haziq.
            Ustaz Harun menyengih dan mengangguk perlahan. 
            Setengah jam kemudian…
            “Lamanya En. Haziq ke bilik air?  Sembelit ke?” tegur Ustaz Harun.
            Haziq menyengih. Dia cuba menenangkan diri agar tidak terlalu takut mendengar cerita-cerita Ustaz Harun.  Nampak sahaja  tubuh berketak-ketak, cerita pasal kubur pun sudah takut, buat malu saja, kata Haziq dalam hati. Kutuk diri sendiri.
            “En. Haziq, saya faham.  Bukan mudah kita nak belajar agama ni, tiada siapa yang rajin.  Saya dulu pun malas, nak  hafal al-Quran, hadis lagi, bahasa arab pula. Memang pening.  Tapi…  apa yang kita pelajari adalah panduan hidup untuk diri kita.  Kalau tidak dipelajari, takut salah langkah, salah jalan, sesat terus.  Sebelum semakin jauh sesatnya, moleklah kita belajar, mengenal  panduan hidup untuk diri kita sendiri, juga untuk keluarga kita, agar  hidup lebih harmoni,”  nasihat Ustaz Harun.
            “Ustaz dulu, malas juga ya?” soal Haziq.
            “Dulu, sekarang tidak lagi.  Allah swt dah beri saya ilmu, mampu hafal Quran, mampu hafal hadis, mampu mengajar.  Segala ilmu yang ada dalam diri, Allah yang kurniakan.  Kalau saya malas.  Na’uzubillah, takut ditanya di akhirat nanti, tak mampu saya nak jawab.  Ilmu yang saya ada, saya wajib sebarkan, macam saya cakap semalam.  Tahu 10, 10 saya kena beritahu orang lain.  Tidak boleh simpan untuk diri sendiri.  Tak berkat nanti,”  terang Ustaz Harun.
            “Ustaz takut dengan Allah?” tanya Haziq perlahan.
            “Takutlah agaknya, itu sebab saya tunaikan segala suruhan-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya,” ucap Ustaz Harun.
            “Ustaz tidak pernah buat dosa?”  sekali lagi Haziq bertanya.
            “Setakat ini dosa besar tak pernah, dosa kecil itu, adalah agaknya. Kita ni manusia biasa En. Haziq, terkilas di hati tentang keadaan seseorang, atau berkata dalam hati, tidak ikhlas melakukan sesuatu pekerjaan itu, sudah dikira berdosa, Cuma, cuba elakkan dosa kecil itu berlaku dengan selalu beristighfar, semoga Allah swt mengampunkan dosa kita, aameen…” kata Ustaz Harun.
            “Allah akan ampunkan dosa saya?”  Haziq memandang wajah Ustaz Harun meminta kepastian.
            “Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang.  Selagi kita  tidak menyekutukan-Nya. Tidak melakukan dosa-dosa besar atau murtad yakni meninggalkan Islam, selagi kita ingin bertaubat dan tidak akan mengulangi lagi dosa-dosa yang kita lakukan itu, Allah pasti akan ampunkan dosa En. Haziq,” terang Ustaz Harun dengan wajah yang tenang dan tutur kata yang lembut.
            “Boleh ke saya bertaubat?  Sedangkan hati saya masih cinta dunia?”   Haziq menunduk seketika.
            “Kita mengejar akhirat, bukan sampai membuang dunia, En. Haziq.  Kita mencari kebahagian di dunia dan akhirat.  Dunia tempat kita bercucuk tanam, hasil tuaiannya kita perolehi di akhirat. Di dunia ni kita berbuat baik sesama manusia, buat baik dengan Allah dan Rasul-Nya, jaga kemuliaan agama kita, jaga maruah diri kita, maka segalanya akan baik di sana.  Kenapa kita perlu risau?  Itu sebab kita perlu belajar agama, mengenal panduan hidup yang telah ditetapkan.  Bukan hidup seperti orang tidak ada Tuhan,” nasihat Ustaz Harun panjang lebar.
            Haziq terdiam.
            “Saya rasa, kedua orang tua En. Haziq pasti terkejut dengan cara hidup En. Haziq sekarang ini.” Ustaz Harun memandang wajah keruh lelaki itu. 
            “Mereka tidak tahu cara hidup saya sekarang ini, depan mereka saya berlagak baik, solatlah konon, tapi entah apa yang saya baca. Main ikut-ikut aje.  Kalau suruh jadi imam, terus saya cakap sakit perut dan menyorok dalam bilik air,”  cerita Haziq. 
            Ustaz Harun tersenyum.  Itu perkara biasa, bagi mereka yang tidak tahu.  Kalau tidak belajar, bagaimana nak tahu.
            “Tak mengapa, kita belajar perlahan-lahan, sampai En. Haziq mampu menjadi imam. Bukan sahaja imam solat, tetapi imam kepada isteri dan anak-anak,” pujuk Ustaz Harun.
            “Tapi saya lembab belajar ustaz.”
            “Belakang parang yang tumpul pun boleh tajam,  saya yakin En. Haziq pasti boleh,”  kata Ustaz Harun memberi semangat.
            “Baiklah ustaz.  Saya akur, saya tahu saya seorang yang jahil, satu habuk pun tidak tahu. Ajarilah saya sampai pandai.  Rasanya tiga bulan tidak cukup, ustaz,”  kata Haziq. 
            “Habis tiga bulan, boleh belajar lagi di masjid, surau atau kelas agama yang lain, saya akan bantu En. Haziq, yang penting ada kemahuan. Jangan malas.  Kalau malas, tak ada ubat untuk menyembuhkannya, En. Haziq,” janji Ustaz  Harun.
            Wajah Haziq yang keruh tadi sudah bertukar ceria.  Senyuman yang terlakar juga semanis gula. Ustaz Harun rasa bersyukur, memang susah betul nak ajar Haziq, tetapi dia perlu bersabar. Rasulullah saw berdakwah membawa agama Islam juga tidak senang.  Ujian yang diterima juga berat. Ujian untuknya mengajar Haziq tidaklah seberat mana.  Dia mampu tanganinya. Semoga Haziq mampu berubah, doa Ustaz Harun dalam hati.

2 ulasan: